[ Bab 65 ] DBS

Romance Completed 253440

Gelak ketawa memenuhi ruang tamu rumah Haji Noordin. Riuh dengan suara anak-anak lelaki Haji Noordin yang asyik bermain karom. Khairil yang baru duduk sangat terhibur melihat gelagat adik-adik iparnya. Si kembar kalau sudah berjumpa Bob memang kecoh dibuatnya.

Walau jam sudah hampir ke pukul 11, mereka masih asyik bermain. Esok tentu sunyi, bila masing-masing mula pulang ke rumah sendiri.

Mata semakin segar bila kopi pekat Umaira menjengah tekak. Sedap, panas dan cukup rasanya. Keriuhan semakin memenuhi rumah. Lagilah bila giliran Angah dan Uda yang bermain. Asyik berbalah saja. Khairil tidak berapa pandai bermain karom, tapi kalau sekadar untuk suka-suka dia ikutkan saja. Matanya ada juga mencari kelibat Umaira, namun dia tidak nampak, mungkin masih di dapur. Seketika tadi saja Umaira ada duduk di sebelahnya, semasa membawa kopi pekat. Selepas itu dia tidak nampak di manakah cik isterinya.

“Khai!!” Kuat dan lantang namanya dipanggil. Semua menoleh ke arah suara yang memanggil. Ibu?

Ibu bercekak pinggang dengan wajah marah. Aduh, dah buat salah apa ni? Ibu dah tahu ke pasal tangkap khalwat tu? Panik, takut dibuatnya melihat ibu yang macam nak telan orang gayanya. Muka Khai sekarang ni, muka orang terkejut dan takut.

“Dah pukul berapa ni? Umaira dah lama masuk bilik.”

Huh? Pukul berapa? Entah, Khairil tak tengok jam. Nak tergelak pun ada ni, ingatkan ibu nak marah apa tadi. Legapun ada juga.

“Haa.. si.. sikit lagi ni ibu.” Tergagap nak menjawab.

“Kamu punya sikit tu, Umaira dah tidur nanti.”

“Tak apalah ibu, biarlah Umaira tidur, lagipun Umaira penat dari tadi kat dapur.” Semua orang senyap. Anak kecil pun turut sama diam, yang bersuara cuma Khai dan ibu. Seram pula dengan suasana sekarang ni.

“Ayahnya pun, dilayan Khai main karom sekali buat apa, suruh dia masuk tidur. Umaira tu kalau penat, bom meletup sebelah dia pun belum tentu dia bangun. Macam-mana nak layan suami.” Suara ibu masih dalam tonasi marah, masih juga bercekak pinggang.

“Ayah pula yang kena ya. Along dengan Angah lah ni.” Ayah kerut dahi, rasanya dia baru saja duduk, dari tadi ayah berada di luar.

“Uda lah ni, ibu.”
“Eh, Angah ni, ni kembar lah ni” Uda pantas mengelak. Ah, sudah abis semua kata dia, dia kata dia.

“Chop! Sebelum abang petik nama Bob, biar Bob redakan keadaan ya. Dah abang Khai, pergi tidur. Tak baik pengantin baru berembun, dahlah malam per..” Bob tutup mulut. Yang lain dah ketawa kecil.

Jadi malu pula hendak melihat semua wajah yang ada. Walau hanya adik beradik dan saudara terdekat Umaira, tapi Khai dah malu gila dah ni. Macam nak menyorok dalam baju.

“Eh, tak apalah Bob. Belum habis lagi ni. Abang dah nak menang ni.” Khairil cuba berdalih, walhal jauh sangat dari nak menang.

“Itu boleh sambung esok, Khai. Betul kata ibu tu, Umaira kalau dia penat, dikejut macam-mana pun susah nak bangun, jiruskan air jer. Dah biar ayah yang sambung. Nak menang apanya ni, kalah adalah.”

Dengan perasaan malu yang bukan biasa-biasa punya ni, Khairil bangun juga. Dalam kepalanya asyik berfikir, macam-mana dia nak melangkah ke bilik tidur Umaira. Dengan muka kelat, senyum senget dia memandang ke arah ibu, kak long entah bila ada di sebelah ibu. Aduh bertambah malu.

“Meh Bob hantarkan.” Bob terus menarik Khairil. Nasib ada Bob lah.

“Biar abang Long buat.” Abang Long menepuk bahu Khairil. “Relaks jer.” Suara Along perlahan menenangkannya. “Bukankah ni saat yang Khai tunggu, dah lama kan? Pesan Abang, beri Salam dan jangan lupa baca doa ya. Inshaa Allah, Umaira belum tidur tu. Dia mesti tunggu suami dia.”

Rasa macam anak kecil yang baru hendak masuk sekolah, Tadika mungkin, sedang ditenangkan abang yang sudah ditahap atas. Walhal, Khairil sudah 30tahun, sudah tahu apa yang perlu dibuat. Sudah tidak perlu dipujuk, ditenangkan. Khairil hanya tersengeh. Hendak menoleh ke belakang memandang ibu, malu masih menebal. Tapi dia masih cuba berbudi bahasa. “Masuk tidur dulu ya..” Katanya pada semua.

“Selamat malam Papa Khai!” Jerit anak saudara Umaira. Khai dah nak berdekah dah ni, tadi malu, sekarang lucu pula rasanya.

“Thanks bro. Inshaa Allah, ilmu dah penuh didada.” Katanya berseloroh pada Along. “Syabass!” Malangnya Angah pula yang menjawab kuat. Khairil tepuk dahi.

Tombol pintu dipusing. Badannya terus didorong Angah. “Wei” Angah menjengah bilik, cepat ditarik Along. “Jangan dikacau.”
“Jangan lupa kunci pintu, Khai!” Jerit Angah walau sudah ditarik Along. Macam-macamlah adik-beradik Umaira ni.

“Assalamualaikum..” Tak ada sesiapa di bilik. Pintu almari terbuka, mungkin Umaira di bilik air. Betul tekaannya, bila pintu bilik air dibuka dari dalam. Khairil menyorok di sebalik pintu almari yang terbuka. Cuba mengintai cik isteri. ‘Dia mandi? Tak sejuk ke?’

Mulutnya ternganga bila Umaira meleraikan tuala di kepala. Tidak pernah dia sangka panjangnya rambut Umaira. Cantik bentuk badannya disebalik kain batik yang dipakai. Dia melihat Umaira memandang sekeliling, mungkin mencari encik suami agaknya. Kemudian dia lihat Umaira membetulkan kain batik yang tersarung di tubuhnya. Apa orang panggil.. berkemban ke?

Argh tak boleh tunggulah, Umaira memang menggoda Khairil saat ini. Lantas dia cepat melangkah, sebelum Umaira menyarung baju, nampak Umaira sudah mencapai pijama.

“Assalamualaikum..” Terkejut dengan suara yang memberi salam, Umaira pantas mencapai pijama, baru menyarung sebelah tangan, encik suami sudah di sebelah.

“Tak payahlah, nanti nak buka juga.” Hah! Boleh pulak dia cakap macam tu eh? Umaira menutup dadanya dengan pijama. Jantung berdegup laju. Apa yang harus dia lakukan?

“Wangi..” Khairil berdiri di belakang Umaira. Tangannya bergetar juga hendak menyentuh cik isteri yang cantik dan sangat seksi saat ini.

“Cantiknya isteri abang.” Kepalanya didekatkan ke kepala Umaira, tangannya memeluk Umaira dari belakang. Melihat wajah dan tubuh isterinya di dada cermin dan akhirnya, Nurin Umaira berada di dalam pelukkannya. Sayang dan cintanya melimpah-limpah saat ini.

“Jom, abang nak cakap sikit.” Dia mengajak Umaira duduk di katil. “Nak pakai losyen..” Umaira bersuara perlahan. “Tak payahlah, abang suka bau yang natural.” Apa ni? Umaira baru nak berwangi-wangi untuk suami. Umaira pun ada plan nak romantik dengan encik suami, tapi nampaknya encik suami macam gelojoh jer.

“Meh duduk.”
“Pakai baju dulu eh?”
“Tak payah. Kalau sejuk nanti abang panaskan.” Khairil tersengeh.
“Tapi..”
“Tak der tapi-tapi..” Khairil bangun, membuka baju melayunya, dan mengantung di dinding. Hanya singlet tersarung di badannya.
“Okay kita sama kan?”

“Abang nak tunjuk sesuatu.”
“Nak tunjuk? Eh tak naklah. Saya tak nak tengok.” Umaira geleng kepala dan menutup mukanya. Gelagat Umaira buat Khairil ketawa kecil.
“Abang nak tunjuk kat sinilah sayang. Ni kat handphone ni, buka mata.” Umaira mengintai dari celah jari.
“Ingat abang nak tunjuk apa? Kalau yang tu, kejap-kejap lagilah.”
“Nak tunjuk apa?” Umaira membetulkan duduknya. Kain batik dah nak terlerah dah.

“Ni. Sayang kenal tak budak ni?” Khairil menyua handphone kepada Umaira. “Ni? Yang ni? Macam kenal jer.” Umaira membelek gambar di IG Khairil.

“Macam gambar saya. Ni saya ke?” “Sayang rasa?”
“Mana abang dapat gambar ni?” “Abang curi-curi ambil, masa sayang sebok main kat pondok tu. Abang menyorok kat pokok pelam.”
“Abang yang ambil? Maksudnya?”
“Sayang memang tak pernah tengok IG abang kan? Kalau sayang tengok, mesti sayang dah tahu siapa abang. Mesti sayang tak main lari-lari dari abang.”

Umaira mengangkat wajahnya memandang ke arah Khairil. Siapa sebenarnya suami dia ni? Dia kenal ke? Mereka pernah jumpa ke?

“Sayang ambil wallet abang tu.” Umaira membongkok mengambil wallet Khairil di atas meja sisi. Khairil mengeluarkan sekeping gambar ber saiz kecil dari walletnya.

“Ni sayang, dan ni abang. Abang dah collage gambar ni. Abang dulu suka intai budak perempuan ni senyap-senyap. Dia clumsy, selalu jatuhkan barang. Selalu hantar bekal untuk atok dia. Dan budak perempuan tu juga selalu curi-curi pandang abang.”

“Chop, chop! Kalau ini saya, dan ini abang.. maksudnya...”
“Maksudnya?”
“Ah, sekejap. Maksudnya abang budak lelaki tu ke?”
“Sayang rasa?”
“Betul ke? Abang budak lelaki muka ketat tu?” Wah nampak tak Umaira dah teruja sampai lupa separuh dadanya terdedah di depan Khairil.
“Malunya”
“Kenapa nak malu? Abang surprise masa dapat tahu siapa sebenarnya Nurin Umaira. Cinta abang pada dia bertambah-tambah, ajak dia kahwin lari, kahwin kat Thailand, sebab tak nak si comel abang jadi milik orang lain. Setiap kali balik Malaysia, abang selalu nak cari budak perempuan ni. Memang abang simpan gambar ni dalam wallet. Sentiasa ada dengan abang, sejak dari abang berpindah ke London. Tak pernah abang lupa. Allah permudahkan pertemuan kita setelah dekat 20 tahun .”

Umaira memandang Khairil. Hatinya berbunga suka.
“Abang tak bohong, kan?”
“Eh tak lah. Sayang boleh tanya ayah. Or daddy.”
“Ayah dah tahu?”
“Ayah tahu masa kat pejabat agama masa jumpa daddy tu. Mereka kan berkawan baik.”
“Jadi ayah rahsiakan?”
“Ya, abang yang minta, sebab abang nak beritahu sayang sendiri.”
“Macam mana abang tahu?”
Khairil membetulkan rambut Umaira yang ditiup angin kipas. Diselitnya di telinga.
“Masa sayang panggil abang, mamat muka ketat. Masa sayang berdiri lama kat depan rumah atok abang, masa kerja kat Nusajaya.”
“Aah.. abang intip saya ke?”
Sedapnya dengar Umaira panggil ‘abang’, kalau dengan lebih lembut kan best.
“Abang minta maaf, abang memang ada perhati sayang, dari kat rumah sewa, upah orang jaga sayang kat Nusajaya.”
“Kenapa?”
“Abang cuma nak tahu, soulmate abang ni jenis yang macam mana, suka clubbing ke, keluar makan ke. Rupanya memang suka duduk rumah, lepas balik kerja tak keluar rumah langsung.”

“Calon menantu pilihan, kan?” Umaira ketawa kecil. Itulah yang selalu Juita katakan. “Tapi mommy..”

“Sayang milik abang, dan abang milik sayang. Kita akan hidup berdua. Jadi jangan fikir perihal orang lain.” Tangannya menyentuh lembut wajah Umaira, ingin dia mencium pipi gebu itu, atau alis matanya yang cantik, hidungnya yang mancung, atau bibirnya merah mekar itu, tapi Khairil tidak mahu terburu-buru, dia ingin Umaira merasa selesa dahulu dengan perkahwinan mereka.

“Terima kasih..”
“Untuk?”
“Jadi suami Maira.”
“Abang yang patut berterima kasih, pada cinta hati abang ni, yang setia tunggu budak lelaki muka ketat tu.” Tangan kanannya merayap membelai mesra pipi Umaira. Tiada penolakkan malah senyum secantik bidadari terukir indah di bibir.
“Abang nak minta maaf..” Perlukah berterus-terang semuanya pada malam ini? Bagaimana jika Umaira tidak memaafkan?
“Abang cemburu sayang dengan Imran, sampai kami bergaduh dan lost contact hampir 4 minggu, abang cemburukan Izzuwan sampai abang rasa nak fired him from Mega Holdings. Macam-mana nak lepaskan sayang ke Sibu nanti.. Abang..”

Umaira memegang tangan Khairil. Walau dia rasa sangat malu dan takut, tapi perasaan itu semakin berkurang sejak Khairil mengajaknya berbual. Memanglah dia tidak sangka, dia berkahwin dengan lelaki yang selalu dia sebut-sebut. Yang dia selalu ingin bertemu walau sekali sahaja lagi. Sudah 20 tahun, dia memang tidak boleh hendak mengecam wajah budak lelaki itu. Cuma kenangan sahaja yang masih diingatan.

“Abang cintakan saya?”
“Tentulah, dengan sepenuh jiwa abang.”
“Abang yakin pada saya?”
“Abang..”
“Tadi abang kata, saya milik abang, dan abang milik saya.. abang yakin pada saya?”
“Sayang...” Khairil mengeluh.
“Abang yakin pada sayang, tapi tak yakin pada Izzuwan tu. Abang jauh nanti, nak kena ambil flight ke sana kalau ada apa-apa.”
“Inikan malam kita, kenapa nak cerita pasal orang lain.” Entah kenapa Umaira jadi berani. Janjinya perkahwinan ini, menghalalkan hubungan mereka, sebelum Umaira ke Sibu. Nampaknya encik suami macam tidak mengizinkan.

Ishk Khairil Izhan, kalau cik isteri merajuk macam -mana?
“I’m sorry...” Khairil mengeluh lagi. Gaya memang minta cik isteri pujuk.
“I love you.”
Khairil pandang Umaira.
“Apa sayang?” Katanya buat-buat tak dengar.
“Saya tak ada cakap apa pun.”
“Ada tadi. Cuba ulang.” Khairil menarik Umaira mendekat padanya. Terjerit kecil Umaira dibuatnya.
“Abang janganlah, saya jerit nanti.”
“Alah, sayang ni..”
Umaira tak nak, Umaira malu. Umaira nak tidur. Dia tak kira, dia nak sembunyi bawah selimut. Dah cukuplah berbual. Umaira dah mengantuk.
Tapi pelukan Khairil masih kejap dipinggangnya. Bau perfume Khairil pula segar menusuk hidungnya. Buat dia khayal dan terbang melayang.

“May I?”
“What?”
Tangan encik suami memegang tengkuknya, dan wajahnya semakin mendekat. Dia suamiku Ya Allah, segala milikku, adalah miliknya yang mutlak. Jadikan dia suami yang terbaik buatku. Jadikan dia imam yang mampu membimbing aku ke jalan-Mu.
Matanya terbuka saat bibirnya dilepaskan, matanya memandang encik suami dengan penuh kasih sayang.

“Kita solat sunat dulu nak?”
Umaira hampir menangis mendengarnya. Sesungguhnya Khairil Izhan adalah lelaki kiriman Tuhan buatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience