[ Bab 58 ] DBS

Romance Completed 253440

Sebaik tiba di rumah, Nurin Umaira terus ke biliknya dan keluar semula beberapa minit kemudian dan terus dapur. Dia pantas membasuh beras yang sudah dia sediakan. Niat untuk memasak nasi lemak harus dilaksanakan. Masak menggunakan periuk serba guna Noxxa beberapa minit sudah tanak nasinya. Lagipun semuanya memang sudah dia siapkan, tinggal hendak merebus telur, memotong timun dan membuat sambal. Lebih lagi ada ayah dan Tan Sri Sufrie, dari bersarapan di luar, baiklah dia menyiapkan nasi lemak.

Dia mengambil teko dan menekan butang air panas dari mesin air Coway. Kopi pekat. Mr. CEO suka kopi. Ayahpun suka. Harap-harap Tan Sri Sufrie juga suka.

"Buat apa?" Izhan datang mendekat. Ayah dan Tan Sri Sufrie masing-masing di bilik air.

"Main pondok-pondok.."

"Main seorang ke? Afasal tak ajak sekali?"

"Budak London macam awak pandai ke main pondok-pondok?"

"Ermmm.. main pondok-pondok tak pandai, kalau main kahwin-kahwin pandai. Main kahwin-kahwin nak tak?"

"Ishk dia ni dari malam tadi asyik cakap kahwin je. Dah tak sabar sangat ke?"

"Kalau dengan Nurin Umaira memanglah tak sabar. Geram saja tengok lenggang lengguk dia. Rasa nak peluk-peluk." Muka lelaki gatal siap dengan kening terjongket-jongket, buat Nurin Umaira menyampah.

"Kalau saya betul mengandung tadi macam-mana?" Dia memandang tepat ke wajah hensem di sebelahnya. Sengaja berlawan mata dengan soalan maut begitu.

Dilihatnya Izhan memeluk tubuh dan menyandarkan badan sasanya ke meja. Wajahnya berubah serius.

"Anak siapa?" Matanya tajam merenung Nurin Umaira. Dalam renungannya. Takut pula bila melihat wajah itu serius begitu. Wajah mamat muka ketat.

"Saya kata kan, kalau..." Suara Umaira sudah merendah.

"Ialah KALAU, tapi, anak siapa?" Soalan itu diulang lagi tapi kali ini lebih tegas dan perkataan ‘kalau’ itu ditekankan. Ah, mak! Nurin Umaira takut dengan muka serius tu.. Rasa nak menangis Nurin Umaira saat itu.

"Anak I ke, anak orang lain?" Suaranya masih kedengaran tegas.

"Dah awak yang berani masuk rumah sayakan, tak akanlah anak orang lain. Eh dahlah. Orang tanya je pun, janganlah serius macam ni. Nangis nanti baru tau.." Nurin Umaira sengaja buat cemek muka. Tak sukalah dia dengan muka serius Izhan.

"Walaupun I ada duplicate kunci rumah you, walaupun I masuk rumah you tanpa izin malam tadi, tapi I tak akan sentuh you selagi belum jadi milik I yang halal. Itu janji I pada diri I sendiri. You adalah bakal isteri I, so nak buat apa I gelojoh sampai tak boleh tunggu kita nikah. Sebab tu I tanya anak siapa? You ada boyfriend lain ke?"

Aduh makin serius pulak lah perbualan ni. Janganlah buat Nurin Umaira takut. Boleh nampak dengan lirik mata, wajah serius Izhan. Adumak, apa nak jawab ni. Nurin Umaira cuba-cuba cari idea nak menjawab soalan pedas Izhan.

"Ada.. Dulu zaman budak-budak. Sampai sekarang saya ingat dia. Sampai sekarang saya tunggu dia.. Puas hati?" Ia, dia masih harap dapat jumpa budak lelaki itu walau sekalipun jadilah. Atau mengetahui di mana budak lelaki itu sekarang. Tapi dia tidaklah serius atau bersungguh hendak mencarinya, sekadar berharap jika ada peluang untuk berjumpa.

"Kalau masih ingat, kenapa tak cari dia?" Ah, semakin menyakitkan hati pula perbualan inilah. Nurin Umaira malas nak menjawabnya. Dia teruskan kerjanya di dapur. Berdiam diri lebih baik dari terus berlawan kata dengan lelaki London itu. Nanti bila dia dah mula speaking London, Nurin Umaira pula yang melopong.

Telur yang sudah direbusnya diangkat. Dituangkannya ke dalam air sejuk agar mudah untuk dikopek. Sambal ikan bilis yang sudah ditumis dibiarkan menggelegak di dalam kuali. Dia kemudiannya mengambil beberapa pinggan di kabinet sebelah atas. Untung dia memiliki tubuh yang sedikit tinggi jadinya dia tidak perlu terlalu menjengket.

Masih berdiam diri walau dia perasan Izhan masih lagi berdiri di tempatnya. Biar, sesekali kalau perang dingin pun bagus juga. Namun dia jadi tak selesa bila mata tajam itu merenungnya sana sini. Memerhati setiap gerak gerinya.

"Wah, harumnya bau.. Umaira masak nasi lemak ke?" Tan Sri Sufrie yang sudah siap mandi menegur.

"Ya Tan Sri. Sekejap lagi siaplah. Tengah tunggu sambal masak."

"Pandai menantu daddy buat sarapan. Kalau macam ni, boleh gemuklah Khai.." Tan Sri Sufrie tertawa dan kemudian berlalu ke ruang tamu. Nurin Umaira masih tidak mahu bercakap dengan Izhan, atau Mr. CEO atau lebih kepada mamat muka ketat sekarang ini. "Khai, mari sini kejap." Dia menarik nafas lega bila Tan Sri Sufrie memanggil anaknya. Izhan berlalu ke ruang tamu.

"Ayah boleh tunggukan sambal kakak tak?" Dia tersengeh-sengeh melihat ayahnya yang baru keluar dari bilik air. Walau tidak menukar baju, namun ayahnya kelihatan lebih segar dari tadi.

"Kenapa?"

"Kakak nak mandi. Nak tukar baju." Tadi dia hanya membasuh mukanya. Ayahnya mengangguk dan tersenyum. Melihat semuanya sudah tersedia, telur, kacang, ikan bilis, timun, dia tersenyum, memang anak gadisnya itu mengikut minat ibunya, suka memasak.

Nurin Umaira mandi dan menukar baju. Dia mengenakan kain batik dan sehelai t-shirt lengan panjang. Instant shawl disarung dikepala. Santai sahaja gayanya. Maklumlah di rumah bukannya nak keluar ke mana. Petang nanti baru mereka akan pulang ke KL.

Dek kerana perkara ini, dia mungkin akan terpaksa melepaskan terus tugasnya. Dia bukan baru bekerja dengan Mega Holdings. Sudah lima tahun. Dan hidupnya jadi haru biru sejak dia terlanggar mamat muka ketat di hadapan surau. Bermula dari situ hidupnya berselang seli antara suka dan duka.

Dan setelah dua bulan di Kuala Terengganu, dia terpaksa melepaskan lagi jawatannya, kali ini mungkin terpaksa berhenti terus. Untunglah kalau Mr. CEO nak bagi dia kerja lepas ni.. Sibu? Nampak gayanya tak merasalah dia hendak memegang jawatan Ketua Projek.

"Jom makan.. Ayah, Tan Sri.." Dia memandang ayahnya, Tan Sri Sufrie, dan kemudian ke arah Izhan. Sebabkan perang dingin tu dia tak menyebut 'awak' seperti biasa. "Meh makan Khai. Dah pernah rasa tak air tangan Umaira?" Izhan melangkah ke meja makan setelah diajak ayah.

"Umaira pandai masak?"

"Sikit-sikit tu bolehlah Tan Sri. Makanan melayu tu Inshaa Allah pandai, makanan mat saleh tak lah." Sudahlah Nurin Umaira tak payahlah nak menambah geram Encik Mamat Muka Ketat.

"Dari kecil, Umaira ni suka tolong nenek dia masak, lepas tu berlari nak hantar bekal kat atok dia. Asal cuti sekolah je dia mesti nak balik rumah nenek dia. Dari situlah dia belajar memasak, belajar jadi perempuan. Dah kalau kat rumah adik beradik semua lelaki, dia terikut panjat pokoklah, main paritlah." Eh ayah ni, yang pergi cerita semua tu kenapa, main parit semua tu? Buat malu orang sajalah. Nurin Umaira membebel di dalam hati.

"Sedaplah sambal ikan bilis dia. Pandai Khai pilih calon menantu daddy. Macam ni hari-hari daddy nak makan kat rumah Khai.."

"Eh, Mak Mun kan ada, daddy suruhlah Mak Mun masak, afasal nak makan hari-hari kat rumah Khai?" Mereka tertawa, yang masih muncung cuma Nurin Umaira.

"Umaira cuti terus lah ya. Nanti Zulaikha ambil alih kerja. Seminggu tak tau sempat ke tidak nak buat persiapan. Nanti daddy suruh Khairina carikan wedding planner. Pakai catering sajalah Din ya? Kita buat nikah dulu, majlis persandingan lewat sikit."

"Macam tulah nampaknya, kalau dah tak menyabar nak kahwin sangat.." Hampir tersedak nasi lemak di mulut. Bukan salah Umaira ayah...

"Lagipun eloklah kahwin cepat, Umaira nipun umur dah lewat juga ni.. Lambat-lambat kahwin lambat pula dapat anaknya." Eh ayah ni, bukan Umaira sengaja nak kahwin lambat, Encik jodoh belum ada.

"Aah, betul tu. Sekurang-kurangnya macam adik-beradik Umaira, berapa anak kau tadi, Din?"

"Tujuh.."

"Haa, tujuh. Boleh Khai?" Kali ini giliran Izhan pula, tersedak dia lantas cepat mengambil air.

"Setahun kembar dua, tiga kali dah dapat enam. Boleh, you?"

"Hah?" Nurin Umaira mengurut dada. Bila melihat mereka semua ketawa, hilang gundah gulana. Jauh impian mereka sampai cerita tentang anak, sedangkan pernikahan belum lagi berlangsung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience