BAB 51

Romantic Comedy Series 1024

Hari Ahad yang malas. Angin pun macam tak lalu nak tiup.

Dalam rumah sewa dua tingkat itu, Hana duduk bersila di atas tilam bujang yang dibentang di ruang tamu. Tudungnya masih elok, tapi matanya nampak kosong. Dalam tangan, telefon bimbit yang sudah dua jam tak disentuh.

"Hanaaa..." suara Emy bergema dari dapur. "Aku tahu kau bosan."

Hana senyum tawar. Dah agak.

"Kau dengar aku jalan pun kau tahu aku bosan ke?"

"Bukan dengar. Aku rasa. Aura kau ni serupa kipas meja rosak. Berangin tak sampai."

"Hahaha… gila kau ni."

Emy keluar dari dapur sambil pegang sebiji mangkuk berisi keropok.

"Jom keluar. Pergi mall. Cuci mata. Cari makan. Masuk Watson, test lip balm. Kau nak?"

Hana terdiam sekejap. Dia pandang sekeliling rumah yang sederhana tapi selesa.

Senyap. Tak ada siapa kenal dia di sini. Tak ada siapa bertanya. Tak ada siapa menghakimi. Bebas.

"Mall mana?"

"Aeon. Dekat. Parking tak menyakitkan kepala. Jom. Please. Kalau tak, aku tidur balik. Nanti aku mimpi aku kahwin dengan pelakon Tamil."

"Hahaha. Okay, okay. Tapi aku mandi dulu."

"Cepatlah. Aku dah siap makeup separuh."

Bunyi air paip menitik laju dalam bilik air yang sempit itu. Hana berdiri depan cermin, mengemaskan tudung bawal biru lembut yang dililit ringkas. Wajahnya polos tanpa secalit solekan, tapi cukup bersih dan tenang.

Jeans biru gelap dan t-shirt lengan panjang berwarna krim sudah memadai. Dia tak perlukan apa-apa lagi untuk ‘nampak okay’. Sekarang dia cuma mahu keluar, bersihkan kepala.

Dari bilik sebelah, suara Emy bersahut.

"Kau dah siap ke Hana?"

"Nak pakai kasut je ni."

Emy muncul dengan gaya tak jauh beza. Jeans dan t-shirt lengan panjang warna lavender, tudung bawal dililit serupa gaya Hana. Serasi. Seperti dulu.

"Kita ni macam adik-beradik la bila jalan sama," kata Emy sambil ketawa kecil.

Hana senyum. Tapi sebelum sempat menyahut, telefonnya bergetar dalam beg kecil yang disangkut silang di bahu. Dia keluarkan. Satu mesej muncul di skrin.

Hana, please. Terimalah aku. Aku tak boleh tanpa kau. – Fakhri

Jari Hana terus menekan butang block. Tak fikir lama.

"Dah lah," bisiknya perlahan.

Dalam hati, sudah letih. Sudah hancur berkali-kali. Mana mungkin dia mahu ulang luka lama.

"Tak payah nak hancurkan hati aku lagi, Fakhri. Cukup..."

Baru saja dia mahu simpan telefon, satu lagi mesej muncul.

Baliklah, sayang. Saya minta maaf… Saya tak ulang lagi kesilapan. – Armand

Hana pejam mata sejenak. Nafasnya turun naik. Kali ni dia tak tekan apa-apa. Cuma pandang skrin tu lama-lama. Kemudian perlahan-lahan dia kunci semula telefon dan masukkan ke dalam beg.

"Ye lah tu, esok lusa buat lagi…" desisnya dalam hati.

"Hanaaaaa!!"

Suara Emy menjerit dari bawah blok. Hana tersentak.

"Hoi! Kau slow macam kura-kura pakai heels! Jom lahhh, perut aku dah berbunyi ni!"

Hana tergelak sambil melangkah keluar pintu. Tutupnya rapat, kunci dipulas dan disimpan. Saat kakinya menuruni tangga flat usang itu, dia terasa beban di dada perlahan-lahan terangkat.

Mungkin hari ini boleh jadi hari yang biasa. Tapi bagi Hana, cukup kalau tak ada air mata yang tumpah.

Myvi merah milik Emy membelok keluar dari perkarangan flat lama itu. Suasana sunyi kawasan perumahan bertukar sedikit meriah bila mereka sampai ke jalan besar. Hana duduk diam di sebelah pemandu, mata memandang ke luar, tapi fikiran melayang jauh.

Dalam hatinya, rindu itu tak pernah padam. Wajah Danish bermain-main dalam kepala.

Danish tengah buat apa ya? Dah makan ke belum? Rindu sangat...

Hana keluarkan telefonnya perlahan. Jemarinya menggigil sedikit sewaktu membuka WhatsApp. Cari satu nama — Armand.

Dia taip tanpa fikir panjang:

“Armand, Hana minta maaf. Bagi Hana masa untuk refresh balik. Nanti Hana balik... Rindu sangat dengan Danish.”

Dia tekan send. Nafas dilepas perlahan.

Dua minit kemudian, telefon berbunyi. Mesej balas masuk.

“Rindu dengan Danish. Dengan saya awak tak rindu ke? Kalau macam tu tak per lah. Jaga diri baik-baik. Dan saya minta maaf...”

Hana renung skrin lama. Tak tahu nak marah, nak sedih, atau nak balas. Akhirnya, dia cuma senyum kecil. Senyum yang penuh dengan seribu rasa.

“Hoi, senyum sorang ni... Bf mesej la tu! Nak jumpa ke?”

Emy menoleh dengan senyuman menggoda.

Hana hanya geleng perlahan, tak jawab apa-apa.

“Woi, jangan buat muka sweet-sedih tu. Aku boleh tahu tu muka orang yang baru kena ayat jiwang,” usik Emy lagi, sengaja memecah sunyi.

Hana tersenyum lagi, tapi tetap tak beri respon. Dia sandar kepala di tingkap. Mata kembali kosong, merenung jalan yang terbentang di hadapan mereka.

Bukan senang nak rawat hati yang dah calar...

Mall agak sesak tengah hari Ahad tu. Kereta bersusun masuk macam tak cukup tanah.

Emy dah mula membebel sejak pusingan kedua mencari tempat letak kereta.

“Ya Allah, ni mall ke tapak pesta? Semua orang datang cuci mata ke apa? Parking penuh macam pasar malam.”

Hana senyum kecil di sebelah. Tak banyak cakap, cuma melayan karenah sahabat lamanya.

“Tengok tu! Depan tu kosong—eh, tak jadi. Ada Myvi masuk dulu. Geram aku!” Emy mengeluh kuat.

“Sabar Emy. Pusing je lagi sekali,” Hana bersuara lembut.

“Kau ingat minyak aku boleh refill guna air mata ke? Dah tiga kali pusing ni!”

Hana gelak perlahan. Muka Emy pun dah berkerut-kerut macam mak nenek nak marah cucu lambat mandi.

Akhirnya, rezeki berpihak pada mereka. Sebuah kereta keluar betul-betul di tepi tiang. Emy dengan gaya pemandu F1 terus sambar spot tu tanpa toleh kiri kanan.

“Ha! Park juga akhirnya. Nasib baik tak kena langgar tiang!”

“Hebat juga skill kau,” Hana puji sambil buka seatbelt.

“Dah lama survive dengan flat sempit. Park kereta kat situ pun boleh buat drift tau,” seloroh Emy sambil gelak.

Mereka berjalan masuk ke dalam mall. Sejuk pendingin hawa menyambut mereka. Aroma makanan mula menusuk hidung.

“Kita cari foodcourt dulu. Perut aku dah buat konsert rock ni,” kata Emy sambil perutnya berbunyi betul-betul sesuai timing.

“Setuju. Baru lepas makan boleh ‘cuci mata’. Tak lapar nanti rabun pula,” Hana menyambut.

“Cuci mata ke cari jodoh?” Emy sengih nakal.

Hana cebik. “Cuci mata je lah. Jodoh jangan sebut.”

Mereka ketawa kecil dan terus berjalan menuju ke foodcourt, menyusuri lautan manusia yang penuh dengan gelak ketawa, derapan langkah dan aroma nasi ayam.

Dalam hati Hana, walaupun sekejap… saat ni terasa ringan sedikit beban yang dia bawa. Sekurang-kurangnya, dia ada tempat singgah — dan sahabat lama yang sudi buat dia ketawa.

Suasana di foodcourt agak sesak. Tapi mereka bernasib baik dapat meja kosong di hujung, berhampiran tingkap besar menghadap parkir.

Hana dan Emy duduk berhadapan, masing-masing dengan dulang berisi nasi ayam dan air tembikai. Bau wangi sup panas menaikkan selera.

"Fuh, lama dah tak makan nasi ayam macam ni," kata Hana sambil mencedok sup.

"Nasi ayam kat sini memang power. Aku selalu tapau lepas balik shift malam," jawab Emy sambil menyuap nasi.

Mereka makan dalam diam beberapa ketika, menikmati rasa lapar yang benar-benar menggoda.

"So, kau kerja mana sekarang Hana?" soal Emy sambil menyudu sambal.

Hana senyum, tenang. "Kerja biasa-biasa je."

Emy angkat kening. "Biasa-biasa tu macam mana? Kau belajar tinggi dulu. Takkan kerja biasa-biasa."

"Yelah… macam biasa je. Kerani, pejabat kecil," jawab Hana, pendek. Hatinya tak terbuka nak kongsi lebih.

Emy nampak kecewa sikit tapi cuba sorok.

"Hmm. Aku sekarang jadi supervisor kilang. Baru setahun naik pangkat. Tapi penat dia, Ya Allah. Kadang pekerja pun tak nak dengar cakap," cerita Emy sambil geleng kepala.

"Baguslah kau. Ada arah. Aku bangga dengan kau." Hana senyum ikhlas.

"Arah tu ada, tapi orang tetap pandang sinis. Kat kilang tu ramai bujang, tapi bila tengok aku je semua buat U-turn."

Hana tergelak. "Kenapa? Kau marah sangat ke sampai orang takut?"

"Entah. Diorang kata aku garang. Tak sporting. Muka selalu serius. Tapi bukan semua masa aku garang pun."

"Supervisor garang, memang satu kilang tak berani approach," Hana menyakat.

Emy pun ketawa. **"Kau ingat aku ni bodyguard ke apa? Sampaikan orang takut nak approach."

Hana tergelak sampai terbatuk kecil.

"Tak apa. Mana tahu lepas ni ada jodoh dengan abang kilang maintenance ke, kejut kau masa audit kilang."

"Eee tak nak. Diorang semua muka macam tak cukup tidur," kata Emy sambil gelak besar.

Mereka ketawa bersama, hilang seketika semua masalah. Saat-saat macam ni, Hana rasa hidupnya kembali normal — walau untuk seketika.

Selesai makan, mereka berdua bangun perlahan. Emy sempat mengelap mulut dengan tisu, Hana pula sudah siap menyusun tray ke tepi.

"Jom la Emy, kita jalan-jalan sikit. Shopping!" ajak Hana sambil tersenyum penuh semangat.

Emy pandang Hana dengan wajah blur. "Shopping? Hujung bulan ni, Hana. Cuci mata je lah. Gaji pun belum masuk."

Hana buat muka tak layan, terus tarik tangan Emy.

"Alaa... teman je. Aku nak tengok-tengok baju. Nanti kalau aku diam lama sangat, makin semak kepala otak aku ni."

"Yelah... yelah... kau tarik macam nak heret orang pergi kena suntik vaksin." Emy geleng kepala sambil ikut langkah Hana.

"Tak apalah, lepas ni aku belanja aiskrim, okay?" Hana senyum nak pujuk.

"Ha... yang tu aku suka. Aiskrim dulu, shopping lepas tu."

"Deal!"

Mereka pun menyusuri deretan kedai dalam mall, suara riuh pengunjung jadi latar muzik dalam hati mereka — dua sahabat lama yang sedang cuba ubat luka dengan ketawa, satu langkah kecil untuk lari dari kisah silam yang belum selesai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience