Ruangan perubatan agung Istana Naga dipenuhi keheningan yang hanya ditemani oleh cahaya kristal penyembuh yang berkelip perlahan. Di atas hamparan sutera sihir, Kaira terbaring kaku, wajahnya tenang — tapi tubuhnya seperti tidak lagi sebahagian dari dunia ini.
Di sisi katilnya, Raja Kael tidak berganjak. Mata merah darahnya tidak lepas dari memerhati pernafasan anak tunggalnya — satu-satunya makhluk yang dia cintai dengan seikhlas hati seorang raja, dan seorang ayah.
Jari-jarinya yang kasar menyentuh ubun-ubun anaknya, dan dari situ… dia rasa sesuatu.
Denyutan. Tapi bukan dari jantung. Bukan dari sihir iblis.
> Gelombang asing.
Dingin.
Licik.
Dan familiar.
Raja Kael menggenggam erat tangan Kaira. Hatinya menjerit — kerana dia tahu perasaan itu.
Theryx.
Dia belum hilang.
Dia cuma pindah.
Dari tubuh lelaki yang hampir menolaknya…
ke dalam mimpi gadis yang terlalu suci untuk menyedari dia sedang dipatuk perlahan.
---
Dalam minda Kaira yang terpenjara —
Dia berjalan seorang diri dalam padang kabut. Langit tidak bernama. Tanah tanpa bayang. Di sekelilingnya, suara-suara berbisik dalam bahasa yang tiada makna… tapi terasa seperti pisau menghiris jiwanya.
“Leon…?” suaranya lemah.
Tapi tiada balasan. Hanya gema langkahnya sendiri.
Tiba-tiba, dari kabut, muncul bayangan tubuh tinggi — samar, tidak jelas, tapi senyumannya…
Senyuman itu bukan Leon.
“Kau masuk ke dalam kegelapan untuk menyelamatkan dia… tapi siapa yang akan selamatkan kau, Kaira?”
Suara itu seperti gema di dalam tengkorak.
Sejuk.
Manis.
Dan memualkan.
“Pergi…” Kaira berbisik, tubuhnya menggigil.
> “Tapi aku sudah di sini.”
Bayangan itu menghampiri, dan saat ia menjulur tangan — cakar hitam menjalar keluar dari tanah, memegang pergelangan Kaira.
Dia menjerit.
Tapi tiada siapa dengar.
> “Leon tidak akan tahu. Ayahmu terlalu lambat. Dan kau… akan jadi pintu baru untukku.”
---
Di dunia nyata —
Kael membuka mata. Darahnya mendidih.
Dia bangkit dari kerusi, menggenggam udara, dan menghantar seruan sihir kepada Raja Thalor.
“Anakku… sedang ditarik. Dia belum bebas. Kita perlukan penjaga mimpi. Sekarang.”
---
Di seberang bilik, tubuh Leon masih tidak sedarkan diri, namun jemarinya bergerak sedikit… seolah-olah sedang memanggil sesuatu. Atau… seseorang.
---
Share this novel