[ Bab 64 ] DBS

Romance Completed 253377

Khutbah nikah sudah selesai. Mata Khairil teringin hendak melirik pandang pada si cantik yang duduk di pelamin. Dia tidak dapat memandang sewaktu Umaira berjalan ke pelamin tadi. Hendak mengangkat muka, dia terasa malu. Lagilah dengan usikan entah dari mana. Imam Harun pula tidak menjadikan majlis terlalu serius, ada saja lawak jenaka yang diselitkan.

Jabat tangan Imam Harun? Tidak. Ayah Umaira yang menikahkan anaknya. Ugh Khairil dah habis baca doa dah. Dia yang selalu gagah mengajak Umaira kahwin, sampai sanggup kahwin lari, hampir kecundang juga bila tangannya digenggam erat bakal pak mertua. Peluh jantan mula menitis disebalik songkok yang dipakai. Cuaca yang nyaman, terasa mula hangat. Mengambil nafas dalam, sedalamnya sebelum tangannya digoncang.

“Aku terima nikah Nurin Umaira Binti Mohd Noordin dengan maskahwinnya RM22.50 tunai.”

Menunggu semua saksi berkata sah, buat jantungnya bagaikan hendak meletup. Hilang macho, bila dia kelihatan sangat gementar, ketika diberitahu, Haji Noordin yang akan mewalikan anaknya sendiri. Bukan berwalikan hakim. Umaira kan satu-satunya anak perempuan Haji Noordin.

“Ayah boleh?” Bisik abang Long perlahan. Ya dia nampak mata tua itu berkaca. Kepala diangguk. “Kalau ayah tak boleh, along ada.” Haji Noordin mengangguk berkali-kali. Lama mengambil nafas, sebelum tangan digenggam erat.

“Sah!”

“Alhamdulillah.” Khairil meraup wajahnya. Tangan Haji Noordin dikucup lama, sempat dia berbisik ‘terima kasih’.

Khairil Izhan diberi ruang untuk bersolat sunat dan sujud syukur. Jurukamera bertauliah dan tak bertauliah sebok merakam detik bersejarah.

Semua orang berwajah riang. Yang cemberut hanyalah Puan Seri Maria, Puteri dan Izzuwan. Kenapalah datang, kalau hanya untuk menyakitkan hati sendiri.

Sekali lagi drama airmata saat lafaz taklik dibaca.

“Manakala saya tinggalkan isteri saya Nurin Umaira Binti Mohd Noordin selama 4 bulan hijrah berturut-turut...” Belumpun habis bacaan taklik, sudah ramai yang mengesat airmata. Umaira apatah lagi. Saat ayahnya mewalikan pernikahan, dia sudah hampir tersedu-sedan. Walau sudah berjanji dengan ayahnya, dia tidak akan menangis, namun hatinya sangat kecil dan airmatanya sangat murah. Hati mana yang tidak sayu, lebih lagi bila melihat ibunya yang tidak lekang mengesat airmata dan dipujuk kak long.

‘Kakak dah banyak buat salah, buat dosa. Moga pernikahan ini akan membersihkan segala kekotoran yang kakak dah buat. Kakak janji akan jaga nama baik ibu dan ayah, kakak akan jadi isteri dan menantu yang baik..’ Rintihnya. Walau dia tahu, pasti ada onak dan duri yang bakal diharungi, lihat sajalah pada wajah kurang senang ibu mertuanya. Mampukah dia bertahan, jika hanya Khairil yang akan mempertahankan dirinya.

Ramai tetamu ternantikan majlis membatalkan air sembahyang. Maskahwin juga sudah diserahkan. Baru kini Khairil dapat melihat Nurin Umaira dengan jelas, walau wajahnya masih tunduk. Ya sedari tadi dia tunjuk, semasa bacaan taklik juga dia tunduk. Dia juga perasan Juita dan jururias asyik membetulkan solekan.

Sebentuk cincin di sarung ke jari, seutas gelang diikat ke tangan, Khairil ada membeli rantai, tapi dia ingin memberikan sendiri pada Umaira nanti. Set Habib Jewel dibeli bersama Tan Sri Sufrie. Baik sungguh daddy nya itu, hendak meneman dia membeli barang kemas buat Umaira.

Entah dah berapa kali tertawa. Kekok pula bagaimana hendak mencium dahi Umaira. Malu pula rasa hati, hendak melihat mata si cantik manis. Tangan kirinya memegang tangan Umaira, tangan kanannya memegang dagu, ditundukkan sedikit, agar bibirnya dapat menyentuh dahi Umaira buat pertama kalinya. Hendak dikucupnya di pipi, atau di mata, atau di bibir, ah jangan nak mengarut. Ada nanti tidak dapat bermalam pertama dengan cik isteri. Isterinya itu memiliki ketinggian tidak jauh darinya, maka duduk mereka sama parasnya.

Umaira mencium tangan Khairil. Memang mereka pernah tanpa sengaja berpegangan tangan, tapi perasaan ketika ini, lain benar rasanya. Mencium tangan imam solatnya, ketua kepada keluarga barunya, mungkin ayah kepada anak-anaknya, jika diizinkan Allah, Umaira mahu anak yang ramai.

Bersalaman dengan kedua ibu bapa Umaira, digenangi air mata. Bersalaman dengan kedua ibu bapa Khairil bagaikan tiada perasaan, apatah lagi ketara sungguh Puan Seri Maria tidak sukakan Umaira hingga ada yang berbunyi. ‘Kahwin tak dapat restu ke?’

“Congrats bro.” Imran berjabat tangan. Juga Haiqal.

“Tahniah Umaira.” Umaira sekadar mengangguk.

“Tinggal kejap ya, solat Jumaat dulu.” Bisik Khairil perlahan.

“Baru nikah dah kena tinggal.” Umaira pura-pura merajuk. Bibirnya dicemek.

“Ishk, malam nantilah kalau nak bagi kiss pun. Solat Jumaat tu fardu ain.” Umaira tersengeh. Dia cemek bibir, bukan nak bagi kiss. Parahlah Khairil Izhan ni.

Majlis berjalan lancar, selesai tepat pada waktu, kaum lelaki ke masjid menunaikan solat Jumaat. Kaum perempuan terus ke meja makan.

Umaira mendekati nenek Izhan. Anggun sungguh wanita itu, walau sudah uzur namun masih cantik jelita. Kulitnya cerah kemerahan.

“Nek..” Tegurnya.

“Umaira.. Nenek tak sangka, Umaira akhirnya jadi cucu menantu nenek.” Upps, jangan sampai terlepas cerita. Khairil sudah berpesan, jangan ada sesiapa yang bercerita tentang siapa sebenarnya Khairil Izhan, budak lelaki muka ketat. Biarlah dia yang bercerita sendiri.

“Cantik sangat orangnya.”

“Cantik tak menjamin boleh jadi menantu yang baik.” Muka menoleh kepada yang empunya suara. Puan Seri Maria.

“Ialah, macam kamu kan? Cantik kat muka, tapi hati busuk.” Nenek membalas kata-kata sinis Puan Seri Maria.

“Tak usah dilayan si gila ni, Umaira. Nak sangat bermenantukan Puteri, Puteri pun cantik juga, manjamin agaknya jadi menantu yang baik. Huh! Mari kita pergi sana.” Sebelum sempat Umaira menolak kerusi roda nenek, Puan Seri Maria melampiaskan marahnya lagi.

“Jangan harap kau akan jadi menantu aku. Sampai bila-bila pun menantu aku cuma Puteri. Kau akan rasa peritnya sebab nak sangat kahwin dengan anak aku, sampai sanggup upah orang tangkap khalwat kan? Tunggu balik KL nanti.”

“Eh Maria. Kau dah gila ya? Inikan majlis orang, jangan nak buat kerja bodoh. Kau ingat, Umaira saja yang menantu? Kau tu pun menantu, akupun tak ingin kau jadi menantu aku. Nanti aku suruh Sufrie kahwin lain, muda bergetah dari kau. Tak sedar diuntung. Sudah diberi kemewahan, berlagak menongkat langit. Dahlah Umaira, jangan dilayan perempuan meroyan ni.”

Pedih. Malu. Ada mata yang memandang, ada telinga yang mendengar. Umaira yang upah orang untuk tangkap khalwat? Kalaulah benar ada yang mendengar, jadi semua akan tahu, sebenarnya pernikahan yang tergesa-gesa ini, bukan kerana akan ke Sibu, rupanya sudah menconteng arang ke muka. Ya Allah. Berikanlah aku kekuatan. Janganlah Kau berikan kepedihan disebalik kebahagiaan yang telah Kau hadiahkan. Aku hanya ingin bahagia.

Namun apabila melihat nenek dan ahli keluarga Khairil yang lain, yang menerimanya seadanya, dia bersyukur. Apatah lagi Khairina, puas dia bergambar dengan satu-satunya kakak iparnya. “Lepas abang solat Jumaat kita sambung photoshoot kak ya. Nak buat video sikit.” Umaira tersenyum dan mengangguk.

Lepas majlis nikah tadi sudah bergambar. Apalagi yang Khairina nak buat agaknya. Tiada salin-salin pakaian, itu tunggu majlis resepsi nanti. Umaira selesa dengan baju nikahnya yang simple tapi sangat cantik, baju kurung Johor - Riau berwarna peach gold, dengan jahitan lace dan batu permata di tangan dan kaki baju, tudung yang cantik dan veil yang panjang, dia tidak perlu kan pakaian lain, ini sudah memadai baginya. Bagaimana agaknya Khairina mencuri masa menyiapkannya?. Apa yang diceritakan nenek tadi, Khairina sendiri yang menjahit baju nikah Umaira dan Khairil. Disebabkan bimbang tidak cukup masa, gubahan barang hantaran Khairina upah butik pengantin menyiapkannya. Itupun ada sahaja yang dia tidak berkenan, akan sentiasa dibaikinya sendiri.

Melihat barang hantaran yang tersusun, dari pihak lelaki berwarna biru putih, pihak perempuan pink purple, Umaira tidak menyangka semuanya dari idea Khairina. Dari sebelah Umaira hanya membuat manisan, barang-barang lain semuanya Khairina yang pilih.

“Terima kasih Reen sebab sanggup buat semua ni untuk akak.”

“Kalau abang sekali pandang dah jatuh cinta pada kak Maira, apatah lagi Reen, kali pertama jumpa Reen dah suka, walau masa tu akak tak kenal siapa Reen, tapi akak tak sombong. Cute sangat sebok nak bayar duit baju.” Tawa Khairina mengingati kisah lalu.

...

Sampai ke petang, ada sahaja yang datang memeriahkan majlis. Khairil hanya sempat bersama Umaira ketika makan berdamai dan ketika jurukamera ingin merakam gambar mereka. Mereka tidak bergambar ‘outdoor’, Khairina kata, itu boleh dibuat kemudian bila sudah balik ke KL. Masa dapat diluangkan sepenuhnya dengan kaum keluarga.

Selepas Asar, Umaira kelihatan masih sebok melayan sahabatnya, ada juga sesekali Khairil diperkenalkan kepada sahabat Umaira. Juita dan Dayang yang selalu berseloroh. Sempat juga Khairil perkenalkan Asiah kepada Imran. “Cantikkan Ustazah Asiah tu. Anak Imam.” “Cantik.”

Matanya mencari Umaira. Oh dia sudah di dapur, walau bajunya tidak ditukar lagi. Tak berat ke lengan baju tu? Khairil berbisik sendiri. Veil sudah dibuka. Agar senang untuk bergerak.

Dapatkah mereka bersolat Maghrib bersama nanti? Atau Isya’. Nampaknya keluarga Umaira suka bersolat di surau, memandangkan surau hanya berselang dua rumah, tidaklah jauh, boleh berjalan kaki.

“Aku nak balik dah ni. Nasib baik Puteri dengan Izzuwan tak buat hal. Elok jer aku tengok. Tapi muka memang macam tapai basilah. Masam semacam.” Tawa Imran.

“Kau balik JB kan? Belum balik KL?”

“Aah, duk ngan nenek dulu. Ingat nak pergi Singapore, jomlah kau boleh honeymoon kat Singapore sekali. Time honeymoon, kau honeymoon lah, time gether dengan aku, kita makan-makan ke.”

“Tengoklah.”

“Jangan lupa story malam pertama.” Haiqal menepuk bahu Khairil. Gila, tak akanlah nak share story. Isteri Haiqal yang sedang sarat mengandung, mencubit lengan suaminya. Ter aduh sekejap Haiqal.

Malam pertama? Eh, malulah nak menyebutnya. Beberapa jam lagi nak malam dah. Malam ni Khairil dapat bantal peluk baru, bantal peluk bernyawa, cantik dan harum baunya. Bantal peluk yang sudah lama menjadi idamannya.

Namun tetamu masih ada yang datang. Katanya ada saudara sebelah ibu yang akan sampai malam nanti. Siang bekerja, malam baru dapat kelapangan. Rasanya ramai juga tetamu jemputan, tidak putus dari tadi.

“Kakak, pergilah layan suami tu. Kat dapur ni biarlah kami yang buat.” Kata Kak Long setelah dilihatnya Umaira tidak berehat dari tadi. Sejak dari sahabat baiknya pulang.

“Tak apalah Kak Long, Kakak dah biasa.” Dia memberi alasan. Sebenarnya Umaira sangat malu sekarang ini, menjadi halal pada Izhan, pasti lelaki itu panjang akalnya.

“Hantarkan air, kak.”
“Tadikan baru saja minum, ibu? Juita baru balik.” Ia, mereka bersembang sambil minum kopi, sebelum Juita, Dayang dan Helmi pulang ke KL.

“Ibu perasan Khai tu asyik tengok kamu. Mungkin ada yang nak dicakapkan. Pergilah.” Ibu pun perasan? Tapi Izhan memang macam tu. Matanya memang suka mencuri pandang.

“Nak cakap apa?”
“Pergi sajalah kakak. Banyak pula yang ditanya. Itukan suami awak, baru nikah berapa jam, dah abaikan suami.”
“Ibu ni, mana ada. Kakak nak cakap apa dengan dia nanti. Mana kakak pandai.” Matanya dikebil-kebilkan tanda merajuk. Muncung sedepa bibirnya, boleh dibuat sangkut baju.

“Ingat tak tadi nenek pesan apa? Panggil suami dengan panggilan ‘Abang’, jangan nak ber saya awak lagi. Khai tu elok jer panggil ‘sayang’.”
“Itu baru ni, sebelum ni dia ber I, YOU. Mat saleh sangat.”
“Tengok tu, sepatah orang cakap, dua patah dia jawab.”
“Ibu ni...” Ibu dah jadi geng Izhan ke? Dah tak geng dengan kakak? Cari ayahlah macam ni.
“Kalau ayah mesti sokong kakak. Ibu jer lebihkan Bob.”
“Bertuah punya anak, tengok tu. Bob pula yang masuk dalam cerita rumah tangga dia.”

Umaira melangkah juga ke depan, mencari Izhan. Lelaki itu sedang leka dengan handphone di tangan.

“Awak..” Umaira duduk di sebelah Khairil.
“Errmm..” Jawab Khairil malas.
“Awak ada nak apa-apa ke?” Nak apa-apa? Khairil tak salah dengar ke?
“Ada.”
“Nak apa, ibu sebok suruh tanya. Orang nak sediakan makan malam.”
“Macam tak ikhlas jer. Tak apalah.” Khairil sengaja buat-buat tak gembira.
“Awak...” Umaira mencuit peha Khairil dengan hujung jarinya, bila dilihat Khairil Izhan seolah tidak mengendahkannya.
“Errmm..” Bergetar juga rasa hati bila suara manja tu melerek memanggil awak. Kalaulah dalam bilik sekarang ni, tentu jari yang mencuitnya akan dicapai dan dikucupnya.
“Nak apa-apa tak?”
“Nak.. nak Nurin Umaira, boleh?” Suaranya perlahan, wajahnya sudah dihala sedikit ke telinga Umaira.
“Ishk. Dia ni. Tak malu eh?”
“Nak malu kenapa, kan dah halal?”
“Ialah. Kan masih siang.”
“Kenapa, kalau dah malam, bolehlah ya?”
“Tak boleh juga.” Umaira bingkas bangun dan terus melangkah laju ke dapur. Dia malu, wajahnya sudah kemerahan menahan rasa. Dia juga perasan abang Long tersenyum kecil.

“Kakak tak boleh cakap dengan suami macam tu. Tanya suami dengan baik, jangan merengus mahupun meninggikan suara.” Pesan abang Long.
“Kakak malulah abang Long. Dulu belum nikah, ada batas yang kami jaga. Izhan bukan jenis lelaki yang suka nak pegang-pegang. Dia jaga batas. Tapi ni lain, sekarang semua batas tu dah tak ada. Kakak malu, selebihnya kakak takut.”
Jika sebelum ini, setiap perbuatan ada batasnya. Haram hukumnya. Izhan tidak akan melampaui batas seorang lelaki terhadap perempuan yang bukan mahram. Tapi lain kali ini, sekarang mereka sudah menjadi suami isteri. Segalanya sudah menjadi halal buat mereka. Umaira mula susah hati.

“Itu normal kakak, bila baru-baru jadi suami isteri. Malu-malu. Lari-lari. Tenangkan diri. Kena layan suami dengan baik.” Kepalanya yang dibaluti tudung, diusap mesra abang Ngah. Entah bila dia muncul.

“Kalau malu, duduk diam jer. Biar Khai yang buat semuanya. Tapi jangan diam macam patung pulak, kang Khai ingat dia kahwin dengan statue.”
“Uda!”
“Dulu kak Uda yang lebih-lebih dari abang. Okay jer, abang on. Haha!” Uda ni, lain yang orang bualkan lain pula yang dia menyampuk. Nasiblah tak ada Bob, kalau tak adiknya itu lagi bijak mengusik.

Umaira memberanikan diri memandang ke arah Khairil. Mata mereka bertembung seketika, sebelum Umaira melarikan pandangan dan terus hilang di dapur. Jantung bagaikan hendak tercabut dari paksinya saat mata mereka berpandangan. Kuatnya debaran dadanya. Macam mana ni? Macam mana malam nanti, bila sebilik dengan Izhan? Alah... Umaira jadi serba tak kena.

Duduk bersendirian membuatkan Khairil teringat kisah pagi tadi. Dia tahu mommy tidak boleh terima pernikahan ini. Nenek dan daddy, Khairina semuanya gembira menyambut Umaira sebagai ahli keluarga baru. Lebih lagi mendapat tahu Umaira adalah budak perempuan comel cucu Pak Mustapha, bekas pengawal keselamatan mereka.

“Kenapa you kahwinkan Khai dengan cucu bekas guard kat rumah kita?” Hinakah pekerjaan sebagai guard tu mommy?
“Memang lah atok dia bekas guard, tapi ayah dia bekas guru. Tak baik membanding. Sungguh bekas guard, banyak dah jasa nya pada keluarga I. You apa tau?” Marah Tan Sri Sufrie. Kadang dia tak boleh tahan dengan perangai gila isterinya itu. Tetap mahukan Puteri sebagai menantu. Kasihanlah Umaira jika memang tidak mendapat restu ibu mertua, tentu macam-macam perangai nanti.

“Cakap pasal anak siapa, kerja apa, pernah tak kau cermin diri kau tu, apa pekerjaan ayah ibu kau, Maria? Kau mahu aku ceritakan kebenarannya sekarang?” Semua berpaling pada nenek. Drama apa lagikah ini.
“Ayah ibu kau pekerja ladang kan? Ladang milik suami aku, bukannya kerja pejabat macam yang kau selalu ceritakan. Yang selalu kau megahkan. Orang tua kau tu merayu minta suami aku rahsiakan dari kau. Tak mengenang budi. Hidup menongkat langit.”
“Kekayaan semua ni, semua milik keluarga aku. Kalau macam inilah perangai, sombong angkuh, baik jangan diletak namanya dalam wasiat. Biar hidup merempat menagih kasih. Tak boleh sabarlah dengan perangai meroyan tak tentu pasal. Patut dulu kamu kahwin dengan Mariam, bukan Maria ni.”

Khairil memicit pelipis, pening kepala bila memikirkan perihal mommy. Tak tahu kenapa hendak sangat bermenantukan Puteri. Apa yang dia telah janjikan agaknya.

“Rehat dalam bilik, Khai. Rupa penat tu.”

“Taklah ayah. Ok jer. Teringatkan kerja pejabat.”

“Mesti banyak dah tertangguh, kan? Ni berapa hari nak cuti? Bilanya Umaira ke Sibu?”

Sibu? Errmm.. nampak gayanya memang terpaksalah izinkan Umaira ke Sibu. Berapa lama nak benarkan ni? Bertambah bingung.

“Lagi seminggu kalau ikutkan ayah. Tapi tak sure lah kalau Umaira nak postpone ke, kalau tak jadi pergi lagi bagus.” Khairil senyum kecil.

“Ayah setuju kalau tak jadi pergi. Dah ada suami, tak perlu kerjalah. Khai boleh saja tanggung anak ayah kan? Lagipun ayah tahu, Khai nak cepat-cepat kahwin ni, sebenarnya bukan sebab Umaira nak kena pergi Sibu kan? Sebab Khai memang tak nak dia ke Sibu, cemburukan kawan lelaki Umaira yang satu kerja tu, betul tak?”

“Ayah dah macam Tuk Nujum pula dah ni.” Tawa Khairil lepas. Macam-mana ayah boleh tahu ni.

“Nujum Pak Belalang.” Ayah ketawa sama. Mungkin ayahpun tak setuju Umaira ke Sibu. Tapi macam-mana nak terangkan pada Umaira.

“Pandai-pandai Khai lah bincang dengan Umaira, ya.” Ayah menepuk peha Khairil. “Kalau perlu pergi, pesan pada Umaira untuk jaga nama baik suami, nanti ayah akan cakap juga dengan Umaira. Pergilah mandi. Dah nak Maghrib, kita ke surau ya?”

“Baik ayah.” Khairil mengangguk. Dia juga bangun menuju ke bilik Umaira. Sebelum tombol pintu dipusing, matanya sempat mencuri pandang si jantung hati, dan bila pandangannya berbalas, sebelah matanya dikenyitkan. Kemudian dia terus memasuki bilik. Mandi dan menukar baju, baju melayu kaler dark pink, bukan main marah dia bila Khairina memberikan baju melayu kaler pink tu, tak sesuai katanya. Namun dia akur bila melihat Khairina sudah bersusah payah, apatah lagi baju melayu itu sedondon kaler nya dengan baju kurung Umaira. Jadi pakai sahajalah, walaupun pink. Dark pink sajapun, bukan light pink, yang Khairil nak kecoh sangat tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience