BAB 32

Romantic Comedy Series 1024

Bilik pejabat CMO hari itu bagaikan balai lelong — semua benda nak diselesaikan sekali harung. Bunyi printer tak berhenti, suara staf datang silih berganti, dan Hana sendiri hampir tak sempat nak angkat muka.

PA masuk sambil bawa dua fail tebal.

“Cik Hana, ni fail bajet marketing suku ketiga dan kertas cadangan produk baharu. Kena semak sebelum meeting pukul tiga.”

“Aku ada dua tangan je, bukan lapan. Letak situ,” arah Hana sambil jeling skrin yang sarat dengan spreadsheet.

Baru PA keluar, telefon pejabat pula berbunyi. Satu panggilan dalaman dari Jabatan Kreatif, tanya pasal slogan kempen. Tak sempat letak gagang, seorang lagi staf masuk minta sign borang cuti. Macam-macam.

“Eh, kenapa semua orang hari ni macam tengah buat serangan hendap?” bebel Hana perlahan.

Sedang dia cuba tarik nafas sekejap, telefon bimbit atas meja pula bergegar kuat. Skrinnya menyala terang dengan satu nama.

FAKHRI.

Hana angkat kening. “Aduh… dia ni nak apa lagi?”

Dia tekan jawab, malas-malas.

“Helo. Kenapa?”

“Assalamualaikum, Kak Hana! Busy ke?”

“Waalaikumussalam. Ya. Sangat busy. Kenapa kau call?”

“Jom makan.”

“Makan? Sekarang? Kau gila ke?”

“Eh taklah. Kak Hana kan CMO. Bila-bila masa boleh keluar makan.”

Hana dah golek mata ke siling. “Kau tahu tak aku tengah hadap fail dua inci ni? Siap ada dua meeting menunggu.”

“Tapi saya dah kat bawah. Tunggu kat kafe…”

“Fakhri… siapa suruh kau datang time aku tengah kerja? Ingat aku bos takde kerja?”

“Alah… lama betul nak tunggu habis waktu kerja…”

“Biarlah. Siapa suruh datang awal sangat. Kau nak aku tinggal semua ni semata-mata nak teman kau makan? Kau mimpi ke apa?”

Fakhri senyap di hujung talian. Hana dah bersedia nak letak.

“Aku tunggu je la… kat kafe. Lama pun tak apa.”

“Bagus.” Hana terus matikan panggilan.

Baru dia letak telefon, PA muncul lagi sambil tersengih.

“Cik Hana… Encik Fakhri tengah tunggu kat lobi. Dia order dua caramel latte.”

Hana tarik nafas panjang. “Suruh dia minum dulu satu. Kalau aku turun, kira bonus.”

PA gelak kecil dan angguk. Hana kembali tunduk ke kerja.

“Ada-ada je budak tu. Datang pejabat orang macam datang dating…” gumamnya sambil tangannya ligat menyemak dokumen.

“Ha Tasya,” panggil Hana sambil menjenguk keluar dari bilik pejabatnya.

Tasya yang sedang menyusun fail di meja terus bangun dan menghampiri. “Ya, Puan Hana?”

“Call Pak Rahman. Cakap tak payah ambil saya hari ni. Saya balik dengan sepupu,” arah Hana sambil menutup skrin laptopnya.

“Baik, Puan Hana.” Tasya segera kembali ke tempat duduk dan mengangkat gagang telefon. Jari-jemarinya lincah mendail nombor yang sudah dihafal luar kepala.

Tak lama selepas itu, dia berbicara ringkas dengan Pak Rahman. “Ya, Pak Rahman. Puan Hana pesan tak perlu ambil dia petang ni. Dia balik dengan sepupu. Ya... baik, saya sampaikan. Terima kasih, Pak.”

Selesai tugas, Tasya kembali menyambung kerjanya tanpa banyak bunyi. Dia tahu Puan Hana memang jenis tak suka berlebih cakap. Bila disuruh, buat. Bila senyap, faham-faham sendiri.

Suasana pejabat semakin lengang. Beberapa staf sudah mula keluar satu per satu. Jam di dinding sudah hampir ke pukul enam.

Tasya melihat fail terakhir di mejanya, menyusunnya elok sebelum bangkit berdiri. Dia menghampiri bilik Hana dan mengetuk pintu perlahan.

Tok tok.

“Masuk,” suara Hana dari dalam.

Tasya menjenguk kepala. “Puan Hana, saya balik dulu ya?”

Hana mengangguk perlahan, masih menatap skrin. “Hmm. Esok datang awal sikit. Kita ada meeting pukul sembilan dengan team produk.”

“Baik, Puan Hana. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Tasya pun melangkah keluar, membetulkan tudung sambil mencapai beg. Dia sempat menjeling ke arah pintu bilik Puan Hana sebelum keluar dari pejabat. Hati kecilnya berkata, ‘Balik dengan sepupu ya... atau balik dengan “sepupu”?’

Dia senyum sendiri, kemudian hilang dari pandangan.

Dalam bilik, Hana menutup komputer riba. Telefon bimbit diambil dari meja, lalu dia menaip satu mesej ringkas.

"Kau dah sampai?"

Tak sampai dua minit, mesej dibalas.

"Dah. Aku tunggu kat bawah. Parking VIP."

Hana senyum senget. Dia bangkit, menyarung blazer, lalu melangkah keluar dari pejabat menuju lif.

Tak ada siapa tahu… sebenarnya yang tunggu di bawah bukan sekadar sepupu. Tapi Fakhri – lelaki yang anggap Hana bukan sebagai kakak lagi.

---

Sampai saja di parking VIP, belum sempat pintu kereta ditutup, Hana dah mula membebel.

“Kau ni Fakhri… memandai je parking kat lot VIP. Ingat kau tu VIP ke?”

Fakhri senyum tak bersalah. “VIP kak Hana…”

Hana jeling sambil lipat tangan. “VIP kak Hana konon. Bunyi dia macam ada maksud lain je…” gumamnya perlahan, sekadar dalam hati. Tapi tak nak panjangkan. Malas nak fikir pelik-pelik.

Dia terus tutup pintu dengan perlahan, ambil tempat di kerusi penumpang. “Cepatlah, bergerak sekarang. Aku lapar,” arah Hana, memusingkan wajah ke luar tingkap.

Fakhri hanya angguk sambil tersenyum. Kereta pun mula meluncur keluar dari bangunan pejabat menuju ke café kegemaran Hana. Café kecil tapi tenang, terletak di hujung deretan bangunan lama, dihias lampu gantung dan dinding kayu — tempat pertama kali hati Hana diketuk suaminya sendiri.

Café yang jadi saksi cinta yang tak disangka datangnya.

Waktu itu, baru beberapa bulan mereka bernikah. Bukan sebab cinta. Bukan sebab paksa rela. Tapi sebab satu wasiat pelik yang arwah datuk Armand tinggalkan — suruh kahwinkan cucunya dengan Hana. Siapa sangka, dalam banyak-banyak perkara yang boleh diwasiatkan… kahwin pun masuk senarai.

“Apa benda la... kahwin pun ada dalam wasiat,” Hana senyum sendiri. “Ingatkan wasiat ni untuk rumah ke, kereta ke… saham syarikat ke. Ini kahwin.”

Tapi... pelik-pelik pun, itulah titik mula cinta mereka. Cinta yang datang perlahan. Tanpa paksaan. Tanpa skrip drama.

Armand tak pernah desak dia. Tak pernah tuntut apa-apa. Malah bertahun-tahun mereka hidup macam kawan serumah. Sehinggalah satu malam, di café itu juga… Armand hulur satu surat tulisan tangan.

Tajuknya:
"Kalau aku mati esok."

Katanya, itu ‘wasiat cinta’. Dalam surat tu dia cerita semua — dari kali pertama dia pandang Hana, sampai ke saat dia tak mampu nak lafaz cinta secara terus. Hana tak tahu nak gelak ke nak nangis waktu baca. Tapi sejak malam tu, hati dia mula buka ruang.

Dan dari situ… bermula kisah mereka.

Kini, kereta yang dinaiki Hana dan Fakhri dah pun masuk ke lorong café tersebut. Lampu-lampu kecil yang tergantung mula kelihatan, berkelip perlahan dalam cahaya petang yang mula redup.

Hana genggam beg tangan rapat-rapat. Dalam diam, hati dia diserang rindu. Rindu pada Armand. Suaminya yang penuh kejutan, penuh kesetiaan. Cuma, lelaki tu jarang tunjuk secara terang-terang.

“Okay kak Hana. Sampai,” suara Fakhri mematikan lamunan.

Hana cuma angguk dan buka pintu. Nafas dihela panjang.

Cinta tu kadang tak perlu datang dengan bunga ros dan ayat manis. Cukup hadir dengan tanggungjawab dan setia, walau mula dari… satu wasiat.

Mereka melangkah masuk ke dalam café yang sunyi tapi damai. Lagu klasik perlahan mengisi ruang. Aromanya masih serupa. Bau kopi. Bau kenangan.

“Kak Hana nak duduk mana?” soal Fakhri sambil menghala ke satu sudut meja berdekatkan tingkap.

“Pandai kau pilih,” ujar Hana sambil ikut langkah Fakhri.

Fakhri tarik kerusi. “Tempat ni sesuai. Tenang. Romantik sikit. Macam dalam drama.”

Hana senyum, duduk perlahan. Tapi hatinya… bergetar.

Ya Allah… meja ni…

Meja itu. Meja yang satu. Meja tempat Armand pernah duduk di hadapannya — dengan tangan menggigil, suara serak-serak basah, sambil curi-curi pandang kertas nota kecil yang diselit bawah lengan baju.

“Saya sayang awak, Hana. Bukan sebab wasiat tu… tapi sebab saya mula nampak awak, betul-betul awak, lepas akad nikah.”

Hana senyum sendiri. Tanpa sedar.

“Apa Kak Hana senyum sorang-sorang tu?” tanya Fakhri sambil belek menu.

“Tak ada apa. Senyum sebab kopi sini sedap,” jawab Hana pantas.

Fakhri angguk. “Kak Hana nak latte kosong, kan?”

Hana terkejut sikit. “Kau ingat?”

“Lain kali Kak Hana minum manis, baru pelik. Ni standard.” Fakhri senyum yakin.

Hana angkat kening. “Bagus jugak jadi stalker aku ye.”

Fakhri ketawa. “Bukan stalker. Pemerhati berdisiplin.”

Mereka ketawa kecil. Pelayan datang ambil pesanan. Dua minuman. Satu kek.

Tapi mata Hana kembali tertumpu ke meja.

Meja ni pernah jadi saksi detik paling jujur dalam hidup aku. Jujur dan pelik. Siapa sangka kahwin sebab wasiat boleh jatuh cinta setengah mati…

Dia diam lama. Fakhri sibuk dengan telefon. Tak tahu apa-apa. Takkan tahu.

Dan kau, Armand… kalau meja ni boleh bercakap, habis kau kena bahan. Ayat jiwang kau dulu tu pun, sampai sekarang aku hafal. Biarpun kau baca macam baca skrip drama tengah malam.

Hana diam. Jari jemarinya menyentuh hujung meja yang sudah sedikit calar, tapi tetap utuh bentuknya.

Meja ni…

Ya. Bukan sekadar tempat Armand pernah luahkan cinta. Tapi cara Fakhri memilihnya… secara rawak, tenang, seolah mereka berdua adalah pasangan yang sedang keluar ‘dating’.

Dan hakikat itu — buat Hana tiba-tiba rasa janggal.

Dia lempar pandang ke arah Fakhri yang sedang sibuk scroll telefon. Tak perasan pun senyap Hana itu mengusik emosi sendiri.

Tak, Hana. Kau jangan fikir bukan-bukan. Dia cuma Fakhri. Sepupu kau. Anak Maksu Normah. Dah macam adik sendiri pun. Kau tak ada adik… dan Fakhri selalu ada bila kau perlu seseorang. Itu je.

Hana hela nafas panjang, tahan rasa yang cuba bermain-main dalam hati.

Fakhri angkat muka. “Kenapa Kak Hana diam? Tak suka tempat ni?”

“Taklah,” jawab Hana, cuba berlagak biasa. “Kau tahu tak meja ni… sebenarnya banyak kenangan untuk aku.”

“Oh ya?” Fakhri tunduk tengok meja. “Kenangan apa?”

Hana senyum samar. “Kenangan zaman aku muda. Masa baru kerja. Café ni tempat aku selalu lepak.”

“Ohh…” Fakhri angguk. “Maksudnya meja ni memang special la kan?”

“Special untuk aku. Tapi bukan sebab kau,” jawab Hana sambil tersenyum nakal.

Fakhri ketawa. “Aduh. Kena sound aku.”

Hana ketawa perlahan. Tapi dalam hatinya dia ulang lagi satu kenyataan.

Fakhri bukan sesiapa. Dia adik aku. Dan akan kekal macam tu. Titik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience