Lepas tengah hari memang panas berbahang, tapi dalam mall—sejuk macam ais batu. Aircond pusat beli-belah tu betul-betul buat orang malas keluar balik.
Hana dan Emy terus berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Masuk DIY, keluar DIY. Masuk kedai kosmetik, keluar kosong tangan.
"Hana, kau ni nak cari apa sebenarnya? Kedai span pun kau masuk," tanya Emy sambil tahan tawa.
"Ikut je lah. Jalan-jalan. Lagipun kau cakap nak cuci mata, kan?" Hana jawab selamba.
"Aku tak sangka sampai ke rak sabun pun kita cuci mata."
Hana ketawa kecil. Emy geleng kepala tapi ikut juga langkah Hana.
Kemudian, mereka berhenti di depan satu butik mewah. Jenis butik yang lampunya pun nampak mahal. Nama butik pun berkilat macam nama artis Hollywood.
"Jom masuk," kata Hana sambil dah pegang tombol pintu kaca.
"Eh… sini?" Emy tunduk pandang baju sendiri. "Hana, butik ni mahal-mahal. Satu baju gaji sebulan aku."
"Masuk je la. Kau kan nak tengok-tengok. Bukan nak beli." Hana terus tarik tangan Emy masuk.
Pelayan butik yang berdandan kemas sambut dengan senyum palsu tahap dewa.
Emy jalan perlahan-lahan, seolah-olah tapak kasut dia takut calarkan lantai butik yang berkilat.
"Hana… aku rasa kita orang pertama yang masuk sini pakai selipar satu inci dengan tote bag beg pasar malam," bisik Emy.
"Shhh… buat macam biasa. Relax. Kau buat macam kau datang sini tiap minggu," balas Hana sambil pandang satu dress di hujung rak.
Emy belek-belek satu blouse satin warna hijau zamrud.
"Cantiknya ni, Hana..."
Pelayan butik menghampiri. "Miss, you boleh cuba kalau nak. Fitting room di sebelah."
"Err... boleh ke?"
"Boleh, masuk je," pelayan tu senyum.
Emy pandang Hana. "Aku cuba eh. Tapi jangan ambil gambar, malu!"
"Kalau lawa, aku selfie sekali."
Mereka ketawa. Hana duduk di sofa butik, tengok gelagat Emy masuk ke fitting room macam pelanduk masuk kampung. Penuh was-was, takut kain robek, takut hanger patah, takut tag koyak.
Dalam hati Hana—walaupun hidup sekarang tak semudah dulu, sekurang-kurangnya masih ada ruang untuk ketawa sebentar.
Tak lama kemudian, Emy keluar dari bilik persalinan. Dia berdiri sambil tersenyum malu, tangan peluk sikit bahagian perut. Blaus satin hijau zamrud tu memang serasi dengan kulit sawo matang Emy. Wajah dia berseri.
"Cantik gila, Emy…" Hana angguk-angguk. "Serius, macam model butik ni."
"Kau jangan nak perli. Aku pun rasa lawa... tapi..." Emy pandang dirinya di cermin besar di dinding. Dia senyum sendiri.
"Tapi apa?" soal Hana sambil bangun dari sofa.
"Tapi aku tak mampu lah, Hana. Tengok je la. Simpan dalam memori," balas Emy sebelum masuk semula ke bilik persalinan, wajahnya penuh berat hati.
Hana tunggu di luar. Bila Emy tutup pintu, Hana terus panggil pelayan butik.
"Saya nak ambil baju tu. Boleh bungkus?"
"Boleh, Miss. Sekejap ya."
Tak lama lepas tu, Emy keluar semula dengan pakaian asal—jeans dan T-shirt. Dia nampak pelayan dah lipat cantik baju yang dia cuba tadi.
"Eh, Hana! Kau buat apa tu?" Emy celah.
"Aku beli lah," jawab Hana ringkas.
"Kau nak beli untuk siapa?"
"Untuk kau la, siapa lagi?"
"Eh gila ke apa! Mahal tu! Aku tak nak hutang tau, aku tak mintak pun!" Emy dah separuh menjerit bisik.
"Tenang la, Emy. Siapa cakap kau hutang? Aku belanja ikhlas. Kau tak mintak pun, tapi aku nak bagi." Hana tenang sambil senyum.
Pelayan datang semula sambil pegang resit dan bungkusan.
"Total lepas diskaun tiga puluh peratus, RM1,199.90 ya, Miss."
Emy terkedu. "Woi, bapak mahal!"
Pelayan tu senyum manis. "Ni pun harga promo, Miss. Yang dekat mannequin tu baru RM3,500."
"Tiga ribu lima ratus?!" Emy dah tarik lengan baju Hana. "Hana, serius... kau kerja apa sebenarnya ni? Jual dadah ke?"
Hana pandang Emy dengan muka sinis. "Gila ke apa? Mulut tu jaga sikit. Aku tak jual dadah la."
"Habis tu? Duit gaji aku tiga bulan belum tentu cukup beli macam ni!"
"Ini duit halal, Emy. Serius. Tak perlu kau risau." sambil tu, Hana hulurkan kad kredit pada pelayan tu. "Swipe saja."
Emy terdiam. Masih terkejut. Tapi dalam hati dia… terharu. Mulut je bising.
"Terima kasih, Hana..." dia bisik perlahan.
"Sama-sama. Jangan nangis sudah. Esok kita masuk butik lain." Hana kenyit mata.
"Aku pengsan betul-betul karang, baru tahu."
Mereka berdua ketawa kecil. Satu suasana yang tak pernah Emy bayangkan akan datang dalam hidupnya—dibayarkan baju hampir seribu dua tanpa minta.
Mereka pulang ke rumah dengan tangan penuh beg plastik dan kertas dari pelbagai butik. Dari hujung lengan sampai ke siku, penuh jemari sarat dengan bungkusan warna-warni. Myvi Emy pun macam nak tenggelam dengan bau baru barang-barang tu.
Sebaik masuk ke dalam rumah, Emy terus letakkan semua beg atas lantai. Dia duduk bersila depan longgokan itu, satu demi satu dibelek, dibuka dan dikira.
"Satu… dua… tiga… lima… sembilan… eh, Hana! Total ni semua campur sekali dekat dua belas ribu tau!"
Dia pandang Hana dengan mata terbeliak. Nafas pun turun naik macam lepas maraton.
"Kau ada skandal dengan menteri ke? Atau sugar daddy mana yang sponsor?!" bebel Emy sambil cebik.
Hana yang tengah tarik tudung ke belakang telinga hanya tergelak kecil. Dia duduk di sebelah Emy lalu bersila, pegang tangan sahabatnya yang satu itu.
"Mana ada skandal, oi. Ini semua duit halal. Tak korek pun tabung kecemasan, walaupun ya... aku memang putus cinta," Hana balas selamba sambil gelak kecil.
"Habis tu... dari mana duit banyak sangat? Jangan-jangan kau tengah healing, lepas tu kalut nak shopping sampai lunyai gaji."
"Taklah, Emy. Ni betul-betul ikhlas..." Hana pandang tepat ke mata Emy. "Kita kawan dari kecil, dari tadika sampai kau tingkatan tiga. Semua benda kita buat sama-sama. Panjat pokok mangga, kena kejar dengan makcik Ros sebab curi bunga kertas dia... ingat tak?"
Emy senyum, tapi matanya mula berkaca.
"Ingat... aku ingat sangat."
"Jadi hari ni, ni semua bukan sebab kau mintak. Tapi sebab aku nak bagi. Allah bagi aku rezeki lebih… dan aku tahu, bahagian rezeki tu bukan semua untuk aku. Ada bahagian orang lain, dan aku pilih kau, Emy. Sahabat yang tak pernah aku lupa."
Emy tak tunggu lama. Dia terus peluk Hana kuat-kuat. Air matanya akhirnya jatuh juga.
"Aku... aku terharu gila, Hana... sumpah aku tak sangka."
"Dah, jangan nangis. Takut nanti banjir dalam rumah flat ni." Hana cuba buat lawak tapi dia pun rasa sebak.
"Aku ingat aku dah tak ada siapa dah dalam hidup ni... Tapi kau datang. Macam malaikat."
"Huiyoo... over tu. Malaikat konon. Tak payah la puji lebih. Aku bagi hadiah sikit je, bukan bagi kunci rumah banglo kat Bukit Jelutong."
Mereka ketawa dalam pelukan. Satu suasana yang penuh makna. Dalam rumah flat dua bilik itu, tiada emas, tiada permaidani mahal. Tapi ada nilai paling tinggi—ikhlas dan kasih seorang sahabat lama yang tak pernah padam walau 15 tahun berlalu.
Air mata yang jatuh tadi, Hana biar kering sendiri di pipi Emy. Tapi bila dah cukup masa untuk melembutkan hati, Hana ketuk lutut Emy perlahan.
"Dah, cukup. Tangisan dah habis kuota. Sekarang bangun."
Emy pandang Hana sambil tarik tisu. "Kenapa?"
"Waktu Asar dah masuk. Pergi ambil wuduk. Kita solat sama-sama."
Emy tersengih malu. "Ya lah, ya lah... ustazah datang mengejut rupanya."
Hana senyum kecil. Tapi nada dia lembut dan penuh makna.
"Solat tu kunci semua. Rezeki, tenang hati, pintu harapan. Lepas solat nanti doa… mintak Allah murahkan rezeki. Doa ikhlas dari hati. Kalau ada lebih, sedekah. Insya-Allah, rezeki makin lapang. Jangan kedekut dengan Allah, nanti Dia pun tutup pintu dari kita."
Emy mengangguk perlahan. Kata-kata itu menusuk. Dan kali ini, air matanya jatuh lagi — bukan kerana sedih, tapi kerana rasa disapa dengan kasih sayang yang betul-betul tulus.
"Terima kasih, Hana…" suara Emy bergetar perlahan.
"Eh, belum habis lagi aku nak cakap," Hana sambung sambil bangun dan mengatur semula beg-beg di lantai. "Esok aku nak ajak kau pergi satu tempat."
Emy angkat kening. "Tempat apa?"
"Tempat yang kau takkan rasa nak pakai baju kelawar," kata Hana sambil senyum nakal.
"Hah? Apa maksud kau?"
"Esok, aku nak kau pakai baju yang kau cuba kat butik tadi tu. Yang warna emerald green tu. Pakai cantik-cantik sikit. Bagi nampak macam anak Dato’. Macam orang kaya. Bila lagi kau nak merasa jadi model butik?"
Emy tergelak besar. "Weh, aku mana biasa melaram-melaram ni. Kang orang ingat aku PA Dato’, bukan anak Dato’."
"Tak kisah pun. Janji kau nampak cantik, yakin, dan rasa diri tu bernilai." Hana tarik tangan Emy. "Percayalah, Emy. Kau lebih dari cukup. Dunia je kadang-kadang buat kita rasa kecil."
Emy senyum dan tunduk. Tapi dia pegang erat tangan Hana. Dalam hatinya, dia rasa macam baru diberi peluang kedua untuk percaya pada diri sendiri.
Tak lama kemudian, mereka berdua pun ambil wuduk, bersihkan wajah dari tangisan, dan solat Asar bersama dalam sunyi ruang tamu kecil itu.
Lepas salam, kedua-duanya menadah tangan, memohon pada Tuhan yang mempertemukan mereka semula.
Dan petang itu, doa mereka naik ke langit — dalam suara yang perlahan, tapi hati yang kuat.
Share this novel