Setelah beberapa hari bertempur di medan korporat di Penang—dengan mata panda akibat tak cukup tidur, suara serak lepas berucap penuh semangat dan berpuluh-puluh slaid PowerPoint yang hampir buat semua orang rabun—akhirnya Armand pulang ke Johor bersama kru hebatnya. Walaupun letih macam baru turun dari Gunung Tahan, masing-masing senyum lebar. Sebab apa?
Kerana misi berjaya.
Proposal pembelian 70% saham Purnama Hotel diluluskan.
Boom. Jackpot besar.
Armand rasa bagai juara dalam pentas realiti perniagaan. Kalau ada kamera ikut dari belakang, pasti lagunya ‘We Are the Champions’.
Sampai sahaja di villa, Armand terus meluru masuk macam hero Bollywood baru turun dari helikopter. Dia tak sabar nak jumpa Hana. Harapannya tinggi melangit. Mungkin Hana tengah menunggu dalam bilik, dengan senyuman, mungkin… dengan air teh panas.
Tapi sebaik saja pintu bilik dibuka—kosong.
Katil kemas. Bantal pun macam tak terusik.
Sunyi.
Jantung Armand mula rasa lain macam. Dia berpaling ke arah luar bilik, suara terus menjerit:
“Kak Lina!”
Danish pula sedang melompat atas sofa sambil ketawa, main ‘ultraman lawan dinosaur’ dengan penuh semangat. Kak Lina muncul di ruang tengah dengan apron berbunga dan rambut yang separuh bercekak.
“Ya, Tuan Armand?”
“Hana mana?”
Kak Lina terus tersenyum, tapi senyuman tu macam tergantung.
“Err… puan belum balik lagi, Tuan.”
Armand berkerut dahi. “Belum balik? Tapi kan Pak Rahman hantar mesej hari tu, kata Hana dalam perjalanan balik dengan dia?”
Tiba-tiba Kak Ros muncul dari dapur, sambil pegang dulang kuih lapis. (Dia memang multitasking, bab kuih dan bab drama rumah tangga.)
“Kami nampak MPV masuk hari tu, Tuan. Tapi tak nampak pulak Puan keluar. Kami ingat puan masuk ikut pintu belakang.”
Armand semakin risau. “Pintu belakang? Dia bukan jin Kak Ros. Takkan ghaib masuk rumah?”
Kak Ros cepat-cepat letak dulang, wajah pun dah serius.
“Mungkin dia minta Pak Rahman turunkan dia tempat lain kot? Tuan dah cuba call?”
Armand terus mengeluarkan telefon, tapi tiada mesej, tiada missed call, tiada Hana. Kosong. Senyap macam rumah lelong.
Dia mula rasa tak sedap hati. Pening. Rasa macam nak jerit, tapi Danish masih lompat-lompat depan mata. Takkan nak trauma budak tu.
Kak Mila pula muncul sambil sapu meja. “Maaf Tuan… tapi saya rasa Puan Hana memang tak sampai rumah lagi. Kami semua ada hari tu. Kalau dia masuk, mesti kami tahu.”
Armand duduk di hujung sofa. Nafasnya berat. Harapannya tadi melayang entah ke mana. Bantal yang dia bayangkan ada senyuman Hana, kini terasa lebih sejuk dari peti ais dua pintu.
“Kenapa dia tak balik…?” soalnya perlahan. Lebih kepada diri sendiri.
Dan dalam diam, Armand tahu… ada sesuatu yang tak kena. Dan dia kena cari jawapan itu, sebelum hatinya benar-benar jatuh berkecai.
Armand masih termenung di hujung sofa sambil tangan laju menaip nombor yang dah beratus kali dia tekan sejak tadi—Pak Rahman.
Nada dering pertama, kedua—angkat juga akhirnya.
“Assalamualaikum, Tuan Armand,” suara Pak Rahman di hujung talian, seperti biasa tenang dan sopan, walaupun kadang-kadang boleh buat Armand rasa macam sedang ditegur pengetua sekolah.
“Waalaikumussalam, Pak Rahman… Hana mana?” soal Armand tanpa intro panjang. Nada suara dia bukan marah, tapi penuh tanda tanya dan... degupan jantung yang agak overbeat.
Pak Rahman terdiam seketika sebelum menjawab, “Err… masa kami sampai JB hari tu, Puan Hana minta saya singgah sekejap dekat minimart. Katanya nak beli sesuatu untuk Danish. Mungkin coklat ke, susu Dutch Lady ke, saya tak tanya.”
Armand mula bangun dari sofa, tangan kiri atas pinggang. Gayanya dah macam tengah buat pembentangan di bilik mesyuarat.
“Lepas tu?”
“Lepas tu saya tunggu dalam kereta, Tuan. Tapi lama saya tunggu… Puan Hana tak keluar-keluar. Ingatkan dia tersangkut dalam lorong air kotak atau tertinggal wallet. Tapi… saya dapat mesej.”
Armand dah boleh agak, tapi dia tetap tanya, “Mesej apa?”
“Puan Hana kata dia nak jumpa kawan sekejap, suruh saya balik dulu. Katanya dia akan beritahu Tuan sendiri.”
Dahi Armand berkerut lima baris. Dia duduk balik, kali ni pegang kepala pula.
“Pak Rahman… saya tak tahu pun. Dia tak beritahu saya pun.”
Di hujung talian, Pak Rahman senyap. Mungkin sedang menyusun ayat supaya tak nampak macam dia pula bersubahat dalam misi ‘kehilangan berjadual’ ni.
“Oh… saya ingat Puan dah beritahu Tuan. Itu yang saya tak mesej semula. Maaf, Tuan. Saya betul-betul sangka Tuan tahu.”
Armand mengeluh sambil menggaru kepala. “Dia jumpa kawan mana pula ni… Kenapa gaya dia macam tengah jalankan misi risikan syarikat pesaing?”
Dalam hati, Armand dah mula buat spekulasi. Ini bukan lari dari rumah. Ini…
Strategi pemasaran tahap dewa.
Satu per satu kebijaksanaan Hana sebagai CMO mula berputar dalam kepala Armand.
“Ni mesti teknik 'Scarcity Marketing'. Bila produk tak ada, permintaan meningkat. Bila isteri hilang, rindu melambung. Pandai betul dia mainkan emosi pelanggan… eh, suami.”
Dia ketuk kepala sendiri dengan bantal kecil.
“Patutlah aku kalah berhujah dengan dia tiap kali mesyuarat. Ni kalau dia buat kempen 'Hilangnya Seorang Hana', mesti viral…”
Pak Rahman masih di talian, terbatuk kecil. “Tuan, saya minta maaf. Saya betul-betul sangka Puan dah update Tuan.”
“Tak apa, Pak Rahman. Awak tak salah. Saya je yang... slow sikit hari ni,” Armand menjawab sambil tarik nafas panjang.
“Kalau Puan Hana hubungi Pak Rahman nanti, mohon maklumkan pada saya ya.”
“InsyaAllah, Tuan. Saya akan pantau juga. Kalau nampak kelibat Puan nanti, saya lapor segera.”
Panggilan tamat.
Armand duduk semula. Kak Lina hulur secawan teh tarik.
“Minum dulu, Tuan. Jangan stress sangat. Nanti darah tinggi naik, tak sempat sambut Puan balik,” katanya sambil tersenyum simpati.
Armand ambil cawan tu, senyum kelat. “Saya rasa… saya kena buat poster ‘Wanted: CMO Hilang’. Letak ganjaran biskut dan maaf tanpa syarat.”
Kak Lina gelak kecil. Danish pun tiba-tiba meniru, “Mama hilang cari coklat!”
Armand senyum lemah. Dalam hati, dia tahu—ini bukan sekadar Hana ‘hilang’. Ini ada sesuatu yang lebih besar sedang diproses oleh seorang wanita bijak bernama Hana… dan Armand kena bersedia untuk berdepan kemunculannya semula. Dengan atau tanpa strategi pemasaran terbaru.
Langit JB sudah pun berlabuh senja. Tapi hati Armand masih terang dengan kerisauan. Sejak tiba dari Penang, satu kelibat Hana pun tidak kelihatan. MPV hitam yang membawa Hana memang masuk ke villa, kata Kak Ros dan Kak Lina. Tapi tiada siapa nampak Hana keluar darinya. Macam ghaib. Atau mungkin... sengaja menghilang.
Armand tak duduk diam. Dalam villa, dia berkeliaran seperti cacing kepanasan. Telinga kiri dengar Danish menjerit minta air, telinga kanan dengar suara Kak Ros tengah membebel dengan Kak Mila pasal tuala yang hilang entah ke mana. Tapi hati dan otak dia hanya fikir satu: Mana Hana?
Telefon bimbit dalam genggamannya dah hampir suam. Sejak sejam tadi dia tak henti-henti mendail nama-nama dalam memori telefon – semua yang pernah rapat dengan Hana.
Teman kerja Hana? Tak tahu.
Kawan kolej? Dah lama lost contact.
Jiran taman masa dulu? Ingat Hana masih duduk KL.
Armand mula rasa macam detektif tanpa lesen. Dia dail satu nama lagi – Puan Maznah. Ibu Hana.
Tapi seperti skrip ulangan drama pukul 7 malam, jawapannya tetap sama.
“Aduh, ingatkan dia dengan kamu. Tak, dia tak balik sini. Kamu tak jumpa dia ke?” soal Puan Maznah dengan nada kecewa yang disorok dalam tenang.
Armand tarik nafas. Masih mampu bersabar. Tapi otak dia dah mencongak macam-macam teori. Mungkin Hana cari tempat berlindung. Mungkin dia masih marah. Mungkin dia tengah duduk makan aiskrim coklat dekat tepi pantai sambil tengok ombak.
Mungkin.
Tapi satu nama lagi muncul dalam benaknya. Nama yang dia paling takut nak dail tapi dalam masa sama, satu-satunya yang mungkin dapat ‘menyentap’ dia balik ke realiti — Mama.
Datin Marlia.
Dengan satu lafaz bismillah dan jari yang separuh menggigil, Armand tekan butang hijau.
Panggilan bersambut.
“Armand?” suara Datin Marlia muncul lembut… tapi Armand tahu, itu permulaan kepada gelora.
“Mama… Hana tak balik rumah lagi. Saya… saya dah cari semua tempat. Saya call kawan-kawan dia, mak dia. Semua tak tahu. Saya… risau, ma.”
Sepi.
Lima saat. Sepuluh saat.
Kemudian, seperti petir menyambar pokok balak, suara mama meletus.
“APA KAMU BUAT PADA ISTERI KAMU TU, ARMAND?!”
Armand telan air liur. Ini dia. Letupan Hiroshima peribadi.
“Tak pandai jaga isteri! Pentingkan kerja! Kerja, kerja, kerja! Bini kamu tu manusia! Bukan mesin fotostat!”
“Mama—”
“Jangan mama-mama! Mama tahu kamu sayang Hana, tapi kamu tak tunjuk! Kamu lupa ke perjanjian dalam wasiat arwah datuk kamu? Kamu janji nak bahagiakan dia, kan?! Ini ke cara kamu bahagiakan dia?! Hilang?!”
Armand tunduk. Muka ditutup dengan tapak tangan. Rasa macam budak sekolah kena marah cikgu disiplin depan perhimpunan.
“Mama tahu kamu sibuk. Tapi rumah tangga kamu pun tanggungjawab kamu, Armand. Kamu lelaki. Suami. Bapa. Bukan CEO saja!”
Armand hanya diam. Dengar dengan telinga, telan dengan hati.
Kalau boleh, dia nak masukkan kepala ke dalam mesin kopi dan tekan butang ‘Espresso Extra Shot’ biar terpadam otaknya sekejap.
Dalam hati kecil, Armand merintih:
“Kalau aku bagitahu mama awal-awal, kena marah. Kalau tak bagitahu pun, tetap kena marah. Beritahu salah. Tak beritahu pun salah. Kusut… kusut… arghhhhhhh!”
“Armand! Dengar tak?!”
“Dengar mama… saya akan cari dia sampai jumpa.”
“Baik. Jangan balik rumah tu selagi tak bawa menantu mama balik.”
Klik.
Panggilan tamat.
Dan Armand hanya mampu duduk terhenyak atas sofa ruang tamu, dengan mata merenung siling villa.
“Hana… awak kat mana sebenarnya?”
Malam pun datang perlahan, menyelubungi seisi villa dengan suasana suram. Danish sudah lena di buai mimpi, ditemani Kak Lina yang setia menjaga. Namun dalam hati Armand, tiada lena, tiada damai.
Setelah seharian kusut, akhirnya Armand bangkit dari duduknya. Langkahnya berat menuju ke bilik air. Dia mandi, menyejukkan badan yang sudah lama dibakar gundah. Setelah selesai, dia mengambil wuduk, air sejuk terasa seperti menarik keluar resah yang bersarang dalam hati.
Sebentar kemudian, tubuhnya sudah terbentang atas sejadah di sudut bilik. Suasana bilik yang biasanya dihiasi ketawa manja Hana, kini sunyi dan bergema kosong. Satu-satunya bunyi hanyalah desahan nafas Armand yang sedang cuba tenangkan jiwa.
Dia mengangkat takbir. Solat sunat dua rakaat. Perlahan-lahan gerakannya, penuh penyesalan.
Dan ketika duduk tahiyat akhir, doa yang selalu dia abaikan kini mengalir deras dari hati.
"Ya Allah... jika ini semua ujian untuk aku jadi suami dan ayah yang lebih baik, aku terima. Tapi aku mohon... lembutkanlah hati Hana. Pulangkan dia ke pangkuanku. Rumah ini masih ada suami yang rindu... anak yang menanti..."
Air mata jantan yang selama ini keras, gugur juga.
Usai memberi salam, Armand tertunduk lama. Tangannya masih di atas lutut. Kepalanya dipaling ke sejadah.
Dalam diam, dia berbisik dengan Tuhan – dan dengan dirinya sendiri.
"Aku tahu aku salah, ya Allah... Aku pentingkan kerja. Aku lalai. Aku fikir bila aku kerja kuat, aku boleh beri bahagia. Tapi aku lupa... bahagia itu bukan rumah besar atau saham tinggi. Bahagia tu bila hati isteri rasa cukup. Rasa disayangi. Rasa dihargai."
Satu keluhan lepas dari bibirnya.
"Aku terlalu ego. Aku biar Hana pendam sendiri. Aku buat-buat tak nampak air mata dia. Aku anggap dia kuat sangat. Padahal... dia pun manusia. Dan sekarang, dia hilang. Semua sebab aku."
Armand mengusap wajah, menutup segala resah. Perlahan-lahan, dia bangun dan lipat sejadah. Disimpan kembali ke tempat asal, tapi satu doa masih tertinggal di sejadah itu – harapan agar cinta yang diuji ini kembali pulih.
Dia menatap kosong ke arah bilik Hana yang sunyi. Kosong. Tiada bunyi, tiada cahaya. Tapi dalam hatinya, dia tahu satu perkara — dia takkan berhenti cari Hana. Sampai jumpa. Sampai Hana kembali.
Share this novel