BAB 68

Romantic Comedy Series 1124

MPV hitam yang dipandu Pak Rahman akhirnya berhenti perlahan di hadapan villa tiga tingkat yang berdiri megah di puncak kawasan perumahan eksklusif itu. Bangunan indah itu seperti menunggu kepulangan penghuninya — sunyi, tenang, namun penuh harapan yang tergantung.

Sebaik pintu dibuka, Hana melangkah keluar terlebih dahulu, diikuti Emy yang tampak serba salah dengan suasana asing di sekelilingnya. Armand tetap diam, tidak mengekori rapat, hanya menunggu sedikit ke belakang.

Di kaki lima villa, tiga orang pembantu rumah — Kak Lina, Kak Ros dan Kak Mila — sudah berdiri bersiap menyambut. Wajah mereka sedikit lega melihat kelibat puan rumah kembali. Namun tidak seorang pun berani bersuara. Arahan telah diberi — jangan banyak tanya, jangan pandang lama-lama, cukup sekadar hormat dan bantu bila perlu.

Langkah Hana belum sempat melangkah naik ke anak tangga, satu suara kecil dan riang menyentap perasaannya.

"Mama!"

Danish berlari laju dari ruang tamu, terus menerkam ke arah ibunya. Tubuh kecil itu memeluk erat sekujur tubuh yang amat dirinduinya. Hana terdongak sedikit — kejutan, rindu, sayang — semua datang sekaligus. Dia balas pelukan itu. Erat. Lama.

Emy yang berdiri di sisi hanya tunduk. Matanya mula berkaca. Melihat kasih ibu dan anak itu membuatkan hatinya juga jadi rapuh. Dalam diam, dia kagum — dalam kelukaan pun, Hana masih mampu memeluk dengan penuh kasih.

Armand yang berdiri di belakang hanya memerhati. Ada sesuatu yang tersumbat di kerongkongnya. Dia tak mampu bergerak. Hanya mata yang mengejar setiap gerak Hana.

Tanpa sepatah kata, Hana dan Emy masuk ke dalam rumah, Danish masih tidak mahu berenggang. Tangannya erat menggenggam jari ibunya, bagaikan takut dilepaskan lagi.

Tiga pembantu rumah memberi laluan. Armand pula menyusul di belakang — perlahan, jauh sedikit. Sejak dari MPV tadi, dia tak berani mencelah apa-apa. Pandangan Hana yang dingin masih terasa seperti bayu sejuk yang melukakan kulit.

Dia pandang Hana dari belakang.

"Aku yang salah," bisik hati Armand.
"Aku yang tak tahu jaga hati dia. Hati seorang isteri. Hati seorang mama kepada Danish."

Langkah Hana penuh sabar, namun tidak lagi selembut dulu. Wajah itu bukan lagi wajah yang selalu mengalah. Bukan lagi yang selalu senyum waktu pahit. Bukan lagi wanita yang akan diam dan pujuk walau dia yang disakiti.

Armand telan liur.
Dia mula fikir — bagaimana mahu buat Hana kembali senyum?
Bukan senyum paksa. Tapi senyum ikhlas. Senyum yang dulu.

Dia mahu Hana kembali jadi seperti dahulu.
Wanita yang bebas dari beban.
Wanita yang hidup tanpa luka.

Tapi… mungkinkah semua itu masih boleh berlaku?
Atau semuanya sudah terlalu lewat?

Dan malam pun menjelma.

Langit gelap. Awan tebal seperti hati manusia yang sedang menyorokkan luka. Tapi suasana rumah masih berjalan macam biasa — atau paling tidak, berpura-pura biasa.

Emy telah pun pulang ke rumahnya. Sebelum keluar sempat juga dia menjeling Hana sekali, sambil mulut terkunci rapat — tapi matanya jelas berkata, “Kalau esok kau mogok makan lagi, aku seret kau keluar!”

Di dapur villa, Kak Ros baru saja siap menyusun lauk atas meja makan malam. Dia bukan sekadar tukang masak, tapi juga pemerhati senyap kepada drama harian pasangan CEO dan CMO yang makin hari makin mirip sinetron pukul 7.

Kak Mila pula setia di sebelah, cuci periuk dan sudip sambil berkira-kira, "Kalau aku cuci kuat sangat bunyi bising… nanti bos fikir aku stres. Tapi kalau aku cuci perlahan sangat… Kak Ros fikir aku curi tulang.”

Sementara itu di ruang tamu, Kak Lina menjadi penonton profesional kepada Danish yang sedang asyik menonton Upin Ipin.

“Upin! Ipin!” jerit Danish tiba-tiba sambil lompat atas sofa.

Kak Lina pun terloncat sama. “Haish anak bertuah ni…”

Langkah kaki Armand kedengaran dari tangga. Gaya berjalan pun lain macam — bukan seperti CEO yakin diri, tapi seperti pelakon tambahan dalam filem cinta Melayu. Lelaki yang sudah insaf, tetapi masih takut nak buka mulut.

Dia muncul di dapur.

Kak Ros senyum nipis, Kak Mila senyum tawar. Dua-dua tahu kenapa lelaki tu ke dapur waktu macam ni. Bukan sebab lapar — sebab nak tunjuk dia suami prihatin.

“Err… Kak Ros. Makanan Hana ada?”

Kak Ros angguk. “Ada, Tuan. Dah siap. Ikan goreng, ayam kicap, sup sayur. Semua yang Puan suka.”

Kak Mila bersuara perlahan, “Nasi pun kami jaga macam anak sulung.”

Armand angguk laju. Dalam hati dia berdoa — “Ya Tuhan… biarlah nasi ni jadi penyambung semula hubungan yang retak macam tayar bocor malam raya.”

Tanpa suruh, dia capai dulang. Susun pinggan, mangkuk, sudu, dan gelas air kosong. Semua diatur penuh seni. Macam tengah buat plating fine dining.

Kak Ros perhati je. “Tuan… saya boleh hantar—”

“Takpe, Kak Ros. Saya bawa sendiri.”

Kak Ros tunduk hormat. Kak Mila bisik pada Kak Ros perlahan, “Kalau dia balik dengan pinggan pecah, kita pura-pura tak nampak.”

Hana masih di bilik. Susuk tubuhnya duduk di kerusi rotan putih, menghadap tingkap. Tangan bersilang, mata renung langit. Malam tu mendung, tapi Hana tetap merenung seolah-olah dia tengah kira jumlah bintang yang tak nampak.

Mungkin dia tak tengok bintang pun. Mungkin dia cuma… menunggu.

Pintu bilik diketuk dua kali. Perlahan.

Tok tok.

Tiada respon.

Armand buka pintu sedikit. Jenguk. Takut-takut. Tengok Hana tak menjerit, dia masuk dengan dulang di tangan.

Dia melangkah perlahan seperti pencuri, padahal dia pemilik rumah. Tapi bila isteri tengah merajuk, CEO pun boleh jadi pencuci lantai sambilan.

“Hana…” panggilnya perlahan. “Saya bawa makanan.”

Hana tak berpaling.

Armand letak dulang atas meja kecil. Duduk bersila atas lantai, di belakang Hana.
Jarak satu meter.
Emosi: tiga tan metrik.

Langkah Armand perlahan tapi tetap. Nafas ditarik dalam-dalam, macam nak pergi temuduga kerja yang paling menentukan hidup. Tapi ini lebih mencabar dari itu. Ini — temuduga semula jadi suami dalam hati isteri sendiri.

Dia nampak Hana. Duduk bersila atas sofa biru, diam menghadap tingkap. Rambut panjang dilepaskan. Bahu kecil itu… pernah jadi tempat dia bersandar bila penat balik kerja. Sekarang, bahu itu macam dinding muzium — tak boleh sentuh, tak boleh cuit.

> Nak peluk ke tak nak? Kalau peluk, kena tampar, redha je lah. Kalau tak peluk, menyesal sampai tahun depan pun belum tentu reda. Ah, lantaklah.

Armand tarik nafas. Dia jalan senyap-senyap dari belakang. Satu tapak. Dua tapak. Sampai betul-betul di belakang Hana.

Tanpa amaran. Perlahan.

Dia peluk.
Peluk erat dari belakang.
Dada dia rapat ke belakang Hana. Lengan dililit kemas ke pinggang. Dia pejam mata.

Hana?
Statik.

Tak melenting. Tak melawan. Tapi tak balas juga.

> Okay… ni tandanya tak ditolak. Tapi tak juga dialu-alukan. Status: tergantung macam langsir dapur Kak Ros.

“Awak…” suara Armand pecah sepi malam.

“Hmm?” Hana tak toleh.

“Saya… saya rindu sangat awak yang dulu. Ceria. Banyak cakap. Banyak marah saya pasal benda remeh. Awak tahu tak, sekarang sunyi sangat. Saya rasa macam tinggal dengan skrin screensaver.”

Hana angkat kening, tapi belum bersuara. Armand teruskan, lengan masih erat.

“Saya tahu… mungkin sebab Marissa. Semua benda mula dari situ. Saya buta. Saya pekak. Saya... bongok.”

“Setuju.” Hana tiba-tiba menyampuk, datar. “Bongok tu paling tepat.”

Armand tergelak kecil. “Saya tak marah pun kalau awak kutuk. Awak cakap apa pun, saya terima. Tapi saya dah pecat Marissa. Hari tu juga. Tanpa pampasan.”

“Patut pun muka awak macam baru kena saman semalam,” Hana membalas, masih tak toleh.

“Saya sanggup apa saja demi awak. Saya nak… kita mula balik. Kita bina balik rumah yang ceria. Bukan rumah senyap macam rumah hantu.”

Hana akhirnya toleh. Perlahan.

Mata mereka bertembung.
Armand tahan nafas.
Mata Hana — masih sejuk, tapi tidak sedingin ais seminggu lepas. Ada sesuatu di situ. Mungkin… sinar. Mungkin… sayang yang disorok.

“Janji… tak buat lagi?” suara Hana perlahan. Tapi jelas. Macam satu ujian, macam ayat saksi dalam mahkamah.

Armand terus angkat tangan kanan. Yang kiri masih peluk erat.
“Saya janji! Sumpah! Kalau saya ulang lagi—”

Hana angkat jari. “Tak payah tambah-tambah ayat ngeri. Cukup cakap janji.”

“Saya janji,” ulang Armand sambil tunduk. “Saya tak nak hilang awak. Saya tak nak Danish tengok mama dia murung. Saya tak nak makan sambal tanpa gelak awak. Saya tak nak balik rumah kosong suara.”

Hana pandang dia. Lama.

Kemudian, satu tangan Hana naik. Perlahan. Diletakkan di atas tangan Armand yang memeluk. Tidak erat. Tapi cukup untuk beri harapan.

“Awak tak tidur luar malam ni…” bisik Hana sambil pejam mata, “…kalau awak basuh pinggan malam ni.”

Armand ketawa kecil, lega tak terkata.

“Okay. Pinggan. Sudu. Lantai dapur pun saya mop kalau perlu.”

Hana tarik nafas. “Kalau awak janji lagi… janji awak tu biar ada isi. Jangan janji manis tapi kosong.”

“Awak…” Armand bisik di belakang telinga Hana. “Saya akan penuhkan janji saya sampai awak bosan saya terlalu sayang awak.”

“Jangan melampau,” Hana cebik, tapi senyum itu… muncul juga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience