Danny diam terkedu. Tidak meneruskan langkah. Dia perhatikan sahaja lagak dua adik beradik itu menangkap ikan tanpa berbaju. Danny mula membandingkan dirinya sewaktu dia kecil. Usia budak itu pernah dia lalui tetapi pengalaman seperti itu tidak pernah dia tempuhi. Betapa bangganya dia dengan keberanian kanak-kanak itu serta mereka boleh menjadikan ia sebagai hobi pengganti gadget.
“Okay jom kita melukis!” Ajak Aryana. Mereka berteduh di bawah pokok besar.
Tiba masanya sesi santai bersama kanak-kanak. Aryana dibantu Rayyan dan rakan lain mengedarkan kertas lukisan dan pensel warna kepada kanak-kanak yang gembira dengan aktiviti itu. Danny hanya melihat keletah kanak-kanak itu. Dia takut hendak dekat kerana budak-budak itu comot. Ada juga yang memakai baju terlebih saiz. Labuh menyapu lantai. Tak peduli dengan penampilan. Sakit mata memandang.
Sedang leka berdiri tanpa membantu baju Danny ditarik-tarik perlahan oleh seorang budak yang mendongak memandang Danny. Terperanjat Danny apabila ada seorang budak kecil memandangnya tanpa bersuara. Tak semena-mena menghulurkan kertas dan pensel kepadanya. Danny hairan dengan permintaan kanak-kanak itu.
“Dia nak suruh Mr Danny lukiskan untuk dia.” Beritahu Aryana. Berhenti sejenak melayan kanak-kanak yang ada dengannya.
Budak perempuan yang berusia 4 tahun itu masih ternanti-nanti. Danny memandangnya tanpa sepenggal senyuman. Dia teragak-agak untuk menerima kertas itu. Lama-kelamaan tangannya rela mengambil kertas dan pensel dari budak perempuan itu apabila perasaan berharap terpampang di wajah kanak itu. Budak itu seraya senyum nampak gigi. Danny turut senyum kerana budak itu senyum.
Secara sengaja budak itu menarik tangan Danny untuk duduk bersamanya. Danny dikelilingi dengan kanak-kanak yang lain. Danny duduk bersila dengan pasrah atas menuruti kehendak budak kecil berkulit hitam manis itu. Masalahnya adalah Danny tak pandai melukis! Danny garu kepala. Berfikir gambar apa yang boleh dia lukis.
Gambar kepala kucing yang tak sempurna sahaja mampu dilakarnya. Akan tetapi hasilnya dihargai! Budak itu ketawa berdekah-dekah. Mula merasa lawak dengan lukisan Danny membuatkan dia turut sekali ketawa. Tak berhenti-henti mereka ketawa dan bermain. Aryana dari jauh memerhatikan Danny berserta senyuman.
“Aduh!” Aryana mengadu sakit apabila ada sesuatu melintasi terkena matanya.
“Hahahhahaha!” Danny dan kanak-kanak yang lain mentertawakan Aryana. Lucu dengan reaksi gadis itu.
Aryana mengetap bibir memandang Danny. Marah. Dia ambil kertas yang dilipat menjadi roket itu lalu dikeronyokkan untuk membaling semula ke Danny tetapi niatnya terhenti apabila Aryana terperasan satu tulisan ‘I love you intern, clumsy girl’ telah tertera di roket itu. Aryana terus mengangkat muka memandang Danny yang selajur membuat flying kiss ke arahnya.
Diajarnya pula tabiat itu kepada budak-budak di situ. Sabarkan jelah dengan Mr Ocd ni. Aryana menggeleng kepala malas layan. Tahan senyum. Rayyan dari jauh memerhatikan sahaja kemesraan mereka berdua. Perasaan cemburu mula terkapar-kapar.
“Siapa nak main datuk harimau kat sini!?” Jerit Samsul girang.
Kanak-kanak yang berkumpul di situ terus mengangkat tangan dan berdiri terlompat-lompat. Ingin sekali bermain permainan turun temurun itu. Mereka terus berlari ke padang dengan meninggalkan sahaja alat melukis di rumput. Aryana dan Danny juga tidak terkecuali.
Rayyan orang terakhir yang meninggalkan tempat itu. Apabila hendak menapak kepada mereka di padang tapak kasutnya tiba-tiba terasa memijak sesuatu benda yang keras dan panjang. Sebatang berus lukisan milik Aryana.
“Berus ni... berus ni... kenapa....” Rayyan dalam kehairanan.
Pemegang berus yang diperbuat dari kayu bercorak bunga kerawang ditenungnya lama. Berus itu mengingatkan kembali peristiwa lama. Siapa Aryana? Mengapa berus itu boleh berada di tangannya? Apakah kaitan berus itu dengannnya? Mengapa dia harus tertanya-tanya? Mata fikiran bersatu dengan hati membentuk pelbagai persoalan. Rayyan membuat keputusan untuk mengambil berus itu lalu disimpannya. Dia melaparkan kepastian!
Share this novel