“ABANG, ada tetamu ke?
“YA, tolong Abang Long angkat barang dalam kereta abah , bawa ke sini.” Mata Eman masih belum lepas memandang ke arah Ameena. Bagaikan tidak percaya orang yang dia mahu lupakan berada di rumahnya. Hanya tiga hari lagi majlisnya bakal berlansung. Tapi kenapa dia perlu melihat lagi wajah ini. Mata redupnya menyorot pula wajah Hajah Sufiah yang masih dalam dakapannya.
“Along kenal ke dengan Ameena? Ini anak kawan mak yang mak cakap nak datang tu. Nak merasa suasana kenduri dekat kampung.” Hajah Sufiah meleraikan dakapan tangan Eman. Rimas pula dengan Eman yang masih terpinga – pinga.
“Kenallah.. mak.. Ameena ni bekas anak murid Along. Sekarang rakan sekerja Along. Kami mengajar sekali dekat SMK Seri Cahaya tu. Maaf Ameena saya pun tak tahu keluarga awak yang mak saya maksudkan.” Bibir merah delima Ameena melirik senyuman. Dia tidak menyangka kediaman cantik itu milik keluarga Cikgu Eman.
“Kecilnya dunia ni kan.. Apa pun, selamat pengantin baru. Tak sangka saya dapat hadiri majlis kahwin Cikgu.” Terasa ada satu tikaman pada jantungnya tatkala ucapan itu meniti di bibirnya. Eman menelan liur agak payah. Entah kenapa ucapan yang lahir dari bibir mungil itu membuatkan dadanya terasa sesak.
“Marilah.. Along, Ameena.. kita ke ruang depan. Dah lama ibu dan ayah awak menunggu tu. Dahaga dah mereka tu.” Hajah Sufiah mengatur langkah meninggalkan ruangan dapur dengan dulang berisi kuih muih di tangannya. Ameena turut membuntuti langkah wanita itu. Eman pula masih berasa tidak enak. ‘Perlu ke aku suruh dia balik? Apa ke bodoh aku nak halau tetamu. Tapi kalau dia ada, susah aku nak jawab nikah nanti. Allah... Apakah bentuk dugaan ini?’ Eman turut melangkah keluar dari ruangan itu. Kakinya terasa lemah menyusuri jejantas kayu menuju ke ruang utama.
“Pakcik.. sihat? Tak sangka keluarga pakcik yang nak berkunjung ke rumah saya ni.” Eman menghulurkan tangannya, tunduk menyalami tangan Tuan Zulkifli. Tuan Zulkifli hanya senyum dan mengangguk. Dia menepuk beberapa kali bahu Eman.
“ Kami pun tak sangka Cikgu Eman ni anak kawan lama makcik.. kecil sungguh dunia ni. Ameena pun tak pernah cerita pasal Cikgu Eman kalau kat rumah. Baru – baru ini sajalah, dia ada cerita. Itupun sebab Cikgu Eman tolong dia. Tapi taklah makcik tahu asal usul Cikgu Eman ni.” Kartini menambah dalam senyuman manisnya.
“Along tolong Ameena? Kenapa? Tak ada pula Along cerita apa – apa dekat mak.” Berkerut seribu dahi Hajah sufiah seraya mengalih pandang kepada anaknya.
“ Hal kecil saja mak. Dah selesai pun. Tak ada bendalah..” Eman tersenyum dengan pandangan redupnya. Sesekali dia melirik kepada Ameena yang sedang menuangkan air teh ke dalam cawan. Setiap kali memandang wajah itu, setiap kali itulah jantungnya berdegup kencang.
“Cikgu Hashim.. sihat? Lama tak jumpa, tapi masih tak berubah. Segak seperti dulu juga!” Haji Hashim ketawa agak kuat dengan teguran dari Tuan Zulkifli.
“Kalau masih segak dah lama ada nombor dua . Dah tua dah Tuan Zul.”Hajah Sufiah menjeling ke arah suaminya. Ada – ada saja.
“Teringin lagi ke Haji?” Tuan Zulkifli ketawa agak kuat.
“Bukan lelaki kalau tak teringin. Tapi tengok yang dah ada ni cukup dah. Dah macam ada empat dah.” Kali ini semua yang ada turut ketawa dengan telatah Haji Hashim yang suka bergurau. Bekas pengetua sekolah itu memang nampak tegas tetapi kalau bercakap ada saja lawaknya.
“Maaf.. saya nak tumpang bilik air. Kat mana ya?” Ameena mencelah tiba-tiba. Kalau tunggu mereka habis berbual. Bengkak la buah pinggang dia menahan hajat. Semua mata tertumpu ke arahnya, membuatkan dia rasa serba salah kerana mengganggu perbualan mereka.
“Along, tunjukkan bilik untuk Ameena. Nanti Ameena minta tolong Eman angkat barang. Pilihlah Ameena nak bilik yang mana. Petang nanti, adik beradik Cikgu Hashim pula sampai. Bising la sikit. Macam ni la kalau kenduri dekat kampung.” Ameena mengangguk faham. Seketika kemudian Hajah sufiah menyambung kembali perbualan mereka yang berkisar waktu muda mereka.
“Majlis Cikgu Ameena bila?”Eman sepertinya agak kekok dek kesunyian antara mereka. Ameena hanya diam sambil membuntuti langkah Eman menyusuri laluan ke tempat yang menempatkan beberapa buah bilik di kediaman tersebut. Eman menjungkitkan kening seraya berpaling.
“Kenapa diam.. Tak selesa ke rumah kampung macam ni?” Ameena terkesima dengan soalan Eman. ‘Dia terasa ke? Aku ni nak buang air. Cepatlah!’
“Saya okay Cikgu Eman. Cuma sekarang ni, saya nak guna bilik air dulu.” Wajah Ameena merona kemerahan. Cantik! Eman terkedu sendiri dengan detik hatinya.
“Oh, maaf! Kat depan sana ada dalam 5 buah bilik, sebelah kiri dan kanan, masing2 ada 3 bilik. Pilihlah.. nak yang mana. Tapi saya ada bilik favourite.” Eman tersenyum ke arah Ameena. Ameena mengangkat kening sambil meneruskan langkahnya.
“Jadi bagilah saya bilik favourite Cikgu Eman tu. Nak tengok juga apa specialnya.” Eman menganggukkan kepalanya. Langkahnya berhenti dihadapan satu bilik yang paling hujung di sebelah kanan rumah induk. Ameena meninjau ke dalam. Macam tak ada apa-apa yang istimewa.
“Esok pagi.. Cikgu Ameena buka pintu tu. Dekat luar tu ada anjung. Duduk kat kerusi tu.. pandang ke depan. Baru tahu apa istimewanya.” Ameena mengangguk dan bibirnya sedikit mencebik dengan kening sedikit terangkat. Memikirkan apa yang istimewanya bilik tersebut.
“Boleh saya masuk?” Eman mengangguk dan mendepangkan sebelah tangannya tanda mempersilakan Ameena masuk ke dalam bilik tersebut. Ameena merasa agak teruja dengan susun atur di dalam bilik tersebut. Kemas dan cantik. Terdapat Aroma yang harum seperti bunga jasmin. Dia terus mencari tandas kerana sudah tidak tahan. Tidak pedulikan lagi Cikgu Eman yang masih berdiri di depan pintu.
Keluar sahaja dari bilik air, Ameena terkejut melihat bagasinya serta barang – barangnya yang lain sudah berada di depan pintu. Bayang Cikgu Eman pula sudah tidak kelihatan. ‘Em.. cepat dia buat kerja. Nak buat apa kat sini. Kenapalah aku kena duduk di sini. Lepas tu kena tengok pula dia bersanding. Kau ada hati pada Cikgu Eman ke? Bukan ke kau tak suka dia. Entahlah! Nak kata suka, tidak. Nak kata tak suka pun tidak.
Ameena mengangkat bagasi dan barang – barangnya. Disusun kemas di penjuru bilik tersebut. Otaknya ligat berfikir. Kebosanan mula menerpa. ‘Cari Cikgu Eman lah!’ Kakinya laju sahaja melangkah keluar dari biliknya. Berjalan – jalan di sekitar kediaman tersebut. Dia mengatur langkahnya menuju ke arah halaman hadapan untuk mencari kelibat Cikgu Eman.
“Cikgu Eman! Maaf ganggu. Sibuk ke?” Eman yang sedang sibuk mengangkat kerusi dan meja untuk kendurinya berpaling ke belakang mencari wajah yang menegurnya. Satu senyuman manis dilemparkan kepada Ameena. Sedikit berubah air muka gadis itu. Namun cepat – cepat disembunyikannya dari pandangan Eman.
“Ya.. Cikgu Ameena. Ada apa – apa yang saya boleh bantu?” Melihatkan Ameena yang agak serba salah membuatkan Eman memandang ke arah lain. Hatinya juga tidak kuat untuk melihat wajah itu setiap waktu.
“Pinjam kereta, boleh?” Ameena mengecilkan matanya dengan senyuman hambar. Malu kerana terpaksa meminjam kereta daripada tuan rumah.
“Awak nak pergi mana Amee?” Laju Eman berpaling semula ke arah gadis kecil molek itu.
“Saja.. ronda – ronda. Tak tahu nak buat apa.” Eman berfikir sejenak dengan kerusi masih di tangannya.
“Tunggu sini sekejap.” Eman meletakkan kerusi di atas tanah dan berlalu masuk ke dalam rumah. Ameena sudah mula tersenyum. Perkiraannya dia dapat melarikan diri sekejap daripada semua orang. Namun wajahnya mula muram apabila wajah Eman tak kunjung tiba. ‘ Saja nak mengelak ke. Tak nak bagi pinjam cakap sajalah.’
Tidak lama kemudian Eman muncul dengan pakaian yang sudah bertukar. Berseluar jeans dengan tshirt kolar bulat berwarna hitam. Berkerut kening Ameena. Dia menunjukkkan kunci kereta kepada gadis itu. Seketika Ameena tersenyum lebar.
“Saya dah minta izin dengan ibu dan ayah awak. Saya bawa awak ronda – ronda kawasan sini. Okay?” Ameena tersenyum lagi. Dipandang ibunya yang baru sahaja keluar dari muka pintu. Kartini hanya mengangguk kepada anaknya tanda mengizinkan.
EMAN kelihatan tenang dalam pemanduannya. Santai – santai katanya. Ameena memandang keluar tingkap kereta. Kiri kanan dipenuhi ladang kelapa sawit.
“Awak nak bawa saya pergi mana?” Ameena berpaling ke arah Eman yang masih menumpukan kepada pemanduannya. Eman melirik senyum. Timbul idea nakal dalam kepalanya.
“Nak bawa lari Cikgu. Jual dekat tauke organ dalaman. Dapat duit boleh buat kenduri besar. Mata, jantung, hati, paru – paru dengan buah pinggang. Mahal tu. Kalau orang lain punya tak dapat.” Terbuntang mata Ameena. Gerun dia mendengar dengan ketawa jahat yang keluar dari mulut Eman, menambahkan lagi kerisauan dia. ‘Biar betul! Aku nak hidup lama lagi lah!’
“Kenapa saya punya organ tak sama dengan orang lain. Saya darah A. Kalau pendarahan susah nk jumpa darah nak replace.” Masam mencuka wajah Ameena ketika itu. Dia cuba menutup ketakutannya. Manakan tidak, dengan jalan yang dipenuhi kelapa sawit kiri dan kanan.
“Sebab organ Cikgu elok!” Ameena menjeling tajam. ‘Apa benda makhluk ni duk melalut.’
“Mana Cikgu Eman tahu?”
“Mestilah saya tahu. Sebab tuan dia pun elok!” Membulat mata Ameena! Serentak dengan itu wajahnya kemerahan menahan malu.
“Apalah Cikgu Eman ni! Bergurau macam tu dalam hutan macam ni. Takut tahu tak. Dah la muka Cikgu tu lebih kurang saja dengan yang duk kait kelapa sawit tu.” Ameena menutup mulutnya. ‘Alamak! Cuak punya pasal sampai terlepas cakap.’ Dia melarikan pandangannya ke luar tingkap. Terus mengunci mulutnya.
“Saya tahu.. selama ni pun cikgu asyik kutuk saya kan. Tak ada hal pun. Saya tahu ramai orang suka sebenarnya dekat saya ni. Untung isteri saya.” Eman ketawa kuat. Ameena mencebikkan bibirnya. Perasan! Malas nak layan angin lelaki itu.
“Kenapa cikgu benci sangat dengan Cikgu Eman tu ya? Kadang – kadang Cikgu Eman tu pelik juga. Dia tak buat apa – apa salah pun.” Eman menjeling seketika ke arah Ameena. Satu senyuman terukir di bibirnya.
“Betul ke nak tahu. Saya takut cikgu patah semangat saja nanti. Terus tak nak hidup.” Eman ketawa kuat. Dahi Ameena berkerut-kerut. ‘kelakar sangat ke?’
“Hmm.. cakaplah. Kenapa?”
“Sebab Cikgu Eman ni suka ganggu ketenteraman saya. Mana saya pergi, mesti cikgu ada. Lepas tu mulut Cikgu lagi celupar dari jiran Cikgu yang datang tadi tu.. tapi sekarang cikgu dah banyak berubah. Mesti sebab tunang cikgu kan?” Sekali lagi Eman ketawa kuat. Ameena semakin pelik. ‘Ingatkan nak marah tadi.’
“Makcik Kiah? Dia tu bagus, Cuma mulut saja celupar. Mungkin saya berjangkit dengan dia la kot. Tahu kenapa saya suka usik cikgu waktu cikgu kecil-kecil dulu?” Ameena menjungkit bahu. Matanya memandang ke arah Eman dengan perasaan ingin tahu.
“Sebab bila Ameena Azzahra tu marah, dia comel sangat. Suka tengok bila muka dia merah padam. Mata dia.. mak aihh.. garang gila.” Eman ketawa buat kesekian kalinya. Ameena turut tersenyum malu. Itu sebenar sebabnya? Pelik!
“Tunang Cikgu Eman orang mana? Kerja apa?” Ameena cuba mengalih topik. Tidak mahu lagi mengimbau kenangan silam yang memalukan.
“Orang Terengganu. Doktor katanya.”
“Doktor katanya? Maknanya Cikgu Eman tak kenal bakal isteri sendiri?” Eman menggelengkan kepala.
“Jadi Cikgu pun terima pilihan keluarga?” Kali ini Eman mengangguk pula.
“Kenapa?”
“Macam Cikgu Ameena cakaplah. Muka saya ni bukan elok sangat pun.. nak memilih-milih. Saya terima sajalah pilihan mak dan abah. Lagipun biasanya pilihan keluarga ni jaminan bahagia juga.” Ameena menggeleng kepala tanda tidak setuju.
“Mana Cikgu tahu? Bahagia atau tidak atas diri sendiri. Cikgu tak ada pilihan hati ke sampai terima pilihan keluarga.” Eman tersenyum sumbing dengan matanya dikecilkan.
“Ada.. tapi dia bukan untuk saya. Dia dah kahwin. Salah saya sebab saya yang tak berterus-terang. Saya takut cinta saya ditolak. Alih-alih dia pun dah kahwin. So, saya nak move on. Mungkin pilihan keluarga adalah terbaik untuk saya. Awak?” Ameena menelan liur. Terasa payah.
“ Entah.. dalam satu sudut saya sebenarnya terima cadangan ibu dan ayah sebab saya nak lari dari Isa. Saya dah penat.” Ameena mengeluh berat. Dia tersenyum hambar.
“ Kenapa sampai nak lari? Kenapa Cikgu Isa tak layak dapat peluang kedua dari Cikgu? Saya tengok dia dah separuh gila menagih cinta dari Cikgu.” Ameena mengeluh berat. Dia nampak kesungguhan Isa. Namun dia sudah hilang keyakinan terhadap lelaki itu. Dia takut Isa tak mampu nak mengharungi badai yang akan datang.
“Soal hati Cikgu Eman.” Ameena menghembus nafas perlahan. Kedengaran begitu penat.
“ Kenapa dengan hati Cikgu?”
“ Hati saya dah tak boleh nak terima dia. Orang yang tengok, tak sama dengan orang yang rasa. Hanya dengan satu benda, dia berlaku tidak adil pada saya. Kepercayaan tu tunggak dalam rumah tangga. Untuk apa bertahan kalau tiada rasa percaya. Lagipun saya tak yakin dengan dia.” Terdengar begitu lirih pada pendengaran Eman. Ameena sepertinya betul – betul kecewa.
“Kalau Cikgu tak kisah. Boleh saya tahu apa yang terjadi dekat Cherating hari tu?” Ameena menundukkan wajahnya. Tiada siapa pernah tahu cerita yang sebenar. Ibu hanya tahu dia diceraikan disebabkan fitnah. Hakikat kejadian malam tu hanya dia dan Isa yang tahu. ‘Perlu ke aku ceritakan pada dia? Orang yang tiada kena mengena dengan hidup aku!’
“Maaf kalau saya seperti menyibuk. Kadang – kadang kita tak boleh nak kongsi dengan keluarga sendiri masalah kita dan kita pendam sampai luka tu jadi parah. Sebab tu, kadang – kadang kita perlu kongsi dengan seseorang yang kita percaya.” Mendatar suara Eman cuba memujuk. Ameena pada matanya sudah tidak seceria dulu. Dia perlu luahkan apa yang terbuku di dadanya untuk dia lalui hari – harinya tanpa rasa sakit.
“ Kenapa Cikgu tak berterus-terang dengan perempuan yang Cikgu suka tu. Kenapa perlu ada rasa takut kalau cinta untuk dia betul – betul wujud.” Eman terkesima. Soalan dibalas dengan soalan. Eman membelok keretanya ke lorong kiri jalan. Menyusuri denai yang agak lapang. Kiri dan kanan denai itu terdapat pokok buah – buahan yang sudah boleh dipetik.
“Sebab saya tak yakin dengan diri saya sendiri. Saya takut saya terluka. Saya yang pengecut. Saya suka dia dalam diam. Dah lama. Bagi saya cukup untuk tengok dia bahagia. Dan dia bukan tercipta untuk saya.”
“Cikgu yakin? Dia bukan untuk Cikgu? Rahsia Allah kita tak tahu.” Eman mengangguk perlahan. Kakinya menekan brek perlahan – lahan. Keretanya diparkir di bawah pohon duku yang rimbun. Terdapat sebuah lagi kereta di situ. Ameena memandang pelik. Eman tersenyum.
“ Kebun Abah. Abah beli kebun ni masa kami kecil – kecil dulu. Masa tu, kebun ni tak subur macam ni. Tak meriah. Abah upah orang jaga kebun dia, sampai jadi macam ini. Jom, turun. Jangan risau, Pakcik Salleh dan isteri dia ada kat sana.” Eman menunding jari telunjuknya ke depan. Iaitu ke arah dalam kebun. Ameena dan Eman melangkah keluar dari kereta tersebut. Sama - sama menyedut udara kebun yang agak nyaman.
“ Saya tak pernah masuk kebun. Tak pernah petik buah sendiri.” Ameena kelihatan teruja. Tangannya mencapai buah rambutan yang terjuntai.
“ Kat depan sana ada anak sungai. Ada pondok juga.” Eman mengangkat tangan kepada penjaga kebun abahnya, pakcik Salleh. Pasangan suami isteri itu membalas sapaannya dengan senyuman. Masing – masing sedang sibuk mengutip buah duku yang berguguran.
Mereka beriringan berjalan menuju ke sebuah pondok kecil. Terasa nyaman sekali di situ. Lebih – lebih lagi apabila mengadap anak sungai yang berliku – liku itu.
“ Salah saya.” Ameena melabuhkan duduknya di atas pangkin kayu di depan pondok tersebut. Eman mengangkat wajahnya memandang Ameena.
“ Saya sebenarnya tak pernah cintakan Isa. Bagi saya cinta akan datang selepas berkahwin. Saya hanya suka dengan cara dia approach saya. Tak lebih. Sebab itu saya dapat balasan teruk.” Eman tersenyum hambar. Apakah nasibnya sama dengan Ameena nanti? Soalan itu mula bermain di benaknya.
“Isa seorang yang baik. Tapi dia belum cukup matang. Dan dia menjadi sangat kejam bila dia terasa dikhianati.” Ameena menyambung dalam nafas yang payah. Tangannya bermain – main dengan buah rambutan yang sudah masak ranum. Eman pula masih menjadi pendengar yang setia tanpa mencelah.
“Malam tu, saya dah bersedia untuk jadi isteri yang sebenar kepada Isa. Hanya tuhan yang tahu macam mana debaran di hati saya. Untuk mendekati seorang lelaki yang asing dalam hidup saya. Seorang lelaki yang menjadi syurga saya.” Ameena merenung anak sungai yang mengalir sambil mindanya kembali mengingati kejadian yang sebolehnya mahu dilupakan.
“ Namun syurga yang saya dambakan bertukar menjadi neraka. Apa salah saya? Saya tidak diberikan walau sedikit ruang pun untuk jelaskan duduk perkara sebenar. Yang saya dapat hanya tamparan dari tangan seorang suami. Dan kata – kata hinaan. Yang lebih sakit apabila dia samakan saya dengan pelacur. Jijik katanya dengan saya. Cikgu tahu sebab apa?” Ameena mengalihkan pandangannya daripada di lihat oleh Eman. Dia mendongak ke langit, menyeka air matanya daripada jatuh. Eman juga hampir tewas dengan perasaannya. Sakit apabila mengetahui perempuan yang dicintai separuh nyawa disakiti oleh sahabatnya sendiri.
“Ameer.”
“Ameer? Kenapa dengan Ameer?” Kali ini Eman bersuara. Pelik. Kenapa Ameer yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.
“Dia marah bila dapat gambar saya dan Ameer. Gambar kami mandi kolam. Gambar kami jalan – jalan berpelukan dan berpimpinan tangan. Kalau cikgu nak tahu, Ameer sentiasa lindungi saya dari mata – mata lelaki tak guna kat luar sana. Bila dia buat macam tu, jadi orang takut nak kacau saya.” Kali ni, Ameena tersenyum bahagia. Mungkin teringatkan memori bersama Ameer.
“Isa tak kenal Ameer ke?” Ameena menggeleng kepala menjawab soalan dari Eman.
“ Itu lagi satu silap saya. Dia tak sempat mengenali semua ahli keluarga saya. Saya pun tak pernah cerita. Saya minta dia percepatkan majlis kami sebab saya tak nak terima pilihan keluarga. Waktu kami nikah, Ameer masih di London. Ameena tersenyum pahit. Begitu juga dengan Eman.
“Cikgu tak cuba jelaskan?” Eman masih belum puas hati. Dia mahu tahu semuanya. Kadang – kadang rahangnya bergerak – gerak menahan marah.
“Tak sempat. Belum apa – apa dah kena penampar dan diceraikan. Tapi perancangan Allah tu hebat bila saya diceraikan tanpa iddah, bermakna dia memang tak ada peluang lansung untuk rujuk semula dengan saya.” Kening Eman berkerut mendengarkan jawapan Ameena. ‘Tanpa iddah? Apa maksud Ameena? Kau memang dayus la Isa. Aku lepaskan dia pada kau! Tapi ini yang kau bagi pada dia.’
“ Cikgu tahu tak? Saya benci dia sangat – sangat sejak hari saya diceraikan. Kalau boleh saya tak nak tengok muka dia. Dia selalu muncul depan saya. Ugut saya. Sentuh saya tanpa kerelaan saya. Jiwa saya ni dah terlalu sakit! Sampai dah tak terluah dengan kata – kata. Jiwa saya ni.. penat! Kena jaga hati semua orang. Saya tak nak ibu sedih. Saya taknak Datin Suria sakit. Tapi dalam waktu yang sama jiwa saya ni dah tak mampu bertahan. Lelah.. sakit.. berulang kali dia buat saya trauma. Kalau boleh, saya nak bunuh dia! Tapi saya tahu hukum hakam.. Kalau tak dah lama saya bunuh dia. Tengok bayang dia pun saya benci. Saya tak pernah benci orang macam tu sekali. Ibu pernah juga tanya kenapa sampai tak boleh bagi peluang. Ibu tak tahu pun apa yang jadi malam tu.” Ameena menarik nafas lega. Lega kerana dapat meluahkan apa yang terbuku di dada. Dia mengukirkan senyuman akhirnya. Dan menghembus satu nafas kelegaan.
“ Cikgu? Macam mana?”
“ Saya? Kenapa dengan saya? Saya dah nak kahwin lusa.” Eman terpinga – pinga apabila disoal. Tak tahu maksud soalan gadis itu.
“Orang yang Cikgu suka tu.. ceritalah..” Ameena memandang ke arah Eman.
“Sekurang – kurangnya cikgu meluahkan perasaan cikgu. Walaupun bukan pada dia. Atleast cikgu bagitahu seseorang. Ye lah, nak cakap dekat dia pun.. dia dah kawin.” Eman berpusing mencari wajah Ameena. Agak terkejut dengan kata – kata gadis itu. Was – was untuk bercerita. Tapi tidak adil rasanya kerana Ameena sudah meletakkan kepercayaan kepadanya. Jadi dia juga perlu melakukan benda yang sama.
“Dia sangat cantik. Pada pandangan saya dia sempurna. Matanya, senyumannya, cara bercakapnya, cara ketawanya.. semualah. Apa yang ada padanya buat hati saya tak keruan.” Eman tersenyum lebar membayangkan wajah wanita yang dicintainya. Kening Ameena terangkat, terkejut dengan cara Eman memperincikan wanita idamannya. Dalam hati ada sedikit cemburu. Siapa dia?
“Wow.. macam tu rupanya kalau jatuh cinta. Semua yang kita nampak jadi indah ya?”Ameena ketawa kecil sambil mengupas buah rambutan yang sejak dari tadi dipegangnya.
“ Kalau saya tak jatuh cinta pun, dia memang sangat istimewa. Satu dalam sejuta. Tak mungkin ada orang yang serupa dengannya.” Eman berhenti seketika. Hatinya berdebar melihat senyuman pada wajah Ameena. Dia kalau boleh tidak mahu gadis itu tahu siapa wanita yang disukainya.
“Masalah saya, saya takut. Takut dia tak suka saya. Takut terluka. Kalau awak rasa Isa tu kejam. Saya pula pengecut. Cikgu Fahmi selalu bising sebab saya lambat nak bertindak. Hanya menyukai dalam diam. Saya selalu hantar hadiah pada dia, tapi dia tak pernah persoalkan dari siapa hadiah yang dia dapat. Tapi saya dah cukup seronok, bila dia terima semua pemberian saya dengan senyumannya.” Eman ketawa lagi. Dalam waktu yang sama dia cuba menutup kegusaran hatinya.
“Cinta saya untuk dia tulus. Harapan saya hanya nak tengok dia bahagia. Tak boleh memiliki pun tak apa, janji dia bahagia. Kalau dia sakit, saya pun sakit. Saya cuba lindungi dia seboleh mungkin, walaupun Cuma sebalik tabir yang dia tak pernah tahu.” Eman berpusing ke kanan, cuba menyembunyikan wajah kecewanya.
“Cikgu tahu tak.. kalau saya perempuan tu.. saya akan terima lelaki macam cikgu. Kalau cikgu berterus-terang. Cikgu kena faham, walaupun zaman sekarang zaman moden, masih ada perempuan yang tak akan mencari timba.” Eman mengangguk perlahan.
“Dah terlambat. Dia dah kahwin. Dan saya harap dia akan bahagia. Saya pula akan membuka seluas hati saya untuk bakal isteri saya. Saya harap Allah kurniakan perasaan cinta saya pada isteri saya nanti. Hati kita milik Allah. Allah hadirkan rasa sedih. Allah juga yang hadirkan rasa gembira. Malahan Dia juga yang hadirkan rasa cinta.” Kali ini Ameena pula yang mengangguk, mengiyakan kata – kata guru muda itu.
“Eman! Mari makan durian! Baru luruh ni.” Perbualan mereka terhenti dengan sapaan pakcik Salleh. Ameena tersenyum memandang isteri lelaki tua itu, namun dibalas satu jelingan tajam.
“Makcik Saleha.. Sihat?” Eman tersenyum ke arah perempuan yang bergelar isteri kepada penjaga kebun Abahnya.
“Alhamdulillah.. kamu Eman, dah nak kahwin esok lusa. Tak elok bawak perempuan lain jalan – jalan macam ni. Nanti apa kata bakal isteri kamu.” Pedas sekali kata – kata Makcik Saleha dek pendengaran Ameena. Wajah Ameena berubah. Terasa dengan kata – kata itu.
“Isyhh.. awak ni.. jangan masuk campur hal orang la! Lagipun kita kan ada kat sini.” Pakcik Salleh kelihatan serba salah apalagi bila terpandang wajah Ameena yang berubah mendung.
“ Ohh.. ini Cikgu Ameena.. tetamu kami. Anak kawan mak dan abah. Kebetulan kami memang kawan. Itu yang bawa dia ke kebun ni.. Tak mengapalah Pakcik, kami balik dulu. Nanti kami makan kat rumah ramai – ramai.” Jelas Eman juga kurang senang dengan teguran Makcik Saleha. Tambahan lagi, dia perasan dengan perubahan wajah Ameena.
Ameena lansung tidak bercakap ketika dalam perjalanan pulang. Mungkin dia sangat – sangat terasa hati dengan Makcik Saleha. Eman turut membisu. Dia tahu, Ameena memang nampak tenang ketika ini tapi jangan di tegur. Kalau ditegur mendapatlah.
EMAN tersenyum memandang ke arah Ameena dan Ameer. Dah macam kanak – kanak riang. Patutlah Isa cemburu. Kalau orang tak kenal, semestinya orang cakap mereka tu, pasangan kekasih. Sejak Ameer sampai malam semalam, mood Ameena terus berubah. Terus ceria. Dah tak bosan seperti sebelumnya.
“Ameer.. nak pergi kebun buah? Makan durian segar.” Sengaja Eman menyapa Ameer untuk melihat mood Ameena. Sejak balik dari kebun mereka tidak bercakap sepatah pun.
“Tak payahlah.. jauh. Esok Cikgu dah nak kahwin. Nanti kita pergi sama – sama dengan isteri Cikgu. Baru nampak sopan sikit.” Eman menelan liur dalam kepayahan. Memang betullah.. Ameena ni memang spesies yang sukar melupakan. Eman tersenyum hambar. Ameer pula memandang hairan ke arah kakaknya.
“Penatlah! Aku nak masuk bilik. Nak rehat kejap. Solat zohor.. lepas tu nak tidur kejap. Malam tadi layan kau sembang sampai ke pagi.” Ameena berlalu meninggalkan Ameer dan Eman.
“Dah kenapa dengan perempuan tu Cikgu Eman. Bergaduh lagi ke?” Kening Eman berkerut dengan pertanyaan Ameer. ‘Bergaduh lagi?’
“Cikgu nak tahu , dulu masa kami masih sekolah.. Kakchik tu selalu balik marah – marah. Saya lah jadi tempat dia melampiaskan marahnya. Nak tahu dia marah Siapa?”
“Siapa?”
“ Cikgu Emanlah!” Eman ketawa kuat, disambut pula oleh Ameer. Apa yang kelakarnya pun tak tahulah. Mungkin bahagia bila dapat tahu yang namanya sentiasa menjadi penghias hidup wanita itu.
AMEENA berbaring malas di atas katil. Penat juga kenduri ala – ala kampung ni. Kenapalah diorang tak tempah katering saja. Ditambah pula makcik – makcik bawang yang datang mengupas bawang, dia jadi serabut. Namun terpaksa juga dimaniskan wajahnya. Cerita dia pergi kebun dengan Cikgu Eman pun sekejap saja tersebar. ‘Siapalah isteri Cikgu Eman ni.. beruntung! Belum kahwin lagi, dah ramai membela. Aku juga yang jadi perempuan tak beradab. Tak sopan.
Mata Ameena terpandang satu kotak berwarna biru di hujung penjuru bilik. Sejak bila pula ada kotak ni? Semalam tak ada pun. Siapa punya ya? Jangan – jangan Ameer nak bagi suprise kat aku. Tak pun Abang long ke, Abang Ngah ke. Dia bingkas bangun untuk melihat isi kotak tersebut.
Jantung Ameena berdegup kencang tatkala melihat isi di dalam kotak tersebut. Kenapa benda ni semua ada di sini. Ya,Allah dugaan apakah ini. Siapa dia yang sebenarnya?
“MAK, ada nampak kotak biru yang Along letak tepi katil tu?” Eman separuh berbisik dengan Hajah Sufiah di tengah-tengah ruang tamu yang dipenuhi oleh ahli keluarganya. Hajah sufiah berpaling ke arah anak sulungnya. Dahinya berkerut cuba mengingati sesuatu.
“Tak ada pula, Along. Cuba tanya Acu. Sebab petang tadi Acu suruh anak dara dua tiga orang tu kemaskan bilik Along. Nak tukar cadar ke apa entah. Nak hias bilik pengantin katanya.” Wajah Eman bertukar resah. Janganlah kotak itu diletak merata-rata. Habislah kalau sampai di tangan yang salah. Pandangannya dihalakan kepada Acunya.
“Ha.. ada, Acu suruh anak-anak Maklong bawa semua ke bilik luar. Bilik paling hujung yang along suka duduk tu. Letak situ la dulu. Nanti lepas majlis ambil semula. Penting ke?” Tercungap-cungap nafas Acunya dengan perutnya yang semakin membesar.
“Penting.” Eman tidak berbicara panjang lagi. Dia terus berlalu. Kegusaran terus merajai hati. Kenapa mesti letak dalam bilik tu. Letak la dalam bilik mak ke. Bilik Angah ke. Kenapalah pergi letak dalam bilik yang ada tetamu tu juga. Geram dengan Acunya yang bertindak sesuka hati.
Pintu bilik Ameena diketuk bertalu-talu. Namun masih belum ada jawapan. Eman mula serabut. Janganlah Ameena nampak isi kat dalam kotak tu. Tak mampu dia nak berhadapan dengan gadis itu tatkala ini. Tatkala dia sudah di ambang perkahwinannya. Dia tidak mahu mungkir janji dengan bakal isterinya.
“Eh, Cikgu Eman! Buat apa kat sini? Maaf, saya tengah solat Isyak tadi.” Melihatkan wajah Ameena yang tenang, membuatkan hatinya lega. Pastinya Ameena tidak membuka kotak tersebut.
“Petang tadi, adik-adik sepupu saya ada letak satu kotak biru dalam bilik ni. Cikgu ada nampak tak. Kalau ada saya nak ambil semula.” Ameena senyum bersahaja memandang ke arah Cikgu Eman yang kelihatan agak tidak tenang.
“Oohh.. kotak biru. Ada kat hujung dinding tu. Nanti saya ambilkan.” Ameena melangkah masuk ke dalam bilik semula meninggalkan Eman yang masih berdebar-debar.
“Yang ini ke?” Ameena kembali dengan kotak biru di tangannya. Dihulurkan kepada Eman yang masih teragak – agak untuk menyambutnya.
“Terima kasih.” Huluran bersambut dan kotak biru tersebut telah bertukar tangan. Eman menarik nafas lega seraya berpusing untuk berlalu.
“Penting ke kotak tu? Apa isi kat dalam tu. Kalau tak keberatan boleh saya tahu?” Langkah Eman terhenti. Peluh mula merecik di dahinya. Dia berpusing mencari wajah Ameena.
“Penting bagi saya. Tak penting pun untuk orang lain.” Ameena mengangkat kening dengan jawapan Eman. Bibirnya mengukir sedikit senyuman.
“Macam mana Cikgu boleh yakin yang isi kotak tu tak penting untuk orang lain?” Eman terkesima. ‘Dah kenapa dengan minah ni? Tanya soalan macam tu.’
“Saya pergi dulu Cikgu Ameena. Banyak benda belum siap. Cikgu rehat la.” Eman berpusing dan melangkah dan berura – ura untuk berlalu dengan pantas. Sebelum Ameena bertanya lebih banyak.
“Kenapa Cikgu simpan semua barang- barang tu? Sebenarnya saya dah ternampak isi dalam kotak tu. Cikgu ada nak cakap apa-apa. Masih belum terlambat.”
“Tak ada apa yang saya nak cakap. Semuanya hanya sejarah. Saya memang nak buang semua barang-barang ni.” Eman bersuara tanpa berpaling.
“Saya tak nak tahu Cikgu Eman nak buat apa dengan barang tu, tetapi saya tanya kenapa Cikgu Eman simpan barang – barang tu, sampai sekarang. Apa maknanya? Kenapa Cikgu takut untuk berterus terang?”
“Apa masalah awak ni Amee? Kan saya dah cakap, saya nak buang barang-barang ni.” Eman mula tidak keruan. Dia cuba menutup gugup di dalam hatinya.
“Masalahnya, itu semua barang saya. Apa makna semua tu? Cikgu Eman suka saya? Jadi perempuan yang cikgu suka dalam diam tu, saya. Jangan jadi pengecutlah Cikgu Eman! Tak susah pun nak berterus terang. Saya dah ada depan mata Cikgu. Apa yang Cikgu tunggu lagi?”
“ Kenapa awak boleh yakin sangat, yang perempuan itu awak? Awak ingat taste saya budak cengeng macam awak ke? Perkara yang paling mustahil dalam hidup saya adalah mencintai awak dalam diam. Awak bukan siapa-siapa pun Ameena.” Eman berpaling ke arah Ameena seraya menjawab dengan sinis. Biarlah.. perasaan dia sudah tidak penting. Ameena pun bukan sukakan dia. Mungkin dia hanya mahu penjelasan. Ameena tersenyum sinis.
“ Tak perlulah Cikgu nak berselindung dengan kata – kata sinis Cikgu tu. Betullah kan. Cikgu memang pengecut. Lagi pengecut dari Si Isa tu!” Celupar sekali provokasi Ameena terhadap lelaki itu. Menjadi kepantangan Eman apabila dia disamakan dengan Isa.
“Ya! Memang dulu, saya pernah sukakan awak. Tapi itu dulu. Sekarang saya dah nak kahwin. Jiwa dan hati saya, saya sudah serahkan kepada bakal isteri saya. Kepada yang selayaknya! Bukan awak!” Isa terus berlalu meninggalkan Ameena yang sudah koyak seribu. Hatinya sudah hancur berkeping-keping. ‘Kenapa dia harus tahu semua ini sekarang. Kenapa tidak dari dulu?
Ameena menekan kuat dadanya. Teramat sakit dirasakan. Entah kenapa kata - kata yang terakhir itu membuatkan hatinya sangat sakit. Lebih sakit ketika diceraikan oleh Isa. Tangisan yang cuba ditahannya terhambur jua. Dia terduduk di muka pintu biliknya. Tangisan tanpa suara itu membuatkan dadanya sesak. ' Ya Allah aku lelah menghadapi semua ini. Kenapa aku merasa sangat kecewa.
"Kakchik! Kenapa ni?" Ameer kebetulan yang sedang menapak ke arah biliknya ternampak kelibat kakaknya yang seperti dalam kesakitan. Dia ternampak Ameena duduk menekan dada. Namun lebih mengejutkan apabila menyedari yang Ameena sedang teresak- esak menahan sendu tangis.
" Hey! What's wrong with you, Kakchik? Kau sakit ke? Aku bagitahu ibu, ya." Ameer jadi tidak keruan apabila tangisan Ameena semakin menjadi - jadi. Dia menarik Ameena ke dalam pelukannya.
"Adik.. tolong aku dik.. Jiwa aku sakit sangat sekarang. Tak pernah aku rasa sakit macam ni. Tolong aku, dik. Aku nak balik rumah kita. Aku taknak duduk sini. Aku tak nak tengok dia nikah esok. Aku tak boleh, dik.." Ameer agak terkejut dengan kata - kata kakaknya. Dia tidak bodoh untuk menafsirkan segala - galanya. Tidak dungu untuk mencari tahu siapa penyebab kakaknya itu menangis.
"Kenapa kak? Sejak bila kau suka dia? Kenapa kau tak pernah cerita kat aku. Ya, Allah! Kenapa kau tanggung seorang diri? Aku ada untuk kau, kak.."
" Aku tak tahu dik.. Aku tak tahu sejak bila. Yang aku sedar.. hati aku sakit bila aku tahu dia akan nikah. Bila aku tahu ada perempuan lain dalam hatinya." Kata - katanya tersekat - sekat dalam tangisnya.
Ameer mengangkat kakaknya supaya berdiri. Gadis itu kelihatan sangat lemah. Belum pernah dia melihat Ameena berkeadaan seperti itu. Di bawa masuk ke dalam bilik. Tidak mahu ada mata lain yang memandang situasi itu. Tidak mahu ada lagi mulut puaka yang mereka cerita bukan-bukan.
Dari jauh Eman memerhatikan gelagat Ameena dan Ameer. 'Kenapa Ameena menangis? Dia sukakan aku ke? Ya, Allah.. apa yang harus aku lakukan? Tak mungkin aku batalkan majlis ini. Tak sanggup dia malukan keluarganya hanya kerana cinta. Namun aku juga tak sanggup untuk sakiti hatinya. Eman tunduk. kedua tangannya bertongkat pada pagar jejantas kayu itu. Seketika kemudian bahunya terhincut-hincut. Airmata jantannya turut gugur. Turut sama merasa sakitnya sebuah kekecewaan. Dia kecewa apabila dia menjadi orang yang menyakiti hati orang yang ingin dilindunginya. Dia sakit apabila terpaksa mengecewakan insan pertama yang bertakhta di hatinya. Kenapa baru sekarang dia tahu yang cintanya berbalas.
Alhamdulillah.. baru boleh buka semula acc saya.
Share this novel