BAB 59

Romantic Comedy Series 1024

Bunyi burung pun belum bersenandung, tapi Hana dah bangun. Mata dia terbuka luas macam orang ada temujanji penting — padahal ini kali pertama dia rasa hidup dia memang penting. Bukan sebab nak bersaing siapa bangun awal, tapi sebab hati dia dah tak boleh duduk diam.

Sunyi. Bilik tetamu tu senyap macam perpustakaan dalam kubur. Tapi dia suka. Tak ada kenangan. Tak ada bantal Armand. Tak ada bau baju suami dia yang selalu tertinggal atas kerusi.

Dia capai tuala, terus masuk bilik air. Air sejuk pun dia redah macam hero hindustan mandi tengah hujan. Selesai mandi, dia duduk depan cermin, lap muka perlahan. Tudung satin warna krim disarung kemas, blaus putih licin tak berkedut. Bukan sebab dia dah okay. Bukan sebab dia nak tunjuk dia kuat. Tapi sebab dia dah letih jadi lemah.

Beg tangan dah tersangkut elok di bahu. Dalam hati dia cakap, “Cukuplah tiga hari jadi penghuni rasmi bilik ni. Aku bukan wallpaper.”

Dekat bawah, bunyi kaki Kak Ros tengah susun pinggan. Dekat luar, suara Danish bercakap dalam tidur entah apa. Tapi semua tu macam tak masuk ke hati Hana pagi tu. Dia tahu… semua orang akan perasan perubahan ni.

Tapi hakikatnya — dia tak berubah. Dia cuma dah bosan duduk rumah. Bosan tunggu minta maaf yang tak sampai-sampai. Bosan jadi patung bernyawa yang harap seseorang sedar, “Eh, isteri aku ni ada perasaan.”

Dia keluar bilik. Langkah dia perlahan masa lalu depan bilik Danish. Pintu dibuka perlahan. Lampu bilik malap. Danish tidur dengan posisi kegemaran — kepala atas bantal, kaki atas tembok. Rambut bersepah macam habis berlawan dengan kipas siling semalam. Mulut separuh terbuka.

Kak Lina tengah lipat tuala di hujung katil. Terus tersenyum bila nampak Hana.

“Nak kejutkan ke, Puan Hana?”

Hana geleng perlahan. Mata dia tak lepas dari wajah anak kecil tu. Nafasnya turun naik, tapi nada suara tetap tenang.

“Nanti dulu… bagi saya pergi pejabat dulu baru kejutkan.”

Dia tunduk, cium dahi Danish perlahan. Bau anak tu… bau paling ikhlas atas dunia. Dalam hati dia bisik, “Mak pergi kerja dulu, sayang. Nanti kita jumpa, okay?”

Anak tu tak pernah bersalah. Tak pernah pun kecewakan dia. Dan disebabkan itulah… Hana masih di sini. Masih kuat.

Tapi untuk kuat macam hari ni, dia terpaksa belajar satu benda — jangan tunggu orang minta maaf baru nak teruskan hidup.

Sebelum keluar bilik Danish, Hana sempat berpaling ke arah Kak Lina yang masih berdiri dengan tuala kecil di tangan. Suasana masih hening, cuma bunyi jam dinding berdetik perlahan.

“Macam biasa…” suara Hana tenang tapi tegas, “…kalau ada apa-apa, terus telefon saya ya.”

Kak Lina angguk cepat-cepat. “Baik, Puan Hana. Tapi…” Nada dia perlahan, seolah-olah nak korek sesuatu. “…Puan okay ke hari ni?”

Soalan tu melantun ke dinding.

Hana tak jawab. Dia hanya senyum nipis, senyuman yang serupa macam orang menang anugerah tapi tak boleh hadir sebab patah hati. Seterusnya, dia terus melangkah keluar dan menuruni tangga tanpa berpaling lagi.

Tingkat bawah masih sepi. Bunyi kipas siling, dan sayup-sayup suara pinggan disusun Kak Ros dekat dapur. Tapi satu bunyi yang paling kuat dalam kepala Hana: degup jantung yang berharap sangat sesuatu akan berubah pagi ini.

Di ruang makan, Armand sudah duduk bersarapan. Baju dia kemas. Tangan dia pegang cawan kopi. Tapi mata dia…

Mata dia tetap macam biasa. Pandang Hana hanya sekilas — macam jiran tanya, “Ni anak siapa ni comot sangat?” — lepas tu kembali tengok pinggan.

Hana tarik kerusi, duduk selamba. Ambil sekeping roti bakar. Sumbat terus dalam mulut. Gaya macam tak ada apa-apa. Tapi dalam hati? Konsert petir dengan hujan batu dah mula.

Sambil kunyah perlahan, tangan dia sibuk seluk beg tangan.

Kad pejabat? Ada. Dompet? Ada. Lip balm, lipstick, minyak angin cap kapak? Semua lengkap. Dia macam perempuan pertama yang nak kerja lepas tiga tahun masuk gua.

Tapi sebenarnya… dia cuma tunggu satu benda. Satu ayat.

Bukan "Roti tu garing ke tak?"
Bukan "Minyak hitam kereta dah tukar?"
Tapi… “Saya minta maaf, Hana.”

Tapi tak ada. Tak keluar pun.

Yang keluar cuma pandangan kosong dari suami yang masih sibuk hirup kopi. Bunyi sudu berlaga dengan cawan tu lebih banyak bercakap dari mulut Armand.

Hana telan roti tu. Perlahan-lahan. Tapi keras. Keras macam batu sungai.
Bukan sebab roti tu tak sedap. Tapi sebab harapan dia — sekali lagi — tak sampai.

Dan dia tahu… pagi ni pun akan berlalu macam pagi-pagi sebelum ni. Tanpa sebarang maaf. Tanpa sebarang usaha.

Dia bangun. Tangan dia sapu sedikit serbuk roti dari hujung jari. “Terima kasih, roti. Awak jujur, tak macam manusia.” Bisik dia dalam hati.

Di luar villa, cahaya pagi masih malu-malu nak keluar sepenuhnya. Angin sejuk sedikit menyapa, seolah-olah tahu ada hati yang belum betul-betul reda.

MPV hitam sudah terparkir rapi di depan tangga batu. Pak Rahman berdiri tegak di sebelah pintu penumpang, seperti biasa — jaket hitamnya kemas, topi sedikit senget ke kiri, wajah tenang tanpa ekspresi yang lebih-lebih.

Dia bukan jenis pemandu yang suka bercakap tanpa diminta. Tapi kehadirannya selalu terasa seperti tiang terakhir yang masih menyokong emosi tuannya.

Armand berdiri di hujung pintu utama. Tak bersandar, tak bersuara. Hanya berdiri — macam patung lilin muzium, tapi versi CEO yang bersalah tapi terlalu ego nak mengaku.

Mata dia ikut langkah Hana. Perlahan. Langkah wanita itu yang melangkah seperti membawa seluruh isi perasaan yang dah berkumpul selama tiga hari.

Hana tahu Armand sedang tengok.

Tapi dia juga tahu — suaminya tu takkan cakap apa-apa.

Dia tak harap Armand datang berlari sambil menjerit, “Saya salah! Saya minta maaf! Jangan pergi!” — itu drama sangat.

Cukuplah kalau Armand bersuara. Cakap satu je — "Maaf."
Tapi itu pun... payah sangat.

Pak Rahman cepat-cepat buka pintu kereta. Dengan senyuman yang tipis — cukup untuk tunjuk hormat, tapi masih ada ruang simpati dalam sinar mata tuanya.

“Selamat pagi, Puan Hana,” ucapnya perlahan.

“Pagi…” suara Hana sama perlahan. Tiada senyum, tapi ada rasa terima kasih dalam nadanya. Dia terus masuk ke tempat duduk penumpang, letakkan beg tangan di riba, dan toleh keluar tingkap — tak mahu nampak bayang siapa-siapa di belakang.

MPV itu terasa macam kapal selam sunyi.

Dalam hati Hana… suara dia sendiri bergema.

“Bapak susahnya mulut dia nak sebut satu perkataan tu — maaf. Satu je.”

Dan saat pintu ditutup perlahan oleh Pak Rahman, hati Hana pun tertutup sekali — rapat, senyap, dan kian jauh.

MPV hitam itu meluncur keluar dari villa dengan sopan — ya, SOPAN. Macam tahu penumpang dalam tu tengah sedih dan tak perlukan sebarang bunyi enjin yang agresif.

Di tempat duduk penumpang, Hana diam membisu. Dia buka sedikit tingkap, bagi angin pagi masuk sikit. Cukuplah angin yang datang peluk dia pagi ni, sebab suami dia masih keras macam batu gua.

Angin pun pandai menyapa, Armand?

Jemari Hana pegang beg tangan erat-erat. Beg tu tak salah apa pun, tapi sekarang beg tu jadi mangsa genggaman emosi. Kalau beg tu boleh bercakap, mungkin dia pun dah jerit, “Cik puan! Sakit tau!!”

Di tempat duduk pemandu, Pak Rahman diam saja. Tapi dalam hati dia… bising. Bukan bising mulut, bising fikir.

“Macam mana ni? Puan Hana ni nampak lain. Tak macam biasa. Kalau dulu turun je kereta, mesti senyum. Hari ni? Muka serius macam nak pergi mesyuarat kabinet.”

Dia jeling cermin pandang belakang. Hana masih pandang ke luar. Muka kosong, tapi bukan kosong bodoh. Kosong yang… dalam. Kosong yang dah tak tahu nak letak apa dah dalam hati.

Pak Rahman telan air liur sendiri. Nak tanya, takut. Nak buat-buat borak, pun takut. Jadi dia buat apa yang paling selamat — pura-pura fokus pada jalan walaupun jalan tu dia dah hafal sampai boleh lukis peta atas kertas pasir.

Sementara itu, Hana masih diam. Angin masuk menyapa rambut di tepi tudung. Dada dia rasa sempit. Bukan sebab tight tudung — tudung satin hari ni memang lembut gila — tapi sebab hati dia dah terlalu lama simpan rasa.

Dia sempat jeling ke cermin sisi kereta, dan ya…

Armand.
Masih berdiri di muka pintu.
Macam patung tugu negara.

Tak bergerak. Tak lambai. Tak panggil. Tak jerit, “Sayang tunggu!”
Tak ada.
Kosong.

Dalam hati Hana menjerit,

“Astaghfirullah… susah sangat ke nak keluar suara? Satu je perkataan. Maaf. Bukan suruh baca khutbah.”

Tapi suaminya tetap begitu. Lelaki yang boleh bercakap lima jam dalam mesyuarat, tapi kelu bila depan isteri sendiri.

Pak Rahman akhirnya berdehem sedikit. Perlahan. Sekadar nak bagi tahu dia masih hidup.

Hana tak balas. Dia hanya pejam mata, kepala disandarkan ke kusyen kerusi. Tapi dalam hati masih ligat:

“Aku ni isteri ke alien? Tiga hari tak bercakap pun tak rasa pelik? Kalau aku lesap naik kapal angkasa pun agaknya dia cuma cakap ‘oh’ je.”

MPV terus meluncur tenang menuju ke pejabat. Dalam kereta, sunyi. Tapi dalam kepala dan hati Hana, penuh bunyi — bunyi hati yang dah letih berharap.

Dia buka mata perlahan. Suara dalam hati bergema semula, lebih perlahan kali ni,

“Sampai bila aku nak tunggu dia hulur tangan? Takkan sampai aku hulur surat cerai dulu baru dia hulur maaf?”

Angin pagi masuk lagi dari tingkap — menyapa pipi isteri yang sedang menunggu suami yang tak reti ‘menyapa’ hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience