BAB 58

Romantic Comedy Series 1024

Tiga hari.

Dah tiga hari Hana berkurung dalam bilik tetamu. Bukan sebab bilik tu lebih selesa dari bilik utama — tapi sebab bilik utama tu dah terlalu mewah untuk hati yang tengah terluka. Semua benda dalam bilik utama mengingatkan dia kepada Armand. Langsir warna biru laut kegemaran Armand. Bantal empuk yang Armand suka peluk. Diffuser lavender yang Hana belikan khas supaya suami dia boleh tidur lena selepas kerja.

Semua tu menyakitkan mata dan hati.

Jadi, Hana pindah masuk bilik tetamu. Katilnya tak kalah empuk. Selimutnya tetap wangi sebab Kak Mila memang rajin ganti cadar. Dan tilam itu — paling penting — tak bersalah. Tak ada sejarah. Kosong. Macam hati Hana yang cuba kosongkan semua rasa.

Tapi sebenarnya tak berjaya pun.

Hana baring atas katil sambil merenung siling. Di tangan, telefon bimbit tak pernah lepas. Sekejap Netflix, sekejap scroll IG, sekejap tengok TikTok. Video orang buat kek pun dia tengok, walhal dia tak reti pun nak pegang mixer. Lagu? Entah berapa kali lagu balada heartbreak berputar.

“Kenapa aku layan lagu putus cinta ni?” dia tanya sendiri sambil buat muka blur. “Bukan aku yang salah pun…”

Tapi lagu tu jugak yang dia ulang.

Kadang-kadang dia guling ke kiri. Kadang-kadang ke kanan. Kadang-kadang bangun duduk, lepas tu baring balik.

Klap!

Perut bunyi. Alamak. Lapar.

Hana tarik selimut, duduk bersila atas katil. Dia tarik nafas panjang, kemudian…

“Kak Roooosss!” suara Hana bergema macam iklan Milo.

“Roti bakar satu! Dengan Milo ais!” sambungnya lagi.

Macam diva dalam konsert unplugged. Tak payah mic pun suara dah cukup lantang. Kalau jiran sebelah dengar, mesti ingat villa ni buat training vokal.

Dari bawah, Kak Ros hanya geleng kepala sambil senyum. Dah biasa. Dalam tiga hari ni, tu je kerja Hana — menjerit order makanan macam drive-thru. Tapi Kak Ros tak pernah marah. Dia tahu tu semua cara Hana luah rasa. Kalau orang lain tengah merajuk, mungkin tak lalu makan langsung. Tapi Hana… lain macam.

Beberapa minit kemudian, pintu bilik diketuk perlahan.

Tok tok tok.

“Roti bakar dengan Milo ais... menu tetap puan kita,” Kak Ros muncul dengan dulang. Senyum macam biasa.

“Thank you Kak Ros...” Hana sambut dulang dengan wajah lesu. Mata panda dah macam tak tidur dua semester.

“Kenapa duduk bilik ni lama sangat, Hana? Bilik atas tu kan cantik.” Kak Ros tanya perlahan, tapi penuh makna.

“Cantik tu satu hal... tapi ada kenangan yang tak cantik kat situ, Kak Ros,” jawab Hana sambil cicah roti dalam milo. Suara dia tenang, tapi jelas pedihnya.

Kak Ros diam. Dia letakkan tangan atas bahu Hana sekejap. Satu tepukan kecil. Tak perlu banyak kata. Hana bukan budak kecil. Dia tahu semua ni tentang hati dan perasaan.

Selepas Kak Ros keluar, Hana duduk termenung. Mata pandang telefon. Tiada notifikasi dari WhatsApp. Tiada ‘typing…’ dari Armand.

Dia pandang pintu bilik. Harap-harap pintu tu diketuk. Harap-harap suara yang dia rindukan akan muncul dan kata,

“Saya minta maaf, Hana. Saya salah.”

Itu saja. Tak perlu hadiah, tak perlu bunga, tak perlu ayat puitis. Cuma minta maaf. Itu pun dah cukup untuk cairkan dinding keras yang dia bina selama tiga hari ni.

Tapi sampai sekarang...

Yang muncul cuma bunyi vacuum Kak Mila dari luar bilik. Suara Danish ketawa riang main lari-lari dengan Kak Lina. Sekali-sekala, bunyi pintu dapur ditutup lembut.

Tapi Armand? Sunyi.

Langsung tak muncul.

Hati Hana makin lama makin tenggelam dalam diam. Dan dia tahu… kalau lama-lama begini, luka kecil pun boleh bernanah.

Akhirnya, Hana kalah. Lidah dia rasa macam kertas pasir. Tekak kering macam padang pasir Sahara waktu kemarau panjang. Mata dia tengok siling, lepas tu tengok dinding, tengok kipas... dan akhirnya tengok botol air kosong sebelah katil.

“Takkan nak jerit air kosong pulak, Hana...” dia bebel sendiri. “Nanti Kak Ros fikir aku ni queen Mesir.”

Dengan malas, Hana bangun dari katil. Gosok mata, ikat rambut ala kadar — sanggul penyek pun tak kisah. Capai cardigan labuh warna kelabu, selimutkan diri macam burrito perasa kecewa, dan buka pintu bilik.

Langkah dia ke luar bilik tu ibarat langkah heroin dalam babak pembukaan drama Melayu — penuh pengharapan, penuh debar, penuh... tragis.

Tangga villa itu sunyi. Hana turun perlahan-lahan, satu anak tangga demi satu. Baru je sampai pertengahan tangga, tiba-tiba — boom! Mata bertentang dengan satu susuk tubuh tinggi lampai yang sangat dikenali. Armand.

“Ya Allah...” Hana berhenti. Kaku. Jantung dia rasa macam pelari pecut 100 meter. Laju gila.

Dan Armand... berdiri diam di hujung tangga. Muka tenang. Pandangan dia lekat pada Hana. Tapi tak ada senyuman. Tak ada langkah ke depan. Tak ada apa-apa.

Hana cepat-cepat pandang tempat lain. Pandang ke dinding. Pandang ke lantai. Pandang apa saja asalkan bukan pandang Armand. Dia teruskan langkah turun macam tak nampak apa-apa.

Tapi...

Dalam hati dia masih tunggu.

“Sekarang kot dia akan panggil aku. Sekarang kot dia akan kata... 'Sayang, saya minta maaf'. Kejap lagi ni. Sekejap lagi je…”

Dia lepas je anak tangga terakhir, telinga dia pasang. Jantung dia tunggu. Tapi...

Yang dia dengar cuma tik-tok tik-tok jam dinding kat ruang tamu dan bunyi pintu dapur yang separuh terbuka.

Tak ada suara Armand.

Tak ada panggilan manja.

Tak ada pengakuan bersalah.

“Hampa! Hampa! Hampa!” bisik hati Hana sambil dia menahan muka agar tak nampak terlalu kecewa.

Sampai di dapur, Hana terus tuju ke water dispenser. Dia ambil gelas dengan gaya slow motion, penuh kesayuan. Sambil tangan tekan butang air, mata dia pandang keluar tingkap. Konon tengok burung terbang. Tapi sebenarnya tengah berlakon jadi heroin sedih.

Air dalam gelas mengalir... dan mengalir... dan Hana pun mengeluh kecil.

“Takkan lah aku kena maafkan dia tanpa dia mintak maaf…” dia membebel perlahan. “Aku bukan pelakon tambahan cerita hidup dia. Aku heroin ni, oi.”

Baru je dia nak teguk air, tup tup — Armand muncul kat muka pintu dapur. Berdiri tegak. Pandang dia.

Hana teguk air perlahan-lahan. Kononnya chill. Kononnya kuat. Tapi jantung dia dah berdegup laju macam kompang malam kenduri.

“Okay… ni lah masa dia nak mintak maaf.” Hati Hana dah sedia. Mata masih tak berani pandang Armand.

Armand tarik nafas. Satu langkah ke depan. Mulut terbuka. Hana tunggu...

“Awak okay?”

Hana berhenti minum. Mata terbeliak sedikit.

“Okay?” ulang Armand.

Hana telan air keras-keras. Tercekik sikit tapi ditahan demi maruah.

“Okay kepala awak,” dia jawab dalam hati sambil tunduk.

“Okay… okay...” balas Hana perlahan, sebelum letak gelas dan terus berlalu keluar dari dapur.

“Okay nak sepak awak pun boleh…” tambah hati Hana yang tengah kecewa tahap maksimum.

Armand diam. Dia pandang Hana yang menjauh. Masih tak faham. Masih tak nampak. Masih tak dengar isyarat.

Dan Hana?

Dia dah makin tawar.

Hana bawa diri ke belakang villa. Langkah dia perlahan. Tak laju, tak juga terlalu perlahan — cukup untuk orang tahu dia tengah lari dari sesuatu. Atau dari seseorang.

Taman mini di belakang rumah itu sunyi. Pokok-pokok herba yang pernah subur kini nampak layu macam perasaan Hana sendiri. Dahulu taman itu tempat dia tanam selasih, serai, daun pudina — semua Armand yang buatkan, khas untuk Hana.

“Awak suka pokok... saya buatkan taman,” kata Armand satu ketika dulu. Waktu itu, Hana rasa dialah wanita paling bertuah atas muka bumi.

Sekarang... selasih pun macam tak mahu hidup.

Dia duduk di bangku batu yang agak sejuk. Seram sikit, tapi dia tak peduli. Jari jemari halus dia menyentuh ukiran kasar bangku itu. Mata dia memandang sekeliling. Sunyi. Tapi ada satu suara yang mencuri perhatian.

“Kak Lina! Lari laju! Macam Ultraman!!”

Hana tersentak. Pandang ke depan.

Danish.

Anak kecil itu sedang berlari dalam bulatan, sambil ketawa berdekah-dekah. Kak Lina pula mengejar dengan gaya terhoyong-hayang macam Ultraman yang dah kehabisan bateri.

“Ya Allah... Kak Lina dah macam kena rasuk,” Hana tergelak dalam hati.

Kak Lina semput. Tudung senget, peluh meleleh. Tapi senyum tak pernah hilang. Danish pula tak bagi peluang — makin dia gelak, makin dia lari.

“Kak Linaaa! Mana laser Ultraman awak?! Manaaa?!” Danish jerit lagi.

“Laser Kak Lina habis bateriiiii!” jerit Kak Lina sambil lari separuh mati.

Hana tersenyum. Kali pertama senyum dari hati sejak tiga hari ni. Senyum yang datang dari rasa sayang — bukan dari kepura-puraan.

Tiba-tiba Danish tersandung batu kecil. Badannya terhuyung-hayang sebelum jatuh terduduk.

Hana terkejut. Lutut dia dah separuh bangun. Tapi sebelum dia sempat bergerak, Kak Lina dah meluru ke arah Danish.

“Alaaaa, sayang... bangun bangun! Kak Lina ada...!” Kak Lina cepat-cepat peluk Danish dan tiup lututnya.

“Danish okay?” tanya Hana perlahan dari tempat duduk. Suaranya hampir tenggelam dengan bunyi angin.

Danish angkat tangan, tunjuk tanda bagus.

“Okay, mak!” jerit Danish. “Kuat macam Ultraman!”

Hana senyum lagi. Tapi kali ini... ada rasa sebak sikit kat dada.

“Mak kuat sebab Danish,” dia bisik dalam hati.

Anak itu satu-satunya insan yang tak pernah salahkan dia. Tak pernah kecewakan dia. Walau sekecil mana pun kecewa yang Hana rasa, Danish selalu jadi penawar.

Tapi...

“Setabah mana pun mak... kalau ayah dia buat tak tahu... lama-lama runtuh juga,” hatinya menambah lagi.

Dia tunduk, tarik nafas panjang. Cuba tahan air mata yang mula berkaca. Bukan sebab Armand tak minta maaf.

Tapi sebab Armand langsung tak nampak.

Tak nampak hati yang dah terlalu lama menunggu. Terlalu lama diam tapi penuh harapan.

“Sampai bila nak begini?”

Soalan itu tergantung di udara... seperti daun kering yang menari dalam tiupan angin petang.

Di tingkat atas villa mewah itu, Armand berdiri kaku di balik langsir tebal berwarna kelabu gelap. Jari jemarinya menyelak sedikit kain itu — cukup untuk membolehkan mata dia memandang ke taman mini di belakang rumah. Langit cerah. Angin lembut meniupkan langsir sutera ke belakang tubuhnya. Tapi Armand langsung tak berganjak.

Dia nampak Hana.

Isterinya yang dulu petah, garang, berani — sekarang hanya duduk diam di bangku batu, memeluk diri. Wajah itu... bukan wajah Hana yang dia kenal. Mata Hana pandang jauh ke arah langit. Wajah dia kosong. Tenang... tapi bukan tenang yang menyenangkan. Lebih kepada tenang yang dah menyerah.

Armand tarik nafas dalam. Berat. Nafasnya sendiri pun tak mahu bekerjasama.

Dia pegang langsir itu lebih erat. Jari dia mencengkam kain seolah-olah langsir itu yang patut dipersalahkan sebab menyembunyikan rasa bersalahnya.

“Turunlah…” bisik hatinya.

“Cakaplah sikit… tanya dia. Tanya kenapa dia jauh. Atau minta maaf pun cukup.”

Tapi kaki dia tak bergerak.

“Aku lelaki.”

“Lelaki mana boleh cepat sangat mengalah.”

“Nanti dia pijak kepala.”

“Lagipun… bukan aku seorang yang salah.”

Suara-suara ego itu bergema dalam kepalanya. Tapi dada dia rasa lain. Sesak. Macam sempit. Macam tak cukup oksigen.

Bila Hana angkat kepala, mata mereka bertentang — dari jauh.

Hana nampak. Dia tahu Armand sedang memerhati. Hana tak nampak jelas wajah lelaki itu, tapi siluet tubuh di tingkap sudah cukup untuk dia kenal. Itu Armand. Itu suami dia.

Dia senyum nipis.

Senyuman yang cukup untuk menusuk dada Armand lebih dalam daripada mana-mana kata maaf. Itu bukan senyuman orang bahagia. Itu bukan senyuman orang yang sudah dimaafkan. Itu bukan senyuman manja macam dulu-dulu.

Itu senyuman seseorang yang dah letih. Yang dah banyak kali tunggu tapi tak ada yang datang. Yang dah redha kalau esok lusa tak ada siapa nak pegang tangan dia lagi.

Armand hampir melangkah.

Hampir.

Tapi dia tak buat.

Dia hanya terus berdiri di sebalik langsir, seperti lelaki pengecut yang kononnya menjaga ego.

Sementara di bawah, Hana hanya menghela nafas panjang dan kembali tunduk. Dua jiwa yang saling rindu, saling sayang, saling mahu disapa — tapi dinding ego dan diam itu lebih tinggi dari villa tempat mereka tinggal.

Di antara mereka hanya ada jarak.

Dan satu tingkap kaca yang tak berbunyi, tapi menyimpan banyak suara yang tak terucap.

"Awak nampak saya... tapi kenapa awak tak datang?"
"Saya nampak awak... tapi saya belum cukup kuat nak minta maaf."

Begitu sunyi. Tapi begitu penuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience