[ Bab 47 ] DBS

Romance Completed 253440

Fokusnya sudah hilang entah ke mana sejak dari dia menerima photo kiriman dari Helmi. Dia tahu Helmi dan Juita beserta beberapa orang rakan sedang bercuti ke Kuala Terengganu, di samping itu pastilah untuk bertemu Umaira yang memang ada di sana. Umaira juga ada memberitahu padanya, beberapa orang sahabat baiknya dari Mega Holdings akan datang bercuti dan sudahpun menempah awal di resort.
Dia bukan cemburukan wajah riang atau senyuman manis sehingga menampakkan gigi putih bersih Umaira, namun kehadiran seseorang di dalam gambar itu yang menjadikan hidupnya saat ini sedang berperang dengan perasaan cemburu.
Gambar yang dikirim Umaira beberapa minit selepas Helmi menambah gelodak jiwa kacaunya. Dia tahu Umaira sedang bergembira menerima kunjungan sahabat lamanya terutama Juita. Namun yang menjadi igauannya sekarang, bila ada muka Izzuwan di gambar itu.
Entah sudah berapa kali Khairil mengeluh. Rasa cemburu sangat mempengaruhi dirinya saat ini. Kayu golf dicampak tanpa sengaja, membuatkan Datok Zamri dan Tan Sri Sufrie berpaling memandangnya.
Topi di tarik menutup sedikit mukanya. Dia tahu, pasti akan ada soalan yang akan diaju kepadanya. Khairil tidak bersedia untuk menjawabnya. Saat ini, Khairil hanya ingin memandu laju menemui Umaira, dia tidak mahu Izzuwan mendekati cinta hatinya itu. Dia tidak mahu, Izzuwan berbicara, berbual dengan Umaira. Dia risau jika Izzuwan akan mengumpan Umaira dengan kata-kata manis bermadu, hingga boleh menyebabkan Umaira lupakan dirinya. Lupakan cinta Khairil Izhan.
Pasti Izzuwan sudah merancang banyak perkara, Tentu Izzuwan... aargghh! Sakit pula rasa hati. Tanpa sedar, keluhan berat keluar lagi dari bibirnya. Dia berpaling, kakinya baru sahaja hendak melangkah, bila bahunya dirangkul mesra.
"Uncle.." Malu dia bila Datok Zamri tersenyum padanya.
"Kenapa? Ada masalah ke?"
"Masalah apa lagi, Zam. Dah kalau namanya Khairil Izhan, tentulah hati tengah berperang dengan cinta. Mamat sado, tapi dalam hati ada taman." Ketawa sinis Tan Sri Sufrie seolah mengejek pula.
"Uncle selalu pesan pada Puteri, perihal cinta, ikutlah kata hati. Tapi pastikan kata hati kita tu, tidak bertepuk sebelah tangan."
"Maksud uncle?" Usia dah menjangkau 30 tahun, tapi bab-bab soal hati ni, Khairil rasa dia masih anak-anak lagi. Masih banyak yang dia harus belajar.
"Uncle tahu, Puteri sangat cintakan Khai. Tapi Khai tidak pernah cintakan Puteri. Memang uncle ajar Puteri untuk ikut kata hati, perjuangkan cinta, utamakan hati sendiri. Tapi uncle juga ajar anak uncle tu, jangan jadi perampas, untuk apa kita kejarkan orang yang tidak cintakan kita, kerana akhirnya, kita sendiri yang akan kecewa dengan tindakan kita tu."
Datok Zamri tersenyum lagi. Mereka melangkah menghampiri ke Golf cart.
"Khai tak usah risaulah. Nanti uncle akan nasihatkan Puteri. Dia memang dari dulu sukakan Khai, sebab tu, dia selalu nak ikut Khairina kalau dengar Khairina nak pergi tengok Khai. Walau masa tu dia ada exam, ada urusan lain yang lebih penting, dia tetap akan berkeras nak ikut Khairina pergi tengok Khai. Dia selalu kata dia nak jadi cantik, supaya Khai hanya pandang dia. Rupanya ada yang lebih cantik yang dah tambat hati Khai."
Ya, Khairil tahu, Puteri lebih kerap mengunjunginya di London, dari ibu kandungnya sendiri.
Dia juga sudah berulang kali dengar yang Puteri memang cintakan dia, tapi haruskah dia korbankan perasaan sendiri hanya untuk kebahagiaan Puteri. Memang orang selalu kata, 'Sayangilah orang yang menyayangi kamu sepenuh hati, kerana belum tentu kamu akan mendapatkan kasih sayang sebegitu dari orang yang kamu suka'. Tapi Umaira juga cinta dan sayangkan Khairil, mereka saling menyayangi dan mencintai. Kata-kata itu, boleh saja Khairil ungkapkan pada Umaira, bukan pada Puteri.
"Cinta itu unik, Khai. Cinta tidak seharusnya memiliki. Cinta itu tentang perasaan yang memberi dengan setulus hati. Kalau Khai yakin dengan cinta Khai, kejarlah cinta Khai itu, tapi pastikan cinta itu bukan merampas hak orang. Uncle dulu pun pernah muda dan pernah bercinta."
Bila orang yang sudah banyak pengalaman, menasihati tentang perasaan, Khairil suka untuk mendengar dan menerima nasihat. Alangkah bagusnya, kalau mommy dan daddy menasihati dia sebegini. Ini tidak, mommy suka mendesak, sedangkan daddy sentiasa bersikap cool, sedangkan dunia cintanya sedang bergolak sekarang.
"Kau pinangkan sahajalah budak perempuan tu, Rie. Ni, dalam otak dia ni, asyik fikir cinta, kahwin, nanti lagi kau tangguh-tangguhkan, boleh mengundang maksiat. Ni kalau iman tak kuat, aku rasa dah lari ke mana agaknya." Datok Zamri tertawa lagi. Sungguh bagai yang dikata, kalau keadaan berterusan begini, Khairil nekad akan laksanakan niat jahatnya, atau bawa sahaja Umaira lari ke mana-mana dan paksa kahwin dengannya.
"Bukan tak nak masuk meminang sekarang ni, aku tak mahu rebut-rebut. Karang kalau buat majlis tergesa-gesa, orang kata si Khai ni dah buntingkan anak orang pula. Tahu sajalah mulut-mulut yang kat luar sana tu. Kes dia bawa Umaira ke hotel, ke banglo dia semua itu, baru saja dalam 2 bulan. Aku tak naklah orang kata, dah mengandung tu yang cepat-cepat kahwin. Aku kena jaga reputasi Mega Holdings. Projek tengah banyak ni."
Kalau daddy explain perkara ni dekat Khai betul-betul, kan senang. Khai tentu saja faham. Ini daddy biarkan Khai terumbang-ambing dengan perasaan marah Khai. Perasaan terkilan dengan sikap acuh tak acuh daddy, dengan sikap kuat mendesak mommy. Tapi kalau perkara ni ditangguhkan lama-lama, nanti macam-macam agenda pula yang mommy buat.
"Khai jangan risau, kalau pun tiba-tiba mommy Khai datang meminang Puteri, uncle akan pastikan Khai yang buat keputusan. Uncle janji uncle akan bincang dengan Khai dan tak akan buat keputusan sendiri."
Mendengarkan penjelasan itu, hati Khairil Izhan kembali tersenyum. Dia yakin Datok Zamri tidak akan mungkir janji, lagilah dia berkata di hadapan sahabat baiknya sendiri, Tan Sri Sufrie, ayah Khairil Izhan.
***
Nurin Umaira tertawa riang dengan sahabatnya. Dia awal-awal lagi sudah menukar offday dari Jumaat ke Ahad, hanya ingin menyambut sahabat baiknya yang sanggup datang dari KL. Walaupun kedatangan mereka hanya beberapa hari, namun sudah cukup membahagiakan.
Sedari tadi dia tidak henti-henti berbual dengan Juita dan Dayang. Sesekali ada juga dia menjeling ke arah Izzuwan yang asyik memandangnya. Dia tidak mahu bercakap dengan lelaki itu. Hatinya masih marah dengan kata-kata lelaki itu. Umaira tidak mahu memperdulikan dia.
"Mai, kau sihat tak?"
"Sihat sangat. Terima kasih tau sebab datang tengok aku kat sini. Ibu dengan ayahpun belum datang lagi."
"Serius ah? Dah 2 bulan kau kat sini, diorang belum jenguk?"
"Belum. Katanya tunggu Luqman dan Hafiz cuti semester. Alah, tak ada apalah, lagipun selalu call." Umaira akan bertambah cantik, bila senyuman manis sentiasa mekar di bibirnya.
"Encik Khai? CEO kita tu? Dia ada datang?" Malulah pula nak menjawab soalan Dayang. Boleh tak kalau nak tukar topik lain.
"Lepas kes dulu tu dia ada datang. Mula tu dia tak tahu aku kat sini."
"Korang dah ok lah ya? Bila dia nak meminang kau?"
"Ishk, ke situ pula." Mereka tertawa. Juita ada bercerita, Puan Seri Maria dan Puteri selalu saja datang ke Mega Holdings. Boleh katakan setiap hari untuk lunch dengan Encik Khai. Ada sahaja rancangan Puan Seri Maria untuk temukan Puteri dengan Encik Khai. Lepas tu mulalah Puteri akan update IG dia minta doakan hubungan dia dengan Encik Khai berpanjangan.
"Kadang tu aku rasa meluat pula kalau tengok dia melebih-lebih. Sebab dalam IG Encik Khai tak ada pula gambar Puteri. Semua gambar kau."
"Eh, Mai. Sorry tau, sebab Izzuwan ikut sekali. Dia beria-ia nak ikut, nak minta maaf dengan kau. Nanti senang-senang kau berbuallah dengan dia. Jangan bermusuh lama sangat, kau pun tau dia dah lama sukakan kau. Sejak kau masuk kerja kat Mega Holdings lagi."
Umaira sekadar merenung pemandangan indah di hadapannya. Dari resort mereka boleh nampak pantai dan pepohon yang kehijauan. Indah sekali ciptaan Allah, sangat mendamaikan. Teringat dia akan kata-kata Izhan, memandang laut itu Sunnah. Rindu pula dia pada lelaki itu, sudah lama tidak bertemu, saban hari hanya berbual di telefon.
"Berapa lama kau kat sini, Mai?"
"Tak pastilah, sebab kata Tan Sri dulu, suruh gantikan pengurus yang cuti bersalin. Rasanya dalam 3 minggu lagi dia dah naik kerja. Jadi aku tak tahulah, samada terus kat sini atau kena berhenti kerja."
Melihat pada wajah kepenatan Dayang, Umaira cepat-cepat menyuruh mereka berehat di bilik. Petang atau malam nanti dia akan bawa mereka jalan-jalan di Kuala Terengganu. Menikmati makanan yang sedap-sedap dan melihat keindahan malam. Dia menghantar sahabat baiknya itu sehingga ke bilik. Kemudian dia hendak kembali ke lobby. Namun langkahnya terhenti bila Izzuwan berdiri menghadang jalannya.
Dia belum mahu bercakap dengan Izzuwan. Dia tidak mahu kegembiraan hatinya bertukar menjadi marah mahupun sedih. Dia tidak mahu Izzuwan mengganggu harinya.
Umaira cuba mengelak, dia terus berlalu tanpa menegur lelaki itu.
"Umaira, please. Saya minta maaf."
Sebolehnya dia tidak mahu bercakap dengan lelaki itu. Ada rasa marah di hatinya yang belum reda. Ada rasa geram di hatinya yang belum hilang, ada rasa sakit di hatinya yang belum sembuh.
"Umaira.. Saya minta maaf, saya tahu saya tak patut kata awak macam tu. Saya betul-betul minta maaf dan saya sangat menyesal."
"Baguslah kalau dah menyesal. Lain kali kalau nak bercakap tu, fikirkanlah juga perasaan orang lain." Tak menunggu lama Umaira terus sahaja berlalu meninggalkan Izzuwan.
'Berapa semalam dia bayar awak, Umaira?' Entah sudah berapa kali ayat itu berulang-ulang di fikiran Umaira. Selama ini dia sudah lupa, namun sebaik Izzuwan muncul di hadapannya, ayat itu menghantui dirinya kembali. Maruahnya bagai dipijak-pijak oleh Izzuwan pada ketika itu. Semurah itukah dia di mata Izzuwan yang selama ini sangat sabar dalam memikat hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience