BAB 28

Romantic Comedy Series 1024

Keputusan akhir telah pun dimuktamadkan. Selepas pelbagai saringan, ujian bertulis, dan temuduga lisan, akhirnya nama Marissa disahkan sebagai pembantu peribadi baru kepada CEO Metro Nova Holding, Armand Harith.

Pemilihan itu dibuat melalui satu mesyuarat tertutup yang melibatkan pihak pengurusan atasan dan unit sumber manusia. Bukan keputusan yang mudah, namun dari segi merit dan profesionalisme, Marissa memang menepati semua kriteria — latar akademik kukuh, pengalaman kerja yang tersusun, dan ujian integriti yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Namun bagi Hana Auni binti Aiman, yang juga salah seorang pemegang saham syarikat, keputusan itu membawa rasa yang bercampur. Meski dia tidak menyuarakan bantahan secara terbuka, gelora dalam hati sebagai seorang isteri masih menjerut fikirannya.

Di dalam pejabat peribadinya di tingkat empat, Hana sedang meneliti semula dokumen-dokumen penilaian akhir Marissa. Fail berkulit biru itu dibuka satu persatu — resume lengkap, salinan sijil, dan laporan prestasi dari panel penilai.

Wajahnya serius.

"Semua nampak sempurna... terlalu sempurna," gumamnya perlahan, tanpa senyuman.

Dia menyandarkan tubuh ke kerusi, matanya masih menyorot helaian terakhir kertas yang tersisip. Walau segala yang tertera menyatakan kelayakan Marissa sebagai calon paling tepat, namun gerak naluri seorang wanita — dan seorang isteri — memberitahu sesuatu yang lain.

Hana menghela nafas dalam-dalam.

“Aku harap… kau datang untuk kerja. Bukan untuk cuba mendekati suami aku.”

Tangannya menutup fail tersebut dengan tenang. Tiada siapa tahu apa yang bergelora di sebalik wajah tenangnya. Hana bukan sekadar CMO syarikat — dia juga isteri kepada CEO, dan paling utama, dia wanita yang tahu bagaimana liciknya dunia korporat... dan manusia di dalamnya.

Dia tidak mahu menuduh, namun dia tidak akan leka.

Kerana dalam dunia sebesar Metro Nova ini, satu kesilapan kecil boleh membawa retak pada yang paling mahal — nama baik syarikat… dan rumah tangganya.

Langit di luar jendela mula mendung. Angin yang tadinya lembut kini bertiup lebih kuat, seolah-olah memberi amaran. Hana hanya diam. Matanya masih tertumpu pada fail yang kini telah tertutup rapat.

Dan hatinya terus berharap — agar Marissa benar-benar hadir sebagai pekerja yang setia, bukan ancaman yang terselindung di sebalik senyuman sopan.

Pintu pejabat diketuk perlahan dari luar.

"Masuk," arah Hana tenang, tanpa menoleh.

Pintu terbuka, dan muncul wajah Tasya — pembantu peribadinya yang sentiasa cekap dan sopan. Gadis itu melangkah masuk dengan sebuah tablet di tangan.

"Puan Hana, saya nak maklumkan... ada mesyuarat bersama semua ketua eksekutif jam sepuluh pagi nanti. Dalam masa lima belas minit."

Hana mengangguk perlahan. Dia menutup fail yang masih berada di hadapan dan menolaknya ke tepi.

"Baik. Tasya, tolong standby semua fail berkaitan laporan suku tahun dan cadangan pelan pemasaran yang kita bincangkan minggu lepas."

"Baik, puan." Tasya mencatat pantas di tabletnya. "Saya akan bawa sekali data prestasi unit bahagian bawah dan analisis keuntungan yang puan minta dulu."

Hana bangkit dari kerusinya. "Pastikan semuanya lengkap. Saya tak nak ada satu pun yang tertinggal."

"Faham, puan." Tasya menunduk sedikit, bersedia untuk keluar.

"Tasya," panggil Hana sebelum gadis itu sempat berpaling.

"Ya, puan?"

"Terima kasih sebab sentiasa buat kerja dengan baik. Saya hargai usaha awak."

Tasya tersenyum, sedikit terkejut dengan penghargaan itu. "Sama-sama, puan. Saya cuma ikut cara kerja puan. Tegas tapi teratur."

Hana hanya mengangguk kecil, namun senyuman tipis sempat singgah di wajahnya.

Saat pintu ditutup semula, Hana menarik nafas dalam. Dunia profesionalnya memerlukan tumpuan sepenuhnya, walau apa pun yang sedang mengganggu fikirannya di sebalik urusan kerja. Mesyuarat penting akan bermula sebentar lagi — dan sebagai pemegang saham serta CMO, dia perlu hadir bukan sekadar sebagai isteri CEO, tetapi sebagai wanita berwibawa yang dihormati dalam dunia korporat.

Semua ketua eksekutif kini sudah berkumpul di bilik mesyuarat besar di tingkat enam. Lampu siling malap tetapi cukup menerangi meja bulat besar yang dipenuhi fail, laptop dan minuman ringan yang disediakan oleh bahagian pengurusan acara syarikat.

Wajah-wajah tegang mula menampakkan resah kecil apabila jarum jam hampir menyentuh pukul sepuluh pagi. Hanya satu kerusi di hujung meja yang masih kosong — tempat duduk CEO Metro Nova Holding, Armand bin Dato’ Harith Adam.

Beberapa saat kemudian, pintu kayu gelangsar ditolak dari luar. Langkah tenang Armand memasuki ruangan, lengkap berjaket kelabu arang dan kemeja biru laut. Wajahnya serius tetapi tenang, seperti biasa. Semua yang ada berdiri memberi hormat.

"Maaf saya sedikit lewat," ucap Armand sambil menarik kerusi dan duduk. "Terima kasih kerana menunggu."

Di sebelahnya, tempat pembantu peribadi yang biasa membantu dengan fail dan nota kini kosong. Buat sementara waktu, tugas itu digantikan oleh setiausaha eksekutif kanan dari Jabatan Korporat, yang duduk bertentangan dan bersedia dengan tablet di tangan.

"Baik, kita teruskan," sambung Armand sambil membuka fail biru di hadapannya. "Hari ini kita akan fokus pada tiga perkara utama — laporan prestasi suku kedua, cadangan pelaburan luar, dan pelan pemasaran baharu dari pihak CMO."

Hana yang duduk di sisi kanan bilik, lengkap berkot rasmi hitam dan hijab krim, mengangguk perlahan. Dia sudah bersedia dengan semua bahan yang perlu.

Mesyuarat pun bermula.

Satu demi satu jabatan membentangkan laporan mereka. Ketua Bahagian Kewangan memperincikan prestasi semasa — keuntungan bersih meningkat 8.7% berbanding suku sebelumnya. Pelaburan jangka pendek menunjukkan hasil stabil, dan kos operasi berjaya dikurangkan melalui penyusunan semula sumber manusia.

Kemudian, giliran Hana berdiri dan menekan alat kawalan slaid.

"Untuk suku ketiga, cadangan pemasaran tertumpu pada dua projek utama. Pertama, pelancaran produk baharu bagi segmen pelancongan keluarga mewah. Kedua, kempen branding semula secara besar-besaran — yang menyasarkan kolaborasi dengan influencer antarabangsa."

Wajah-wajah di meja mengangguk perlahan, tertarik dengan persembahannya. Armand hanya diam, tetapi senyapnya bukan tanda tidak setuju — lebih kepada memberi ruang untuk Hana menunjukkan keupayaannya sebagai seorang CMO yang kompeten.

Sambil itu, dalam hati Hana sempat terlintas satu perkara — bila Marissa akan memulakan tugas? Dan sejauh mana wanita itu akan menjaga batas sebagai PA baru suaminya?

Namun, dalam mesyuarat ini, dia perlu tanggalkan semua keraguan itu. Fokus sebagai pemegang jawatan kanan lebih penting. Rumah tangga dan kerja perlu diletakkan di tempat berbeza, walau hakikatnya kedua-duanya kini semakin sukar dipisahkan.

Selesai sahaja mesyuarat, semua ketua eksekutif mula bangun dengan penuh gaya korporat masing-masing.

“Terima kasih semua atas kerjasama pagi ni,” ujar Hana sambil tersenyum, walau dalam hati dah terbayang nasi putih dan ayam masak merah.

Seorang ketua bahagian sempat berseloroh, “Lepas ni kita meeting kat hotel je lah, ada buffet!”

Semua ketawa kecil. Sejurus kemudian, bilik mesyuarat mula lengang. Yang tinggal hanya dua manusia penting dalam syarikat itu – Armand dan Hana.

Armand menjenguk jam di pergelangan tangan.

“Awak nak makan dekat mana tengah hari ni?” soalnya sambil lipat lengan baju kemejanya, konon nak tunjuk otot tapi butang lengan pulak tersepit.

Hana angkat kening. “Kenapa? Awak nak belanja saya makan ke?”

Armand julingkan mata. “Kalau tak belanja, awak merajuk. Belanja pun, awak merajuk. Jadi baik saya belanja dan bersedia dengan payung.”

“Payung?”

“Payung kasih sayang,” jawab Armand sambil buat gaya jiwang tahap lima.

Hana gelak kecil. “Okeylah, saya ikut. Tapi awak bayar. Saya makan macam kontraktor putus tender hari ni.”

“Janji jangan makan saya sudah,” balas Armand dengan muka serius palsu.

Mereka berdua keluar dari bilik mesyuarat. Hana terus cari Tasya yang tengah bersila atas lantai pejabat, susun dokumen ikut warna sticky note.

“Tasya.”

Tasya cepat bangun macam kena kejut Subuh.

“Ya, Puan Hana!”

“Nah, simpan fail-fail ni. Simpan dalam kabinet yang saya label warna oren tu. Dan tolong jangan bagi sesiapa masuk bilik saya. Saya keluar makan dengan CEO.”

Tasya angguk laju. “Baik puan. Eh… hotel lima bintang lagi ke?”

Hana senyum sipi. “Biasalah. Bini CEO kan…”

Armand dah tercegat depan lif, tekan butang macam dia tengah main piano.

“Cepatlah, nanti lambat… meja kita dekat tingkap tau, boleh tengok langit.”

Hana balas, “Kalau nampak awan bentuk hati, awak jangan menangis sudah.”

“Kalau nampak awan bentuk goreng pisang, saya terus order tiga pinggan,” jawab Armand selamba.

Tasya di belakang dah tahan gelak.

“Puan Hana, saya doakan puan terus bahagia… tapi jangan lupa belikan saya kek. Saya stress dengan resume Marissa tadi.”

Hana gelak. “Insya-Allah, kalau saya tak pitam sebab bil harga nanti.”

Lif terbuka. Armand dan Hana masuk, pintu tertutup dengan bunyi ‘ding’… tinggallah Tasya mengeluh sambil pegang fail dan hati kecilnya yang cemburu dengan cinta bos dan bini bos.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience