Beberapa hari berlalu. Jadual Hana padat seperti biasa. Mesyuarat demi mesyuarat, laporan demi laporan. Namun, satu perkara tidak berubah — nama Fakhri masih muncul di skrin telefonnya.
Setiap kali dia melihat paparan ‘Fakhri’ tertera, jarinya pantas menekan reject. Kadang-kadang, hanya dibiarkan begitu sahaja sehingga panggilan terputus sendiri.
Bukan dia marah. Tapi… dia kecewa. Sungguh.
Mesej-mesej daripada Fakhri juga tak kurang banyaknya. Semuanya hampir sama:
“Kak Hana… saya betul-betul minta maaf.”
“Saya tak sengaja hari tu. Saya menyesal.”
“Saya tahu saya silap, tapi saya harap Kak Hana boleh maafkan.”
Namun semuanya hanya dibaca sekilas, tanpa sebarang balasan. Hatinya belum bersedia.
Namun pada satu tengah hari yang redup, semasa Hana sedang menyusun fail di biliknya — telefon bimbitnya berbunyi lagi. Satu mesej masuk dari nombor yang sama.
“Kak Hana... saya tahu saya dah salah. Tapi kali ni, saya betul-betul minta maaf. Saya cuma nak bercakap sekejap. Tolong jawab telefon saya, untuk kali terakhir. Saya janji ini takkan berulang…”
Hana terhenti.
Tangannya menggenggam telefon erat. Dadanya terasa aneh — berat, tapi tidak marah.
"Kenapa nada dia macam… betul-betul hampa?"
Dia membaca mesej itu semula. Lambat-lambat. Perkataannya ringkas, tapi nadanya terasa ikhlas. Bukan seperti sebelum ini.
"Mungkin dia dah sedar. Mungkin dia cuma nak lepaskan rasa bersalah..."
Skrin telefon tiba-tiba menyala. Panggilan masuk.
Nama: Fakhri.
Jantung Hana berdebar perlahan. Jarinya teragak-agak. Nak angkat atau tidak?
"Maafkan, Hana. Jangan simpan dalam hati. Dia pun manusia..." bisik hatinya perlahan.
Dengan nafas perlahan, dia tekan butang hijau.
“Hello…” suara Hana keluar perlahan.
Di hujung talian, kedengaran suara Fakhri. Sedikit bergetar.
“Kak Hana…” Suaranya perlahan, seolah-olah menahan sesuatu. “Terima kasih sebab jawab…”
“Kenapa awak telefon saya lagi, Fakhri?”
“Saya… saya tahu saya salah. Saya tahu saya dah melampaui batas. Tapi saya tak tahu nak tenang kalau saya tak minta maaf sendiri dari mulut awak…”
Nada suara Fakhri kedengaran serak. Seolah menahan sebak.
“Saya janji, Kak Hana… saya takkan ulang lagi. Saya malu dengan diri sendiri. Saya janji… kalau awak nak anggap saya adik pun tak apa. Tapi saya minta, jangan benci saya…”
Suasana sunyi seketika.
Hana menelan air liur. Pandangannya jatuh ke atas meja. Hatinya terasa longgar, seperti beban terangkat.
Dan tanpa sedar, mulutnya bersuara...
“Ya… aku maafkan.”
Kedengaran Fakhri menarik nafas perlahan. Seakan lega, seakan hendak menangis.
“Terima kasih, Kak Hana… terima kasih sangat.”
Panggilan tamat beberapa minit kemudian. Ringkas, namun meninggalkan kesan.
Hana sandarkan badan di kerusi. Matanya memandang siling kosong.
“Aku maafkan… tapi bukan sebab dia. Sebab aku tak nak simpan benci. Aku nak tenang.”
Dan hari itu, tanpa perlu drama, tanpa perlu marah, Hana akhirnya belajar — memaafkan bukan untuk orang lain. Tapi untuk diri sendiri.
Selepas panggilan itu tamat, Hana duduk diam di kerusinya.
Tiada lagi rasa sesak di dada. Tiada lagi beban yang berat menghimpit fikiran.
Dia memejamkan mata seketika. Nafasnya dihela perlahan.
"Ya Allah... mungkin ini jalan untuk aku tenang. Aku maafkan dia, semoga dia benar-benar berubah."
Perlahan-lahan, bibirnya mengukir senyum nipis. Tenang.
Sudah lama dia tidak rasa begini. Seolah-olah jiwanya baru selesai melepasi ribut kecil yang menghimpit.
"Aku maafkan bukan kerana aku lemah. Tapi sebab aku tahu dia tak pernah aku benci. Dia cuma... tersasar sekejap."
Hana memandang ke luar jendela bilik pejabatnya. Langit kelihatan cerah. Ada awan putih melintas perlahan.
Fikirannya kembali mengimbas masa lalu.
Waktu kecil, dia dan Fakhri memang rapat. Mereka membesar bersama di kampung. Waktu arwah ayahnya, Aiman, masih hidup, Fakhri selalu datang ke rumah. Kadang-kadang dengan basikal, kadang-kadang hanya berlari berkaki ayam.
Mereka main kejar-kejar keliling laman, sembunyi selipar bawah tangga, buat rumah-rumah dari kotak, dan main ‘mak ayah’ di bawah pokok jambu belakang rumah.
Waktu itu… cinta masih terlalu jauh dari kamus hidup. Yang ada cuma tawa, jeritan riang, dan gelak ketawa budak-budak kampung yang tiada beban hidup.
Fakhri pernah menangis kerana hilang guli, dan Hana yang pujuk.
Hana pernah kena marah sebab panjat pokok rambutan dengan Fakhri, tapi mereka tetap ulang buat benda yang sama minggu depannya.
Hubungan itu tak pernah berubah.
Walau mereka membesar, walau masing-masing ke haluan sendiri, Hana tetap memanggil Fakhri sebagai ‘adik’. Malah, dia sendiri tidak punya adik kandung. Jadi Fakhri adalah satu-satunya tempat dia curah rasa sayang sebagai seorang kakak.
Sebab itu juga dia sanggup biayai pelajaran Fakhri ke luar negara dulu — tanpa minta balasan, tanpa paksaan. Dia mahu adiknya berjaya. Dia mahu Fakhri jadi lelaki baik, lelaki yang dihormati.
“Sebab aku tak ada adik. Tapi Allah kirimkan dia dalam hidup aku.”
Ya, Fakhri pernah silap. Tapi dia pernah juga buat Hana tersenyum ketika dunia gelap. Pernah beri erti dalam sunyi.
Dan sekarang, Hana hanya mahu satu perkara:
"Jangan ulang lagi kesilapan yang sama. Aku dah maafkan. Tapi aku tak mahu luka yang sama berdarah dua kali."
Dia capai telefon. Mesej baru ditulis perlahan.
“Saya harap awak betul-betul berubah, Fakhri. Saya tetap anggap awak macam adik saya. Jangan hancurkan kepercayaan tu lagi.”
Dia tekan send. Ringkas. Tapi cukup untuk menutup bab luka dan membuka lembaran baru — antara seorang kakak dan adik.
Setelah kekuatan emosinya perlahan-lahan hilang, fikiran Hana terasa semakin jernih. Hatinya tidak lagi sesak, tidak lagi kelam. Dia hela nafas panjang, matanya memandang ke luar bilik kaca yang menghadap terus ke ruang pejabat besar jabatan pemasaran dan strategi.
Staff-staffnya kelihatan sibuk.
Ada yang sedang menaip laju — mungkin mengejar deadline. Ada yang tengah buat panggilan sambil mulut komat-kamit, mungkin pitching dengan klien. Seorang dua pula kelihatan sedang menguap dan menggosok mata, namun apabila perasan Hana sedang memandang dari balik dinding kaca, terus sahaja mereka menegakkan badan dan buat-buat serius menghadap skrin.
Malah salah seorang sempat tersengguk, tapi bila sedar Hana sedang tengok, terus buka spreadsheet tak tentu hala.
“Fuh. Silap gaya, esok kena gulung tikar. Bilik kosong, meja hilang, alamat kerja freelance atas motor,” bisik salah seorang staf kepada rakan sebelahnya dengan wajah cemas.
Hana tersenyum nipis. Gelagat mereka benar-benar mencuit hati. Tapi dalam diam, hatinya terasa sayu.
“Tanpa mereka, aku tak akan ada dalam bilik ni. Takkan mampu capai semua ni.”
Dia angkat telefon meja dan tekan butang interkom.
“Tasya, boleh masuk kejap?”
Tak sampai seminit, pintu diketuk. Tasya masuk seperti biasa dengan buku nota dan pen bersiap sedia mencatat — kerana pengalaman mengajarnya, mood Puan Hana kadang-kadang macam cuaca hujung tahun.
“Ya, puan?”
Hana senyum.
“Ada Starbucks dekat seberang, kan?”
Tasya angguk perlahan. “Ada, puan. Nak saya belikan kopi ke?”
“Ha’ah. Tapi bukan untuk saya je. Belikan semua staff department ni minuman sorang satu. Suruh mereka rehatkan kepala kejap.”
Tasya ternganga sekejap. “Semua?”
“Ya, semua. Yang nampak mata panda tu pun. Yang macam nak pengsan tu pun. Kirim order cepat. Saya belanja.”
Tasya tergelak kecil. “Fuh… yang ni confirm esok diorang kerja sampai malam sebab terharu. Baik saya ke sana sekarang sebelum orang lain rembat tempat duduk.”
“Laju sikit ye. Jangan tertinggal orang yang paling suka green tea tu. Nanti dia mogok tak nak buat laporan.” Hana ketawa kecil.
Tasya keluar dari bilik dengan langkah ringan.
Di luar, beberapa staf tertanya-tanya kenapa Tasya nampak gembira sangat — sambil dia hulur telefon kepada beberapa orang untuk ambil pesanan.
Salah seorang staf berbisik sambil mata masih ke arah bilik kaca Hana.
“Weh, Puan Hana senyum hari ni. Ada harapan bonus awal ke ni?”
Yang lain menjawab, “Tak tahu, tapi kalau Starbucks semua dapat, aku sanggup stay sampai pagi esok!”
Sementara itu, Hana hanya tersenyum dari biliknya. Dia tahu, bukan mudah untuk sentiasa kuat. Tapi hari ini, dia belajar — bahawa memaafkan boleh jadi satu bentuk kekuatan juga.
Dan mungkin… secawan kopi boleh jadi tanda penghargaan yang cukup besar untuk sebuah keluarga pejabat yang setia bersamanya.
Share this novel