BAB 54

Romantic Comedy Series 1024

Pagi itu benar-benar indah. Langit membiru bersih, dihiasi awan putih yang berarak perlahan seperti tidak mahu mengganggu ketenangan hari minggu yang menyusul. Cahaya mentari memancar lembut, menyimbah keemasan ke atas jalan-jalan kota yang mula sesak. Bunyi hon berselang-seli dengan deruman enjin, menandakan waktu puncak sedang menghampiri. Kenderaan berbaris panjang di setiap persimpangan. Orang ramai berkejaran—ada yang berjalan pantas, ada yang menarik troli dokumen, dan ramai juga yang melangkah penuh yakin, berkemeja dan bertali leher.

Kafe yang mereka duduki juga makin sesak. Pelanggan silih berganti keluar masuk. Aroma kopi segar dan roti bakar berselang dengan bunyi mesin espresso dan dentingan sudu. Di setiap meja, kelihatan lelaki dan wanita bekerjaya sedang menjamah sarapan sambil menatap skrin telefon atau berbincang ringan.

Emy menghirup teh tariknya perlahan, sambil memerhati suasana sibuk itu dengan riang. Tapi fikirannya terganggu seketika apabila Hana berdiri dan berkata perlahan,

"Jom."

Emy memandang Hana yang sudah siap menyandang beg kecil. Dengan wajah tertanya-tanya, Emy pun bangkit dan mengikut langkah Hana keluar dari kafe itu.

"Nak ke mana pulak ni?" bisik hati kecil Emy.

Hana hanya mengangkat tangan, menuding ke arah jejantas berhampiran.

"Ikut je." katanya ringkas.

Mereka berdua berjalan melintasi jejantas pejalan kaki yang menghubungkan dua blok bangunan. Langkah Hana tenang, teratur dan yakin. Emy pula mula merasa kekok, terutama apabila mereka tiba di bangunan megah itu—Metro Nova Holding.

Bangunan pencakar langit yang berdiri megah di tengah kota itu kelihatan lebih gah dari dekat. Cermin-cerminnya memantulkan cahaya mentari, mencipta kilauan hampir menyilaukan. Lobi bangunan itu luas, moden dan berkelas. Aroma segar dari bunga segar di kaunter penyambut tetamu menyerbak halus.

Pintu gelangsar kaca terbuka secara automatik saat mereka melangkah masuk. Bunyi derapan kasut tumit dan mesin pencetak berselang-seli. Lelaki bertali leher dan wanita berkot blazer melintas ke hulu ke hilir.

Emy menoleh ke kiri dan kanan, jelas rasa tak selesa dalam dirinya.

"Hana... kau bawa aku masuk pejabat orang besar ke ni?" bisik Emy sambil menundukkan sedikit wajahnya. Langkahnya automatik perlahan, seperti takut tersalah langkah.

Hana hanya tersenyum sambil menjawab perlahan,

"Jalan je. Tak payah takut."

Seketika kemudian, terdengar sapaan mesra dari seorang staf lelaki di bahagian penyambut tetamu.

"Selamat pagi, Puan Hana!" katanya sambil menunduk sedikit.

Hana membalas dengan anggukan mesra dan senyum yang ringan.

Beberapa langkah ke dalam lagi, seorang wanita berambut pendek menyapa,

"Morning, CMO! Nampak cantik hari ni!"

Emy yang mendengar sapaan itu terus berhenti. Dahinya berkerut. Matanya meliar ke sekeliling. Hampir semua yang mereka lalu sapa Hana dengan penuh hormat.

"Selamat pagi, Puan Hana."
"Morning, bos!"
"CMO kita makin berseri..."

Emy berpaling ke arah Hana. Keningnya naik sebelah.

"Hana... CMO?" bisiknya perlahan, separuh terkebil.

Tapi Hana tidak menjawab. Dia hanya melangkah ke depan, tenang seperti biasa, seolah sudah lali dengan semua sapaan itu. Emy mula merasa janggal, seolah masuk ke dunia yang bukan miliknya. Namun dalam masa yang sama, dia mula sedar—ada sesuatu tentang Hana yang dia tak tahu. Sesuatu yang jauh lebih besar daripada yang disangka.

Dan mungkin... sesuatu yang Hana sengaja sembunyikan darinya.

Lif kaca berbingkai emas di sudut kanan lobi itu terbuka secara automatik, seolah-olah tahu kehadiran tuannya. Butang khas di tepi pintu itu bukan butang biasa — hanya staf berpangkat tinggi sahaja yang boleh mengaksesnya.

Hana tanpa ragu terus melangkah ke situ. Emy terpinga-pinga mengekori dari belakang.

"Weh, lif ni untuk orang atasan ke?" bisik Emy, seolah takut ada pengawal akan tahan mereka bila-bila masa.

Tapi Hana tenang. Jarinya menekan butang. Lif khas itu terbuka tanpa sebarang sekatan.

Sebaik pintu lif terbuka, seorang lelaki berusia dalam lingkungan empat puluhan melangkah keluar dengan tergesa-gesa, fail di tangan. Hampir sahaja mereka bertembung.

"Maaf, saya tak—" Lelaki itu berhenti serta-merta sebaik wajah Hana terpampang jelas di hadapannya.

"Puan Hana? Lama tak nampak! Saya ingatkan Puan bercuti panjang lagi." sapanya penuh hormat sambil tersenyum.

Hana hanya membalas dengan senyuman nipis.

"Saya dah kembali," balas Hana tenang sebelum mengangguk sedikit.

Emy di sebelah hampir tergigit lidah. Dalam hatinya, “Puan? Siapa puan? Hana ni Puan siapa pulak?”

Mereka masuk ke dalam lif, dan Hana terus menekan tingkat 4 — Jabatan Pemasaran dan Strategi.

Lif mula bergerak lancar ke atas. Emy berdiri tegak seperti patung, otaknya ligat memproses semua kejadian sejak masuk tadi. Pandangannya tak lepas dari Hana.

"CMO... Puan... Lif VIP... semua orang kenal... semua orang hormat... apa yang aku tak tahu sebenarnya pasal sahabat aku ni?"

Bila lif terbuka, mereka melangkah keluar ke tingkat empat. Reka bentuk pejabat terbuka, moden dan elegan. Dinding kaca, pokok hiasan moden, dan bilik-bilik mesyuarat dengan pintu automatik. Semua staf di situ menghentikan seketika kerja mereka sebaik melihat kelibat Hana.

"Puan Hana!" jerit Tasya yang sedang sibuk menyusun kertas di meja.

Tasya bangkit dan meluru dengan senyuman lebar, seolah melihat idolanya pulang dari pengembaraan.

"Bos dah balik! Syukur! Banyak yang tunggu bos settle!"

Hana tersenyum, mengangguk ringkas.

"Masuk kejap. Kita brief sikit."

Tasya mengangguk dan berlalu ke bilik CMO, bilik kaca berhawa dingin dengan pemandangan kota yang menakjubkan.

Emy pula hanya berdiri tegak. Jantungnya berdegup laju.

"Ni... bilik Hana?" fikirnya.
"Ni dunia Hana? Bila masa dia berubah jadi... macam ni?"

Emy berjalan perlahan-lahan ke arah Hana, matanya masih terbeliak.

"Hana..." bisiknya perlahan.
"Ni betul ke kau? Hana Auni binti Aiman? Kawan aku dari tadika? Yang suka makan jajan kat belakang sekolah tu?"

Hana menoleh sambil tergelak kecil.

"Ya la. Hana Auni binti Aiman. Kau ingat aku dah kena sihir ke apa?"

Emy pegang dahi.
"Aku ingat tadi ni jelmaan kau. Dah tak tahu nak percaya apa dah ni..."

Hana ketawa kecil dan pegang lengan Emy lembut.

"Emy... semua orang ada cerita yang belum diceritakan. Dan hari ni... mungkin dah sampai masa aku cerita sikit tentang hidup aku sekarang."

Emy duduk perlahan di sofa tetamu dalam bilik itu, masih tercengang.

Dan buat pertama kalinya, dia melihat Hana bukan lagi sekadar sahabat lamanya dari kampung. Tapi seorang wanita hebat, berdiri megah di puncak kejayaannya... namun masih memilih untuk berpijak di bumi yang sama — bersama sahabat yang pernah berkongsi roti krim RM1 di bangku sekolah.

Tasya yang berdiri di pintu masih terpinga-pinga seketika sebelum memandang ke arah Emy yang duduk seperti patung cendana di sofa tetamu.

"Bos... yang dekat sebelah tu siapa ya?"

Hana memandang Emy dengan senyum yang perlahan-lahan bertukar menjadi penuh kenangan.
"Kawan baik saya. Dari tadika sampai tingkatan tiga. Tapi lepas tu, kami terus terputus hubungan. Hari ni baru jumpa balik."

Tasya tersenyum, matanya membulat kagum.
"Wah, tahniah Puan. Jarang sangat boleh jumpa balik sahabat lama zaman sekolah."

Hana hanya angguk perlahan.

Seketika kemudian, Hana bersuara tenang.
"Tasya, tolong panggilkan Encik Faizal masuk kejap."

Tasya mencatat di tabletnya.
"Baik, Puan."

Langkahnya hampir ke pintu sebelum Hana menambah,

"Dan satu lagi, Tasya. Boleh tak pergi rumah saya sekejap. Ambil kereta saya."

Tasya berpaling semula, bertanya dengan sopan,
"Kereta yang mana satu, Puan?"

Hana jawab tenang, "Porsche."

Tasya terus angguk tanpa banyak soal.
"Baik, saya uruskan sekarang."

Emy yang duduk di sofa tiba-tiba batuk kecil. Hampir tersedak air liur sendiri.
Dalam kepala dah macam bunyi siren bomba. Mata membulat.

"Kereta... Porsche?" bisik Emy perlahan dalam hati.

Dia pandang Hana dari hujung rambut sampai ke hujung kasut.
"Ni betul ke Hana Auni binti Aiman... atau alien dari planet korporat?"

Emy memeluk diri sendiri, cuba tahan perasaan yang bercampur baur.

"Hana, kau ni siapa sebenarnya…?"

Hana senyum sambil duduk di sebelah Emy. Tangannya perlahan memegang tangan sahabat lamanya itu.

"Aku tetap Hana. Yang kau kenal dari dulu. Cuma hidup… Allah bagi jalan lain untuk aku tempuh. Dan rezeki ni… aku nak rasa sama-sama dengan orang yang aku sayang."

Emy menunduk. Air mata bergenang tapi dia masih sempat menyakat,

"Kalau macam tu, nanti kau belanja aku test drive kereta kau tu. Tengok muat tak kalau bawa balik kampung."

Hana ketawa, dan Emy pun ikut ketawa sama. Dalam bilik pejabat itu, dua dunia bertembung — satu yang penuh memori silam, satu lagi penuh harapan baru.

Tak lama kemudian, pintu pejabat diketuk dua kali. Tasya menjengah dan memberi laluan kepada seorang lelaki bertubuh tegap, berkemeja biru laut dan membawa tablet di tangan. Lelaki itu tersenyum sopan sambil melangkah masuk.

"Assalamualaikum, Puan Hana. Saya ingat Puan masih bercuti. Terkejut saya tengok Puan dah ada kat pejabat pagi-pagi ni."

Hana senyum kecil, berdiri dan mengangguk.
"Waalaikumsalam, Faizal. Saja singgah sekejap. Tengok-tengok jabatan."

Encik Faizal, Pengurus Pemasaran yang sudah hampir lima tahun berkhidmat di bawah seliaan Hana, berdiri tegak, bersedia menunggu arahan. Matanya sempat menjeling ke arah Emy yang duduk senyap di sofa, tapi cepat-cepat kembali fokus.

"Faizal," suara Hana sedikit lebih formal sekarang, "saya mungkin akan ambil cuti seminggu. Mungkin juga lebih. Sepanjang tempoh tu, semua urusan jabatan... awak yang pegang penuh."

Encik Faizal mengangguk perlahan.
"Baik, Puan. Tapi... ada apa-apa kes besar ke sekarang?"

Hana menggeleng. "Setakat ni belum. Tapi kalau tiba-tiba ada isu luar jangka — urusan media, klien besar, krisis — awak tahu apa nak buat." Dia pandang Faizal tepat. "Cuma kalau benar-benar penting, baru hubungi saya. Boleh?"

"Faham, Puan. Saya akan pantau rapat."

Hana angguk puas hati.
"Terima kasih, Faizal."

Faizal tunduk hormat, kemudian keluar dengan langkah penuh tanggungjawab. Tasya yang masih menunggu di luar memberi laluan. Sebaik pintu ditutup, suasana kembali tenang.

Emy menjeling Hana perlahan, separuh percaya, separuh kagum.
"Cuti seminggu? Siap tinggal arahan pada pengurus lagi? Hana… aku dah makin tak faham kau."

Hana tersandar ke belakang kerusi, tarik nafas dalam-dalam.
"Tak payah faham. Ikut je dulu. Hari ni, aku nak tutup sekejap dunia kerja. Aku nak jadi… Hana Auni. Sahabat lama yang rindu pada hidup yang lebih ringkas."

Emy senyum, tapi senyuman yang penuh rasa sebak.

Dan waktu itu, dunia korporat di sekeliling mereka seolah-olah senyap sebentar — memberi ruang kepada dua insan yang akhirnya bersatu semula, bukan sebagai pekerja dan tetamu… tapi sebagai sahabat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience