Lampu hospital yang malap, bau antiseptik yang menusuk, dan bunyi mesin pemantau jantung yang perlahan — semuanya menambahkan berat pada suasana. Hana terbaring diam, wajahnya pucat tapi tenang. Walau mata masih tertutup, jiwanya barangkali sedang berperang dalam diam.
Di sisi katil, Armand berdiri tegak dengan wajah penuh risau. Tasya pula setia menemani, duduk di sofa dengan tangan menggenggam tasbih kecil — entah doa apa yang dibacanya. Maksu Normah pula berdiri berhampiran doktor, matanya berkaca.
Doktor lelaki pertengahan usia sedang menyemak graf bacaan mesin dan nota rawatan. Dia memandang mereka semua.
“Puan Hana tak mengalami kecederaan fizikal… tapi…” Doktor berpaling ke arah Armand, “...dia mengalami tekanan emosi yang sangat kuat. Dia perlukan rehat. Mental dia... letih.”
Maksu Normah terus terduduk di sofa. “Ya Allah… Hana sakit mental?” Suaranya tinggi sedikit. “Hana… jadi orang gila ke, doktor?!”
Tasya cepat-cepat pegang bahu Maksu. “Maksu... jangan cakap macam tu…”
“Eh, tak… bukan maksud Maksu hina. Tapi Maksu rasa bersalah sangat. Maksu tak tahu semua ni jadi kat Hana…” Maksu terus mengesat air matanya dengan hujung tudung. “Kalau tahu awal-awal... Maksu dah ikat si Fakhri tu dalam bilik dari dulu!”
Doktor menahan tawa kecil. Tapi dia tetap profesional.
“Puan… saya ulang sekali lagi, ya. Puan Hana bukan gila. Dia cuma alami tekanan emosi yang terlampau. Masih waras. Masih sedar. Cuma jiwa dia... penat.”
Maksu terdiam. Lepas beberapa saat dia angkat tangan, “Ohhh… saya ingatkan Hana dah hilang akal. Kalau betul dia gila tadi, saya dah nak saman hospital ni.” Maksu selamba.
Doktor terkebil. Armand terkaku. Tasya terus menekup mulut, tahan gelak. Maksu ni kadang-kadang serius, kadang-kadang boleh jadi pelawak dalam drama Tamil.
“Err… okay, kalau semua faham, kita biar Puan Hana rehat dulu,” kata doktor sambil menulis sesuatu di fail.
Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Seorang wanita muda berlari masuk dengan wajah cemas.
“Hana! Hanaaa!”
Tasya bangun cepat. “Eh, eh, siapa ni pulak?”
Wanita itu terhenti. Nafasnya masih termengah. “Saya… saya kawan dia. Nama saya Emy.”
“Dia memang Emy,” jawab Tasya cepat-cepat. “Kawan lama Hana. Saya pernah nampak gambar dia masa Hana bercerita dulu.”
Doktor menjeling jam. “Tapi sekarang bukan masa untuk ziarah terlalu ramai. Dia perlukan ketenangan.”
Emy menunduk hormat. Tapi dia tetap bersuara perlahan, mendekati kaki katil.
“Saya tahu Hana ada tekanan. Saya tahu sejak saya jumpa dia hari tu. Dia cuba senyum. Tapi senyum tu tak sampai ke mata. Saya kenal Hana. Dia bukan pandai berpura-pura dengan saya. Tapi dia cuba sangat… nak nampak kuat.”
Semua terdiam. Kata-kata Emy bagai angin sejuk dalam bilik itu.
Emy mengeluh. “Tapi saya faham... kadang orang kuat pun… cuma nak peluk dan menangis. Itu je.”
Doktor angkat tangan kecil, “Okay. Cukup dulu ya. Bagi dia rehat. Saya tak nak tekanan ni jadi lebih teruk.”
Semua mengangguk patuh. Maksu bangun dan berjalan perlahan ke sisi Hana. Dia belai rambut anak saudaranya itu perlahan.
Maksu bisik perlahan. “Rehat ya, sayang. Maksu ada. Kami semua ada.”
Dan bilik itu kembali senyap. Yang tinggal hanyalah harapan — agar Hana akan bangun semula… sebagai wanita yang lebih kuat.
Jam hampir menginjak ke satu pagi. Lampu di bilik hospital suram, memberi suasana tenang. Bunyi monitor jantung berdetik perlahan, seiring nafas yang naik turun di dada Hana. Maksu Normah sudah pulang selepas doktor memberi jaminan keadaan stabil. Yang tinggal hanya Emy dan Tasya menemani.
Emy duduk bersila di atas sofa dengan telefon di tangan, mata tidak berkelip menatap skrin. TikTok jadi pengisi masa. Sampai satu video muncul — thumbnail dan tajuknya buat dia terus duduk tegak.
“Isteri Tokoh Korporat Cuba Terjun Bangunan Metro Nova?”
Emy bulat mata. “Ya Allah... kau ke ni, Hana?” bisiknya sendiri, tak percaya apa yang dilihat. Gambar dalam video itu jelas — tudung berkibar, berdiri di tepi tembok, wajah sayu memandang jauh. Satu saat, Emy telan air liur. Cepat betul dunia tahu.
Tasya pula duduk berhampiran tingkap, termenung. Pandangan dilempar ke luar, mengira kereta yang lalu-lalang di parkir hospital. Dia tak buka telefon, tak semak emel. Dalam kepala hanya satu — kenapa tiada siapa nampak kesedihan yang Hana simpan sorang-sorang?
Tiba-tiba, kelopak mata Hana bergerak perlahan.
Emy yang masih terkesima dengan TikTok spontan toleh. Jantung berdebar bila nampak mata Hana terbuka. “Hana?! Hana dah sedar!” jeritnya, cukup kuat untuk kejutkan seluruh dunia, tapi masih sopan untuk tak ganggu pesakit lain.
Tasya terus bangkit dan berlari ke sisi katil. “Puan Hana... Puan Hana dah buka mata!” Nadanya penuh teruja dan lega.
Hana buka mata separuh, keliru dengan sekeliling. Dia cuba duduk, tapi tubuhnya terasa berat. “Aku... kat mana ni?” suara Hana perlahan, nyaris tak terdengar.
Belum sempat Tasya jawab, Emy sudah bersuara dahulu. Seperti biasa, mulutnya laju.
“Kau okay ke? Luka tak? Pening ke? Nak makan ke? Lapar? Haus? Kau ingat aku ke tak ni?” Soalan keluar laju macam peluru. Sambil tanya, sempat Emy peluk lengan Hana dan gosok-gosok lengan itu. “Kau jangan buat hal macam ni lagi, boleh tak?”
Hana tergelak kecil. Senyuman nipis terbit di hujung bibir. Sakit kepala masih berdenyut, tapi melihat perangai Emy buat jiwanya sedikit ringan. “Kau... masih mulut takde filter,” bisiknya perlahan.
Tasya cuba tahan senyum di hujung bibir. “Cik Emy… bagi Puan Hana rehat dulu. Doktor pesan, dia perlu bertenang.”
“Oh! Sorry-sorry! Lupa diri…” Emy angkat tangan, gaya bersalah tapi tetap tersengih.
Kemudian Hana bersuara perlahan. “Sekarang ni… aku kat mana?”
Tasya duduk rapat ke tepi katil dan pegang hujung selimut. “Puan Hana berada di hospital. Tuan Armand yang bawa ke sini. Doktor kata Puan hanya terlalu penat dan tekanan emosi.”
Emy mengangguk-angguk. “Patutlah aku tengok muka kau seminggu ni macam... err... TikTok kena shadowban. Hilang cahaya!”
Hana senyum nipis, letih tapi terasa dihargai. Suasana hening seketika, masing-masing beri ruang untuk nafas dan fikiran.
Tasya bangun perlahan dan susun bantal di belakang kepala Hana. “Kalau Puan Hana perlukan apa-apa, saya dan Cik Emy ada di luar.”
Emy berdiri, tapi sempat hulur tangan dan picit lembut tangan Hana. “Kau rehat dulu. Nanti aku belikan kau air kelapa muda. Kau suka kan?” mata Emy bergenang sedikit tapi dia cepat-cepat toleh ke dinding.
“Jangan nangis Emy... aku okay,” suara Hana tenggelam dalam keletihan yang panjang.
Tasya dan Emy keluar perlahan dari bilik, memberi ruang untuk Hana berehat. Tapi dalam hati masing-masing, mereka tahu — luka yang Hana bawa bukan luka biasa. Ia luka dalam yang selama ini disembunyi... dan akhirnya, meletus juga.
Malam semakin larut. Lampu bilik hospital dimalapkan, memberi ruang untuk lena kalau tubuh mengizinkan. Di luar, hujan renyai-renyai mula turun, menyimbah kaca tingkap dengan lembut. Tasya sudah pun pulang sebentar tadi — setelah doktor sahkan keadaan puan Hana stabil, dia beransur balik untuk memberi ruang.
Tinggal Emy. Sahabat yang setia. Sahabat yang susah-senang tetap ada, walaupun Hana cuba sembunyi duka. Emy masih di sisi, duduk di atas kerusi yang ditarik rapat ke katil Hana. Satu tangan bersilang di dada, satu lagi main hujung selimut.
“Boleh aku tanya sesuatu?” suara Emy perlahan, takut mengganggu.
Hana buka sedikit mata. “Hmmm?”
“Jangan marah, ya?” Emy dah siap-siap senyum minta maaf dulu. “Betul ke kau… err… kau betul-betul nak bunuh diri tadi?”
Hana mengerut kening. “Gila ke apa? Aku pun takut mati, tahu tak.”
Emy tepuk dada, bernafas lega. “Allahu… nasib baik. Aku dah cuak dah tadi. Aku tengok gambar kau berdiri kat atas tembok tu... meremang bulu tengkuk aku.”
Hana geleng kepala perlahan. “Aku naik atas tu nak ambil angin je. Kat atas tenang, sunyi. Kat bawah tu, dengan orang lalu-lalang, bunyi lif ‘ting ting’, belum kira staf yang suka menyibuk…”
“Owhhh…” Emy angguk-angguk gaya faham. “Ingat kau nak bunuh diri...”
Gedebuk! Sebiji bantal melayang perlahan kena lengan Emy. Hana sempat tarik hujung bantal dan tolak lembut ke arah sahabatnya itu.
“Weh!” Emy tergelak. “Kasar betul pesakit ni.”
“Kalau aku nak bunuh diri, Emy… dah lama aku terjun. Tak payah nak tunggu-tunggu. Lambat!”
Emy tergelak lagi. “Hehehe... betul jugak. Kalau drama, sempat bagi ucapan penutup. Kalau kau, pendek je, ‘aku geram!’, lepastu terus ZUUPPP!”
Hana senyum senget. “Entah apa-apa lah kau ni.”
Emy menyandarkan belakang ke kerusi semula. Mata pandang siling. Suasana kembali senyap seketika, hanya bunyi hujan yang menenangkan.
Tapi malam itu, dalam diam, Hana tahu… dia bersyukur Emy masih di sisi. Dan Emy pula tahu… Hana sebenarnya dah terlalu lama simpan segalanya dalam hati. Tapi malam ini bukan untuk menangis lagi. Malam ini, untuk tarik nafas… perlahan-lahan. Dan mulakan semula — esok.
Share this novel