Bab 8

Romantic Comedy Series 1024

Rayqal menatap wajah sendiri di cermin bilik air. Wajahnya nampak tenang, tapi dalam mata itu ada sesuatu yang tak selari—seolah-olah ada jiwa lain sedang bersembunyi di sebalik irisnya.

Luka kecil di bawah kelopak mata kirinya masih belum sembuh. Tak tahu dari mana datangnya. Bila ditanya, Arumi cuma pandang dan senyum hambar.

“Tak apa. Awak ingat sikit-sikit je lagi, kan?” Arumi pernah tanya.

Rayqal tak tahu nak jawab. Sebab mimpi-mimpinya semakin nyata. Setiap malam, wajah seorang budak kecil menjerit dari sebalik cermin. Kadang-kadang suara budak itu bertukar… jadi suara lelaki. Suara yang dia tak kenal—tapi rasa terlalu akrab.

Dan setiap kali dia bangun, akan ada simbol pelik tercoret di lengan. Lukisan mata. Tanda pangkah. Garisan-garisan bersilang seperti pagar.

Bila dia tanya Arumi tentang semua tu, gadis itu makin menjauh. Makin hari, makin sukar difahami.

Pagi itu, Arumi datang seperti biasa. Tapi kali ini, dia bukan sendirian.

“Rayqal, kenalkan ni… Ashraff.”

Seorang lelaki tinggi, berkulit sawo matang dengan mata tajam berdiri di belakang Arumi. Wajahnya seperti pernah dilihat Rayqal—tapi dia tak pasti di mana.

“Dulu kawan kita. Sekelas. Tapi awak tak kenal sekarang sebab memori awak masih tak penuh,” ujar Arumi.

Ashraff senyum sinis. “Tak sangka awak hidup lagi, bro.”

Rayqal kaku. “Apa maksud kau?”

Ashraff duduk di birai katil. Pandangannya tajam. “Kau patut mati, Rayqal. Tapi kau yang paling kuat antara kita semua. Dan kau… yang paling banyak simpan rahsia.”

Rayqal terasa dadanya ketat.

“Cakap terus terang.”

Ashraff ambil sesuatu dari beg sandangnya—sekeping gambar lama, sudah kekuningan.

Gambar kanak-kanak. Enam orang. Berdiri di depan pintu besi bertanda Bilik 0.1.

Rayqal berdiri. Suaranya bergetar. “Mana kau dapat ni?”

“Aku simpan. Sebab semua orang lain hilang. Kau lupa, aku tak.”

Arumi nampak risau. “Ashraff…”

“Arumi, cukup simpan semuanya. Dia patut tahu. Kita semua patut tahu. Tiga budak dalam gambar ni dah mati. Tinggal kita bertiga. Dan budak perempuan terakhir—Aida—masih tak boleh bercakap sebab trauma tu.”

Rayqal menggenggam kepalanya. “Aku tak ingat!”

Ashraff berdiri. “Tapi kenapa tangan kau masih lukis simbol tu setiap malam? Kenapa nama kita semua hilang dari rekod hospital?”

Arumi cuba menenangkan. “Ashraff, kita bawa dia rawat, bukan tekan dia sampai pecah.”

Tapi Rayqal bangun. Perlahan-lahan, dia berjalan ke cermin bilik. Tangannya menyentuh permukaan sejuk itu. Dan untuk pertama kali—refleksi dalam cermin tidak meniru gerak tubuhnya.

Rayqal terkaku.

Dalam cermin, budak lelaki dari mimpinya muncul. Wajah penuh parut. Matanya hitam legam.

Dan suara itu kedengaran—bukan dari luar, tapi dari dalam kepalanya.

“Kau janji akan lindungi semua. Tapi kau biar mereka mati. Sekarang giliran kau.”

Rayqal menjerit. Arumi cepat-cepat capai tangan Rayqal.

“Rayqal! Tenang! Fokus pada suara saya!”

Tapi dunia sekeliling jadi kabur. Cermin retak. Dinding berubah menjadi logam berkarat. Lampu berkedip-kedip.

Dan satu suara menjerit—Aida.

Bunyi telefon Arumi berbunyi nyaring. Jururawat dari pusat komuniti mental.

“Aida mengamuk. Dia teriak… suara dia keluar balik. Tapi bukan suara dia! Cepat datang!”

Rayqal masih terduduk. Matanya kosong. Arumi bergegas, tinggalkan Ashraff yang kini juga panik.

Setiba di pusat komuniti, semua lampu terpadam. Jururawat berlari keluar. “Dia di bilik lukisan! Pintu terkunci dari dalam!”

Arumi berlari ke bilik Aida. Dari celah bawah pintu, terdengar suara mengilai—bukan suara manusia.

Ashraff tiba kemudian. “Biar aku pecahkan pintu!”

Dengan satu tendangan kuat, pintu terbuka. Aida sedang berdiri di tengah bilik, matanya terpejam, tapi mulutnya bergerak cepat—bagaikan membaca sesuatu dalam bahasa yang tak difahami.

Di sekelilingnya, lukisan-lukisan terbakar sendiri. Simbol mata bertukar bentuk. Ada yang meleleh darah. Dinding dipenuhi tulisan hitam bertindan:

“Sesiapa yang hidup… akan dituntut kembali.”

Arumi peluk Aida. “Aida! Sedar! Jangan biar suara tu kuasai awak!”

Aida membuka mata.

“Rayqal…” katanya, buat pertama kali dalam lebih 10 tahun.

“Rayqal akan buka pintu tu semula. Dan bila pintu tu terbuka… bukan kita je yang keluar.”

Beberapa saat kemudian, seluruh bangunan blackout.

Dan dari telefon Arumi, satu mesej masuk. Nombor tak dikenali.

“0.1 sedang dibuka. Kau dah janji nak kunci selamanya, Arumi. Tapi kau mungkir.”

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience