Selepas makan tengah hari yang ringkas — sekadar roti bakar dan kopi panas yang dibancuh sendiri di dalam bilik — Hana memanggil Tasya.
"Tasya, kita buat meeting jam dua nanti. Suruh semua sediakan fail tugasan masing-masing. Saya nak tahu apa yang berlaku minggu lepas," ujar Hana sambil menyusun dokumen di mejanya.
Tasya angguk laju seperti biasa, nota tak perlu pun sebab arahan itu sudah tertulis kemas dalam ingatan sejak awal jadi PA. Dia tahu, bila Puan Hana kata nak tahu ‘apa berlaku minggu lepas’, itu bukan sekadar nak dengar cerita drama aircond rosak atau mesin fotostat mengamuk. Itu petanda... semua kena bersedia atau berserah.
Tasya keluar dari bilik, terus berdiri di meja kerjanya dan capai telefon. Jari laju menaip di dalam Group WhatsApp rasmi jabatan.
---
[INFO PENTING – ARAHAN PUAN HANA]
Assalamualaikum semua.
Mesyuarat jabatan akan diadakan jam 2:00 petang ini.
Semua staf DILARANG TIDAK HADIR.
Sila bawa fail tugasan masing-masing (minggu lepas).
Puan Hana ingin semak perkembangan kerja setiap unit.
Terima kasih & harap semua bersedia.
---
Mesej baru masuk. “Marketing Warriors ” terus aktif.
Seen by: Aida, Nina, Sharul, Wani, Amran...
Suasana pejabat sunyi. Lebih sunyi daripada hari audit dalaman. Yang tadi galak cerita pasal menu lunch ‘nasi goreng ayam double telur’, sekarang semua membisu.
Ada yang tengok telefon, geleng kepala perlahan.
Ada yang terus bangun, bergegas ke rak fail macam teringat baru tertinggal anak kat pasar malam.
Dan ada yang... seperti Amran, staf baru, hanya mampu menelan air liur.
"Fail tugasan minggu lepas...?" gumam Amran perlahan. Dahi terus berkerut. Dia masih belum boleh beza mana satu fail rasmi, mana satu nota mesyuarat, mana satu kertas conteng waktu bos tak ada.
Aida di sebelahnya buat-buat tak dengar, tapi akhirnya bersuara dengan gaya acuh tak acuh.
"Haah. Kau sediakan je fail. Tak kisahlah isinya apa. Yang penting — nampak macam kau buat kerja."
Amran gelabah. "Saya tak tahu kena buat laporan fizikal. Saya ingat hantar email minggu lepas dah cukup."
Aida sengih sambil susun semula dokumen atas meja. "Itu sebab kau baru. Minggu ni baru minggu kedua, kan?"
"Haah…" Amran tarik nafas.
"Jadi, selamat datang ke babak seterusnya: Mesyuarat Penuh Makna," ujar Aida sambil bisik macam narator filem seram.
Dari jauh, Nina bersuara perlahan, "Dia akan tengok satu-satu fail. Kalau takde isi, senyum pun susah nak keluar."
“Kalau saya print je benda dari sistem, cukup ke?” tanya Amran, cuba berunding.
“Print, staple, lekat nama sendiri, doa kuat-kuat. Itu cara selamat,” jawab Wani, staf grafik yang sudah tiga tahun tak pernah terlepas mesyuarat jabatan.
Sementara itu, Hana di dalam biliknya masih tenang. Dia semak laporan dari Faizal yang dihantar pagi tadi. Satu persatu ditanda dengan pen merahnya — bukan marah, tapi gaya kerja. Pen biru untuk nota, pen merah untuk soalan. Dan bila ada pen merah, staf mesti bersedia dengan jawapan.
Tasya intai dari luar, pastikan suasana pejabat terkawal.
Encik Faizal pula masih di bilik pengurus. Dari luar, staf hanya nampak siluetnya yang tenang menyusun fail. Tiada siapa berani masuk atau ketuk.
Jam di dinding terus berdetik. 1:40 petang.
Sharul, staf media sosial, mula mengeluh perlahan. “Harap aku tak kena soal panjang. Aku dah print semua graf engagement minggu lepas. Tapi kalau dia tanya, kenapa likes turun hari Rabu... ha, kena cari alasan power sikit.”
Aida selamba jawab, “Kata je server Meta down. Biasa orang percaya.”
Amran masih panik. Dia dah mula buka PowerPoint lama, capai printer dan selit apa-apa grafik yang kelihatan ‘penting’.
“Fail aku ni... nampak kerja tak?” soal Amran sambil tunjuk fail baru yang dia baru print dalam 5 minit.
Wani jeling dan senyum sinis. “Nampak. Tapi kalau kena soal isi, jangan sebut nama kami ya.”
Suasana pejabat kembali sibuk. Tapi semuanya dalam nada survival mode. Muka-muka staf bukan lagi tenang. Semuanya ibarat pelajar yang baru sedar esok ada ujian lisan.
Jam berdetik ke angka 1:55 petang.
Fail-fail mula dikumpul, kerusi ditinggalkan, dan masing-masing bersedia untuk bergerak ke bilik mesyuarat besar.
Puan Hana masih belum keluar dari biliknya.
Tapi semua tahu — bila jam tepat pukul 2:00, pintu itu akan terbuka.
Dan hanya yang bersedia akan mampu senyum bila keluar.
Jam di dinding pejabat sudah menunjuk angka 1:55 tengahari.
Di dalam bilik mesyuarat besar, sebanyak 22 orang staf jabatan pemasaran sudah pun berada di tempat duduk masing-masing. Semuanya dalam keadaan bersedia — atau sekurang-kurangnya berpura-pura bersedia.
Encik Faizal, Pengurus Pemasaran, duduk di hadapan sebelah kiri Hana. Tenang dengan fail lengkap, siap dengan label dan tab berwarna. Dia tahu, walau dia seorang pengurus, kalau tak bersedia, memang boleh kena juga.
Tasya, pembantu peribadi hana kesayangan jabatan, duduk di sebelah kanan Hana, bersedia dengan buku nota terbuka dan pen yang dah sedia berisi dakwat penuh. Wajahnya tenang, tapi mata tetap cekap memerhati siapa yang bernafas laju dan siapa yang tangan dah sejuk.
Hana, selaku CMO, sudah pun berada di kerusi utama. Duduk tegak dengan jam tangan kecil di pergelangan kiri yang sesekali direnung. Wajahnya neutral — bukan marah, bukan senyum. Tapi cukup untuk buat satu bilik rasa macam suhu pendingin hawa turun ke tahap beku.
Jam terus berdetik.
1:57 PM
Bunyi kipas pendingin dan hela nafas staf-staf adalah satu-satunya muzik latar.
1:58 PM
Kerusi-kerusi tak bergerak lagi. Tiada siapa berani buka mulut walau untuk batuk.
1:59 PM
Hana angkat tangan sedikit, lihat jamnya.
Dan tepat ketika jarum panjang hampir ke nombor 12…
PINTU TERBUKA.
Amran muncul.
Tergesa-gesa.
Muka berpeluh, rambut sedikit serabai, tangan memegang dua fail yang tak sempat disusun rapi. Kemeja separuh tercabut dari pinggang seluar. Mata membulat — pandang sekeliling.
Semua orang dalam bilik mesyuarat memandang ke arah pintu.
Ada yang terkejut. Ada yang simpati. Ada juga yang… terhibur.
Amran terpaku sekejap. Pandang ke arah meja utama.
Puan Hana sudah ada.
Tengah duduk. Tengah tengok jam. Tengah... tengok dia.
Hati Amran terus jatuh ke lantai.
‘Alamak… hari terakhir aku kerja. Baru meeting pertama dah lambat. Siap… siapp...’
“Maaf, puan...” suara Amran perlahan sewaktu dia tunduk sedikit dan terus mencari tempat duduk kosong di hujung barisan.
Tiada jawapan dari Puan Hana.
Tiada anggukan.
Tiada senyuman.
Tiada sebutir perkataan pun.
Cuma... mata.
Mata yang tenang — tapi menyimpan ribuan analisis prestasi.
Amran duduk, tarik nafas, lap peluh di dahi. Tangan dia basah. Kertas dalam fail dah mula melekat. Dia betul-betul rasa macam masuk dewan peperiksaan UPSR semula. Cuma kali ni, tiada loceng tamat waktu.
2:00 PM tepat.
Jarum panjang bertemu angka 12.
Dan Puan Hana bersuara.
Tenang. Lantang. Jelas.
“Baik. Saya nak tahu satu per satu apa yang telah disiapkan minggu lepas. Tugasan mana yang belum selesai, mana yang perlukan bantuan, dan mana yang tak faham — semuanya saya nak tahu.”
Satu bilik senyap.
Yang nak buka fail pun tarik nafas dulu. Yang dah buka, semak semula muka surat. Semua pandang fail masing-masing macam pandang masa depan.
Hana tak tunggu lama. Matanya meleret ke kiri, arah Encik Faizal.
“Encik Faizal, kita mula dengan laporan keseluruhan dulu.”
Faizal angguk, buka fail utamanya, dan terus mulakan pembentangan. Suaranya stabil. Ayatnya disusun rapi. Tapi semua tahu... walau Faizal nampak tenang, dalam hati mesti sedang baca doa Nabi Musa.
Amran di tempat duduk belakang cuma mampu pegang pen — walaupun tak tahu nak tulis apa. Tangan masih berpeluh.
‘Kalau aku lepas hari ni… aku bersumpah akan masuk meeting awal 15 minit lepas ni. Aku akan simpan fail siap-siap. Aku akan beli jam meja sendiri. Dua biji.’
Di depan, Hana masih mendengar dengan penuh fokus. Sekali-sekala dia menanda sesuatu dalam failnya. Tasya pula mencatat ringkas, mata sesekali menjeling ke arah staf yang kelihatan seperti ‘bersedia untuk dipersoalkan’.
Dan mesyuarat baru sahaja bermula.
Tapi untuk Amran...
Itu dah rasa macam tamat riwayat.
Selesai sahaja Encik Faizal menutup failnya dan duduk semula, suasana dalam bilik mesyuarat kembali senyap.
Semua mata kini kembali kepada Puan Hana, menanti siapa mangsa seterusnya.
Tapi... sebaliknya berlaku.
Hana memalingkan wajah ke kanan.
Pandangan mata itu… terus hinggap pada seseorang yang tak pernah disoal pun setiap kali mesyuarat.
Tasya.
Tasya yang selama ini duduk aman tenteram sebagai PA yang hanya perlu catat dan angguk, kini tergamam. Jantung dia berhenti separuh.
‘Eh? Kenapa tengok aku pulak ni?’
Hana diam.
Masih tenang.
Tapi mata dia… lain macam.
Bukan garang.
Tapi… sakat.
“Tasya...” Hana bersuara, dengan nada serius yang buat bilik tu rasa senyap macam perpustakaan kampung.
“Apa tugasan awak minggu lepas?”
Tasya terkebil.
Terkedip.
Ternganga.
‘Ya Allah... aku PA. Boss tak ada. Aku pun cuti kerja sikit. Aku cuma… fotostat. Pastu beli Milo. Lampu pejabat pun aku report. Itu je kerja aku seminggu. Adoi... kenapa hari ni boss tengok aku macam nak semak KPI.’
Perlahan-lahan, Tasya berdiri.
Tangan pegang pen.
Kaki sedikit menggigil.
Suara perlahan macam bisik ke kipas meja.
“Err… minggu lepas, saya… saya… saya bantu staf fotostat dokumen. Lepas tu saya pergi pantry… topup Milo. Dengan saya call maintenance… sebab lampu bilik staf berkelip-kelip.”
Hana angguk perlahan.
Masih dengan wajah serius.
“Oh... bagus. Semua tugasan penting.”
Tasya rasa lega.
Tapi Hana belum habis.
“Lampu bilik siapa yang berkelip?”
Tasya kalut selak nota.
“Err… bilik Kak Yati. Tapi hari Jumaat je berkelip. Hari Isnin tu okay balik…”
Dan saat itulah…
Seluruh bilik mesyuarat meletus dengan ketawa.
Ada yang tepuk meja. Ada yang tunduk tahan gelak. Amran yang tadi pucat pun terpaksa senyum sambil gosok dada sendiri.
Tasya duduk semula dengan muka merah padam. Tangan dia cuba kipas muka sendiri walaupun aircond 16 darjah.
“Saya tak sangka… saya kena soal sekali. Selalunya saya selamat. Kenapa hari ni boss buat lawak macam ni?”
Hana akhirnya tersenyum juga.
Bukan senyum besar, tapi cukup untuk buat semua tahu — ya, Puan Hana sebenarnya tengah menyakat. Tapi sakat yang ada makna.
“Baik. Kita teruskan dengan staf yang lain. Saya nak laporan ikut giliran ikut senarai projek.”
Semua staf kembali bersedia.
Cuma Tasya… masih trauma ringan.
“Lepas ni aku fotostat siap-siap laporan tugasan sendiri. Kalau Milo habis lagi pun aku catat. Mana tahu boss ada mood menyakat lagi…”
Share this novel