Kafe kecil di penjuru deretan itu memang tak pernah mengecewakan. Pinggan-pinggan di hadapan mereka kini hanya tinggal sisa daun salad yang tak dipedulikan dan dua gelas minuman dengan ais mencair yang tinggal sebagai bukti perjuangan dua perut wanita.
"Serius weh, aku tak tahu antara aku kenyang atau aku pengsan." Emy menyandar di kerusi, tangannya menekan-nekan perut sendiri yang membulat sedikit, "Kalau ada tilam lipat bawah meja ni, aku dah lenjun tidur dah."
Hana gelak kecil. "Kau tu kalau kenyang je perangai jadi macam orang bersalin."
"Aku ni memang banyak perangai… lepas kenyang, semua perangai keluar."
Hana menghabiskan hirupan terakhir dari gelasnya, kemudian perlahan bangkit. Tangan kanan menyangkut beg tangan di bahu, tangan kiri menarik Emy yang masih tersandar.
“Jom la, sebelum kau betul-betul bersalin atas lantai kafe ni,” usik Hana, sambil ketawa perlahan.
Mereka melangkah keluar dari kafe, diiringi tiupan angin sepoi bahasa dan aroma kek pandan dari bakeri sebelah. Laluan berbumbung yang menghubungkan kafe ke pusat beli-belah kelihatan lengang. Beberapa pasangan berjalan santai, ada juga sekumpulan budak sekolah yang tampak ceria bergelak ketawa — suasana tipikal hujung minggu.
Baru sepuluh tapak berjalan, Hana terasa beg tangannya bergegar kuat. Serius kuat. Macam ada nyamuk giant terperangkap dalam tu.
"Eh, bunyi apa tu? Beg kau ada mesin basuh ke?" Emy menjeling dengan muka pelik.
Hana menyeluk perlahan, mengeluarkan telefon. Skrin menyala terang dengan nama yang sudah lama tidak muncul — Fakhri.
“Oh…” suara Hana terlepas perlahan, penuh tanda tanya dan juga sedikit rasa tidak sedap.
Emy yang pantang nampak drama, terus pasang radar.
"Eh, kenapa muka kau macam baru bukak slip gaji tapi tinggal dua ringgit?" Emy menjenguk nakal ke arah skrin telefon Hana. "Siapa? Cukai pendapatan?"
"Fakhri." Pendek, tapi cukup untuk buat Emy ternganga sedikit.
“Hah? Si pencetus konflik emosi negara? Dia buat apa lagi kali ni? Hantar resit parking?”
Hana tak menjawab. Sebaliknya, matanya ralit membaca mesej di skrin. Dahi berkerut, bibir terkatup rapat.
> Kak Hana, saya minta maaf sangat ganggu. Tapi saya nak bagi tahu… mak tengah sakit. Dah dua hari terbaring. Saya nak balik tengok mak tapi mak tak bagi… katanya, selagi kak Hana tak maafkan saya, dia tak izinkan saya balik kampung.
Hana diam. Nafasnya turun naik perlahan.
“Woi, jangan buat muka suspense! Dia ajak dating ke apa?”
“Bukan,” suara Hana mendatar. “Mak dia sakit. Terbaring. Katanya... Maksu tak bagi dia balik kampung… sebab aku tak maafkan dia.”
“Whaaaat?” Emy terbeliak. “Eh, ni macam drama petang-petang kat TV. Tapi ni versi premium… plot twist dia sampai menusuk kalbu.”
Hana memandang jauh ke arah bangunan mall yang semakin hampir. Tapi dalam kepala, dia nampak wajah Maksu Normah — lembut, ceria, selalu memeluknya erat waktu dia balik kampung. Orang kedua paling dia rapat selepas mak kandungnya sendiri, Puan Maznah.
Emy jeling sekali lagi. “Kau okay ke?”
Hana senyum tipis, tapi mata dah tak seceria tadi.
"Jom masuk mall dulu," katanya perlahan.
"Okay. Tapi lepas tu kau cerita. Aku ada dua telinga, dan dua jam masa free," kata Emy sambil tolak pintu kaca pusat beli-belah yang ternganga seperti mulut menanti gosip seterusnya.
Mall itu penuh manusia. Lampu putih terang-benderang. Muzik dari pembesar suara seolah-olah meraikan jualan hujung minggu. Tapi Hana? Dia hanya berjalan macam kereta automatik yang kehabisan bateri. Ikut saja langkah Emy tanpa jiwa.
Emy pula seronok bukan main. Tangannya sibuk membelek satu-satu kasut di rak — tumit tinggi, kasut sukan, loafers, sandal… apa saja yang ada disambar dan dipusing-pusing.
“Eh Hana, kasut ni lawa tak? Ada vibes macam—eh kejap, macam vibes siapa ya…”
Hana pandang kasut itu sekilas. Putih menyilau, ada reben merah sebesar bantal leher.
“Sesuai untuk awak kejar bas, Emy,” jawab Hana dengan senyuman hambar.
Emy ketawa kecil. “Adoi, aku nak pergi wedding orang, bukan maraton Sukma.” Dia letak balik kasut itu sambil menjeling Hana. “Tapi serius ni… kau okay ke?”
Soalan itu buat Hana terdiam sejenak. Dia dongak ke siling mall, macam nak cari jawapan dari kipas angin besar yang berpusing perlahan.
“Aku tengah fikir… patut ke aku pergi jenguk Maksu?” Suaranya perlahan. Hampir tenggelam dengan bunyi orang lalu-lalang dan suara budak menangis minta beli mainan.
Emy berhenti di tengah-tengah laluan, kasut di tangan kiri, beg kecil di tangan kanan. Wajahnya berubah serius. “Kalau hati kau dah tanya macam tu, maksudnya kau memang nak pergi.”
Hana pegang lengan baju sendiri. “Tapi Fakhri…”
“Ha, itu nama dia. Aku tunggu juga bila nak muncul,” potong Emy sambil buat gaya tabik. “Susah juga kalau satu kampung, tapi satu hati dah patah dua.”
Hana tersenyum nipis. Pedih, tapi benar.
Dia teringat semula. Dulu masa kecil, kalau kena marah dengan mak, dialah lari masuk rumah Maksu. Kalau sedih sebab dapat nombor dua dalam peperiksaan, dialah yang bercerita sambil makan cucur pisang dengan air sirap sejuk dalam gelas kaca. Tapi sekarang, nak jejak kaki ke laman rumah itu pun dia rasa menggigil.
Semuanya sebab satu nama. Fakhri.
“Kadang-kadang aku rasa aku ni kejam… Maksu tak salah apa-apa.”
Emy mengangguk perlahan. “Tapi luka tu bukan macam barang kat mall, Hana. Tak boleh scan barcode, bayar, terus hilang. Kau perlukan masa. Tapi kalau rindu tu dah rasa macam sesak nafas… pergilah. Tak rugi pun peluk orang yang pernah jadi peluk pertama kita masa kita jatuh.”
Kata-kata Emy itu tak mewah, tapi cukup untuk buat hati Hana terasa seperti ditepuk perlahan-lahan.
Hana angguk kecil. “Nanti aku fikirkan balik.”
“Fikir sambil tolong aku pilih kasut boleh?”
“Dengan syarat kasut tu bukan yang ada reben macam hadiah hari jadi!”
Mereka ketawa kecil. Walaupun hati Hana masih kusut, sekurang-kurangnya dia tak rasa sendirian.
Hana akhirnya berhenti melangkah. Kakinya mati betul-betul di hadapan kedai pakaian dalam wanita. Tanpa sedar, pandangannya kosong, tapi nafasnya mendalam.
“Emy…” Hana berpaling sedikit. Suaranya perlahan, namun jelas. “Aku dah tak ada mood nak jalan.”
Emy yang sedang seronok pegang-pegang nightdress satin warna merah jambu terus berpusing.
“Lah… sebab seluar dalam ke?” keningnya terangkat dua tingkat.
“Bukan!” Hana menghela nafas. “Sebab hati aku dah kat kampung, bukan kat mall ni.”
Emy terdiam sejenak. Perlahan-lahan dia letakkan kembali nightdress ke rak. Dia kemudian hampiri Hana, pegang bahu sahabatnya lembut-lembut.
“Kalau kau rasa nak pergi tengok Maksu, pergi je. Aku takkan paksa kau temankan aku shopping. Aku kuat. Aku tabah. Aku—”
“Tak payah drama.” Hana senyum nipis, memotong lakonan Emy yang hampir buat dia tergelak.
“Kau tahu aku suka drama. Hidup aku ni macam slot Samarinda pukul 10 malam,” jawab Emy sambil muncung panjang.
“Slot tu pun aku dah berhenti tengok. Sebab heroin dia lembik.”
Emy buat muka kecewa. “Adoi, pedih. Tapi tak apa. Demi kau, aku redha. Kau nak balik sekarang?”
“Aku hantar kau balik dulu. Lepas tu aku terus balik rumah. Nak kemas barang.”
“Kau serius nak balik kampung?”
Hana angguk. “Serius. Hati aku rasa macam nak terbang ke rumah Maksu sekarang.”
Emy pandang Hana dalam-dalam. “Aku takkan tanya kenapa. Tapi kalau hati kau dah panggil, jangan tangguh. Nanti menyesal.”
Mereka berjalan keluar dari mall, tanpa semangat membeli-belah seperti mula-mula masuk tadi. Beg plastik di tangan Emy pun terasa ringan, sebab sebahagian besar masa mereka tadi hanya habis di bahagian kasut dan dompet.
“Eh, Hana…” Emy mencuri pandang wajah sahabatnya yang mula kelihatan sedikit tenang.
“Hm?”
“Kalau kau jumpa Maksu nanti… peluk dia lama-lama. Sebab bukan semua orang boleh jadi tempat kita menangis senyap-senyap.”
Hana tersentak kecil. Dia diam. Tapi matanya mula terasa berpasir.
“Emy…” Hana memandang sahabatnya sekilas. “Terima kasih sebab faham. Tak semua orang boleh faham.”
“Eh, jangan nangis kat sini. Nanti orang ingat aku marah kau sebab tak nak beli spender.”
Hana tergelak kecil. “Takkan aku menangis sebab spender pulak…”
“Dengan kau, semua benda mungkin.”
Sampai di luar, mereka menuju ke tempat letak kereta semula. Angin petang membelai wajah mereka, membawa sedikit kelegaan pada hati Hana yang semakin yakin dengan keputusannya.
Sampai di rumah, Hana tidak berlengah. Dia terus naik ke bilik, buka almari, tarik beg travel yang sudah lama tidak digunakan.
“Danish!” panggil Hana. Suaranya kali ini penuh semangat.
Danish muncul dengan senyuman, sedang pegang mainan helikopternya.
“Kita nak pergi mana, mama?”
“Balik kampung.”
“Yeayyy! Jumpa Maksu?”
Hana senyum, walaupun hatinya sedikit risau. “Ya… Jumpa Maksu.”
Dan buat pertama kali selepas beberapa hari… senyum itu terasa sedikit ikhlas.
Share this novel