[ Bab 48 ] DBS

Romance Completed 253377

Entah sudah berapa kali Khairil mundar-mandir di biliknya, sebaik pulang dari bermain golf dengan Datok Zamri dan Tan Sri Sufrie. Entah sudah berapa kali jugalah dia membayangkan perkara yang bukan-bukan antara Umaira dan Izzuwan. Sakit kepala jadinya.

Itu semua gara-gara dia menerima sekeping gambar lagi di Whatsapp dari Helmi, gambar Umaira dan Izzuwan yang sedang berbual. Walaupun dia hanya melihat gambar mereka berdiri tegak berhadapan, namun hatinya sudah dikuasai rasa cemburu. Tidak boleh jadi kalau berterusan begini, satu kerjapun dia tidak boleh lakukan. Ketika cemburu sudah menguasai diri, dia tahu apa yang patut dia lakukan sekarang.

Memanglah dia yang menyuruh Helmi untuk sentiasa memberitahunya jika ternampak Izzuwan dan Umaira. Sudah dipaksa PA nya itu untuk menjadi spy nya di sana, namun hatinya tidak boleh menahan suara-suara cemburu yang sangat menyesakkan jiwanya.

Beg sandang di ambil, beberapa helai baju dan seluar di sumbat ke dalam beg. Grab car juga sudah di tempah, dia perlu ke airport dengan segera, kerana tiket online nya ke Kuala Terengganu akan berlepas dalam 2 jam lagi. Dia perlu ada di sana, dia perlu sentiasa ada di sisi Umaira, dia tidak mahu Izzuwan mendekati cinta hatinya itu.

Dia juga mahu membuat kejutan, tentu sahaja cinta hatinya itu akan merasa gembira melihat kehadirannya, mungkin juga bangga mahu memperkenalkan dirinya sebagai kekasih hati. Ya selepas dari peristiwa haru biru yang memaksa Umaira bertukar kerja, mereka tidak lagi membuat sebarang pengumuman tentang hubungan cinta mereka. Cuma adalah yang Khairil update di dalam Fac dan IG miliknya. Namun masih lagi merahsiakan siapakah sebenarnya Nurin Umaira, manakan tidak, sehingga sekarang, Umaira masih belum lagi menerima dia sebagai sahabat baru, Umaira tak accept friend request. Dari Juita dia pernah mendengar yang Umaira memang seorang yang tidak aktif dalam media sosial.

Kalaulah Umaira selalu mengikuti gambar-gambar di Fac dan IG miliknya, tentu Umaira sudah jumpa sekeping gambar yang pernah dia post beberapa tahun lalu. Ah, mungkin gambar itu sudah jauh ke bawah memandangkan dia memang suka posting gambar dan share view yang cantik di media sosialnya.

Khairil mula menyusun rancangan sendiri. Contact list 'Hamdan' ditekan. Dia perlukan pertolongan Hamdan.

"I boleh percayakan you, kan Hamdan?"

"Tentu saja bos, everything for you, boss, just name it." Wah, ayat Hamdan ayat bodek bos nampaknya.

"I akan sampai sana dalam sejam lagi. Booking kan I bilik VIP kalau boleh. Then ambil I kat airport. Don't be late, I nak buat surprise pada my Umaira."

"Malam ni pun ada barbeque Encik Khai, Cik Umaira yang request tadi, nak jamu kawan-kawan dia katanya. Oh ya, ada seorang lagi baru saja check-in tadi."

Seorang lagi? Siapa pula ni? Argh, nanti sajalah dia bertanyakan Hamdan, dia harus bergegas, kapal terbang tidak akan menunggu dia. Jika dia terlepas penerbangan ini, dia pasti akan terlewat sampai.

Hati sudah berdebar tidak terkata. Maklumlah sudah juga hampir 2 bulan tidak bersua, hanya suara yang menghiasi malamnya, atau hanya wajah manis yang dilihat dari panggilan video. Dia rindukan tawa manja Umaira. Tentu saja, dia lebih rindukan haruman bau Umaira, yang boleh membawanya terbang ke langit.

Dia membelek gambar Umaira di Instagram milik buah hatinya itu. Gambar terbaru yang dikongsinya, gambar kemeriahan dan kebahagiaan, bersama rakan-rakan lamanya. Argh, di dalam gambar itupun ada muka Izzuwan. Oh Tuhan, Khairil Izhan sangat benci lelaki itu.

Barbeque? Umaira sengaja nak berdekat-dekat dengan Izzuwan ke? Dia tidak boleh berlengah. Dia risau jika nanti, Izzuwan akan mula cucuk jarum, mula bercakap tentang dia yang selalu keluar lunch dengan Puteri. Tentu nanti ada sahaja cerita baru yang direka Izzuwan. Macam-mana ni? Khairil dah separuh gila kerana cemburu pada Izzuwan. Ah, dia sudah mula berkira-kira hendak pecat sahaja Izzuwan. Seketika kemudian dia teringat kata-kata Tan Sri Sufrie.

"Izzuwan tu seorang pekerja yang baik. Good performance, and a good team leader. Jangan sesekali Khai campur adukkan soal peribadi dengan kerja. Sepanjang dia menjadi orang kuat Mansor, daddy belum pernah dengar complaint dari client tentang Izzuwan. Kalau iapun dia sukakan Umaira, or dia cintakan Umaira, itu hak dia, sebab dia tu hari-hari jumpa Umaira, bekerja dengan Umaira. Khai baru saja kenal Umaira kan, jadi jangan melebih-lebih."

Ah, semua orang kata, dia dan Umaira baru sahaja kenal. Daddy pun cakap begitu. Apa mereka tak boleh kenal ke siapa Umaira.

Awalnya, Khairil juga tidak tahu. Memang dia ada berniat hendak mencari budak perempuan comel bertocang dua sebaik pulang ke Malaysia. Mungkin dia boleh mulakan dari rumah pusaka keluarganya di Johor Bahru. Namun Allah mempermudahkan urusannya, bila dia menerima sekeping gambar di Whatsapp dari penyiasat yang diupahnya mengekori ke mana jua Umaira pergi sewaktu dia bertugas di Nusajaya. Dan bila dia siasat salasilah keluarga Umaira, dia yakin dia sudah menemukan apa yang hendak dicarinya selama ini. Perancangan Allah itulah yang sebaik-baik perancangan.

Khairil tertinjau-tinjau mencari Hamdan. Dia ingat-ingat lupa pada lelaki itu. Berkulit sawo matang, sedikit berisi dan tidak setinggi dia. Kalau Hamdan masih beruniform resort, dia pasti boleh cam, kemeja corak abstrak kaler biru. Sedang asyik dia melihat sana-sini, seseorang datang menepuk bahunya.

“Encik Khai!” Hamdan tersengeh.

“Sorry tak perasan tadi. Jom. Dah lewat ni. Belum solat Asar.” Ya, sedari tadi dia sudah berkali-kali mengingatkan dirinya, yang dia belum menunaikan kewajipan rukun Islam itu. Dia perlu bersegera. Dia sudah terlalu lewat.

“Encik Khai nak tinggal berapa lama kat sini?”

“Sampai Ahad. Maybe boleh balik KL saing kawan-kawan Umaira. Dia orang pun naik flight kan?”

“Ya. Encik Khai kenallah semuanya ya. Semua staf Mega Holdings, department Cik Umaira dulu.”

“Ya kenal.” Kenal sangat Hamdan, terutama si Izzuwan tu. Hai lah, Khairil Izhan tak habis-habis nak semakkan kepala sendiri dengan lelaki bernama Izzuwan itu.

“Encik Im...”

“Eh, turun kat sini dulu, nak lari ke surau.” Hamdan tidak sempat menghabiskan kata-katanya bila Khairil tergesa-gesa suruh dia berhenti di hadapan surau resort.

“Tunggu kat lobi.” Khairil terus berlari anak menuju ke surau. Jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 6 petang.

Ada yang ingin dia perbaiki di surau resort ini. Nantilah dia akan bincangkan dengan Umaira. Mungkin juga dengan pengurus yang sepatutnya, yang masih bercuti lagi sekarang ni.

Siap bersolat, dia berjalan perlahan menuju ke lobi. Topi ditarik ke bawah cuba untuk menutup wajahnya. Dia tidak mahu dilihat sesiapa. Ah, tapi dia lupa hendak berpesan pada Hamdan, jangan beritahu sesiapa tentang kedatangannya.

“Encik Khai, ni kunci.”

“Thanks Hamdan. Malam nanti join lah sekali.”

“Tak rasanya Encik Khai, shift saya dah habis ni, nak balik dah ni.”

“Jomlah join sekali. Bukan selalukan. Jumpa malam nanti ya. Haa! Jangan beritahu Cik Nurin Umaira ya.” Senyumnya melekuk manis sambil tangan melambai kepada dua staf perempuan yang bertugas di kaunter. Nama? Tentu saja dia tidak tahu.

Melangkah sendirian ke chalet. Hamdan hendak menghantarnya tadi, namun dia menolak. Dia sudah cam jalan di resort ini. Tak ada yang berubah dalam tempoh dua bulan ini.

Baru sahaja hendak melabuhkan punggung ke sofa, iPhone nya berbunyi. Mata melirik nama si pemanggil. 'HELMI'. Ishk Helmi nampak dia ke?

“Bos, saya dapat notification, boss near by. Bos kat mana ni?”

“Eh, sekejap kau kat mana sekarang ni, Mi?”

“Kat luar ni bos, ambik angin pantai. Cantik view kat sini, lebih cantik sebab ada buah hati kat depan mata.”

“Kau dengan Juita ke?”

“Taklah bos, dia tu haa kat depan sana dengan Umaira. Berkepit dari tadi, saya boleh tengok je.”

“Haa.. lega aku. Orang lain tak tahulah kan, aku near by? Aduh lupa nk off location. Saja nak buat surprise. Kau jangan bocor rahsia pula ya. Ni semua kau punya fasallah, apahal hantar gambar Umaira dengan Izzuwan?”

“Dah bos kata skodeng dan bagi info. Tu hot info lah bos. Eleh, hari tu saya ajak pergi sekali tak nak. Last dia datang juga.” Helmi tertawa suka. Lebih kau ya, Helmi. Dengan bos pun kau nak gurau kasar ya.

“Chow dulu bos. Nanti pandailah saya tekan ayat. Biar kasi up bos sikit. Memang patut bos gilakan dia, semakin cantik saya tengok.”

“Eh kau dah lebih ni Helmi.” Tinggi sikit nada suaranya.

“Alah gurau sikit dah sentaplah bos ni. Ok bos. Chow dulu. Assalamualaikum..”

Waalaikumussalam. Hati kalau dah suka, semuanya jadi cantiklah Helmi. Terus sahaja dia off location di setting phone. Dia tak friend list dengan Umaira, dia juga tak friend list dengan kawan-kawan Umaira. Maksudnya tak adalah orang tahu tentang kehadirannya di sini. Helmi tentu sahaja tak berani nak buka mulut.

Rehat dululah. Kosongkan fikiran. Buang nama Izzuwan dalam fikiran.

Ya Khairil tahu, Izzuwan memang sudah lama kenal Umaira. Mungkin sudah 4 tahun mereka bekerja bersama, mungkin sudah banyak juga cerita suka duka yang mereka kongsi, tapi tak bermaksud semua tu boleh membuahkan rasa cinta dan kasih sayang.

“Cuba lihat Khairina, bukan dia bercinta dari usik mengusik saja dengan Idham? Sekarang, dah kahwin dan dah ada anak. Jadi Khai tak boleh salahkan Izzuwan kalau dia selalu usik mengusik Umaira, sebab mereka berdua dah kerja sebumbung tu lama. Bukan baru sebulan dua.”

Ah, semua orang nak membandinglah sekarang ni. Tangannya meraup mukanya. Beristighfar berkali-kali. Menenangkan hatinya dengan kalimah Allah.

Entah bila matanya terlelap dan dia terlena di sofa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience