BAB 47 : KOTAK BIRU BUKTI CINTA

Romance Series 59683

BURUNG-BURUNG berterbangan sesekali berkicau melintasi perkarangan rumah pusaka Hajah Sufiah. Angin petang membelai perlahan, membawa bersama aroma tanah yang baru disirami hujan. Suasana di beranda rumah induk itu tenang, seolah-olah masa memperlahankan langkahnya buat seketika.

Eman melontar pandang ke sekeliling sebelum matanya akhirnya singgah pada wajah Ameena. Pandangan mereka bertaut, dan entah mengapa, hatinya terasa sangat damai. Ada sesuatu tentang wajah itu yang membuatkan jiwanya tenang... terasa tidak perlu lagi memori yang hilang, cukup hanya dengan rasa ini. Tanpa sedar, seukir senyuman nipis menghiasi bibirnya.

Ameena tahu Eman sedang memandangnya. Dan dia rindukan pandangan itu. Pandangan yang suatu ketika dahulu membuatkan hari-harinya berwarna... ketika mereka masih menyembunyikan perkahwinan di sebalik senyum dan sapaan biasa di sekolah. Curi-curi pandang itulah yang selalu buat dia cair.

“Cikgu Eman... cuti sakit sampai bila ya?”
Ameena bertanya dengan suara lembut dan senyum yang menggigil rindu. Setiap kali menyebut nama itu, jantungnya bergetar seperti degupan yang pernah dia kenal.

“Dah ada orang rindu ke dekat saya, Cikgu Ameena?”
Eman membalas, bergurau. Tapi suara itu sarat makna, seperti mahu mencuit sesuatu yang sudah lama tersembunyi.

Tepat saat itu, Tuan Zulkifli muncul di ruang tamu. Deheman kecilnya membuatkan Eman cepat-cepat membetulkan duduk. Wajahnya berubah panik, takut disalah faham.

“Orang kacak macam cikgu ni... takkan tak ada orang rindu...” Sampukan dari Tuan Zulkifli membuatkan Eman terdiam. Dahinya berpeluh.

Tuan Zulkifli tersenyum nipis dan terus berlalu ke anjung. Langkahnya tenang, seperti faham benar perasaan yang sedang bermain di antara dua jiwa itu.

Ameena ketawa kecil melihat wajah Eman yang berubah-ubah.

“Kenapa?”
Eman ketawa juga, seolah-olah terbawa arus tawa itu.

“Awak tu... pucat sangat muka. Takut dengan ayah saya ke?”
Ameena masih ketawa, tapi di dalam hati, ada air mata yang menari.

Eman mengusap belakang tengkuknya, cuba menutup rasa malu yang perlahan merangkak naik.

“Amee...”
Nada suaranya bertukar serius. “Soalan saya semalam... awak belum jawab.”

Ameena menoleh sedikit, kening terangkat. “Soalan apa tu, Cikgu Eman?”

“Kalau ada orang nak gantikan tempat Isa... Amee boleh terima?”

Cahaya matahari membias lembut pada wajah Ameena. Dan pada saat itu, dia rasa ingin menangis. 'Awak dah lama gantikan tempat dia, Abang... dari dulu lagi.'

Namun bibirnya hanya mampu melukis senyum yang mati. Senyum yang tercipta bukan dari bahagia, tapi dari luka yang terpaksa disembunyikan. Hatinya meronta ingin memeluk lelaki itu, suaminya… untuk meleraikan segala resah dan rindu yang menyesak dada sejak sekian lama. Tapi tubuhnya kaku, dibelenggu oleh kenyataan paling pahit... dia dicintai oleh seseorang yang kini tak lagi mengingatinya. Sakit itu bukan sekadar perit. Ia menghiris perlahan-lahan, halus tapi dalam.

Ya Tuhan… mungkinkah ini hukuman-Mu?
Kerana aku dulu terlalu ego… terlalu acuh tak acuh pada kasih yang dia beri sepenuh jiwa?
Kini, di hadapanku berdiri lelaki yang pernah menjadikan aku dunia, tetapi tak lagi tahu siapa aku. Dan aku… hanya mampu mencintainya dalam diam. Dalam kehilangan.

“Maafkan saya, Amee... kalau soalan tu buat awak tak selesa.”

“Boleh...”
Jawapan Ameena perlahan, hampir tenggelam dalam deru angin petang. “Saya boleh terima... kalau orang tu betul-betul ikhlas, terima saya seadanya. Dan... jujur dengan saya.”

Kata-katanya bagaikan sembilu yang menikam tepat ke jantung. Tajam, tak berbelas. Dan yang ditikam itu… adalah hatinya sendiri. Kerana Emanlah insan itu. Figura yang kini duduk hanya beberapa langkah di hadapannya. Lelaki yang pernah menjadi pelindung, teman, dan nyawa.. namun kini hanyalah asing yang tak mengingati cinta mereka.

Air matanya mula memberat di tubir mata. Dada sesak menahan sendu yang kian meronta. Dia tidak kuat. Tidak lagi. Kata-kata yang baru sahaja keluar dari bibirnya tadi kini menjadi racun, menyelinap ke dalam luka yang belum sembuh, menyala perit yang sudah sedia terbakar.

Kenapa aku harus berpura-pura?
Kenapa perlu menipu tentang rasa, sedangkan yang aku mahu cuma memeluknya dan berkata... aku isterimu. Aku yang kau cinta.

Namun dia diam. Dan diam itu lebih menyakitkan daripada jeritan. ‘Jangan jadi bodoh Ameena. Kau mahu dia lagi jauh dari kau? Ingat apa yang doktor cakap.. Jangan paksa dia..’

Mata mereka bertembung semula. Lama. Pandangan itu tak perlu diterjemah. Eman menundukkan wajahnya. Menyedari dosa memandang wanita yang bukan miliknya lagi. Namun dia juga tidak mahu lewat lagi.

“Amee...”
Nada suara Eman semakin rendah. “Kalau saya cakap... ada orang yang sukakan awak sejak dari sekolah... awak percaya ke?”

Ameena menggenggam tangannya sendiri. Dia tahu siapa yang dimaksudkan. ‘cakaplah Abang.. Amee nak dengar lagi dan lagi.. setiap hari Amee nak dengar cerita cinta Abang.’

“Siapa? Cikgu Eman ada bukti ke?”

Eman ketawa kecil, namun pandangan matanya tetap serius.

“Amee... kita bukan dekat sekolah sekarang. Janganlah panggil saya ‘Cikgu Eman’... macam formal sangat.”
Nada itu lembut, bersahaja, tapi cukup untuk melelehkan segala rindu di dada Ameena Azzahra.

“Malam ni saya bagi tahu.. lepas solat isyak.. Tunggu saya kat pangkin.” Eman bangkit dari duduknya dan sebelum berlalu dia senyum lagi pada Ameena. Senyuman yang membuatkan hati Ameena berbunga. Bercinta sekali lagi? Ameena tersenyum dan ketawa kecil sendiri.

MALAM merangkak perlahan. Bunyi cengkerik bersahutan, sesekali diselangi suara katak dari arah bendang. Angin malam menyapa lembut, mengusik dedaunan pokok mangga yang merimbun di sudut halaman rumah pusaka itu. Di bawahnya, ada sebuah pangkin kayu lama.. tempat saksi banyak kenangan.

Ameena duduk di situ, memeluk tubuh sendiri. Jarinya bermain dengan hujung tudung, sesekali memandang ke arah rumah. Dia menunggu. Seperti yang dijanjikan.

Beberapa minit kemudian, langkah Eman kedengaran, tenang dan perlahan. Di tangannya, sebuah kotak biru.. kotak yang Ameena kenal sangat. Dadanya mula berombak. Air mata sudah bergenang, seolah tahu benar apa yang bakal berlaku.

Eman duduk di sisi pangkin, membisu seketika. Hanya angin yang berbicara. Perlahan, dia membuka kotak itu.

Satu demi satu barang dikeluarkan.

"Buku lukisan awak masa Tingkatan Empat," ujar Eman perlahan, tangannya menyerahkan buku itu kepada Ameena.

Ameena menyambutnya dengan tangan terketar. “Eh... macam mana ni boleh ada kat awak?” Dia cuba berlakon terkejut, tapi suaranya bergetar. Eman membelek helain lukisan itu.

Eman tersenyum. “Ini saya, kan?”

Ameena menunduk, tersenyum malu. Air matanya tergenang lagi.

Eman ketawa perlahan. Suaranya redup, tapi menusuk ke dasar hati. “Kenapa awak simpan barang-barang saya?” Ameena bertanya, cuba menahan sebak.

Eman tidak menjawab terus. Dia menyeluk semula kotak itu, mengeluarkan sebuah buku latihan lama yang sudah kekuningan, dan sebatang pensel kecil yang hampir tinggal separuh.

“Sebab saya suka awak...” ucapnya jujur.

“Dari dulu lagi. Tapi saya tak mampu nak luahkan. Awak pelajar saya, Amee. Mana boleh... waktu mula-mula saya nampak awak dekat taman botani. Hati saya berdebar-debar. Saya fikir waktu tu, saya dah gila sebab sukakan budak sekolah.”

Eman menghela nafas perlahan. Matanya merenung jauh ke hadapan ke arah gelap malam yang sunyi.

“Setiap kali balik dari mengajar, saya buka kotak ni. Belek satu-satu. Buku lukisan. Pensel. Buku latihan. Kadang-kadang saya senyum sendiri. Kadang-kadang saya termenung berjam-jam.”

Ameena terdiam. Dadanya bagai disiat perlahan. Tidak sangka, di sebalik wajah tegas Eman selama ini, ada cinta yang begitu dalam tersimpan.

“Bila awak dah habis sekolah... kotak ni jadi teman saya. Sunyi saya. Satu-satunya bukti yang awak pernah wujud dalam hari-hari saya.”

Eman menarik nafas panjang. Suaranya semakin rendah.

“Lepas tu... bila saya jumpa semula dengan awak... saya panik. Urat jantung saya rasa macam nak putus. Tapi dalam masa yang sama, saya harap... harap sangat awak ada rasa yang sama.”

Ameena menekup mulut. Air matanya akhirnya gugur, deras tanpa tertahan.

“Tapi awak pilih Isa... kawan saya sendiri. Hati saya hancur. Saya kecewa. Sebab saya lambat. Saya takut cinta ditolak.” Eman berpaling menatapnya.

“Saya tak jujur Amee.. saya pengecut. Saya yang hantar ucapan-ucapan dekat awak.. bukan Isa.”

Kali ini matanya redup, tulus, penuh keyakinan yang belum pernah dia tunjukkan sebelum ini.

“Saya tak nak lambat lagi.”

Dia menggenggam kotak biru itu, kemudian letakkannya ke sisi.

“Sudi ke... awak jadi suri hati saya, Amee? Saya sanggup tunggu sampai baby awak lahir..”

Ameena menatapnya. Lama. Udara malam seolah berhenti berhembus. Masa seakan menahan nafas, menunggu jawapan yang akan mengubah takdir mereka. Ameena tersenyum dalam tangisnya. ‘Baby kita Sayang..’ Kata-kata yang tak mampu diluahkan itu terasa perit untuk ditelan.

PETANG itu langit berbalam jingga. Bayu senja menghembus lembut di padang sekolah yang riuh rendah dengan suara pelajar bersukan.. ada yang bermain bola, ada yang berlari, ada juga yang sekadar duduk bersembang di bangku panjang.

Langkah Eman diatur laju menuju ke kawasan parkir guru. Jantungnya berdetak keras, bukan kerana penat tetapi kerana amarah yang bergolak sejak pagi tadi. Sejak matanya terpandang wajah lelaki itu.

Isa.

Bekas sahabat. Bekas suami kepada wanita yang kini bertakhta di hati Eman.

Isa sedang bersandar santai pada kereta.

Eman mendekat. Matanya membakar. Nafasnya naik turun, menahan bara yang hampir meletup.

Tanpa sepatah kata, satu penumbuk padu singgah ke pipi Isa. Badan lelaki itu terhuyung ke sisi, hampir terjatuh.

“Arghh! Gila kau, Bro?!” Isa mengaduh, tangan memegang rahang.

Dia bingkas bangkit, bersedia untuk membalas, namun langkahnya mati apabila matanya bertemu pandang dengan wajah Eman. Wajah yang dulu ramah, kini keras bagai batu. Tapi yang lebih menakutkan... ialah sorot mata itu... kosong, keliru, tapi penuh dendam.

Isa menurunkan tangannya perlahan. Dia teringat… Eman sedang dalam pemulihan.

Isa ketawa kuat, menyindir. “Ini salam pertemuan semula dari kau ke, bro?”

Eman diam. Nafasnya kasar. Rahangnya mengetap.

Isa melangkah setapak. “Kau nak marah aku pasal Ameena ke?

“Kenapa kau buat dia macam tu?” soalnya tiba-tiba. Suaranya bergetar menahan geram. “Dia... dia mengandung anak kau, bro!”

Isa ketawa lagi, lebih kuat daripada tadi. Ketawa yang tak ubah seperti penghinaan. Sengaja dia mahu memancing ingatan Eman.

“Kau percaya tu anak aku?” Isa memandang tepat ke mata Eman.

Eman menggeleng perlahan. Telinganya panas. Tangannya mengepal.

‘Itu anak kaulah, Eman… ingatlah, Bro! Jangan seksa isteri kau lama-lama.. Jangan jadi macam aku!’

Tapi dia diam. Dia tidak boleh membuka semua.

Isa masih tersengih. “Kalau kau rasa kau nak sangat bela dia... kau ambiklah dia. Aku tak pernah sentuh pun dia.”

Gedebuk!!

Satu lagi tumbukan hinggap tepat di perut Isa. Kali ini Isa terdorong ke belakang, terbatuk.

“Kalau bukan sebab aku ingat kau ni kawan aku...” suara Eman menggeletar, “...dah lama aku lunyai kau kat sini.”

Isa tunduk, menahan sakit. Demi Eman.. demi Ameena dan demi dosa semalam... Dia sanggup walaupun patah riuk dikerjakan Eman..

Eman berpaling, meninggalkan Isa yang masih termengah. Langkahnya berat, dada masih sarat dengan amarah dan rasa bersalah. Tapi satu yang pasti.. dia tidak akan membiarkan sesiapa pun menyakiti Ameena lagi.

Langkah Eman terhenti di tengah padang. Riuh pelajar sudah tidak kedengaran di telinganya. Dunianya seakan berputar perlahan. Nafasnya tercungap. Kepalanya terasa berat, pening dan berserabut. Seperti dia baru saja bangkit dari mimpi buruk yang tidak bernoktah.

Tangannya menggigil.

Kenapa aku tumbuk Isa? Sejak bila aku jadi lelaki yang hilang waras?

Bayangan tadi... tangan yang menumbuk, wajah Isa yang berlumur ego dan tawa menghina.. berlegar-legar di kepalanya. Tapi lebih dari itu… ada satu rasa lain yang lebih menghantui.

Deja vu.

Dia seakan pernah mengalami semuanya ini. Rasa kecewa, rasa hampa, rasa mahu melindungi Ameena dengan segala yang dia ada.

Tiba-tiba—suara jeritan kecil bergema dari arah tangga yang menuju ke padang. Eman memandang ke kiri.. melihat Ameena yang sedang senyum bahagia padanya. Mata Ameena tak lepas memandang wajahnya.

“Amee…”

Belum sempat dia memberi amaran.. Langkah Ameena tersadung.Tubuhnya terhuyung. Jeritan halus meniti di udara.

“Amee!”

Tangan Ameena sempat berpaut pada pemegang tangga. Tapi wajahnya berubah pucat. Sakit. Perutnya dipegang erat. Tubuhnya membongkok perlahan. Nafasnya turun naik, cuba menahan sesuatu yang terlalu perit untuk ditanggung.

Eman kaku. Menggigil. Menggelabah.

“Amee! Ya Allah, Amee!”

Dia melangkah ke arah Amee.. Tangannya diangkat untuk memegang tubuh itu namun dibatalkan. Dia tahu batas. Menyedari Ameena bukan haknya. Masih hak Isa.

“Saya minta maaf, Amee… saya… saya tak boleh nak tolong! Ya Allah!”

Matanya kabur dengan air mata yang bertakung. Dadanya seperti dihimpit batu besar.

Ameena memandangnya. Pandangan penuh harap. Mata yang menjerit minta diselamatkan, namun bibirnya tidak mampu melafazkan sepatah kata pun.

‘Sakit, Abang… tolong Amee…’

Kata-kata itu hanya bergema dalam jiwanya, tidak terluah.

Eman menjerit sekuat hatinya.
“Cikgu Reena! Tolong! Tolong cepat!!”

Beberapa guru dan pelajar mula berlari ke arah tangga. Eman terduduk. Tangannya menggenggam rambutnya sendiri. Peluh merecik di dahinya. ‘Ya Allah, selamatkan anak itu..’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience