BAB 43 : SIAPAKAH KAU?

Romance Series 53124

RUMAH itu sunyi. Hanya desiran angin petang yang menyusup masuk melalui celah tingkap membelah sepi. Langkah kaki Ameena begitu perlahan, seolah-olah setiap inci lantai yang dipijaknya menggamit memori yang terlalu banyak untuk dihitung. Rumah ini.. rumah mereka. Tapi kini, dia sendiri, hanya ditemani kenangan yang berserakan di setiap ruang.

Keputusan Hajah Sufiah untuk membawa Eman pulang ke Pahang adalah yang terbaik. Dia sendiri yang mengangguk setuju, walaupun setiap urat hatinya seperti ditarik-tarik. Eman perlu jauh dari tekanan. Dan dia? Dia sendiri yang menjadi tekanan itu, walau tak pernah berniat.

Ameena berdiri lama di ambang pintu bilik tidur mereka. Perabot masih seperti biasa. Wangi tubuh Eman masih tertinggal di bantal. Tapi tiada siapa di situ. Kosong. Sama seperti hatinya kini.

Airis pun sudah pindah keluar. Lega turut bertandang. Tak perlu risau untuk tinggalkan Eman sendirian. Buat masa ni, orang sekeliling tak boleh terlalu drastik untuk cuba ingatkan Eman tentang dirinya. Eman sudah cipta memori sendiri.

Andai cerita mereka berbeza, Eman akan tertekan kerana memaksa dirinya untuk mengingati.

“Jangan paksa dia. Pesakit begini, dia akan ada sensori sendiri. Apa yang dia lihat, apa yang dia bau, apa yang dia sentuh, apa yang dia dengar.. semuanya akan kembalikan ingatannya. Tetapi sedikit-sedikit.”

Kata – kata Doktor Cheng, Pakar Psikiatrik masih terngiang-ngiang di telinganya.

Dia melepaskan nafas perlahan, lalu mula menanggalkan satu demi satu bingkai gambar yang tergantung di dinding. Gambar perkahwinan mereka, percutian pertama mereka, gambar Eman sedang mengacau dodol di rumah Abah... semuanya dimasukkan ke dalam kotak yang dia bawa masuk ke bilik tetamu. Matanya berkaca, tapi dia tahan. Kalau hari ini dia menangis, dia takkan habis-habis menangis.

Tangannya membawa langkah ke bilik bacaan. Tempat kegemaran Eman. Aroma buku dan kayu pine masih kuat, seakan belum disentuh waktu. Dia mula menyusun dan mengasingkan semua miliknya. Buku-buku jurnal pendidikan, fail pelajar, dan buku resipi yang Eman hadiahkan. Tapi satu laci di bawah meja menahan langkahnya. Laci itu tidak pernah dikunci.

Dan di dalamnya, sebuah buku kulit coklat, sedikit lusuh, dengan label tangan yang tertulis:
"Sahabatku."

Ameena terduduk di lantai.

Tangannya menggeletar saat membalik halaman pertama. Tulisan tangan Eman. Kemas, beremosi, dan jujur. Air matanya mula jatuh tanpa mampu ditahan.

12 April 2016

Siapa Kamu Renungan mata hitam itu...
ada sesuatu padanya yang sukar ku dustakan.
Luruh tenangku,
bergegar sedikit nafas di dada
dan aku tertanya-tanya,
kenapa?

Siapa dia...
yang hadir tanpa suara,
namun meninggalkan gema dalam jiwaku?

Setiap kali mataku menangkap bayangnya,
pandanganku segera beralih
bukan kerana aku tak mahu melihat,
tapi kerana aku takut...
takut terbakar dalam nyala api yang aku sendiri tak mengerti asalnya.

Ameena Azzahra
Nama itu tak pernah keluar dari bibirku,
tapi dalam hatiku..
ia berdetak bersama jantungku,
mengganggu diam,
mengusik tenang

5 September 2016
Inikah Rasa Cinta?

Dia jarang tersenyum,
tapi setiap kali senyum itu muncul —
comelnya sukar aku dustakan.

Dia jarang marah,
tapi jelingannya…
cukup buat hati aku kalut tak tentu hala.

Entah sejak bila,
aku jadi suka tengok semua reaksi wajah dia.
Senyapnya.
Geramnya.
Muka menyampahnya bila ternampak aku lalu.
Aku tahu…
dia tak suka Cikgu Eman ni.

Tapi tak mengapalah.
Cikgu Eman ni suka tengok muka menyampah awak,
suka tengok awak jeling waktu marah,
suka dengar bila awak mengumpat belakang
dan buat muka tak bersalah bila tertangkap.

Aduh, Ameena.
Benci sungguh ya awak pada Cikgu Eman ni?

Tapi kenapa…
benci kamu tu yang buat aku makin mahu dekat?

Kenapa dengan aku ni?
Kenapa hati aku tak mahu diam bila kamu ada?

Inikah rasa cinta?

Ameena terus menyelak helaian demi helaian curahan hati suaminya. Dengan senyum yang terasa pahit.

18 Disember 2022
Hari dia sah menjadi isteri Isa. Aku diam di hujung dewan, berpura-pura sibuk dengan jamuan. Tapi sebenarnya, aku mencari ruang untuk benamkan luka. Hatiku seperti diragut hidup-hidup. Tapi siapa aku? Bukan sesiapa. Cuma lelaki yang datang terlambat dan tak pernah berani berkata jujur. Biarlah, aku doakan dia bahagia… walau bukan dengan aku.

3 April 2021
Aku nampak Ameena seperti sesuatu. Ada ketakutan pada wajahya selepas bertengkar dengan suaminya pagi tadi. Tapi aku tak mampu buat apa-apa. Dia bukan isteri aku. Aku cuma... cikgu biasa yang tak punya hak. Tapi Tuhan, kalau Kau beri aku peluang, sekali saja... aku nak peluk dia dan kata, ‘dah, sayang... cukup. Aku ada. Aku takkan biar kau sakit lagi.’

Ameena menggenggam hujung kain bajunya. Air mata jatuh tak henti. Dia teruskan membaca.

Di helaian helaian lain.

Tulisan tangan itu menegak dan kemas. Baitnya... menusuk hingga ke dasar jiwanya.

"Sebuah Doa Yang Tak Pernah Bernoktah"

Di antara sejadah dan tasbih yang basah,
Aku titipkan nama seorang wanita tabah.
Walau tidak pernah menjadi milikku secara sah,
Tetapi cintaku... tidak pernah rebah.

Ku lihat dia dari kejauhan yang pilu,
Melawan badai seorang diri tanpa tahu,
Bahawa ada aku, yang setiap malam merayu,
Pada Tuhan yang sama... agar dia tidak layu.

Dia mungkin tak tahu, dan tak perlu tahu,
Bahawa setiap suram wajahnya, melukakan dadaku.
Bahawa setiap senyum palsunya, membunuh bahagiaku,
Tapi aku pilih untuk diam... kerana dia bukan milikku.

Ameena memeluk buku itu ke dada. Tangisnya pecah. Antara kecewa dan rindu, antara redha dan kasih yang tak pernah mati. Ketika dia ingin meletakkan kembali buku itu, sehelai kertas yang berlipat kemas terjatuh. Tertera di atasnya “Puisi Buatmu Sayang, Isteriku Ameena Azzahra”

'Jika Esok Aku Lupa'

Jika esok aku lupa,
siapa yang selalu temani aku saat sakit,
siapa yang pernah menangis senyap di sisi,
tolong bisikkan perlahan…
itu kau, isteriku.

Kalau aku lupa nama kau,
atau tak kenal wajah yang paling aku cinta,
jangan jauh… duduklah dekat,
sebab hati ini kenal tangan yang selalu aku genggam waktu takut.

Kita pernah simpan impian dalam satu bantal,
pernah ketawa sampai senja,
pernah rancang tua bersama,
dan aku pernah berdoa,kalau hilang semua,
biar rasa ini tetap ada.

Aku tak harap kau jadi kuat,
aku cuma nak kau tahu,
aku tak pernah menyesal memilih kau.
Tak pernah akan.

Kalau nanti aku diam seribu bahasa,
jangan sangka aku tak rindu.
Doa aku tetap sama..
biar pun tak ingat dunia,
aku tetap nak ingat cinta kita.
Sekurang-kurangnya,
dalam rasa

Ameena terkedu.. Seolah-olah Eman sudah dapat jangkakan apa yang akan berlaku. “Maafkan Amee, Abang.. Amee tak pernah tinggalkan Abang. Amee tetap bersama Abang walaupun jauh. Amee buat semua ni untuk kita..”

Dan di luar tingkap, matahari senja menyilau perlahan, seakan memahami. Sebuah kisah yang belum tamat... masih menunggu takdirnya ditulis semula.

RUMAH pusaka peninggalan arwah Tok Ayah itu masih utuh dalam ingatan Eman.
Rumah kayu berkonsep Bali itu, meski sudah hampir menjangkau usia satu abad, masih berdiri teguh, seolah menanti tuannya kembali. Dinding papan yang telah dikilatkan dengan varnis menyinar lembut di bawah cahaya petang. Corak ukiran lama pada bingkai tingkap tetap dibiarkan kekal, sebagai warisan yang tidak pernah lapuk dek zaman. Langit-langit rumahnya tinggi, memberikan rasa luas dan lapang. Tangga kayu lima anak yang menjadi laluan ke rumah induk disambut sehelai permaidani lusuh dari Mekah.. dibawa pulang oleh Hajah Sufiah sewaktu menunaikan haji 20 tahun yang lalu.

Langkah Eman perlahan, dibimbing penuh hati-hati oleh Hajah Sufiah. Bau kayu tua yang tersimpan sejak zaman tok nenek bercampur haruman gaharu yang dibakar Mak Ngah pagi tadi—menyambut mereka seperti pelukan kenangan lama.

“Selamat pulang, Along...” bisik Hajah Sufiah lembut, hampir bergetar.

Eman berdiri di ambang pintu, memandang sekeliling. Matanya menyapu setiap sudut ruang tamu yang tak berubah banyak. Perabot rotan masih elok terbalut kain sarung batik lembut. Almari kaca yang menyimpan pinggan-pinggan lama bercorak bunga kangkung masih berdiri di sudut sama. Rak buku penuh dengan kitab agama, novel motivasi dan majalah-majalah lama, semuanya seperti menunggu dia pulang.

Matanya terpaku pada satu bingkai gambar tergantung di dinding.
Wajah dua insan yang membentuk hidupnya. Emak dan Abah.

Eman mendekati, menyentuh bingkai kayu itu dengan jari yang sedikit menggigil. Senyum kecil terukir di bibirnya. Lesung pipitnya lekuk dalam, tetapi sorot matanya menyimpan sayu yang tidak terungkap.

“Mak... Acu bila bersalin? Lama Along tak jumpa Acu…” suaranya perlahan, seakan menyelam jauh ke masa lalu.

Hajah Sufiah mengangguk perlahan. “Acu dah bersalin dah. Si kembar tu… Darren dan Darel, dah besar. Acu ada datang hari tu, tapi ada kecemasan dari pejabat Paksu. Terpaksa balik KL semula.”

Suasana hening seketika. Wajah Eman berkerut tiba-tiba. Tangannya mengangkat ke pelipis. Nafasnya jadi pendek.

“Mak... Along rasa pening sikit…”

Cepat-cepat Hajah Sufiah memegang bahunya. “Masuk bilik dulu, nak. Mak siapkan bilik belakang. Yang ada tingkap besar tu... tempat Along suka duduk dulu.”

Eman hanya mengangguk. Langkahnya perlahan, tetapi jiwanya terasa seperti dihentak sesuatu. Rumah itu... menyimpan terlalu banyak rasa.

Bilik itu sunyi. Langsir putih yang melambai lembut menyambut kedatangannya. Di meja kecil sebelah katil, ada sepasu bunga matahari plastik. Kuntumnya sedikit pudar, tetapi kedudukannya masih kemas seperti baru diletak.

Matanya kemudian jatuh ke atas bantal.
Di situ terlipat kemas sehelai selendang putih.

Dia mengambilnya. Menghidu perlahan.

Wangian itu…
pernah menenangkannya.
Pernah menyentuh pipinya ketika dia demam.
Pernah dibawa seseorang yang membuat jiwanya tenang, walau tidak dia mengerti siapa.

"Siapa kau..." bisiknya.
"Siapa kau dalam hidup aku? Kenapa kau hadir dalam mimpi aku setiap malam?"

Eman menguak pintu balkoni. Angin lembut menyambutnya. Pemandangan bukit bukau yang menghijau terbentang tenang.. tempat kegemarannya sejak kecil.

Dia duduk di bangku kayu yang sedikit usang, memandang ke hadapan. Di hujung balkoni, bunga matahari sedang mekar. Terlalu indah dalam damai senja.

"Siapa yang tanam bunga ni...?" getusnya.
Dan entah kenapa, bayangan seorang wanita duduk di sudut itu menjelma. Wajah kabur, namun cukup untuk membuatkan dadanya sesak.

Rindu.
Tapi pada siapa? Bukan Airis. Itu dia pasti.

Dan buat pertama kalinya... mata Eman terasa panas. Dadanya bergelora, seperti ada sesuatu yang ingin pecah namun tertahan-tahan di dalam.

Air matanya gugur perlahan, menitis ke lantai kayu yang menyimpan terlalu banyak cerita.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience