Seminggu kemudian…
Bilik mesyuarat utama Metro Nova pagi itu dipenuhi wajah-wajah penting. Suasana serius, tapi masih terkawal. Fail-fail tersusun kemas di hadapan setiap hadirin, kopi sudah mula sejuk, dan pendingin hawa bekerja tanpa henti.
Mesyuarat hari ini bukan mesyuarat biasa. Metro Nova sedang mempertimbangkan langkah besar—pengambilalihan 70 peratus saham dalam rangkaian Purnama Hotel. Satu keputusan yang boleh membuka lembaran baru dalam sejarah syarikat.
Dan seperti biasa, kalau melibatkan strategi pemasaran dan penjenamaan, nama Hana pasti disebut dahulu.
Hana bukan calang-calang. Dia bukan sekadar menantu kepada pemegang saham. Bukan juga sekadar isteri kepada CEO. Tapi dia adalah salah seorang Ketua Pegawai Pemasaran terbaik di Malaysia. Pencapaiannya bukan diukur melalui hubungan keluarga, tapi hasil kerja yang konsisten—berimpak tinggi dan tak pernah setengah masak.
Wajahnya pun dah beberapa kali muncul dalam majalah korporat tempatan dan antarabangsa. Bukan dia yang cari kamera, tapi kamera yang asyik cari dia.
Tapi Hana tak pernah bangga diri. Apa saja yang dia buat, semuanya kerana tanggungjawab. Demi Armand. Demi Danish. Dan demi syarikat yang kini sudah jadi sebahagian daripada hidupnya.
Dalam bilik itu, selain barisan ketua eksekutif dan beberapa pengarah kanan, turut hadir juga ayah dan ibu mertuanya—dua tokoh korporat yang juga merupakan pemegang saham utama syarikat.
Bila namanya dipanggil, Hana bangun dari tempat duduk dengan tenang. Dia bawa bersama folder kecil berwarna biru gelap dan pointer di tangan. Skrin besar di hadapannya sudah bersedia, dan semua mata memandang ke arah satu-satunya wanita yang akan mengemudi bahagian paling penting pagi ini.
“Assalamualaikum dan selamat pagi,” Hana memulakan dengan yakin.
Dia tak perlu gaya dramatik. Tak perlu suara tinggi atau penumbuk diangkat. Cukup dengan nada tenang, struktur kemas, dan aura profesional yang memang lahir semula jadi.
Hana bergerak dari satu slaid ke slaid seterusnya dengan lancar. Kadang-kadang dia menoleh ke arah Armand, kadang-kadang ke arah ahli lembaga lain. Semuanya tampak fokus, memberi perhatian tanpa gangguan.
Ayah mertuanya sesekali angguk kecil. Ibu mertuanya pula duduk tegak, wajah tenang tapi berminat. Dan Armand? Dia cuma senyum nipis dari hujung meja. Tak bersuara, tapi dari mata tu… Hana tahu dia sedang simpan rasa bangga yang tak perlu pun dijelaskan.
Setelah beberapa ketika, Hana menamatkan perbentangannya. Dia letak pointer perlahan atas meja, dan kembali ke tempat duduknya.
Bilik itu sunyi selama dua saat.
Kemudian… tepukan bergema.
Bukan tepuk simpati. Bukan tepuk ikut-ikutan. Tapi tepukan yang jujur—penuh penghargaan.
Satu demi satu kepala mengangguk. Ada yang tersenyum puas. Beberapa pengarah bersandar ke kerusi, seperti dah jelas apa langkah mereka seterusnya.
Dan Hana hanya senyum sedikit. Letih belum habis, tapi hatinya lapang.
Dia tahu… dia dah buat sebaik mungkin. Bukan untuk glamor. Bukan untuk pujian.
Tapi untuk suaminya, Armand.
Untuk anak mereka, Danish.
Dan untuk syarikat yang dia mahu lihat terus melangkah jauh.
Sebaik sahaja Hana kembali ke tempat duduknya, Armand berdiri dengan tenang di hujung meja. Tangannya selamba seluk poket, gaya CEO yakin yang tak perlu naik suara pun orang dah dengar.
“Terima kasih semua atas komitmen pagi ni,” ucapnya. “Pembentangan rasmi kepada pihak Purnama Hotel akan diadakan minggu depan, hari Rabu.”
Beberapa kepala mula angguk. Seorang dua terus buka telefon dan mula tekan-tekan aplikasi kalendar—ada yang siap mumbling, “Aduh... minggu depan dah penuh.”
“Saya perlukan beberapa orang wajib hadir,” sambung Armand. “Hana, sudah tentu. Encik Faizal dari legal, Puan Farah dari komunikasi, dan Tuan Azhar dari pelaburan.”
Hana cuma tunduk sedikit sambil tarik nafas dalam. Dalam hati dia dah nampak jadual minggu depan macam mangkuk mi goreng yang penuh sangat — sampai tak tahu nak mula dari mana.
Sebaik sahaja selesai pengumuman, fail-fail mula ditutup, kerusi ditolak ke belakang, dan suasana tegang mula longgar. Semua pun bersurai perlahan-lahan, seperti akhir kenduri bila orang dah kenyang dan mula cari kasut.
Dato’ Harith Adam, bapa mertua Hana, bangun dan melangkah ke arah menantunya yang masih berdiri di tepi skrin.
“Hana,” tegurnya sambil senyum nipis dan pegang bahu Hana dengan penuh bangga, “tahniah. Menantu papa yang terbaik.”
Hana terkebil-kebil. “Eh… terima kasih, papa…”
“Metro Nova takkan runtuh selagi Hana ada dalam ni. Hebat sangat pembentangan tadi. Kalah iklan shampoo.”
Hana tergelak kecil, malu-malu. “Papa ni...”
Belum sempat Hana tarik nafas lega, muncul pula seorang lagi tokoh penting—yang tak perlu sebut nama pun dah bau minyak wangi eksklusifnya dulu.
Datin Marlia.
Dengan langkah anggun dan wajah lembut, dia terus mendekati Hana dan—tanpa amaran awal—terus memeluknya erat.
Hana terkejut sekejap, tapi cepat-cepat balas pelukan. Aura ibu mentua yang sayang memang susah nak tolak.
“Mama bangga sangat dengan Hana,” katanya sambil tepuk belakang Hana perlahan. “Menantu bijak, tak banyak bunyi, kerja tip top. Mama rasa macam nak buat poster ‘Wanted: Menantu seperti Hana’ letak dekat pejabat agama.”
Hana ketawa kecil. Pipinya dah mula suam-suam tomato.
Tapi belum habis lagi.
Datin Marlia mendekat ke telinga Hana dan berbisik lembut tapi penuh makna—yang buat jantung Hana berhenti setengah saat.
“Metro Nova dah makin besar, sayang… bila pula Hana nak besarkan keluarga? Danish sorang… tak cukup.”
Mata Hana terus membulat.
Muka? Jangan cakaplah. Merah padam sampai telinga. Rasa macam nak sembunyi bawah meja dan tukar nama jadi 'Fail Korporat'.
“M-Mama ni…” katanya, gelabah sambil tersengih malu.
Armand yang dari tadi tenang di sebelah, hanya senyum. Tapi senyuman dia jenis yang sangat mencurigakan.
“Hmm,” dia bersuara perlahan. “Saya setuju dengan mama.”
Hana mencebik manja. “Awak diam.”
Tapi dia tahu — dalam diam, pipinya dah tak boleh diselamatkan lagi. Merah macam logo Metro Nova sendiri.
Bilik mesyuarat kini sepi. Pendingin hawa berdengung perlahan, menemani dua insan yang masih belum berganjak dari kerusi masing-masing.
Hana tarik nafas panjang. Matanya singgah pada skrin putih yang masih tergantung di depan bilik. Lelah, tapi puas. Sekurang-kurangnya dia tak pitam masa present tadi. Itu dah kira kejayaan peribadi.
“Bila nak gerak ke Penang?” Hana tiba-tiba bersuara, sambil selak helaian nota yang berselerak atas meja.
Armand yang dari tadi duduk bersandar santai, toleh sikit ke arah isteri tercinta. “Hari Ahad. Awal pagi saya gerak.”
“Awal sangat,” balas Hana tanpa angkat muka. “Saya banyak kerja lagi nak siapkan ni. Timeline semua beratur macam kereta jam waktu lunch.”
“Sebab tu saya pergi dulu,” jawab Armand. “Saya ada perbincangan awal dengan pelabur-pelabur Purnama Hotel. Meeting teknikal sikit.”
Hana angguk perlahan. “Okay. Awak pergilah dulu. Saya mungkin lambat sikit gerak. Tapi jangan risau… saya takkan lewat sampai.”
Armand senyum kecil. Wajah Hana yang fokus tu tetap comel di matanya, walaupun tengah serius kira bajet dalam kepala.
Tanpa banyak cakap, dia bangun dan perlahan-lahan menghampiri Hana dari belakang.
Dalam sekelip mata, dia sudah merangkul pinggang Hana lembut dan menarik tubuh kecil itu rapat ke dadanya. Hana terkejut sedikit, pen di tangan hampir terlepas.
“Armand…” bisik Hana, mata melilau ke pintu. “Tempat terbuka ni…”
“Tak ada orang dah,” balas Armand tenang. “Lagipun saya CEO. Kalau ada orang marah, saya pecat dia.”
Hana geleng kepala perlahan, senyum malu sambil tolak dada suaminya yang makin berani.
“Suka sangat buat perangai lepas mesyuarat ya…”
“Bukan perangai. Ni namanya penghargaan. CEO punya ‘employee of the month’.”
“Tak cukup bulan lagi,” balas Hana, tapi suara dia dah separuh ketawa.
Armand ketawa perlahan, tapi tetap tak lepaskan rangkulan.
“Awak kerja kuat sangat. Sampai saya pun rasa kalah. Penat macam mana pun, saya tetap bangga ada isteri macam awak.”
Hana tunduk, senyum simpul. Muka dah mula rasa panas.
“Saya buat semua ni untuk awak, Danish… dan syarikat. Tak ada orang luar. Saya cuma nak kita semua bahagia.”
Armand pandang wajah isteri dia yang bersinar dalam cahaya lampu bilik mesyuarat.
“Dan saya nak kita sambung bahagia tu… bukan setakat dalam syarikat.”
Hana angkat kening. “Maksud awak?”
Armand sengih. “Nanti saya cerita... lepas awak sampai Penang.”
Hana menapak keluar dari bilik mesyuarat sambil termenung panjang. Kaki melangkah ke lif, tapi kepala penuh dengan senarai kerja yang belum selesai. Timeline kempen. Draft bajet. Tender proposal. Pelabur. Danish. Armand. Danish lagi. Armand lagi.
Fuh. Otak macam Google Drive – penuh dan berselerak.
Turun saja ke lobi, Hana terus berdiri terpinga-pinga.
"Eh… aku nak buat apa dekat sini?"
Sepatutnya dia balik bilik. Tapi entah kenapa kakinya membawa ke lobi macam ada magnet bawah kasut. Tengah dia kalut nak patah balik, tiba-tiba satu suara lembut memanggil namanya.
“Hana…”
Hana menoleh. Oh! Patutlah hati rasa macam ada tarikan misteri.
Datin Marlia.
Hana cepat-cepat senyum dan berjalan ke arah mama mertuanya yang duduk anggun di atas sofa empuk ala-ala puteri di istana kontemporari.
“Mama… we're papa mana?” tanya Hana, duduk sopan di sebelah.
Datin Marlia menjongket bahu sikit. “Entahlah. Dia suruh tunggu sini. Tadi nampak dia dengan seseorang…”
Hana cepat mencelah. “Kawan papa kot. Bisnes bisnes jugak, sembang tak habis.”
Datin hanya tersenyum nipis sambil capai majalah dekorasi atas meja kopi. Tapi kemudian dia letak balik. Lebih berminat tengok wajah menantunya yang duduk sebelah.
“Hana…”
“Ya, mama?”
“Kamu dengan Armand bahagia, kan?”
Hana angguk. “Alhamdulillah. Kadang-kadang gaduh kecil je… tapi setakat tarik selimut malam-malam, tu biasalah.”
Datin tergelak kecil. “Mama bangga sangat dengan Hana. Mama selalu doa dari dulu lagi, Armand dapat isteri yang kuat, bijak… tapi penuh kasih. Memang tepat pilihan dia.”
Hana tersipu-sipu. Tapi belum sempat dia jawab, Datin bersandar perlahan dan pandang jauh sikit, macam tengah throwback filem hitam putih.
“Sebenarnya… mama dulu nak ramai anak. Tapi rezeki tak ada. Dapat Armand sorang je. Itu pun lama tunggu…”
Suasana tiba-tiba jadi sayu sikit. Hana diam, mendengar.
“Sebab tu mama harap Hana… besarkan keluarga ni. Biar villa ni penuh dengan suara budak-budak. Baru meriah.”
Hana tersenyum, tapi dalam hati…
“Danish sorang pun dah macam tiga orang anak. Ni kalau penuh rumah, boleh roboh villa ni. Setiap tingkat ada zon kecemasan.”
Tapi dia hanya jawab, “InsyaAllah, mama. Doakan kami ya.”
Datin pegang tangan Hana erat. “Mama selalu doa. Hari-hari.”
Dan waktu itu, hati Hana rasa sejuk. Tenang. Macam doa seorang ibu tu turun terus dari langit, masuk ke dada.
Share this novel