[ Bab 60 ] DBS

Romance Completed 253377

Ikutkan hati, Izhan hendak duduk di sebelah Umaira, tapi dia tahu mestilah ayah Umaira tidak izinkan. Mungkin juga ada yang ingin dibincangkan oleh mereka berdua. Izhan tidak mahu mengganggu.

"Ayah kenal ke Tan Sri tu?"

"Kenal." Jawab Haji Noordin sepatah. Risau pula kalau Umaira bertanya banyak. Dia sudah berjanji dengan bakal menantunya mahu merahsiakan siapa Khairil Izhan. Lelaki itu mahu berterus terang sendiri pada Umaira. Mungkin mahu surprise kan anak gadisnya itu.

"Tadi Izhan ada sebut pasal 6 pinangan, ayah ada cerita kat dia ke?" 6 pinangan? Oh, masa mula-mula dulu tu rasanya. Haji Noordin tersengeh kecil.

"Aah, saja buat takutkan dia. Suka dia saja nak buat anak ayah, bawak ke sana ke sini, lepas tu kena tangkap khalwat. Anak ayah pun ada harga, bukan tak laku. Kalau fikirkan geram, geram betul ayah dengan Khai tu. Tapi ayah nampak dia bersungguh hendakkan kamu. Jadi ayah setujulah. Lagipun ayah kenal ayah dia tu."

"Habis tu ayah, macam mana dengan calon ayah? Ayah cakap hari tu ayah dah ada calon."

"Tak mengapalah, yang penting kakak gembira. Anak ayah happy, ayahpun ikut happy. Kamu sukakan si Khai tu ke tidak?"

"Suka..." Jawab Umaira meleret dan perlahan. Malu pula mengaku begitu di hadapan ayah.

"Gatal jer bunyinya." Ayah menepuk peha Umaira.

Umaira hanya mendiamkan diri di sepanjang penerbangan terus ke Senai. Dari nak balik naik kereta berdua, dah jadi naik flight berempat. Angan-angannya ingin berbual dan menikmati perjalanan pulang ke Johor dengan Izhan semuanya musnah dek gara-gara kejadian memalukan tu.

'Ermm.. Aku memang tak kunci pintu bilik, atau Izhan yang buka?' Soalan yang bermain di fikirannya itu perlukan jawapan, dan pastinya jawapan hanya ada pada. Khairil Izhan. Jujurkah lelaki itu padanya? Jika benar, dia perlu berterus terang jika ada niat lain yang tersembunyi.

"Naik teksi ke kita Din?" Tan Sri Sufrie bertanya sebaik mereka semua sudah di luar pintu gerbang airport Senai.

"Eh, tak payah. Imam Harun datang ambik, katanya dah sampai tadi. Mana agaknya si Harun ni." Ayah menoleh sana sini.

"Ayah kenapa suruh Imam Harun yang ambik? Buat malu sajalah." Umaira rasa tak selesa bila mendengar Imam Harun yang akan mengambil mereka.

"Habis kamu ingat ayah ke airport pagi tadi dengan siapa? Bob hantar? Tahukan adik kamu tu belum ada lesen, lagipun mulutnya banyak sangat bertanya. Imam Harun yang hantar ayah, kebetulannya dia ada kerja kat JB ni, tu yang pergi sekali."

Apa ayah ni. Apa pula nanti Imam Harun cakap. Malulah Umaira. Lagilah Umaira dan anak Imam Harun berkawan baik.

Dari kejauhan sudah nampak Imam Harun melambai tangan. Imam Harun bawa kereta apa ya? Muat ke ramai-ramai ni?

"Naik teksi sajalah ayah." Umaira menarik tangan Haji Noordin. Dia juga memandang Izhan, buat muka simpati, harapnya Izhan mahu membantu dia memujuk ayah. Tapi dia lihat lelaki itu tersenyum saja, macam pasrah sahaja dengan pilihan ayah.

"Mahal. Dengan Imam Harun free."
Alah, kakak boleh bayarlah ayah. Izhan pun boleh. Kakak malulah naik kereta Imam. Ayah! Hatinya menjerit - jerit memanggil ayahnya. Namun Haji Noordin sudah bersalaman dengan Imam Harun dan sudah juga memperkenalkan Tan Sri Sufrie.

Umaira diam sahaja di dalam kereta Proton Waja Imam Harun. Tan Sri Sufrie duduk di hadapan. Ayah duduk di tengah antara Umaira dan Izhan. Sesekali ada Imam Harun berseloroh dengan Umaira. "Segaknya bakal suami Umaira." Puji Imam Harun. Tentulah Imam, Izhan memang segak orangnya. Izhan Mr. Perfect 10. Umaira sembunyi senyum, bangga bila Izhan dipuji. Kembang hatinya bila jejaka yang dicinta disenangi orang sekeliling. Cinta? Aduhai Umaira malulah.

Umaira menutup matanya, dia tidak mahu mengikuti perbualan lelaki di sekelilingnya. Malu dibuatnya bila sesekali namanya disebut dalam perbualan mereka. Tak tahu hendak menyampuk di bahagian yang mana.

Tanpa sedar dia terlelap. Dan terlena.

"Kakak. Oo kakak, bangun. Dah sampai dah."
Dah sampai? Seriuslah? Umaira tertidur ke? Alaaahh.. Malunya Umaira. Ber double double malu. Aduh bagaimana rupa Umaira tertidur agaknya. Sempat Umaira menjeling ke arah Izhan, lelaki itu tersengeh. Nampak sedikit lagi mahu menghambur tawa. Tanpa berterima kasih, dengan perasaan malu yang menebal, serasa mahu menutup muka dengan tudung, Umaira terus sahaja memasuki rumah.

"Eh, beg bukan nak diambilnya. Malulah tu. Ishk budak ni."

"Khai bawakan nanti." Ada bakal suamikan, segak lagi perkasa, alah setakat beg tarik tu apalah sangat. Tawa Umaira dalam hati.

Sebaik memasuki rumah, dia terkejut lagi. Ada mak long, pak long dan juga anaknya. Memanglah Umaira nampak banyak kasut di luar tapi tak sangka pula pak long dan mak long yang datang. Agaknya ayah atau ibu yang beritahu.

Usai bersalaman dengan mak long, Umaira terus ke dapur mencari ibu tercinta. Bau nasi tomato ibu menyengat di hidung. Baru dia hendak menjerit memanggil ibu, dia tersengeh melihat Hajah Aminah, yang sedang membantu ibunya menyusun pinggan.

Semua ni sebab Tan Sri dan Izhan ke? Mereka datang untuk sama-sama berbincang ke?

"Bila kamu nak ke Sibu, Umaira?" Sebaik bersalaman dengan Hajah Aminah, mak long muncul di dapur.

"2 minggu lagi Mak Long."

"Ah patutlah nak cepat semuanya. Tak boleh ke bertunang saja dulu, ni terus-terus nak kahwin, timbul fitnah nanti. Sudahlah pagi-pagi Noordin dah ke Terengganu tu."

"Memang hajat nak bertunang dulu, tapi tak tahu pihak lelaki takut anak aku ni kena kebas kat Sibu nanti. Lagipun bagus juga, kalau Khai asyik ke Sibu tengok anak aku, kat sanapun boleh menimbulkan fitnah." Ibu terus sahaja menjawab kata-kata mak long. Umaira kenal sangat dengan mak long, tahap prihatin mak long berlebihan, kadang tu boleh menimbulkan perselisihan faham.

"Pergi mandi dan tukar baju cantik sikit Umaira. Bedak-bedak. Tan Sri tu datang merisik, bukan datang nak makan tengahari. Walau dia dah bincang dengan ayah kamu, tapi dia tetap nak datang merisik juga. Mengikut adat."

Berlama-lama kat dapur pun pening juga dengan perangai mak long. Pakai cantik-cantik tu, baju apa ya? Umaira bukan ada koleksi baju cantik-cantik. Baju banyak di KL, di rumah sewanya. Baju raya tahun-tahun lepas adalah. Jubah? Ermm.. Pakai sajalah baju paplem raya tahun dulu tu. Make-up sikit-sikit. Tudung?

***

"Saya nak mohon berbanyak maaf, sebab datang koboi macam ni je. Apapun tak bawa. Tak sangka Noordin sanggup berjumpa saya di Terengganu, jadi kami setuju nak ikat terus, mula kami nak buat majlis pertunangan, tapi bila fikir baik buruk, nikah lebih baik."

"Sebabkan pihak saya yang nak cepat, anak saya yang terkejar-kejar anak dara orang, risau saya ni, dia kejar sampai Sibu pula nanti, jadinya semua urusan majlis, biar pihak saya yang uruskan. Nanti majlis persandingan kita buat kemudian, kita plan dalam sebulan dua selepas nikah. Berapapun hantarannya saya setuju. Maaf bukan nak menunjuk mampu sediakan semuanya, cuma selagi tak kahwin bujang saya ni, saya risau dia setiap minggu ke Sibu nanti."

Dari awal perbualan, dalam kereta, sekarang ini, daddy memang asyik mengenakan Khai. Biarlah memangpun dia yang terkejarkan Umaira. Memang dia juga yang buat perangai macam-macam sampai gadis itu digelar 'Skandal Mr CEO'. Jadi dia tidak ambil peduli bila Tan Sri Sufrie asyik memerli dia. Lagipun dia memang dah tak sabar nak kahwin dengan Umaira.

"Ini cincin tanda dari belah saya. Maaf kalau tak seberapa. Barang-barang hantaran lain, kami bawa hari nikah nanti."

Bila daddy tanya nak tanda dengan apa? Ada ke cincin ke, apa-apa ke, Khairil dah panik. Yang dia teringat, cincin yang dia pernah hadiahkan pada Umaira dulu, dengan tak malunya dia terus WhatsApp Umaira.

'Sayang pinjam cincin dulu, I tak bawa apa-apa nak bagi family you.' Dan sijantung hati, baiknya bagi pinjam cincin.

"Betul-betul koboilah kamu ni Khai. Lain kali prepare awal-awal. Standby." Apa maksud koboi ni? Khai tak fahamlah daddy. Lagipun manalah Khai tahu nak jadi macam ni. Khai ingat boleh terus nikah kat pejabat agama semalam.

"Daddy tak tahu macam-mana kelam-kabutnya kita nak buat majlis ni nanti. Kursus kahwin, nak isi borang semua, dalam seminggu, ada 6 hari saja lagi. Nasib Imam Harun nak tolong serba sikit. Mesti bising Khairina."

Khairil tidak peduli jika dia akan kelam-kabut selepas ini. Yang penting dia dapat berkahwin dengan Umaira. Selamat tinggal pada Puteri dan Izzuwan. Sibu? Umaira pasti tidak akan ke Sibu, jika sudah menjadi isterinya nanti.

Jahatnya kamu, Khairil Izhan. Merancang kehidupan Umaira tanpa berbincang dengan gadis manis itu.

"Setujulah ya dengan pinangan ke tujuh ni?" Kata-kata gurauan daddy membuatkan semua yang ada tertawa. Ke tujuh? Berdebar dada mendengarnya. Si cantik Umaira bakal menjadi suri hatinya. Bakal menjadi makmum solatnya, bakal menjadi ibu pada anak-anaknya.

Haha! Khairil Izhan sudah lama ingin memeluk Umaira, malamnya akan lebih indah.

"Hah! Tersengeh-sengeh, beranganlah tu." Satu tepukan di lengan buat angan-angan Khairil hilang lenyap, yang ada cuma malu yang tak mampu nak diucap. Lagilah Bob ketawa dengan kuat. Aduh daddy ni, potong ah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience