DI BILIK bersalin Hospital Kuala Terengganu Medical Centre. Sejuknya mencengkam kulit, namun peluh di wajah Ameena menitis laju. Nafasnya pendek-pendek. Perutnya mengeras setiap beberapa minit, seperti ada gelombang besar menghempas dari dalam. Contraction datang makin rapat, makin sakit.
Eman duduk di sisi, menggenggam erat tangan isterinya. Wajahnya cemas, namun cuba tenang.
“Sakit bang… Allah… rasa macam nak tercabut pinggang Amee ni…”
Suaranya tersekat di dada. Air mata mengalir sendiri tanpa perlu dipaksa.
“Sayang, tarik nafas ikut abang. Tarik… hembus perlahan. Kita sama-sama ya.” Eman mengucup berkali-kali dahi dan ubun-ubun isterinya. Wajahnya tenang. Namun jantungnya berdegup kencang.
Pintu bilik terbuka. Seorang jururawat senior masuk. Staff Nurse Syazwani, berusia dalam lingkungan lewat 30-an.. membawa troli alat kelengkapan. Seorang jururawat muda mengikutnya dari belakang.
“Cik Puan Ameena, contraction makin kuat ya? Saya tengok dari CTG tadi, coraknya konsisten. Kita nak buat VE (vaginal examination) sekali lagi ya, nak periksa bukaan.”
“Saya nak doktor perempuan ya…” suara Ameena lirih, tapi jelas.
“Insya-Allah, doktor perempuan akan masuk. Saya jururawat terlatih, saya buat VE dulu untuk maklumkan pada doktor. Kita jaga aurat sebaik mungkin ya.”
Ameena mengangguk. Eman memaling muka memberi ruang privasi. Jururawat memakai sarung tangan dan pelincir, dan dengan lembut melakukan pemeriksaan dalaman.
“Okay, bukaan dah 8 cm ya. Kepala baby dah engaged, kedudukan bagus. Kita tunggu sikit lagi… Bila cukup 10 cm, baru boleh push.”
“Biasanya dalam sejam ke dua jam lagi, tapi bergantung pada tubuh badan. Contraction dah kuat. Bila sampai masa, awak akan rasa macam nak buang air besar, itu tanda kepala baby dah turun.”
Ameena mengangguk perlahan, tubuhnya menggigil. Rasa itu datang berselang. Seperti belati menusuk dari tulang pinggul naik ke pusat.
Seorang doktor wanita Cina masuk, memberi salam.
“Hi, I’m Dr. Lee. Kita monitor dari luar. Sekarang bila contraction datang, awak tarik nafas panjang, lepas tu tahan dan push ikut arahan, okay?”
“Tapi belum 10 cm kan doktor?” Eman bertanya dengan wajah berkerutnya.
“Ya, tapi bila sampai masa, kami akan beri tahu. Jangan push sebelum disuruh ya, nanti boleh bengkak dan baby penat.”
Waktu berlalu. 15 minit. 30 minit. Contraction datang bertubi. Jururawat melihat monitor CTG bacaan mencecah puncak.
“Bila contraction datang, tarik nafas panjang, tahan, dan push macam nak buang air besar. Tahan sampai 10 saat ya. Jangan jerit… tenaga hilang.”
Contraction datang. Air ketuban sudah pecah sendiri sebentar tadi.. memancut tiba-tiba dan mengejutkan semua.
“Doktor tolong. Dia dah keluar! Keluar sendiri. Saya tak teran pun! Tolong Nurse!” Ameena menjerit. Tiada lagi malu. Dia sudah terdesak.
“ Doctor kepala baby dah keluar ni.” Seorang jururawat dengan tenang memberikan maklumat.
“Sekarang, push! Push Cik Puan! Tarik nafas! Tahan! Push!!” Tangan Doktor Lee menahan kepala bayi. Mungkin tidak mahu ada koyakan.
“Lagi sikit! Baby punya kepala dah nampak! Alhamdulillah!”
Ameena teran sekuat tenaga. Wajahnya merah, urat leher timbul. Air mata dan peluh bercampur.
“Aaaaaaaa Allah!! Allahu Akbar!!”
“Sayang, sikit je lagi. Abang ada. Amee kuat!”
Push kedua. Nafas makin pendek.
“Lagi sekali Cik Puan. Tarik… tahan… push!!”
“Allahu… Allah… Aaaaa!!”
Dan saat itu…
Tangisan nyaring memecah sunyi.
Kuat. Jelas. Murni.
“Alhamdulillah, baby keluar jam 7:12 malam. Baby girl… sihat… Apgar score 9. Berat 3.25kg”
Jururawat segera bersihkan bayi dan letakkan di atas dada Ameena. Kulit bertemu kulit. Bayi itu menangis kecil.. suaranya macam nyanyian dari syurga. Ameena tak mampu berkata apa-apa… hanya tangisan.
“Sayang… anak kita…”
Eman menunduk, mencium dahi isterinya dan menyapu air matanya sendiri.
Ameena membisik ke telinga bayinya — suara yang serak dan penuh cinta.
“Assalamualaikum sayang…”
Eman memangku anaknya. Mengadap kiblat dan mengkhamatkan puterinya. Airmata syukur berlinangan.
CIKGU Lily memerhati dari jauh. Kartini berdiri dekat tiang dinding sambil memegang telefon. Wajah wanita itu penuh kerisauan, namun ada sinar tenang dalam getar suaranya. Sebelah Lily, Isa duduk di bangku panjang hospital, menunduk tanpa banyak bicara sejak dari tadi.
Suasana di luar bilik bersalin senyap-senyap tegang.
Lily menjeling ke arah Isa, kemudian bersuara perlahan.
“Awak okay?”
Isa mengangkat kepala, menghela nafas panjang sebelum mengangguk.
“I okay. Kenapa tanya macam tu?”
Lily diam seketika. Matanya mencari mata Isa.
“Sebab dia… Ameena. Bekas isteri awak. Dia dalam tu, tengah bertarung nyawa. Dan yang teman dia… suami dia sekarang. Eman.”
Isa senyum nipis, seperti sudah lama menduga soalan itu akan muncul.
“Lily, kalau you tanya saya soalan ni tiga tahun lepas… mungkin I akan pura-pura kata I tak kisah. Tapi hakikatnya, waktu tu memang I tak redha. Ego I, amarah I… semuanya membuak.”
Dia menoleh ke arah bilik bersalin yang pintunya masih tertutup rapat.
“Tapi hari ni… I cuma nak tengok dia selamat. Itu saja.”
Lily mendekat, duduk di sisi Isa. Bahunya hampir menyentuh.
“Tak cemburu langsung? Serius?”
Isa tergelak kecil. Tapi tawanya penuh makna. Bukan sinis, bukan kosong.
“Cemburu tu… dah lama I kuburkan. Bila I tengok cara Eman layan dia… I tahu, I tak pernah layak untuk dia. I pernah sakitkan hati dia. Dan I takkan ulang silap yang sama pada sesiapa, termasuk You.”
Lily tersentuh dengan kata-kata Isa yang matang. Dia tidak menjangka lelaki yang dahulu keras dan dingin, kini mampu berbicara penuh tenang dan jujur.
“Terima kasih sebab jujur. Saya… saya risau awak masih simpan sesuatu untuk dia.”
Isa menggeleng perlahan.
“Lily, I dengan You sekarang. Dan I syukur You hadir dalam hidup I. Kita sama-sama belajar dari silam. Jangan risau… hati I, dah betul-betul lepas apa yang patut dilepaskan.”
Lily tersenyum. Mereka berpandangan dalam diam, dalam kesyahduan malam yang makin menginjak kelam. Suara jururawat di kaunter dan bunyi mesin di dinding menjadi latar waktu yang terus berdetik.
“Kalau you nak tahu…” Isa bersandar sedikit, memandang ke hadapan tanpa fokus. Suaranya perlahan, seolah berkongsi rahsia paling dalam.
“I tak pernah sentuh dia dulu. I ceraikan dia… tanpa sempat bermula apa-apa pun. Kejam, kan I?”
Dia ketawa, hambar. Bukan tawa yang gembira, tapi lebih pada perasaan yang sudah lama dia simpan. Kelegaan yang pahit.
“Cuma sekarang… bila I fikir balik, I bersyukur. Sebab rupa-rupanya, I bukan jodoh dia. I cuma penjaga sementara. Allah pinjamkan dia sekejap untuk I belajar, untuk I sedar, dan untuk I lepaskan.”
Cikgu Lily diam. Kata-kata Isa menggugah sesuatu yang lama cuba dia pendam. Wajahnya berubah. Dia bukan cemburu, tapi ada satu rasa lain yang perlahan-lahan timbul ke permukaan.
“Jadi…” Suaranya lirih.
“Awak menyesal pilih saya?”
Isa menoleh, matanya tajam tapi tenang. Namun Lily teruskan, sebelum Isa sempat menjawab.
“Kalau betul… belum terlambat lagi, Isa. Jangan nanti, bila kita dah mula bina... awak baru nak berundur.”
Ada retak di suara Lily. Rasa rendah diri yang tak pernah hilang sepenuhnya. Dia tahu siapa dirinya bukan wanita sempurna, bukan yang polos sejarahnya.
Isa tak terus jawab. Dia bangun, berdiri menghadap Lily, lalu duduk bertentang mata dengannya. Tangannya menyentuh perlahan jemari Lily yang tergenggam sendiri di riba.
“Kenapa I nak menyesal?” Dia tersenyum.
“Lily… I pilih you. Di antara ratusan perempuan yang lalu dalam hidup I, you yang I pilih. Bukan sebab you paling sempurna, tapi sebab you paling jujur. Paling berani. Dan paling kuat.”
Lily masih tunduk. Isa angkat dagunya perlahan.
“I pernah hidup bertahun-tahun kat kota barat. I tengok macam-macam. Dosa… maksiat… pengkhianatan… semua tu bukan benda asing bagi I. Tapi bila I jumpa you, I nampak satu benda yang lebih besar dari semua tu hati yang nak berubah. Jiwa yang nak pulih. Dan wanita yang nak dicintai serta mencintai, bukan dihakimi.”
Wajah Lily mula basah. Air matanya gugur tanpa suara. Isa usap pipinya perlahan.
“Ramai orang ada masa silam, Lily. Tapi tak semua mampu ubah masa depannya. Tapi you… you adalah bukti yang masa lalu tak pernah tentukan nilai kita. Hati you suci.. itu yang I nampak..”
Dalam esak yang tertahan, Lily tersenyum. Untuk pertama kali, dia rasa benar-benar dihargai bukan sebagai bayangan seseorang, tapi sebagai dirinya sendiri.
Tiba-tiba, pintu itu terkuak.
Eman muncul, dengan mata sedikit merah dan peluh masih membasahi wajah. Namun senyumannya cukup menyinari seluruh ruang lobi kecil itu. Dia berdiri seketika, seolah mencari suara.
“Alhamdulillah…” Nafasnya dalam. “Ameena dan bayi kami… selamat. Anak perempuan…”
Kartini bangkit spontan, menekup mulut menahan tangis. Serentak, semua yang ada.. Lily, Isa, beberapa jururawat yang kebetulan lalu, dan seorang dua pelawat lain turut menadah tangan.
“Alhamdulillahi rabbil ‘alamin…” kata Kartini dalam tangis syukur. Isa tunduk, menutup wajahnya dengan tapak tangan, sementara Lily pula perlahan-lahan mengesat air mata yang gugur juga.
Suasana jadi sunyi. Semua tunduk, dihanyut rasa. Kehadiran seorang insan baru sentiasa menyentuh sisi manusia yang paling lembut.
“Sekarang doktor tengah pastikan semuanya stabil. Rahimnya dalam keadaan baik, pendarahan terkawal. Bayi pun dah dibersihkan dan akan ditempatkan sementara di bilik pemerhatian bayi,” sambung Eman.
“Boleh tengok sekarang?” tanya Kartini, masih bergenang air matanya.
“Tak boleh lagi, Ibu. Doktor minta masa untuk pemerhatian. Biasanya, selepas kelahiran, ibu akan diperiksa untuk pastikan tiada sisa uri tertinggal, tekanan darah stabil, dan tak alami postpartum hemorrhage.”
Dia menarik nafas.
“Doktor juga minta supaya Amee dapat rehat penuh sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam pertama. Ubat tahan sakit pun dah diberi. Nanti lepas dua jam, jururawat akan pantau tekanan darah dan kepekatan darahnya semula.”
Semua yang mendengar mengangguk, mula faham. Proses kelahiran bukan hanya tentang menunggu tangisan bayi, tetapi tentang memastikan ibu dan anak sama-sama kuat untuk langkah pertama hidup mereka.
“Saya janji, bila dia sedar nanti, saya akan sampaikan ucapan dan doa semua orang. Jangan risau Ibu.. saya jaga dia kat sini.. Ibu balik rehat dulu.”
Kartini menekup dada. “Alhamdulillah… terima kasih, Eman… terima kasih jaga dia…”
Kelihatan Hajah Sufiah dan Cikgu Hasyim melangkah laju, wajah mereka penuh harap dan risau yang berselindung di balik senyuman tawar. Beg kecil tersandang di bahu Hajah Sufiah, manakala tangan kanan Cikgu Hasyim menggenggam erat sebotol air zamzam dan tasbih.
Eman hanya sempat berpaling sekali sebelum dia segera meluru mendapatkan mereka.
“Abah…” suaranya tersekat.
Tanpa ragu, dia memeluk ayahnya. Lama, erat, penuh takzim dan rindu yang tak terucap. Cikgu Hasyim membalas pelukan itu dengan tepukan lembut di bahu Eman, kepalanya mengangguk perlahan, senyuman tenang menghiasi wajahnya yang mulai dimamah usia.
“Alhamdulillah, Along… abah tahu awak boleh.. Awak dah jadi Ayah sekarang!” ucap Cikgu Hasyim, suaranya dalam dan penuh makna.
Eman angguk, matanya merah.
“Mak…” Dia mendekati Hajah Sufiah pula, mencium tangan ibunya yang segera memeluknya pula penuh syukur.
“Ameena macam mana?” tanya Hajah Sufiah, cepat.
“Selamat, Mak… cucu Mak perempuan. Ameena kuat sangat. Dia tengah berehat sekarang.”
Wajah Hajah Sufiah bercahaya. “Allahu Akbar… syukur Ya Allah…”
Dari sisi ruang menunggu, Lily menghampiri bersama Isa. Lily tersenyum manis, dan Isa hanya mengangkat tangan sedikit, sebagai tanda hormat dan ucapan tahniah.
“Tahniah, Cikgu Eman,” ucap Lily.
“Rezeki bulan mulia ni… Masya-Allah,” sambung Isa, tenang.
“Terima kasih…” balas Eman, mendekati mereka.
Eman memeluk Isa erat.. tanda eratnya persahabatan mereka... Mereka berjabat, lama sedikit dari biasa. Seolah satu bab telah ditutup dengan redha.
“Jaga dia baik-baik. Dia pernah jadi amanah aku… tapi hari ni, aku sendiri lega dia akhirnya dimiliki oleh lelaki sebaik kau,” kata Isa, perlahan namun jelas.
Eman angguk, matanya berkaca. “Terima kasih… aku faham… dan aku akan jaga dia sampai akhir nyawa aku.”
Lily pula mendekat, memandang Hajah Sufiah dan Kartini bergilir-gilir.
“Saya doakan yang terbaik untuk Ameena dan bayi. Kalau perlukan apa-apa, saya dan Isa ada kat sini…”
Kartini tersenyum, memegang tangan Lily. “Terima kasih… doa semua orang yang buat dia sekuat ini.”
Suasana malam itu terasa hangat, bukan oleh suhu, tetapi oleh kasih sayang dan doa yang berselirat di ruang sempit lobi hospital itu. Seorang bayi baru telah membuka lembaran baru dalam hidup mereka, dan malam itu, mereka tahu… mereka tidak lagi sendiri.
Share this novel