[ Bab 46 ] DBS

Romance Completed 253377

SEMINGGU sudah berlalu. Setiap ada masa terluang, mereka akan berbalas meseg. Boleh katakan saban malam mereka berbual di telefon. Menghilangkan rasa rindu, mengeratkan lagi hubungan cinta antara mereka.

Cinta tidak akan pernah kenal erti darjat. Kaya, miskin, cantik, tinggi, rendah.. Jika sudah bercinta, semuanya akan indah dipandangan. Semuanya akan disulami dengan perasaan yang berbunga-bunga mekar.

Khairil baru saja membalas Whatsapp Umaira bila pintu pejabatnya diketuk. Bukan Helmi yang masuk, namun ibunya Puan Seri Maria dan Puteri yang memasuki bilik.

“Khai, mommy nak ajak lunch. Jom.”

Dia melirik jam di tangan, oh lagi 15 minit pukul 1. Sudah masuk waktu makan tengahari. Ok. Dia bangun.

Sudah berkali-kali Umaira berpesan padanya, agar turuti sahaja kemahuan mommy nya itu. Khairil bukan tidak mahu keluar makan dengan mommy nya dan Puteri, dia cuma tidak mahu Puteri menaruh harapan pada perkahwinan yang dirancang mommy nya itu. Sebolehnya Khairil ingin mengelak.

Dia tahu, dia yakin, perasaannya terhadap Puteri yang sudah dianggap sebagai adik tidak akan berubah, namun dia risau jika Datuk Zamri mula campur tangan tentang masa depan anaknya itu.

Memanglah Datuk Zamri pernah berpesan padanya, hal berkaitan hati, tidak akan sesekali dia akan paksa. Jika Khairil cintakan gadis lain, jujurlah pada hati sendiri, jangan sesekali kecewakan hati Puteri.

Dan pesanan itu Khairil akan pegang. Dia memang tidak mahu kecewakan Puteri, tapi nampak gayanya, Puan Sri Maria sedang mencipta kekecewaan itu.

“Kita ada meeting hari ni, kan Helmi?” Sebaik keluar dari bilik pejabatnya, dia menemui Helmi.

“Ya, Encik Khai, pukul 3 di Putrajaya.”

“So mommy, kita naik kereta asinglah ya. Sebab lepas lunch, Khai dengan Hemi nak jumpa client kat Putrajaya. Bawa sekali document.”

Helmi mengangguk. Puan Seri Maria sudah tarik muka. Sudah 3 kali dia ke pejabat Khairil untuk mengajaknya lunch bersama. Hanya sekali sahaja yang Helmi tidak ikut sama. Dia harus mengatur rancangan lain. Dia perlu membawa Helmi jauh dari Khairil dan Puteri, agar keduanya boleh berbual berdua.

“Puteri jangan risau, mommy akan pastikan abang Khai akan jadi milik Puteri. Janganlah Puteri sedih ya.”

“Puteri bukannya apa, mommy.
Puteri malu.. macam Puteri saja yang terhegehkan abang Khai. Sedangkan dia, pandang Puteri pun tak nak. Asyik nak mengelak.”

“Ni semua sebabkan perempuan kampung tu. Geram betul mommy dengan dia tu.” Puan Seri Maria memang benci dengan gadis yang dikejar Khairil, Nurin Umaira itu. Sudahlah asal usulnya tidak tahu, orang kampung miskin mana agaknya.

“Mommy akan pastikan abang Khai akan jadi suami Puteri ya.” Dia mengusap mesra tangan Puteri. Entah kenapa, di matanya Puteri serba istimewa. Gadis itu bukan saja cantik, tapi sentiasa bersopan santun dalam segala hal. Jarang hendak nampak dia berbaju yang terdedah sana sini, walaupun dia seorang model. Belum lagi terbaca gossip tentang dirinya dengan mana-mana lelaki, sedangkan dia sekarang sudah mula berjinak-jinak menjadi seorang pelakon.

“Mungkin abang Khai masih anggap Puteri macam adik dia. Dulu-dulukan Puteri selalu main dengan Khairina.”

Itu antara sebab utama Khairil tidak dapat menerima Puteri sebagai kekasih. Sedari kecil, Puteri selalu sahaja mengikuti Khairina, ke London untuk menziarah Khairil dan aunty Mariam. Dia melayan Puteri sama macam dia melayan Khairina. Pernah dia berkata, dia mempunyai dua adik perempuan, yang sama cantik dan sama manisnya.

Mereka berhenti makan di restoran pilihan Puan Seri Maria. Pertama kali Khairil makan di situ. Dia tidak tahu apa yang menarik di situ. Tapi sekeliling restoran ini menarik. Suatu hari nanti dia akan bawa Umaira ke sini. Konsep garden restoran ini, tentu Umaira akan suka.

Menu makanan laut yang mereka pilih. Sebaik Helmi menyedut air minumannya, Puan Seri Maria bangun dan terus mengajak Helmi menemankan dia ke kedai bunga di hadapan restoran. Khairil sudah tepuk dahi. Ada sahaja muslihat mommy nya.

“Papa sihat?” Khairil memula bual. Kekok rasanya jika mereka berdiam diri sambil menunggu Puan Seri Maria dan Helmi.

“Alhamdulillah. Papa kirim salam tadi.”

“Waalaikumussalam.” Khairil mengangguk perlahan.

“Abang..”

“Ermm..” Mendengar suara lembut memanggilnya, kepalanya tegak memandang Puteri. Cuba mencari mata gadis manis itu. Menilik seraut wajah cantik di hadapannya. Tiada satupun kekurangan. Namun pandangannya kosong tidak berperasaan.

“Puteri...”

Oh tolonglah. Janganlah ada sesi luahan perasaan di sini.

“Puteri kenapa?”

“Puteri dah lama sukakan abang. Sebab suka kan abanglah, Puteri selalu ikut Khairina pergi tengok abang dulu kat London. Bukan sekali dua, Puteri ikut. Setiap ada kelapangan, abang tak pernah perasan ke?”

Memang Khairil boleh agak dari lirikan mata Puteri. Tapi masa itu, Khairil tidak mahu memikirkan soal hati, soal cinta. Khairil hanya ingin menghabiskan pembelajarannya, pulang ke Malaysia mencari gadis kecil comel itu. Lagipun dia sudah mempunyai ramai kawan perempuan di London. Untuk apa dia semakkan kepalanya dengan percintaan jarak jauh dengan Puteri.

“Tapi abang dah anggap Puteri macam adik abang. Macam Khairina. Abang minta maaf, sebab abang belum mampu ubah perasaan abang kepada cinta. Puteri pun tahu yang abang sudah ada pilihan hati abang sendiri kan?”

“Perempuan kampung tu?”
Laju Puteri bertanya.

“Tak kisahlah kalau Puteri nak anggap dia perempuan kampung, atau apapun, yang abang tahu, i love her very much. Dan abang dah berjanji pada dia, abang akan kahwini dia.”

“Puteri tak kisah kalau jadi nombor dua. Asalkan abang bagi peluang kat Puteri untuk ada dalam hidup abang..”

Oh, sampai macam tu sekali? Tidak mungkinlah. Khairil seolah sudah nampak akan masalah yang akan timbul jika dia mengambil Puteri sebagai nombor dua. Pastilah Umaira akan kehilangan dia akhirnya, jika Puan Seri Maria selalu ada menjadi orang tengah.

“Puteri pun tahukan, perasaan tak boleh dipaksa.”

“Tapi ia boleh dipupuk abang...” Dengan suara yang melerek merayu, jemarinya pula menyentuh tangan Khairil yang di atas meja.

“Abang cuma perlu bagi peluang pada Puteri. Kenali Puteri, Puteri cintakan abang..”

Pantas Khairil menarik tangannya. Aduh, ini kalau ada yang mengambil gambar, paparazi, boleh pening dibuatnya.

“Jaga batas diri Puteri.” Sengaja dia berpesan begitu. Dia tidak mahu Puteri merendahkan martabat diri seorang perempuan hanya kerana inginkan dirinya sebagai suami.

“Maaf..” Jika dia tidak menyintai Umaira, dia mungkin boleh memikirkan permintaan Puteri itu, ia dia tahu, perasaan boleh dipupuk. Perlahan-lahan rasa benci boleh bertukar menjadi sayang. Rasa sayang mungkin boleh bertukar menjadi cinta.

Tapi hakikatnya dia cintakan Umaira. Dia tidak mahu terlibat dalam cinta bersegi-segi dengan perempuan lain. Kalaupun dia terlebih mampu dari segi kewangan untuk beristeri empat, namun dia yakin dia pasti tidak mampu untuk berlaku adil.

Khairil hanya mampu tersengeh kecil, saat melihat Helmi mendekatinya, dengan mulutnya yang menyebut ‘sorry boss’ dengan suara yang hanya dia sendiri yang mendengar. Kasihan Helmi. Memang dia sudah membuat plan dengan Helmi, jika Puteri dan Puan Seri Maria mengajaknya lunch, akan mereka cipta pelbagai alasan untuk keluar bersama. Tak sangka pula mommy nya juga menyusun rancangan sendiri.

“Kita nak balik ofis ke, nak ke Putrajaya bos?”

“Putrajaya siapa handle?”

“Team Encik Razak. Tapi kalau bos nak join meeting tupun ok juga. Ni projek pertama kita dengan Rozza Management. Bos boleh berkenalan dengan diorang.”

“Projek berapa juta?”

“Haha! Projek kecil jer bos. Ribu-ribu jer. Tapi tak salah kalau bos nak kenal-kenal. Mungkin hari ni projek ribu-ribu, esok lusa siapa tahu.”

“Ada-ada jer eh. Oklah jom.”

“Mana tahu bos, Puan Seri follow kita dari belakang. Nanti kantoi lah kalau kita buat macam ni lain kali.”

Ada betulnya juga cakap Helmi. Oklah, jom kita ke Putrajaya.

“Bijak juga kau ni ya.”

Helmi ketawa lagi. Melihat sikap periang Helmi dan selalu mengambil berat tentang dirinya, buatkan dia terhibur. Hilang sedikit rasa gundah perihal Puteri.

“Tadi Puan Seri tanya saya macam-macam. Semua tentang jadual bos dalam dua minggu ni. Saya katalah bos full, appoinment penuh. Tapi saya tak boleh tolong kalau hari minggu bos. Tak akanlah hari minggu pun bos ada appointment, macam tak logik sangat. Projek yang adapun, banyak kat branch lain.”

“Kalau macam tu, ke Kuala Terengganulah hujung minggu ni. Appointment dengan branch kat sana. Dah rindu ni.”

Mereka sama-sama ketawa, tanpa tahu yang Puan Seri Maria juga sudah membuat rancangan sendiri. Hujung minggu Khairil bakal diisi dengan rencananya.

Sementara Helmi memandu, Khairil menyeluk saku seluarnya, mengambil iPhone ‘skandal’nya. Terus menekan nama Umaira di contact list.

Rindu bertandang di hatinya. Melihat pujuk rayu Puteri tadi, dia teringin jika Umaira juga memujuk rayu padanya. Haha! Rasanya tak mungkin, tapi apalah salahnya kalau mencuba, ia tak?

Panggilannya dijawab. Telinganya menangkap bunyi persekitaran yang agak bising. Kat mana agaknya si buah hatinya itu.

“Hai sayang..” Panggilnya dengan suara yang meleret manja.

“Hai awak.” Jawab yang di sana.

“Alaa sayang.. jawablah ‘hai abang..’ sedap sikit hati I mendengarnya..” macam merajuk ajer si Khairil ni.

“Mengadalah dia ni...” Ada tawa halus Umaira yang Khairil dengar, buat dirinya terasa bagai sudah diawangan, angau dibuatnya.

“Sorry..” Bunyi tergesa-gesa.

“Why?”

“Saya kat luar ni, dengan Hamdan. Nanti malam saya call semula ya.”

“Dah kenapa kalau dengan Hamdan tak boleh cakap dengan I?” Nada marah pula. Potong mood lah Umaira, Khairil baru nak feeling Dilwale ni.

“Bukan. Nak masuk kereta dah ni. Bunyi bising, tak selesa nak berbual. Malam saya call ya. Ok bye.”

Eh, Umaira ni. Lepas beri salam terus sahaja letak telefon. Buat hati Khairil rasa semacam. Dia memegang dada. Tak tahu, samada dia sedang merajuk, marah atau apa sebenarnya.

“Kenapa bos?”

“Entah...” Dia berjeda, kemudian menyambung. “Dia keluar dengan Hamdan.”

“Ah, bos jelous eh?”

Serius, jelous ke yang sedang dia rasa sekarang ini?

“Relaks ah bos, cemburu tu tanda sayang. Apa kata bos buat face time jer. Buat video call.”

“What a brilliant idea, Helmi.” Khairil dah mula rasa teruja. Bahu Helmi ditepuk berkali-kali.

‘Nak dating dengan Hamdan ya, meh kita skodeng dia.’ Terus sahaja dia membuat panggilan video, menunggu beberapa detik sebelum panggilannya ditolak. “Eh, dia tak tak angkat. Something fishy.”

Mendail lagi. Dan kali ini dia melihat wajah Umaira di skrin.

“Sayang... apasal decline call I?”

“Dalam keretalah. Kan dah cakap saya kat luar.” Nampak wajah kurang selesa Umaira. Ya betul, dia dalam kereta.

“Siapa drive?”

“Saya Encik Khai.” Dia terdengar suara lelaki, dan seketika dia nampak Hamdan bila Umaira memusingkan telefonnya. Wait! Kat belakangpun macam ada oranglah. Ya, ada dua orang perempuan yang lain dalam kereta tu. Mereka melambai tangan. Khairil dah tertawa, tentu tadi Umaira malu nak berbual dengannya, memandangkan dia bukan sahaja dengan Hamdan, malah ada rakan yang lain.

“Ok. Puas hati tak?” Ayat geram tu Umaira.

“Haha! I ingat you keluar date dengan Hamdan. I punya jelous rasa macam nak drive ke sana jer sekarang ni.”

“Merepek.” Umaira buat cemek muka. Aduh, buat hati Khairil jatuh melepuk kat jalan.

“Nanti call tau.”

“Eya..” Kasihan Umaira, tentu dia tengah malu sekarang ni, lagilah dengan Khairil buat flying kiss. Haha! Apalah kau ni Khairil. Cinta yang meluap-luap di dalam hati memang kadang kala susah nak kalau lagilah bila cemburu mengganggu.

“Jangan nak ketawa ya Helmi. Kamu dengan Juita tu apa kurangnya.”

“Saya baru nak kenal-kenal bos. Belum sampai ke tahap cinta seluas lautan macam bos ni.” Helmi tertawa lagi. Melihatnya itu, Khairil juga tertawa. Hilang bebanan perihal Puteri di kepalanya.

******

Singapore? Khairil memicit pelipis. Mommy ajak teman ke Singapore, katanya ingin menziarahi kawan di sana. Daddy pun ikut sekali. Pergi sahajalah dengan daddy, kenapa Khairil kena ikut sekali. Khairil nak pecut ke Kuala Terengganu ni. Khairil nak jumpa Umaira, nak duduk depan Umaira, menatap puas wajah cantik gadis itu. Khairil rindukan Umaira, please lah faham perasaan Khairil.

Tak boleh jadi ni. Last week pun dia tak dapat berjumpa Umaira. Mommy plan makan malam dengan Datok Zamri. Paksa dia tidur di banglo mewah Tan Sri Sufrie.

Sudahlah puas dia memujuk Umaira gara-gara gambar Puteri memegang tangannya di restoran hari tu. Sudah diagak itu perancangan mommy dan Puteri. Untunglah Umaira seorang yang sangat memahami, walaupun ada nada merajuk, namun masih boleh dipujuk.

Bob juga ada bertanya tentang gambar itu, manakan tidak. Puteri post di Instagram miliknya, cepatlah tersebar. Dia perlu buat sesuatu, dia perlu.

Ya, rancangan perlu diatur. Dia tidak boleh berlengah, Umaira mesti menjadi miliknya yang sah. Baru semua orang tidak lagi akan mengganggu mereka berdua.

Tapi apa yang perlu dibuat ya? Sedang dia berfikir-fikir, dia teringatkan kunci rumah Umaira. Hati hitamnya mula bersuara. “Kunci dah ada, tengah perlu masukkan ke tombol dan buka pintu.”

Pertengkaran dengan Imran terngiang di telinga. “Kau nak buat apa sebenarnya?” “Adalah, kau nak tau kenapa?”

“Kau tau tak, maruah seorang perempuan tu tinggi nilainya.”

“Cara tu saja yang boleh jadikan dia isteri aku, kau faham tak sekarang ni?” Suaranya sudah meninggi.

“Banyak cara lainlah, Khai. Kau pergi jer meminang, cara baik. Cerita yang benar, rasa keluarga dia ok lah.”

“Tak semudah macam yang kau cakaplah Im.”

“Habis kau ingat, kalau kau buntingkan Umaira tu, semuanya selesai? Kalau dia benci kat kau macam mana? Kalau dia terus tak nak dengan kau? Kau ada fikir tak?”

“Bunting?”

“Pregnant. Duduk kat London lama sangat, bunting pun tak tahu.”

Aku tahulah maksud bunting tu, Im. Tapi aku tak bermaksud sampai ke tahap tu.

“Idea menarik juga tu. Umaira pregnant anak aku? Jadi nak tak nak family dia kena terima akukan.” Khairil sudah berfikiran jahat. Ya, bagus idea tu. Sangat bagus. Sekarang ni dalam kepala Khairil bagaimana dia hendak laksanakan idea menarik Imran tu. ‘Kunci kan ada’ hati hitam nya berbisik lagi.

“Kau gilalah Khai. Tak akanlah kau nak rogol Umaira? Istighfar banyak-banyak Khai. Banyak cara lain lagi.”

Kasar ayat kau tu Im. Rogol? Tak pernah terdetik di kepala akupun. Umaira calon isteri, bukan perempuan simpanan. Dia bukan skandal, dia bukan skandal.. tergamakkah Khairil nak perlakukan Umaira sebegitu? Ooh Khairil buntu.

“Cara apa lagi? Kalau minta cara baik, tak akanlah Umaira nak bagi free kan, jadi kita minta cara paksalah.” Jawapan Khairil tu Imran hadiahkan dengan sebiji penumbuk. Untung Khairil sempat mengelak, tapi bahunya sakit juga bila penumbuk Imran tersasar ke bahunya.

Imran sukakan Umaira, ya dia tahu itu. Dia boleh nampak dari mata sahabatnya itu setiap kali dia memandang Umaira. Sebab itulah Imran menghilangkan diri, selepas pertengkaran mereka itu. Dia sudah ke Australia mengikuti kursus jangka pendek di sana.

Khairil berjeda lagi.

“Kau akan buat selamanya orang akan anggap dia skandal kau. Kau akan buat orang pandang hina pada dia.”

Kata-kata terakhir Imran, buat Khairil semakin sakit kepala.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience