BAB 39

Romantic Comedy Series 1024

Pagi yang tenang di Metro Nova. Hana tiba seperti biasa, dihantar oleh Pak Rahman yang setia menunggu sejak awal pagi. Langit mendung sedikit, tapi hati Hana tidak semendung semalam. Hari ini, dia nekad untuk fokus pada kerja — tak mahu diganggu emosi yang belum surut sepenuhnya.

Sampai sahaja ke pejabat, Hana buka pintu biliknya dan terus berjalan ke meja. Beg diletak, fail-fail disusun semula. Tapi matanya tertarik pada secawan kopi panas yang terletak elok di atas coaster kayu kegemarannya.

Hidung Hana cepat menghidu aroma kopi itu — bau herba campur Arabica. Hmm. Kacip Fatimah?

Hana angkat sebelah kening. Dalam hati sudah buat andaian.

“Awal betul Tasya standby kopi hari ni…” gumamnya sambil duduk.

Tepat waktu, pintu diketuk dan Tasya masuk dengan tablet di tangan.

“Puan Hana, ini jadual mesyuarat untuk hari ni. Pukul sepuluh ada review kempen digital, sebelas kita jumpa team bahagian produk—”

“Tasya,” Hana potong perlahan. “Terima kasih untuk kopi ni.”

Tasya kelip mata. “Eh? Kopi? Bukan saya yang letak, puan.”

“Ha?” Hana toleh. “Habis tu siapa yang rajin sangat?”

“Tuan Armand, puan. Dia datang awal pagi tadi… saya pun tak perasan mula-mula. Tiba-tiba je ada kat meja puan. Letak diam-diam, lepas tu terus keluar bilik.”

Mata Hana kembali tertumpu pada cup kopi itu. Kali ini, dia perasan ada sehelai kertas kecil diselit di celah penutup cup.

Dia tarik perlahan nota itu.

"Saya minta maaf, isteri tersayang. – Armand."

Hana tunduk sekejap, tarik nafas. Mata tak berkelip pandang tulisan tangan suaminya yang dah hafal setiap lengkuk abjad.

“Aduh, lelaki ni... kalau bukan dengan kopi, dengan nota,” bisiknya perlahan.

Tasya masih tercegat, tak tahu sama ada nak sambung laporan jadual atau terus keluar. Hana pandang dia balik sambil menolak cup kopi tu ke arahnya.

“Kau ambik. Aku tak nak minum.”

Tasya kaget. “Saya ke?”

“Ha’ah. Ambiklah. Rasa nak kena gastrik pulak kalau minum ‘kopi maaf’ ni.”

Tasya sambut dengan tangan berhati-hati. “Tapi ni kacip Fatimah, puan. Sesuai untuk wanita... berumah tangga... saya belum—”

Hana gelak perlahan. “Eh, jangan percaya sangat mitos tu. Kopi ni elok untuk semua wanita. Bagi tenaga, stabil hormon... bukan eksklusif untuk yang dah kahwin je.”

Tasya angguk faham, sambil melangkah ke pintu.

Baru beberapa langkah, suara Hana kedengaran semula.

“Tasya!”

Tasya pusing balik. “Ya, puan?”

“Bagi balik kopi tu. Aku minum jelah. Sayang pulak nak bagi orang lain.”

Tasya angkat kening. “Tadi bukan main suruh saya minum. Siap beri ceramah khasiat kopi.”

Hana tarik cup tu semula dari tangan Tasya dengan muka bersahaja. “Aku baru sedar ini strategi suami aku nak pujuk. Kira romantik versi berjimat. Takkan aku nak sia-siakan pelaburan kecil ni.”

Tasya senyum kecil. “Baiklah puan. Kalau esok-esok saya nampak kopi bertema 'pujuk-memujuk' lagi... saya tahu dah siapa mangsanya.”

“Keluar,” kata Hana sambil senyum dan angkat cup kopi. Satu hirupan perlahan, mata dipejam separuh. Hmm. Sedap jugak.

Tasya keluar dengan senyuman. Dalam hati dia kata, Kalau kopi macam ni boleh lembutkan hati puan... Tuan Armand lepas ni boleh buka franchise maaf & kopi.

Hari itu, seperti biasa, suasana pejabat agak tenang selepas jam dua petang. Hana sedang menyemak laporan pemasaran terbaru apabila telefon bimbitnya bergetar perlahan. Dia mengintai skrin — satu nama yang membuatkan dahi terus berkerut.

Fakhri. Lagi.

Dengan sedikit rasa malas, Hana membuka mesej itu.

"Kak Hana, boleh kita jumpa sekejap petang ni? Sekejap je, sumpah. Ada benda aku nak cakap."

Hana mendengus kecil. Sudah berapa kali Fakhri minta perkara yang sama? Semalam pun mereka sudah makan tengah hari bersama. Maaf pun sudah diungkap. Tapi nampaknya, Fakhri tak tahu maksud cukup.

Dia terus membalas:

"Kau ni kenapa? Semalam kita dah jumpa, kan? Janganlah hari-hari nak cari aku."

Belum sampai sepuluh saat, balasan masuk semula.

"Aku tahu… Tapi aku rasa macam belum sempat luah betul-betul. Aku masih rasa bersalah, kak Hana. Aku tak tenang..."

Hana menghela nafas. Dia tunduk seketika, cuba tenangkan hati yang mula rasa berserabut. Bukan dia tak simpati. Fakhri bukan orang asing. Tapi dia juga bukan lagi Hana yang dulu. Sekarang, dia seorang isteri. Seorang isteri kepada lelaki yang telah berikan seluruh kepercayaan kepadanya.

Dia menaip perlahan, namun tegas.

"Fakhri, aku minta maaf. Hari ni aku tak nak jumpa kau. Aku banyak kerja… dan aku tak nak buat benda yang boleh buat Armand rasa lain macam."

Sunyi.

Beberapa saat kemudian, mesej Fakhri masuk, tapi kali ini hanya emoji sedih. Tiada kata-kata, tiada rayuan.

Hana letak telefon perlahan. Matanya masih pandang skrin, tapi fikirannya sudah jauh melayang. Dia tahu Fakhri belum benar-benar melepaskan. Dan dia takut... kalau keadaan dibiarkan, akan jadi lebih rumit dari yang dia sangka.

“Cukuplah untuk hari ini…” bisiknya perlahan.

Laporan di skrin masih menunggu untuk disemak, tapi dalam hati Hana — yang perlu disemak sekarang adalah sempadan.

Tengah hari menjelang. Suasana di tingkat eksekutif Metro Nova agak lengang — ramai staf sudah keluar makan. Di bilik Hana, dia masih tekun menatap skrin komputer. Tak perasan langsung pintu biliknya ditolak perlahan.

"Assalamualaikum..."

Hana mengangkat wajah, sedikit terkejut bila terlihat Armand berdiri di hadapan pintu sambil membawa beg kertas berlogo restoran mahal.

"Eh... awak buat apa kat sini?" soalnya, nada terkejut bercampur malu.

Armand senyum, tenang seperti biasa. “Bawa lunch untuk isteri saya. Takkan tak boleh?”

Dengan selamba, Armand berjalan masuk dan meletakkan beg kertas itu di atas meja kopi berhampiran sofa. Beberapa staf yang masih berada di luar ruang kaca jernih mula menjeling-jeling. Bibir masing-masing dah mula muncung berbisik sesama sendiri.

“Wah... CEO bawak lunch untuk isteri dia sendiri!”

“Sweet sangat. Baru habis gosip semalam, ni dah sambung musim baru.”

Hana yang sedar situasi itu terus bangun dan mengekori langkah Armand ke sofa.

“Ni je ke isyarat nak pujuk?” Hana bersuara sambil buka beg kertas. Dalamnya ada dua set lengkap makanan dari restoran Jepun kegemarannya. Siap dengan pencuci mulut puding mangga.

Armand tak jawab, tapi dia mendekati Hana perlahan-lahan. Tubuhnya semakin rapat, senyum tak lekang dari bibir. Hana gelabah.

"Eh, awak... janganlah macam ni. Semua orang tengah tengok!" Hana cuba elak, menolak perlahan dada suaminya.

Armand menjeling ke arah luar. Nampak dua tiga staf cepat-cepat tunduk dan pura-pura taip atas papan kekunci.

Dengan pantas, Armand capai alat kawalan jauh dan tekan butang khas. Dinding kaca bilik bertukar menjadi kabur secara automatik — ciri privasi bilik eksekutif.

“Nah. Dah takde orang tengok,” katanya bersahaja.

"Armand..." Hana dah tahu apa bakal berlaku. Memang dah boleh agak. Belum sempat dia tarik nafas, Armand sudah merapat dan dengan perlahan, mencium bibir isterinya sendiri.

Hana terkejut tapi cepat-cepat halang.

"Eh, jangan kat ofis... dekat rumah boleh," tegurnya dengan nada separa geram, separa malu.

Armand ketawa kecil. “Janji?”

"Janji..." Hana tunduk sambil senyum simpul. Malunya bukan main.

Setelah itu, Armand menarik tangan Hana untuk duduk di sofa. Dia buka bekal yang dibawa, susun kemas-kemas. “Duduk sini. Hari ni saya nak makan sama. Mana tahu, boleh tenangkan hati awak sikit…”

Hana hanya menggeleng perlahan tapi hatinya tersentuh. Dalam hati dia tahu — ini cara Armand. Bila dia rasa bersalah, dia tak akan minta maaf dengan kata-kata... dia akan tunjuk dengan perbuatan.

Dan ya, kadang-kadang... lelaki diam macam ni pun, pandai juga buat hati cair.

Ketika sedang duduk bersila di atas sofa bilik pejabat Hana, Armand membuka bekas makanan satu persatu. Nasi putih, lauk ayam masak merah, sup sayur, sambal belacan, siap dengan potongan buah tembikai sebagai pencuci mulut. Semua tersusun elok. Armand memang tahu citarasa isterinya. Hana pula masih terlopong seketika, tak percaya Armand sampai ke tahap ni.

“Awak bawak semua ni sendiri?” tanya Hana sambil mendekat.

“Ya. Dengan penuh kasih sayang,” jawab Armand, sambil hulurkan sudu berisi ayam masak merah ke mulut Hana.

Hana buka mulut, suapan masuk. “So sweet…” katanya sambil kunyah perlahan. Rasa pedas manis ayam itu kena dengan tekak.

“Untuk isteri saya… mestilah,” balas Armand sambil senyum sipu. Tapi lepas tu, suaranya jadi lebih perlahan, penuh maksud tersirat. “Kalau boleh… saya nak buat dekat sini juga.”

Hana tersedak sedikit. Cepat-cepat capai air dan teguk separuh gelas. Kemudian pandang Armand dengan muka separuh ngeri separuh geli hati.

“Awak gila ke apa? Dekat sini? Tengah hari? Dalam pejabat? Awak ingat ni hotel ke?” bisiknya cepat.

Armand gelak kecil. “Saya tak kisah. Dinding dah kabur. Orang tak nampak. Kita je nampak kita.”

Hana tolak bahu Armand perlahan. “Awak ni… janganlah buat saya gelabah. Ni tempat kerja tau. Kalau saya terjerit, satu floor dengar. Suara saya bukan jenis yang boleh simpan senyap.”

Armand sengih makin besar. “Sebab tu saya suruh awak kawal.”

“Kawal apa? Awak tahu tak, suara saya ni jenis automatik. Kalau dah ‘start enjin’, habis. Takde brek.”

Armand menyuap lagi. “Tak cuba tak tahu.”

Hana letak sudu, bersandar di sofa sambil silang tangan. “Dekat rumah boleh lah. Katil empuk. Bilik besar. Dinding tebal. Bunyi tak bocor. Lagi pun… tak ada orang nak lalu-lalang depan pintu sambil bawa fail.”

Armand pura-pura berfikir. “Kunci pintu?”

Hana jeling. “Wajib. Tak kunci, jangan salahkan saya kalau Danish masuk dan trauma sampai dewasa.”

Armand ketawa perlahan. “Okey, okey. Saya janji. Rumah saja. Tapi awak pun janji…”

“Janji apa?”

“Malam ni?” Armand buat muka penuh harapan, macam anak kecil minta gula-gula.

Hana pura-pura susah hati. “Hmm… tengok mood lah.”

“Mood apa lagi?”

“Mood saya. Kalau awak baik hari ni… mungkin dapat. Kalau buat perangai… awak tidur bawah.”

Armand tarik nafas panjang, pegang dada. “Saya terasa. Ini ke layanan yang suami dapat lepas suap isteri makan tengah hari sendiri bawa dari rumah?”

“Awak terasa? Saya lagi terasa. Awak tak bagitahu, tiba-tiba datang dengan makanan. Ingat saya ni takde kerja ke?” Hana masih nak acah marah.

Tapi dalam diam, dia senyum. Hatinya berbunga. Dia tahu Armand benar-benar mahu menebus semalam. Walaupun masih ada rasa cemburu tertinggal, tapi layanan Armand yang manja begini susah nak dibenci.

Tiba-tiba Hana bersuara perlahan, “Tapi saya suka awak suap tadi. Lembut je tangan awak.”

Armand angkat kening. “Kalau tangan ni boleh buat benda lain lagi lembut?”

Hana terus cubit lengan Armand. “Astaghfirullah! Tengok tu. Tengah makan pun mulut tak reti jaga. Awak ni memang…”

“Romantik,” sambung Armand cepat.

“Romantik kepala awak.”

Mereka ketawa bersama. Suasana di bilik yang mula-mula tegang dan misteri kini penuh dengan gelak tawa kecil. Di luar, staf yang lalu hanya mampu menjeling, tertanya-tanya kenapa dinding kaca bilik CMO masih kabur-kabur — dan kenapa CEO tadi masuk dengan beg makanan.

Tasya yang baru balik dari surau, sempat bisik pada rakan meja sebelah, “Saya bagi lima minit lagi. Lepas tu nampaklah puan Hana geleng kepala, lepas tu senyum.”

Dan memang betul pun.

Sebab lepas makan, Hana bersandar semula. “Baiklah… awak lulus. Tapi malam ni, jangan lupa. Awak yang kena gosok baju Danish untuk esok.”

“Deal,” Armand jawab sepantas kilat. “Asalkan bukan hati awak yang kena gosok. Yang tu saya dah cuba, tapi keras betul.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience