Beberapa hari sudah berlalu sejak Hana kembali masuk pejabat. Rutin harian berjalan seperti biasa—mesyuarat, laporan, tandatangan dokumen, tegur Tasya yang suka pegang pen tapi tak tulis apa-apa… dan berpura-pura tabah.
Seolah tiada apa yang berlaku antara dia dan Armand.
Tapi hanya Hana tahu—jiwanya masih menunggu. Satu perkara kecil… satu patah perkataan… satu permohonan maaf.
Itu saja.
Satu "maaf" pun cukup. Tapi entah kenapa, dalam banyak-banyak perkataan dalam kamus hidup Armand, yang satu tu macam tertelan dan tak nak keluar-keluar.
Hari ini, langkah kaki Hana jadi pelik.
Jalan tapi tak pasti nak ke mana.
Konon nak ke bahagian sumber manusia, tapi tiba-tiba lalu ikut arah lif belakang.
Bila dah turun tingkat lima… hati terus bising.
"Eh, saja-saja jalan kot-kot ada rezeki… nampak dia," kata hatinya, buat-buat tak tahu niat sebenar.
Harapan tu mudah je.
Kalau boleh, nak tengok Armand tiba-tiba muncul dari bilik, tersenyum macam pelakon drama jam 7 malam. Lari kecil ke arah Hana sambil jerit,
"Sayang… saya minta maaf atas kejadian tempoh hari!"
Tangan di belakang pula… taraa! ada kotak kecil berbalut riben merah.
Dan Armand sambung,
"Ini tanda cinta kita. Maafkan saya, Hana."
Tapi hidup bukan drama.
Dan Armand… tetap Armand.
Hana sampai di depan bilik CEO.
Kaki dia berhenti, hati dah mula tak tenang.
Nak mengendap? Tak nak? Nak jeling je?
Tapi sebelum sempat buat plan CIA, mata dia dah tertancap pada satu makhluk Tuhan yang paling Hana tak harapkan ada di situ.
Marissa.
Masih di situ.
PA bermasalah tu siap berdiri dekat meja Armand. Buku nota terbuka, pen menari-nari di tangan. Kepala angguk-angguk macam lagunya “Negaraku” baru habis main.
Hana berkerut dahi.
“Tak berambus lagi?” bisik hati, mata masih mencerun.
Dia ingatkan Marissa dah hilang dari radar lepas insiden tempoh hari. Tapi nampaknya Marissa masih kukuh berdiri di gelanggang—macam tak ada rasa bersalah. Muka selamba, senyum macam tak pernah menggoda suami orang.
Kalau diberi peluang, memang Hana nak campak buku nota tu keluar tingkap.
Dalam hati, Hana makin menyumpah.
Muka tak tahu malu betul. Jenis ni kalau ditanam, tumbuh balik… siap berbunga.
Dia pun terus jalan laju. Pusing depan pintu bilik Armand, kemudian terus patah balik macam kena tolak dengan angin ego sendiri.
“Punahlah harapan. Salah lagi minah tu…”
Langkah kaki makin laju.
Bukan sebab sibuk.
Tapi sebab kalau dia lama lagi depan bilik tu, silap hari bulan, memang ada yang kena hempuk dengan fail mesyuarat minggu lepas.
Dan Armand?
Masih tak perasan.
Masih diam.
Masih belum buka mulut.
Dan Hana masih menunggu.
Pejabat tingkat enam itu sunyi. Hanya bunyi tumit Hana berdetak perlahan. Suasana dingin penghawa dingin tak setanding sejuknya hati dia yang masih menanti satu perkara mudah—“maaf.” Tapi sayangnya, Armand macam dah daftar diri jadi anggota skuad Anti-Minta Maaf Nasional.
“Sudahlah,” bisik Hana. “Orang tak nak minta maaf, kita pula yang jadi gila tunggu.”
Dengan langkah perlahan, dia menuju ke lif. Hanya nak lepak sekejap di lobi. Nak tenangkan kepala yang serabut. Sampai depan lif, dia tekan butang turun.
TING!
Serentak dengan bunyi lif terbuka, telefon Hana pula berbunyi. Getaran dari WhatsApp. Dia tengok nama pengirim.
Fakhri.
“Alahai. Mangkuk tingkat tiga ni pula.”
Hana melangkah masuk ke dalam lif. Tekan butang ‘G’ sambil mata sempat jeling mesej masuk.
> Kak Hana, aku minta maaf ni. Sekarang mak aku tak mengaku aku anak lagi dah ni. Tolonglah maafkan aku. Kak Hana… kalau kak Hana maaf aku, baru mak aku terima balik…
Hana berdiri terpaku. Mata dia tak kelip, pandang skrin telefon. Suasana dalam lif tu rasa macam dalam drama. Bezanya, dia tak ada muzik sedih latar belakang.
“Ya Allah Fakhri…”
Tangannya yang satu lagi perlahan-lahan naik gosok mata. Air mata tiba-tiba keluar sendiri. Entah marah, entah sedih, entah simpati. Semua campur macam ais batu campur—cukup rencah.
“Kau ingat aku ni butang reset ke, sekali minta terus ‘okey takpe sayang’?”
Lif terus bergerak ke bawah. Tapi fikiran Hana? Dah berpusing macam roda ferris.
Bukan dia tak nak maafkan. Tapi bila teringat balik semua yang Fakhri buat—bohong, kelirukan, ambil kesempatan—sakit tu datang balik. Macam luka lama kena sabun cecair. Pedih, tapi tak berdarah.
Tapi... itu Fakhri. Anak kepada Maksu Normah. Wanita lembut yang satu masa dulu sanggup bangun awal pagi buat kuih pulut inti sebab tahu Hana suka. Yang selalu cakap,
“Kau ni Hana, kalau jadi anak Maksu betul-betul, senang hati Maksu.”
Dan sekarang… Maksu dah buang anak sendiri. Sebab Hana.
Hana tunduk. Bibirnya terketar.
“Fakhri, kau ni buat aku rasa macam aku ni watak utama drama pukul 7.”
Lif sampai di G. Bunyi ting! berbunyi perlahan. Hana tarik nafas panjang, seka air mata yang mula menitis.
Dia keluar dari lif, terus duduk di sofa sudut kanan lobi. Tangan masih pegang telefon. Skrin terang menunjukkan mesej Fakhri terakhir tadi.
Hana taip perlahan:
Fakhri… aku belum kuat nak maafkan kau sekarang. Tapi aku tengah cuba. Untuk mak kau…
Dia tak tekan send lagi. Hati masih separuh keras, separuh cair.
“Fuh… berat betul kerja jadi manusia ni.”
Sambil bersandar, Hana tengok siling. Dalam hati, dia tahu satu benda. Maaf tu akan datang juga. Mungkin bukan hari ni. Tapi akan sampai. Demi Maksu. Demi Hana sendiri.
Dan ya, mungkin lepas ni dia kena top up tisu. Sebab emosi dia makin mahal sekarang.
Hana bersandar perlahan di sofa lobi yang empuk itu. Bukan nak berehat sangat pun, tapi nak tenangkan kepala yang sejak tadi berpusing macam kipas siling. Mata dia tertumpu pada dinding kaca luar yang menampakkan kereta lalu-lalang. Tapi fikiran dia jauh lebih sesak dari jalan waktu puncak.
Baru je dia nak hela nafas panjang, tiba-tiba satu suara lelaki menyapa dari sisi.
"Err… maaf ganggu, Puan Hana..."
Hana berpaling perlahan. Seorang staf lelaki berdiri di sisi, muda, wajah sopan, tangan dia hulur secawan kopi dalam cup kertas.
"Saya… saya tengok Puan macam tengah ada masalah. Ini kopi, Puan. Minum dulu. Kurangkan tekanan."
Hana tergamam sekejap. Alamak. Bila masa budak ni datang? Dia sempat nampak nama tag — Naim. Entah department mana.
Hana senyum kecil sambil ambil kopi tu. "Awak selalu bagi kopi kat bos tengah stres ke?"
Naim tergelak kecil. "Tak selalu, Puan. Tapi… kadang kita tahu, orang kuat pun ada hari dia lemah. Saya pernah kena juga dulu. Jadi saya faham."
Hana angguk perlahan. Dia tak tanya lebih. Tapi mata dia perhati wajah Naim.
"Terima kasih… Naim, ya?"
"Ya, Puan. Saya naik dulu ya." Dia tunduk sopan dan terus beredar.
Hana pandang kopi dalam tangan. Ada lukisan love kecil dengan pen marker atas penutup cup. Siap ada tulisan:
“Moga hari Puan lebih baik dari semalam.”
Hana ketawa kecil. Hati dia rasa sejuk. Ada juga yang peka. Yang perasan riak wajah dia yang sendu ni. Tapi…
orang yang dia harap paling peka, paling tak faham.
Armand.
Fakhri.
Dua nama, dua dunia, tapi dua-dua buat dia rasa macam tak wujud.
"Aku ni manusia ke bayang-bayang, eh?" getusnya sambil menghirup kopi.
Kopi tu suam-suam, caramel latte. Bukan kopi kegemaran dia, tapi kali ni… rasa dia jadi luar biasa. Bukan sebab kopi tu manis, tapi sebab dia diberi… bukan diminta.
“Kadang-kadang orang asing lebih memahami dari orang yang kau beri separuh nyawa.”
Dia termenung lagi. Mata masih berair, tapi hati dia tak seteruk tadi.
Fakhri...
“Kau ingat aku ni kunci nak buka balik hati mak kau ke apa? Seriuslah sikit.”
Armand...
“Nak cakap ‘maaf’ pun berat sangat? Aku tak minta bulan. Minta akal.”
Tapi Hana diam. Dia dah letih berkata. Dia cuma pandang kopi.
“Terima kasih, Naim. Bukan sebab kopi. Tapi sebab buat aku rasa aku masih wujud.”
Belum pun sempat kopi tu habis separuh, telefon bimbit Hana bergegar di sisi. Getaran yang biasa… tapi nama pada skrin buat jantung dia rasa macam terjatuh dari tingkat sembilan.
"Maksu."
Nama itu terpampang jelas. Tekak Hana rasa kering tiba-tiba. Hati dia bergolak. Antara nak tekan ‘accept’ atau ‘ignore’.
> “Kenapa sekarang…?” bisik hati kecilnya.
Hana genggam telefon erat. Mata dia tertancap pada nama tu lama. Maksu Normah tak pernah buat salah. Yang menyakitkan tu… anak dia. Si Fakhri. Tapi kenapa bila tengok nama Maksu, hati ni rasa bersalah pulak?
"Kalau aku tak angkat, nanti rasa serba salah."
Tapi kalau angkat… nanti suara Maksu buat hati dia lemah. Hana hela nafas panjang. Jari dia akhirnya seret ke kanan, menjawab.
"Assalamualaikum, Maksu…" suara Hana perlahan, hampir tenggelam dalam desah nafas sendiri.
"Waalaikumussalam, Hana. Maksu tak ganggu ke ni?" suara Maksu kedengaran perlahan tapi jelas, lembut macam selalu.
"Err… tak… tak ganggu pun. Cuma…" Hana cuba buat suara sibuk, tangan dah mula kalut ambil fail yang tak perlu dari meja kecil sebelah sofa.
"Maksu nak jumpa Hana sekejap jer… boleh, nak?"
Hana terdiam. Kenapa rasa macam suara Maksu ni menggoncang pertahanan jiwa? Dia dah bersedia nak cakap tak boleh. Dah ada alasan dalam kepala — ada mesyuarat, ada klien, ada meeting penting.
"Err… Maksu, saya… saya sibuk sikit sekarang ni. Banyak kerja."
"Sekejap je, Hana. Maksu janji. Bukan lama pun."
Hati Hana berbelah bagi. Suara Maksu tak pernah memaksa. Tapi kali ni… nada tu ada sikit sayu. Dan Hana tahu… Maksu bukan jenis suka menyusahkan orang. Kalau dia telefon, mesti ada sesuatu yang penting. Sesuatu yang ikhlas.
Akhirnya Hana kalah dengan hatinya sendiri.
"Baiklah… jumpa kat mana?"
"Dekat kafe depan Metro Nova tu boleh? Senang sikit nak park kereta."
"Baik, Maksu. Setengah jam lagi saya sampai."
"Terima kasih, Hana…"
Telefon dimatikan.
Hana terdiam. Pandang cawan kopi yang tinggal suku. Dahi dia berkerut, nafas dia berat.
"Aku pergi ni bukan sebab Fakhri. Tapi sebab Maksu. Dia terlalu baik untuk aku abaikan."
Dia bingkas bangun. Jari raba hujung tudung, betulkan sikit di sisi pipi.
Sambil melangkah ke arah lif, dia membebel perlahan pada diri sendiri, "Tolonglah jangan buat drama air mata hari ni. Aku baru nak hidup balik ni…"
Tapi dalam hati…
Dia tahu.
Ada luka yang masih belum sembuh. Dan luka itu… bernama Fakhri.
Share this novel