" Jangan nak menipu, ni bukan kesan jatuh. Ini kesan kena pukul kan? Adam gaduh dengan siapa ni? Cuba cakap betul-betul dengan Ummi. " desak Puan Aisyah yang duduk di sebelah Adam sambil menuam lembut lebam pipi anaknya. Dari tadi Adam menidakkan tekaannya. Dia sudah tua. Dia boleh bezakan lebam terjatuh atau lebam yang di pukul.
Adam hanya diam.
Sesekali terdengar suaranya menyeringai pelahan. Rasa senget mulutnya kena penumbuk Haqiem tadi.
" Cakaplah. Jangan buat Ummi risau. Adam gaduh dengan siapa ni? " untuk kesekian kalinya Puan Aisyah bertanyakan soalan yang sama. Namun riak bersahaja Adam membuatkan dia jadi geram. Spontan lebam di pipi Adam ditekannya kuat sehingga terjerit Adam kesakitan.
" Aduh.. sakit lah Ummi. " Adam tolak pelahan tangan Ummi yang ada di pipinya. Merah mukanya. Dah kenapa ummi nak tonyoh muka dia kuat sangat.
" Ada mulut.. Ingatkan lepas kena tumbuk tadi dah tak boleh nak bersuara " sinis Puan Aisyah. Geramnya masih berbaki.
Kan dah kena sedas. Adam senyum kelat.
" Tak ada apalah Ummi. Nanti baiklah ni "
Hujung mulutnya dipegang. Masih terasa sakit seluruh pipinya. Kebas dan bengkak sudah pasti. Kuat betul penangan penumbuk Haqiem. Kalau sedas boleh tahan. Ni sampai dua memang tak mampu Adam nak tahan. Haqiem betul-betul dah gila agaknya.
" Memang akan baik tapi soalan Ummi, siapa yg pukul Adam? "
Adam yang menunduk kembali mendongak. Muka Ummi di pandang sekejap sebelum anak matanya di larikan ke arah lain.
Sebolehnya Adam malas nak perbesarkan isu ini. Takkan nak bagitahu Ummi dia kena belasah dengan Haqiem pulak. Dah tentu Ummi akan risau. Dahlah masalah rumahtangga dia Ummi dah tahu.
" Adam! "
Kali ni suara Ummi seperti tak tertahan lagi. Kuat bunyinya. Macam nak telan je Adam hidup-hidup. Anak matanya sudah dipakukan tepat pada muka Adam yang nampak sudah tak keruan.
" Haqiem. "
Desakan berulang kali Puan Aisyah buat Adam mengalah. Adam mengeluh pelahan. Kalau menipu tu tak mendatangkan dosa dah lama Adam buat. Adam rasa semakin bertambah dosanya pada Ummi. Sudah lah sebelum ini dia seringkali berdolak dalih perihal Faiqa. Agaknya berapa banyak dosa yang Adam kena tanggung seandainya dia menipu lagi untuk kali ini.
" Sebab apa? "
" Aika. " jawab Adam ringkas.
" Sebab Adam tuduh Aika curang? Hmm, memang padanlah dengan muka Adam! Ummi setuju sangat dengan tindakan Haqiem ni. " laju Puan Aisyah membidas anaknya. Lain kali pandang kiri kanan. Jangan sesuka hati buat anak orang macam tak ada keluarga. Bila nak ambik, bila tak nak abaikan. Sekarang, kan dah mendapat.
Adam yang berada depannya dah tarik muka ketat.
" Adam yang kena pukul, kenapa Ummi nak salahkan Adam pulak? " ujar Adam tegang. Dia tak puas hati. Kenapa Ummi mesti berpihak pada orang luar sedangkan yang jadi mangsa sekarang ni adalah dia.
" Sebab Adam abaikan Aika. Cuba Adam fikir, abang mana yang tak marah kalau orang buat adik dia macam tu. "
" tapi Ummi tak tahu cerita sebenar. "
Puan Aisyah menggeleng. Dia tak pekak dan dia juga tak buta. Dia dah muak dengan semua tuduhan tak berasas anaknya terhadap Faiqa. Baik dari mulut Ainaa mahupun Adam sendiri.
" Cerita apa? Cerita yang Ainaa duk ulang hari-hari tu ke? Menuduh isteri Adam curang? Eh, sebagai suami Adam tak boleh terus percaya macam tu je. Adam kena pertahankan hak Aika. Bukan terus biarkan orang luar masuk campur! "
" Adam tak menuduh. Adam ada bukti. Kalau Ummi nak Adam boleh tunjuk pada Ummi. "
Laju Adam mempertahankan dirinya. Adam tahu Ummi sayangkan Faiqa. Tapi Adam tak nak Ummi jadi seperti dia. Diperbodohkan oleh Faiqa. Padahal isterinya itu bukanlah sebaik yang mereka sangka.
" Ummi tak nak tahu hal tu. Apa yang Ummi nampak sekarang Adam dah abaikan Aika. Selagi Aika tu masih isteri Adam tolong jaga dia sebaik mungkin. Adam tak fikir ke apa perasaan mertua Adam? Eh, Ummi betul-betul malu la Adam buat perangai macam ni "
Selama berhari-hari Puan Aisyah bersabar. Dia memang tak nak masuk campur. Dia faham dalam rumahtangga ada pasang surutnya tapi kalau Adam tak cuba perbaiki hubungannya dengan Faiqa takkan ada kesudahan untuk semua ni. Nak di biarkan Faiqa tu untuk berapa lama lagi di rumah keluarganya.
Adam ketap bibir. Lagi-lagi dia yang dipersalahkan. Kalau tadi Haqiem. Sekarang Ummi pulak. Kenapa semua orang nak pertahankan Faiqa. Apa Faiqa tu betul sangat ke?
" Adam masuk tidur dululah. Esok Adam kerja " Sengaja Adam bagi alasan. Malas nak dengar Ummi membebel. Asyik nak menangkan menantu aje. Lebih baik pejam mata tidur. Lagi bagus. Telinga pun tak sakit.
" Esok tak payah kerja. Adam ambil cuti. Kita pergi rumah mertua Adam. "
" tapi Ummi.... "
" Dengar cakap Ummi atau Adam nak jadi anak derhaka? "
Hilang sabar Puan Aisyah bercakap dengan Adam. Cepat-cepat dia mengemas alatan yang dibawanya tadi. Adam setuju atau tak esok mereka mesti berjumpa dengan Faiqa.
.
.
.
Lebar senyuman Faiqa. Satu persatu baju mula di bawa masuk ke dalam beg. Akhirnya... dapat jugak dia balik ke rumah. Yabedabedu...
Faiqa kerling jam.
Aik, lambatnya jam ni bergerak. Rasa tak sabar pulak aku nak balik ke rumah. Mesti mama tengah masakkan. Ermm.. Nanti nak mintak mama masakkan lauk yang dia mengidam nak makan hari tu. Sejak tahu dirinya mengandung, perut Faiqa memanjang asyik rasa lapar. Ini ke yang dinamakan pembawakan budak.
" Assalamualaikum.... "
" Waalaikumu.... "
Faiqa terdiam. Suaranya tetiba tersekat dihujung kerongkong saat ternampak kelibat Ummi yang sedang menapak masuk ke dalam bilik itu. Faiqa cuba koyak senyum. Biarpun dia tahu senyuman itu nampak sangat tawar tapi dia cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya depan Ummi.
" Aika sihat... " tanya Puan Aisyah saat tubuh Faiqa sudah berada dalam dakapannya. Pipi Faiqa kemudiannya di cium kiri dan kanan. Rindunya dia pada Faiqa sekarang.
" Alhamdulillah. Aika sihat Ummi "
" Cucu Ummi? " matanya beralih pula pada perut kempis Faiqa. Terbit rasa bersalah dalam hatinya atas kelakuan Adam pada Faiqa.
" Er... Ummi dah tahu? " ujar Faiqa pelik. Setahu Faiqa hanya ahli keluarga dia saja yang tahu hal ni. Macam mana Ummi boleh tahu? kalau Ummi tahu bermakna....
Puan Aisyah mengangguk. Ya, dia tahu Faiqa mengandung. Itu pun selepas dia mendesak Adam yang tetiba membawa dia datang ke sini. Entah apa yang bermain di fikiran Adam sampai sanggup biarkan Faiqa menanggung semua ini seorang diri.
" Maafkan Ummi sayang... Ummi tak sangka sampai macam ni sekali hubungan Aika dengan Adam. Ummi ingatkan.... " Puan Aisyah jadi sebak tiba-tiba. Tak semena air mata mula mengalir keluar.
Faiqa tersentak. Kepalanya digeleng laju lantas tangan mula naik menyeka air mata wanita itu.
" Ummi jangan nangis. Ummi tak ada salah apa pun. Apa yang jadi sekarang tak ada kena mengena pun dengan Ummi. " pujuk Faiqa lembut. Dia jadi lemah bila orang yang dia sayang menangis macam ni. Dia tahu hanya Ummi yang percayakan dia tapi sebolehnya dia tak nak Ummi sedih. Dia masih boleh tanggung semuanya seorang.
" Aika ikut Ummi balik eh. Biar Ummi yang jaga Aika. Ummi percaya Aika tak buat semua tu. Adam je yang salah menilai. " ujar Puan Aisyah memujuk setelah keadaan jadi tenang sedikit. Kedua tangan Faiqa dipegang lembut. Dia yakin dia takkan salah menilai.
Faiqa menggeleng. Tangan Ummi ditarik supaya duduk atas kerusi tepi katil. Kasihan Ummi. Tak pasal-pasal terjebak sama memikirkan masalah rumahtangga dia.
" Aika minta maaf Ummi. Aika tak boleh.. " tolak Faiqa serba salah. Setelah apa yang jadi takkan dia nak jejakkan kaki lagi ke rumah itu. Dah tentu Ainaa ada di sana. Kalau dulu Adam ada untuk pertahankan dia tapi sekarang? Ahh.. tak sanggup Faiqa nak kena hina dengan orang yang sama berulang kali.
" Sebab Ainaa? kalau sebab tu Aika jangan risau. Kali ni Ummi takkan biarkan dia masuk campur urusan rumahtangga Aika lagi. "
Faiqa menggeleng. Bukan itu sebab utama.
" Habis tu sebab apa? "
" Adam perlukan masa. Aika tak nak desak dia. Biarlah dia tenang dulu. Aika pun selesa kat rumah keluarga Aika. "
Kau tipu Faiqa. Bukan Adam je yang perlukan masa tapi kau juga perlukan masa untuk lupakan dia kan? hati kau dah tak ada untuk dia kan?
" Adam kena bertanggungjawab! Dia tak boleh lepas tangan. Aika tengah mengandungkan anak dia. Ummi tak nak dia jadi suami yang tak bertanggungjawab. " jatuh kasihan Puan Aisyah melihat wajah pasrah Faiqa. Faiqa seperti dah putus asa. Apa kau dah buat ni Adam?
" Ummi datang ke sini dengan siapa? Mana Ummi tahu Aika ada kat sini? " Sengaja Faiqa ubah topik perbualan.
" Adam yang hantarkan. "
Faiqa senyum tawar. Mesti ummi yang paksa. Biarlah dia ummi, tak ada gunanya pun kalau ummi paksa Adam datang ke sini. Kalau Adam tu rasa anak dalam perut ni memang anak dia pandailah dia datang ke sini. Dia bukan budak-budak lagi yang perlu disuruh itu ini.
" Dia pun ada berjumpa dengan Haqiem semalam. "
Haqiem?
Aik, Along tak bagitahu apa-apa pun.
.
.
.
" Memang patut pun dia kena pukul! Ikutkan hati ni lunyai dia tu semalam Along kejakan. " luah Haqiem geram. Tegang terus mukanya tatkala Faiqa mengasak dia dengan soalan seperti ini.
Faiqa terkedu.
Jadi betul lah tekaannya, muka lebam Adam tadi ada kaitan dengan Haqiem. Haqiem yang sedang duduk bersandar pada kerusi di ruang tamu itu dikerling.
" Tapi takkan sampai nak kena pukul orang pulak. Kalau Adam tu buat report polis macam mana? tak pasal-pasal Along ke dalam nanti. " ujar Faiqa risau.
Habis di kerah otaknya mencari punca. Macam mana Haqiem boleh tahu semua cerita dia dengan Adam. Takkan Rizwan pulak yang mungkir janji.
" Kalau dia berani buatlah! Jangan main gila dengan Along. Sakit dapat, malu pun dapat nanti. "
Belum habis marahnya pada Adam yang dianggap langsung tak layak jadi suami kepada Faiqa. Menyesal ada kawan tak guna macam tu. Dulu bukan main berjanji nak jaga Faiqa sekarang sampai hati dia buat kat adik aku macam ni.
" tapi Adam dia kan..."
" Along boleh pejamkan mata dan pekakkan telinga kalau korang gaduh sikit-sikit. Tapi bila dia start hina maruah Aika bermakna dia juga hina maruah keluarga kita. Mulai hari ni jangan dikejar lagi lelaki tak guna macam tu. Jenis tak reti nak menghargai isteri sendiri. Apa dia ingat dia bagus sangat ke? " tak sempat Faiqa habiskan ayatnya Haqiem dah menyampuk. Mengelegak hatinya bila teringat Adam menuduh isterinya sendiri bekas sisa orang lain.
" Adam tu masih suami Aika.. "
" Suami apa macam tu tuduh isteri yang bukan-bukan. Macam Aika ni jahil sangat je bab agama. Dahlah, jangan difikirkan lagi lelaki macam dia tu. Kalau dia betul-betul sayangkan Aika, dia takkan tuduh tanpa usul periksa. Ni tidak, nama je doktor tapi otak letak kat lutut agaknya " tempelek Haqiem.
Mulai saat ini Haqiem akan pastikan Adam akan menyesal atas setiap tuduhan tak berasas dia terhadap Faiqa. Sebagai abang dia takkan duduk diam.
Faiqa menikus. Muka serius Haqiem dijelingnya sekilas. Nampaknya kali ni Haqiem betul-betul marah pada Adam. Makin kacau bilaulah semuanya bila Haqiem dah mula masuk campur macam ni.
" Esok kita pergi pejabat agama. "
" Hah? "
to be continue...
Share this novel