KERIUHAN para pelajar yang berpusu-pusu memasuki Dewan Hikmah menyentak lamunan Ameena. Seketika tadi, fikirannya masih melayang.. masih terperangkap dalam kenangan dan luka yang belum sembuh. Dia berdiri tegak di hujung dewan, tersorok dari pandangan ramai. Matanya menyorot ke arah satu susuk tubuh yang amat dikenalinya. Wajah yang dirindui saban malam. Lelaki itu sedang berdiri, berbual dengan seorang wanita. Airis.
Langkahnya terhenti. Jantungnya berdegup kencang. Hatinya yang rapuh terasa ditikam lagi.
Eman. Tenang wajahnya. Tapi dingin. Tidak ramah. Tidak juga membenci. Kosong.
Airis berdiri rapat di sisi lelaki itu, senyum manis terukir di bibir, seolah-olah dunia ini milik mereka berdua.
“Ameena... kau okay ke?”
Satu suara menyapa lembut dari belakang. Suara yang sedikit cemas.
Cikgu Lily berdiri dengan wajah risau. Tangannya menggenggam tangan Ameena.
“Boleh ke kau jadi MC hari ni? Aku boleh gantikan... Tapi aku tahu aku takkan sebaik kau.”
Ameena menghela nafas perlahan. Dia cuba senyum, tetapi senyumannya hambar, penuh kepura-puraan.
“Saya okay, Cikgu Lily... Dalam kerja, masalah peribadi kena tolak tepi. Kita cikgu... Kita kena jadi contoh untuk pelajar, kan?”
Namun nada suaranya tidak meyakinkan. Dan senyuman itu tidak sampai ke mata. Cuma senyum yang cuba menutup retak yang semakin melebar dalam jiwanya.
Hari ini Sambutan Hari Dadah Kebangsaan, dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan bersama pihak sekolah. Dewan sudah dihias indah dengan kain rentang, poster anti dadah dan pentas persembahan di depan. Akan ada lakonan pelajar, nyanyian oleh persatuan kesenian, dan lebih mencemaskan.. ujian saringan dadah untuk semua warga sekolah termasuk guru-guru.
“Ameena...” Lily menunduk sedikit, suaranya hampir berbisik. “Aku pernah buat salah dengan kau... Aku minta maaf. Aku tak paksa kau percaya aku. Sebab aku tahu, aku dah banyak kali pura-pura insaf. Tapi sebenarnya aku.. aku hanya penuh dengan dusta dan bohong.”
Ameena memandangnya sekilas, tenang tetapi sayu.
“Semua orang buat salah, Cikgu Lily. Yang penting... berubah. Saya bukan sesiapa untuk menghukum.”
Nada suaranya bersahaja. Tiada marah, tiada mesra. Kosong. Seperti dirinya sudah tidak punya tenaga untuk merasa apa-apa.
Lily terdiam. Hatinya makin sebak.
“Macam tu juga dengan Eman...” Lily menyambung perlahan. “Jangan pernah give up dengan dia. Aku tahu dia keliru. Tapi... apa yang aku nampak, setiap keputusan dia... selalu ada kau dalam fikirannya.”
Tangan Lily menyentuh lembut tangan Ameena. Namun tangan itu tetap beku. Dingin.
Ruang hujung dewan masih lengang. Para pelajar berkumpul di tengah. Pegawai AADK belum tiba. Suasana sesak tapi penuh debar.
Ameena tunduk. Bahunya terangkat perlahan, menahan esak.
“Dia fikirkan kebaikan saya ke, Lily? Atau dia cuma fikirkan apa yang terbaik... untuk diri dia sendiri?”
Nada suaranya pecah. Dada sesak menahan rindu, kecewa dan harapan yang semakin pudar.
“Dia... dia dah tahu saya isteri dia, cuma dia masih belum ingat. Tapi dia tetap nak kahwin dengan Airis. Dia langsung tak jenguk saya... tak tanya khabar... dia tak tahu... saya...”
Suara Ameena terhenti. Bibirnya menggigil. Air mata tumpah laju ke pipi. Bahunya terhenjut perlahan.
Lily pantas berdiri dan mendekat. Dirangkulnya bahu yang semakin susut itu, memeluk dengan hati-hati agar tiada siapa melihat. Dia tak mahu pelajar atau guru lain melihat kejatuhan seorang wanita kuat seperti Ameena.
“Ameena... sabar ya...” suara Lily bergetar. “Kami semua ada dengan kau. Aku... Fahmi, Isa, Kak Reen... Kami semua ada. Aku janji... Aku akan tolong kau.”
Ameena tetap diam. Hanya esak halus yang kedengaran, ditelan bunyi mikrofon dan suara pelajar di dewan utama. Namun tangis itu cukup untuk memberitahu, hati seorang isteri yang dihancurkan tanpa belas... tak mudah dipulihkan kembali.
BEBERAPA buah kenderaan rasmi berhenti di hadapan pintu utama dewan. Beberapa orang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan melangkah keluar, mengenakan uniform kemas berlogo rasmi di dada kiri. Wajah mereka tampak tenang dan bersedia.. seperti biasa menyantuni acara rasmi sekolah.
Cikgu Lily menyambut dengan penuh ramah. “Assalamualaikum tuan-tuan, selamat datang. Saya Cikgu Lily, guru penyelaras program hari ini. Ini Cikgu Ameena, pengacara majlis kita.”
Ameena tersenyum sopan, menundukkan sedikit kepala tanda hormat. Wajahnya tenang, tapi di balik ketenangan itu, ada taufan yang masih belum reda.
Seorang pegawai lelaki, dalam lingkungan awal 30-an, menyambut salam dan meletakkan tangan di dada tanda terima kasih. Sopan dan penuh hormat.
“Saya Hafiz.. yang ini Encik Rafiq dan yang hujung tu.. Encik Luth. Kami pegawai kanan yang bertugas untuk unit pencegahan dan unit penguatkuasaan. Yang belakang sana semua team kami untuk bantu program hari ini.”
Pegawai yang memakai tag nama Luth tersenyum manis ke arah Ameena. Matanya tidak lepas memandang wajah cantik Cikgu Ameena sejak mula masuk ke dewan itu.
Ketika itu, langkah seseorang menapak masuk ke dewan, perlahan tapi penuh makna.
Eman.
Pandangan mata lelaki itu terpaku pada isterinya. Wajahnya tidak beriak tapi matanya penuh sesuatu. Dia melihat kemesraan pertuturan antara Ameena dan pegawai lelaki tadi. Meski sopan, tapi sebagai suami, hatinya terusik.
Langkahnya laju menghampiri. “Assalamualaikum,” katanya, menyampuk secara beradab namun tegas.
Ameena menoleh sedikit. “Waalaikumussalam…”
“Oh ya, ini Cikgu Eman. Guru disiplin sekolah kami,” ujar Lily, cepat-cepat memperkenalkan.
“ Encik Luth... yang Encik Luth duk pandang dari tadi tu.. Cikgu Ameena. Sekarang... hmm... tak available lah. Tapi insya-Allah soon... single and available,” katanya dengan ketawa kecil, sengaja menujah ke dalam hati Eman.
Eman mengetap rahang. Wajahnya berubah tegang. Tangan di sisi digenggam kemas. Kalau bukan kerana menjaga maruah, sudah lama dia tampar mulut lancang itu.
Encik Luth pula sudah mengangkat kening. Pelik. Malu.
Ameena diam. Tidak membalas. Bukan permainan dia. Bukan juga pentas untuk dia mempertahankan harga diri yang telah dicampak ke sisi oleh suami sendiri.
Airis yang dari tadi menghampiri dalam diam, kini berdiri rapat di sisi Eman. Matanya memerhati gelagat lelaki itu.. dan wajahnya. Dia nampak jelas.. riak cemburu pada wajah Eman. Tajam dan jelas. Airis terus menyelit, menjeling tajam ke arah Ameena.
Seolah perampasnya adalah Ameena.
Lily tersenyum nipis, penuh makna.
“Saya ke depan dulu ya. Nak bantu pegawai AADK susun tempat untuk pemeriksaan kakitangan dan pelajar perempuan.”
Dia sempat berpaling ke arah hujung dewan. Dari jauh, Isa sedang berdiri memerhati. Lelaki itu mengangkat tangan, membuat satu isyarat ringkas yang hanya difahami oleh Lily. Satu isyarat yang tak perlu dijelaskan, cuma mereka berdua yang tahu maksud sebenar.
Ameena pula menghela nafas perlahan. Wajahnya kosong tapi penuh luka yang tak berdarah. Tanpa sepatah kata, dia meninggalkan kelompok itu, melangkah tenang ke pentas utama.
Dibelakangnya, Eman hanya mampu memerhati.
Langkah Ameena mantap, walau hatinya luluh.
Dia berdiri di podium, memandang ke arah ratusan pelajar yang sudah memenuhi dewan. Mikrofon dilaras perlahan.
Mikrofon berdesis perlahan.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera kepada semua warga sekolah, barisan pentadbir, guru-guru yang saya hormati, para pegawai dari Agensi Antidadah Kebangsaan yang kami muliakan, serta anak-anak pelajar yang saya sayangi.”
Ameena menarik nafas perlahan. Suaranya tenang, tapi penuh dengan getar yang sukar disorokkan. Wajahnya kekal tersenyum tipis, menyapu pandangan ke segenap ruang Dewan Hikmah yang kini sesak dengan pelajar dalam uniform putih dan biru laut.
“Pertama sekali, saya mewakili pihak sekolah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pegawai dari AADK kerana sudi hadir menjayakan sambutan Hari Antidadah Kebangsaan peringkat sekolah kita pada hari ini.”
Pegawai-pegawai AADK mengangguk sopan dari tempat duduk barisan hadapan.Encik Luth tidak lepas memandang ke arah guru muda itu.
“Kehadiran tuan-tuan hari ini bukan sekadar simbolik atau prosedur tahunan, tapi ia adalah usaha untuk menyelamatkan masa depan. Masa depan anak-anak kita. Masa depan negara.”
Matanya menyorot ke arah pelajar-pelajar lelaki yang duduk sambil berbisik kecil. Dia mengenali sebahagian wajah itu. Wajah-wajah yang pernah ditegur kerana ‘bau ganjil’, mata merah, atau kelakuan luar biasa.
“Hari ini, kita akan menyaksikan beberapa persembahan, menjalani saringan ujian dadah, dan mendengar ceramah yang sarat dengan peringatan. Tapi lebih daripada itu, saya mahu kita semua, terutamanya anak-anak pelajar.. ambil satu masa untuk berfikir…”
Ameena berhenti seketika. Suasana dewan menjadi senyap. Semua mata tertumpu padanya. Dari belakang, Eman berdiri kaku. Airis di sisi sudah menyilang tangan, wajah tidak puas hati. Tapi Eman tidak peduli... matanya hanya pada wanita di podium itu. Wanita yang pernah dia janji akan dilindungi seumur hidup.
“Dadah tidak pernah datang mengetuk pintu. Ia tidak melompat ke dalam hidup kita dengan sendiri. Ia datang... kerana kita buka laluan. Kerana kita biarkan.”
Nadanya mula berubah. Bukan marah, tapi tegas. Menusuk ke jiwa.
“Jangan salahkan kawan. Jangan salahkan keluarga. Jangan salahkan sesiapa atas keputusan yang kita buat. Apa yang kita pilih, bermula dari niat. Dari hati. Dan akhirnya... dari tangan kita sendiri.”
Riuh pelajar yang tadi bising kembali sunyi. Ada yang sudah mula tunduk, ada yang mengangguk perlahan.
“Sekali kita jatuh... tak bermakna kita tak boleh bangun. Tapi bangunlah dengan kesedaran. Bukan dengan alasan. Sebab kalau hidup ni hanya penuh alasan.. kita akan terus jadi mangsa kepada pilihan buruk kita sendiri.”
Ameena menghela nafas panjang. Matanya sempat bertembung dengan pandangan Eman di belakang dewan. Ada sesuatu yang bergetar dalam dada, tapi segera dia tundukkan wajah dan kembali fokus kepada khalayak.
“Saya tahu… mungkin ada antara kita pernah silap. Tapi hari ini... kita ada peluang untuk betulkan semuanya. Jangan tunggu esok. Sebab esok belum tentu milik kita.”
Dia menamatkan ucapan dengan senyuman kecil yang lebih tulus.
“Bagi merahmati lagi majlis kita hari ini, saya menjemput Ustaz Arif untuk membacakan Doa. Dipersilakan Ustaz.”
Gemuruh tepukan memenuhi dewan. Para pegawai AADK mengangguk puas hati. Guru-guru saling berpandangan. Eman masih berdiri di tempatnya.. terpaku, seperti baru ditembak oleh kata-kata isterinya sendiri.
Seketika itu, Ameena bukan sekadar guru. Dia adalah jiwa yang sedang menampung luka, sambil memegang tangan ratusan anak bangsa agar tidak jatuh ke lubang yang sama.
SESI ujian saringan air kencing kini berjalan lancar di luar dewan utama. Dua stesen kecil didirikan.. satu berhampiran tandas lelaki, satu lagi berhadapan tandas perempuan.
Para pelajar dipanggil mengikut nama yang telah diberikan open guru disiplin sekolah. Manakala semua guru dan kaki tangan pejabat adalah wait bagimmenjayakan kempen 'Tempat Kerja Bebas Dadah'.
Cikgu Lily berdiri mengawal di stesen bahagian perempuan, lengkap dengan clipboard, pen dan wajah yang serius. Kononnya.
Matanya bagai helang, tajam memerhati setiap gerak-geri. Namun dalam diam, dia sedang menanti satu nama. Seorang mangsa. Dan senyuman sinisnya makin melebar apabila nama itu akhirnya kedengaran.
“Airis Farhana binti Salleh!”
Gadis itu melangkah anggun ke arahnya sambil menghulurkan tabung kecil yang berisi sample air kencing. Wajahnya sedikit mual.. mungkin kerana tidak biasa dengan prosedur sebegitu.
“Terima kasih ya,” ujar Lily dengan nada biasa sambil tersenyum.
Namun di balik senyumannya, tangan Cikgu Lily tangkas bekerja. Dengan licik, dia menyembunyikan tabung sample asal di bawah meja kecil yang penuh dengan kertas dan label. Dari dalam beg tangan yang sudah tersedia di sisi, dia mengeluarkan satu bekas kecil lain. Bau hanyir kuat menyeruak naik. Dia menahan nafas.
‘Hampir aku termuntah... makan petai ke apa dia ni,’ bisiknya perlahan, namun senyum tidak lekang dari wajah. Bau itu langsung tidak menggoyahkan niatnya.
Dia cepat-cepat melabel semula tabung itu dengan nama: AIRIS FARHANA BINTI SALLEH beserta nombor kad pengenalan, dan menyisipnya ke dalam dulang berisi sample-sample lain. Selebihnya adalah tugas para pegawai.
Selesai.
Dia menoleh sebentar ke arah dewan, ceramah Encik Hafiz dari AADK sedang berjalan dengan penuh semangat. Beliau sedang menyentuh tentang simptom penagih, ketagihan arak dan dadah sintetik, serta kesan jangka panjang terhadap otak dan emosi manusia. Ceramah itu disampaikan dengan gaya bertenaga dan penuh kisah benar yang menyentuh hati.
Namun Cikgu Lily tidak betul-betul mendengar.
Matanya tertumpu pada skrin telefon bimbit. Dia membuka aplikasi WhatsApp dan menaip sesuatu dengan senyum penuh makna.
“Umpan sudah masuk. Ni dia hasil ujian, nampak tak siapa yang sebenarnya busuk. Beri signal pada Eman. We win!!”
Dia memuat naik satu gambar dan menekan hantar.
Kemudian, dia mengangkat kepala, dan dari jauh dia terlihat kelibat Airis. Wajah gadis itu kelihatan biasa.. malah sedikit bangga, seolah-olah yakin dirinya kebal dari sebarang cubaan menjatuhkan.
Tapi dia silap. Kali ini, musuhnya bukan biasa-biasa. Ini permainan racun. Pemainnya pula sudah pro dalam permainan itu.
Dan Isa pula sudah tersenyum menang sambil menunjukkan telefon pintarnya pada Eman.
Eman tersenyum lebar sambil menepuk bahu sahabatnya. 'Kau silap Airis.. Aku takkan jadi Cikgu kalau senang-senang diperbodohkan!'.
Gambar apa yang Cikgu Lily hantar? Sabar ya... next chapter mungkin OV ambil masa sikit.. Dah nak habis cerita ni.
Share this novel
Cerdik pon ...