Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Matahari di luar tingkap pejabat mula menunduk malu-malu di balik bangunan pencakar langit. Armand menuruni anak tangga pejabat dengan langkah perlahan, baru saja selesai berbincang dengan klien terakhir hari itu. Penat di bahu masih belum hilang, tapi entah kenapa… hatinya digaru-garu oleh satu rasa yang dia sendiri tak pasti.
Dia terus menuju ke tingkat atas. Pejabat Hana. Biasanya jam-jam macam ni, isterinya akan sibuk menghadap skrin, kadang-kadang marah-marah depan PowerPoint, atau senyum seorang bila mesej dengan Danish.
Perlahan, dia tolak pintu pejabat itu.
“Hana?” panggilnya perlahan, seperti takut mengganggu.
Tapi yang menyambut hanya desiran angin dari pendingin hawa dan bau kopi basi dari cawan semalam.
“Eh?” Armand kerut dahi. “Kosong?”
Dari bilik kecil sebelah, muncul Tasya — PA Hana yang sentiasa manis senyumannya, tak kira waktu. Kali ini pun sama, lengkap dengan ‘senyuman standard korporat’ yang tak pernah luntur.
“Tuan Armand cari Puan Hana ke?” tanya Tasya, menyelit keluar dengan iPad di tangan.
“Ha’ah.” Armand pandang meja Hana yang rapi — sangat rapi. “Dia tak masuk ke? Saya ingat dia naik pejabat lepas lunch tadi…”
Tasya menggeleng sambil masih tersenyum.
“Tak ada, tuan. Lepas makan tengah hari tadi dia keluar dengan kawan lama. Em… Emylia? Emy? Saya dengar macam tu.”
Armand angkat kening. “Oh. Kawan lama?”
“Ya. Mereka jumpa dekat pantry tadi. Siap peluk-peluk, gelak besar macam reunion alumni,” jawab Tasya sambil ketawa kecil.
Armand cuba turut ketawa. Tapi tak berapa menjadi. Dia pandang meja Hana lagi.
“Dia tak masuk balik langsung?” soalnya sekali lagi. Kali ni nadanya lebih perlahan.
Tasya angguk, sedikit berhati-hati. “Tak ada. Lepas keluar tu terus hilang. Saya ingat dia half day.”
Armand diam. Hatinya macam digigit semut api. Tapi dia tak mahu fikir bukan-bukan. Hana memang jarang ambil cuti, mungkin dia penat. Mungkin dia nak rehat. Mungkin dia perlukan masa untuk diri sendiri.
Atau… mungkin juga dia perlukan masa untuk jauh dari aku?
“Tak apa, Tasya. Terima kasih.” Armand cuba senyum.
Senyuman yang agak palsu — dia sendiri boleh rasa.
Tasya tunduk hormat. “Sama-sama, tuan. Nak saya tolong call Puan?”
Armand geleng. “Tak perlu. Kalau dia nak contact saya, dia akan buat.”
Dia melangkah keluar, tapi sempat jeling meja Hana sekali lagi.
Meja tu nampak terlalu sunyi tanpa beg tangan kesayangan Hana dan fail-fail yang biasanya berselerak walau kononnya ‘sistematik’.
Dalam lif, Armand bersandar seketika, termenung menatap nombor-nombor turun.
Kenapa hati aku rasa semacam je hari ni?
Bukan sebab Hana tak ada di pejabat.
Tapi sebab aku tak tahu… dia di mana.
Langit sudah mula bertukar jingga kebiruan sewaktu Armand memberhentikan keretanya di depan rumah. Deruan enjin dimatikan, dan sejenak dia duduk di dalam kereta, menatap pintu rumah seperti menanti seseorang keluar menyambutnya. Tapi tiada siapa. Biasanya… Danish akan berlari ke arah pintu kaca, menjerit “Papa!” penuh semangat.
Tapi hari ini… tiada bayang.
Perasaan tidak sedap mula menyelinap dalam dada. Armand keluar, membuka but kereta, mengangkat beg bimbit dan jaketnya, lalu melangkah masuk.
Pintu dibuka perlahan. Rumah kelihatan seperti biasa. Sofa kemas. Karpet terhampar rapi. Bantal hiasan tersusun cantik. Namun… suasananya pelik.
Terlalu sunyi.
“Hana?” panggilnya dari ruang tamu. Suaranya bergema sedikit, seperti bercakap dalam gua.
Tiada jawapan.
“Hana… saya dah balik,” panggilnya lagi, kali ini lebih kuat sambil meletakkan beg di atas meja kopi. Armand berjalan ke arah dapur, langkahnya mula gopoh, dada berdebar perlahan. “Danish?”
Masih tiada sahutan.
Bau sup ayam yang selalunya menyambut pulangnya hari ini tiada. Tiada bunyi ketawa Danish. Tiada bunyi sudu berlaga. Tiada pun suara Hana yang bersahaja dari arah dapur, “Mandi dulu sebelum makan.”
Yang ada cuma sunyi.
“Kak Ros…” Suaranya lebih tegang kali ini sebaik sahaja melihat kelibat pembantu rumah itu sedang menyusun pinggan di rak.
Kak Ros menoleh, sedikit terkejut. “Eh, Tuan Armand dah balik.”
Armand tidak membalas sapaan itu. Dahinya sudah berkerut. “Hana mana?”
Kak Ros terhenti seketika, kemudian menyambung susunan pinggan. “Puan Hana balik kampung, tuan.”
“Balik kampung?” Armand berdiri tegak.
Kak Ros mengangguk perlahan. “Ya, petang tadi. Dalam pukul empat lebih. Dia bawa Danish sekali.”
“Bawa Danish…?” Ulang Armand, cuba memastikan dia tidak salah dengar. “Dia… dia tak cakap apa-apa pun dengan saya.”
“Puan ada cakap nak balik kejap. Dia kemas baju Danish lepas makan tengah hari. Saya ingatkan tuan tahu…”
Armand menunduk sedikit. Bibirnya diketap.
Dia tahu.
Dia tahu sangat… Hana memang sengaja tak nak beritahu dia apa-apa.
“Dia ada cakap bila nak balik semula?” soalnya dengan nada lebih perlahan, separuh pasrah.
Kak Ros menggeleng. “Tak ada pula. Tapi dia bawak beg Danish besar sikit dari biasa.”
“Hmm.” Armand menghela nafas panjang. “Pak Rahman bawa?”
“Ya. Saya dengar Puan suruh dia tunggu pukul tiga. Danish tidur masa tu… dia dukung masuk kereta.”
Armand mendiam. Jari-jarinya digenggam perlahan.
Tanpa sepatah kata, dia berpaling dan melangkah ke ruang tamu. Kakinya berat. Langkahnya seolah-olah mengheret beban yang tidak kelihatan.
Dia duduk di sofa — tempat yang selalu mereka bertengkar, berpeluk, berdebat dan ketawa. Tapi kini, ruang itu kosong. Rasa sejuk menjalar di celah tengkuk. Bantal peluk kecil di sisi sofa dipeluknya, entah kenapa. Mungkin hanya mahu merasa ada sesuatu yang tinggal.
Pandangan Armand meleret ke sekeliling. Rumah yang selalu bising dengan suara Danish itu kini bisu. Hana benar-benar pergi. Tanpa pesan. Tanpa satu mesej pun. Bukan ke pejabat. Bukan keluar beli barang. Tapi balik kampung.
Dan dia tak tahu apa-apa.
Sunyi ini bukan sunyi biasa. Ini sunyi yang menyindir, memerli… dan menghukum.
Telefon bimbitnya dikeluarkan. Tiada mesej. Tiada panggilan tak dijawab. Armand buka galeri — gambar Danish dan Hana pagi semalam masih di situ. Tapi itu cuma gambar. Realitinya, mereka tiada di sisi sekarang.
Dia bersandar.
Dia tahu dia silap.
Dan kali ini, Hana tak tunggu dia sedar.
Langit malam semakin pekat, dan angin dari celahan tingkap berbisik lesu. Armand masih kaku duduk di sofa, dengan tubuh sedikit membongkok ke depan, tangan bergenggam erat di atas lutut. Pandangannya kosong menghadap dinding yang sunyi — seolah-olah dinding itu mampu menjawab kekusutan yang sedang melilit fikirannya.
“Kenapa, Hana… kenapa tak beritahu aku langsung?” gumamnya perlahan.
Dia tunduk, cuba menenangkan degup jantung yang terasa seperti ditarik ke dalam perigi gelap. Rumah yang biasanya riuh dengan suara Danish dan langkah Hana, kini hanya tinggal gema nafas sendiri.
Kepalanya digeleng perlahan. “Takkan sebab hal kecil tu… atau… ada benda lain yang aku tak nampak?”
Armand bangkit perlahan. Kakinya dibawa ke dapur semula, walaupun dia tahu jawapan yang dia mahu dah pun diberi oleh Kak Ros sebentar tadi. Tapi dia masih harap — mungkin ada nota ditinggalkan, mungkin Hana ada pesan sesuatu. Tapi tiada.
Dia membuka peti sejuk. Kosong, sepi. Hanya ada bekas makanan separuh penuh dan botol air mineral. Dia menutup kembali pintu peti itu, lalu bersandar di sisinya.
“Aku suami dia. Takkan dia tak boleh cakap… kenapa perlu lari?” getus hatinya lagi, kali ini disertai keluhan yang berat.
Beberapa minit kemudian, dia berjalan perlahan ke bilik utama. Bilik itu juga terasa kosong. Tiada beg pakaian Hana. Tiada bau haruman lembut yang selalu menyapa bila Hana duduk bersolek. Armand duduk di hujung katil. Matanya melingas ke sekeliling — ke cermin, ke almari, ke kerusi tempat Hana selalu meletakkan tudungnya. Tiada apa-apa.
Lalu, perlahan dia bangkit menuju ke bilik air. Wuduk diambil dalam diam, dan kemudian dia kembali ke sejadah yang terbentang sejak Subuh tadi. Lampu malap dipasang, dan dia berdiri lama dalam solat Maghrib — setiap rukuk dan sujud dipenuhi resah dan harap.
Selepas memberi salam, dia tidak terus bangun. Sebaliknya, dia duduk bersila, kedua-dua tangan terletak di atas peha. Matanya terpejam. Nafas dihela perlahan.
“Allahu… Kau tahu isi hati aku,” bisiknya perlahan.
Tangan diangkat ke langit, suara dibaca antara dengar dan tidak.
“Ya Allah… aku tak tahu kenapa hati isteri aku jauh sekarang.
Kalau aku yang salah, tunjukkan aku jalannya.
Kalau aku terlalu angkuh, rendahkanlah ego aku.
Kalau dia terluka kerana aku… lembutkanlah hatinya.
Kau tahu aku sayangkan dia… aku cuma tak tahu nak tunjuk macam mana.”
Air mata yang ditahan akhirnya gugur setitik. Dia cepat menyeka dengan belakang tangan.
Armand termenung lagi. Kali ini lebih lama. Dalam diam, dia memikirkan semua perkara — dari awal mereka berkahwin, bagaimana Hana perlahan-lahan membuka pintu hati untuknya… dan sekarang, pintu itu terasa seolah-olah tertutup semula.
“Aku tak boleh duduk diam,” tekadnya sambil bangkit perlahan. “Aku perlu jumpa dia. Aku nak tahu dari mulut dia sendiri.”
Armand melangkah ke almari, menukar pakaian yang lebih selesa untuk pemanduan malam. Tangannya pantas mencapai kunci kereta dari atas meja.
Langkahnya berhenti sejenak di hadapan gambar keluarga yang tergantung di dinding ruang tamu — gambar mereka bertiga di taman tema beberapa bulan lalu. Danish dalam dakapan Hana, dia di sisi memeluk keduanya.
Wajah Hana dalam gambar itu sedang tersenyum.
“Jangan jauh dari aku, Hana…”
Dengan langkah pantas, dia keluar dari rumah. Malam yang gelap tidak menakutkan — yang lebih menakutkan adalah kehilangan. Dan dia tidak mahu itu berlaku.
Malam makin kelam sewaktu Armand memandu keluar dari kawasan rumah. Bunyi enjin perlahan menyatu dengan kesunyian jalan yang sepi. Lampu jalan malap, namun cukup untuk menerangi lorong hadapan. Armand memandu dengan tenang pada luarannya — stereng digenggam kemas, mata fokus ke depan — tetapi hakikatnya, jiwanya sedang kacau-bilau.
Dalam ruang kereta yang sunyi itu, bayangan Hana datang silih berganti. Senyum manis isterinya… tatkala dia melawak waktu makan malam. Wajah merajuk bila dia terlupa hari ulang tahun perkahwinan. Diam Hana, yang kadang-kadang penuh makna, kadang-kadang tak terbaca langsung. Semuanya datang menghantui.
Dan wajah Danish. Anak kecil mereka yang turut dibawa pergi. Anak yang selalu menjadi pengikat kasih bila pergaduhan mula memercik. Kini, tiada seorang pun di sisi. Hana bawa pergi kedua-duanya — dan dia… dia ditinggalkan tanpa sepatah kata.
“Kenapa tak beritahu aku, Hana?” suara itu keluar dari bibirnya, perlahan… hampir tidak kedengaran. Lebih kepada bisikan hati yang lelah meneka. Ada nada rayuan dalam kata-kata itu. Ada rintihan yang cuba dia sembunyikan — tapi gagal.
Armand cuba berfikir secara waras. Mungkin Hana perlukan masa. Mungkin ini bukan pasal Fakhri. Mungkin Hana cuma mahu jauh dari hiruk-pikuk kota, mahu tenang dengan suasana kampung. Tapi…
‘Mungkin’ itulah yang menyakitkan.
Kerana dia tidak tahu apa yang sebenar. Dia tidak tahu sama ada Hana masih menyayanginya… atau tidak. Tidak tahu sama ada hati itu masih utuh untuknya, atau sudah retak dan sukar dicantum kembali.
Tangan Armand menggenggam stereng semakin kuat. Sendi-sendi tegang. Urat-urat timbul. Pandangan masih ke hadapan, jalan terus terbentang… tetapi hati lelaki itu masih tertinggal di rumah. Masih tertinggal pada seorang isteri yang menjauh — tanpa kata, tanpa alasan.
Dan dia tahu, perjalanan ke kampung malam itu bukan sekadar menjemput Hana pulang.
Ia adalah perjalanan untuk mencari jawapan.
Share this novel