BAB 47

Romantic Comedy Series 1024

Langkah Hana perlahan di denai taman rekreasi yang lengang. Waktu tengah hari begini, hanya unggas dan bayang pohon yang menemani. Matahari terpacak di langit, tapi hati Hana serasa gelap — mendung dan dingin.

Dia membetulkan tudung yang sedikit senget, disebabkan angin atau mungkin kesan dari larian panik tadi — larian yang membawa diri, membawa hati yang berkecai.

Kasut flat yang dipakainya menyentuh tanah berpasir. Baju kurung longgar warna kelabu susu yang dipakai sempena ‘suprise trip’ tengah hari itu langsung tidak menonjol. Dia tidak kisah. Sebab dia tidak datang untuk bergaya, dia datang untuk meraikan kasih. Tapi kini... rasa kasih itu seolah-olah dihempas tanpa belas.

Hana duduk perlahan di bangku kayu usang, menghadap kolam air yang tenang. Tudung yang meleret ditiup angin sesekali menutupi sebahagian wajahnya, namun tidak mampu menyembunyikan mata yang merah dan bengkak.

Air matanya sudah entah berapa kali gugur. Tapi tetap saja mengalir. Masih belum habis.

Dalam hati, dia memujuk diri — tapi setiap kali akal mahu memaafkan, hati kembali memprotes. Bayangan Marissa keluar dari bilik air hotel Armand menghantui seperti duri dalam mata.

“Kenapa, Armand? Kenapa awak biarkan semua ni berlaku?”

Bukan dia tak mahu husnuzon. Tapi keadaan tadi… Tuhan saja tahu, betapa hancurnya rasa seorang isteri.

Dia datang mengejut, mahu peluk Armand, mahu buat kejutan manja. Tapi akhirnya dia pula yang terkejut. Kaku berdiri, bibir menggeletar, jantung seolah-olah terhenti. Marissa berdiri dalam bilik air — basah rambut, berjubah mandi, dan tenang… seolah-olah itu tempatnya.

“Saya bawa bahagia, awak balas dengan luka…”

Bisik hati Hana, perlahan. Dalam.

Dia genggam hujung tudungnya erat-erat. Cuba tahan sejuk yang merayap dari dalam dada. Tapi bukan tubuhnya yang menggigil — hatinya.

"Saya tahu saya bukan isteri sempurna, Armand. Tapi saya berusaha. Saya jaga maruah kita. Saya jaga rahsia kita. Saya tutup aib awak. Saya jaga kepercayaan ni lebih dari saya jaga diri saya sendiri."

Angin bertiup lembut, mengibarkan hujung tudungnya. Daun-daun kering gugur di sekitarnya. Tapi hati Hana tak terasa indahnya suasana. Segalanya kelam.

Dia tunduk. Air mata jatuh lagi, membasahi jari yang menggenggam kain baju.

"Awak tahu tak… selama ni saya tak pernah pandang mana-mana lelaki lain. Sebab saya takut kalau saya tercuit hati orang lain, Allah tarik kasih awak dari saya. Tapi hari ni... saya rasa... mungkin Allah dah tarik..."

Tangisan kecilnya pecah dalam senyap. Bahunya terangkat sedikit-sedikit menahan sendu. Dia genggam kain di dada, seolah mahu menahan remuk yang makin lama makin kuat.

"Saya isteri awak, Armand. Tapi kenapa saya rasa... saya orang luar dalam hidup awak hari ni?"

Dia pandang langit. Matahari masih cerah, awan masih bersih. Tapi hatinya tetap redup. Dunia terus bergerak… tapi hidupnya terhenti di bilik hotel itu — di saat mata bertemu dengan realiti yang tak terjangka.

"Kalau awak betul-betul tak tahu Marissa ada di situ… kenapa awak tak cari saya sekarang?"

Bisik hatinya sekali lagi.

Dan perlahan, dia bangun dari bangku. Tudungnya dibetulkan. Wajahnya disapu, walau masih basah. Dan langkahnya diteruskan. Bukan untuk pulang — tapi untuk menjauh.

Biar tenang dulu. Biar reda luka ni.

Sebab kalau dia balik sekarang, dia takut… dia akan melepaskan segalanya — termasuk cinta yang selama ini dia pertahankan mati-matian.

Langkah Hana makin perlahan. Kasut yang dipakai terasa semakin berat, seperti memikul semua beban di hati. Dia sendiri tak tahu apa yang dicari. Tapi rasa kecewa dan pedih itu tak dapat dibiar diam di dalam. Dia perlu jauh, sekurang-kurangnya untuk seketika.

Tiba-tiba, satu suara dari belakang menjerit kecil.

"Kak Hana!"

Langkahnya terhenti.

Hatinya berdebar, harapan menyelinap seperti sinar kecil di celah gelap. Dia berharap... ya, dia berharap sangat itu suara Armand. Suara seorang suami yang akan datang, peluk dia dan jelaskan semuanya.

Namun bila dia berpaling, harapannya terhempas perlahan. Bukan Armand.

“Fakhri...”

Dia cepat-cepat lap pipi yang sudah basah dengan lengan baju. Senyum kecil dipaksa walau hatinya masih sakit. Fakhri menghampiri dengan wajah cemas.

"Kak Hana buat apa kat sini sorang-sorang? Aku cari kau dari tadi," suara Fakhri lembut.

“Aku okay,” jawab Hana ringkas. Suaranya perlahan, seperti hampir hilang.

Fakhri pandang lama. “Jangan tipu, kak Hana. Muka kau... mata bengkak. Kau tak okay.”

Hana cuba ketawa kecil, tapi tak menjadi. “Kau ni... sejak bila belajar jadi pakar psikologi?”

“Aku tak perlu jadi pakar. Aku kenal kau,” jawab Fakhri serius.

Mata Hana berkaca semula. Tapi dia tunduk, sembunyikan semua. “Aku cuma... perlukan masa. Itu je.”

“Kalau kau perlukan bahu, aku ada. Kalau kau perlukan kawan, aku pun tetap ada.”

Hana diam. Nafasnya panjang. Kata-kata Fakhri seperti air yang menyejukkan luka. Tak memaksa, tak mendesak, cuma hadir. Itu saja pun cukup bermakna saat ini.

"Aku rasa macam semua benda datang serentak. Penat."

“Kau tak perlu cakap semua. Tapi kau boleh duduk. Rehat dulu,” kata Fakhri perlahan. “Kalau nak jalan, aku jalan sekali. Kalau nak diam, aku diam sama-sama.”

Perlahan-lahan, Hana angguk. Mereka mula berjalan beriringan. Tiada arah khusus. Cuma berjalan, biar angin menenangkan dan masa menyembuhkan.

Dalam hati Fakhri, dia tahu ini bukan masanya untuk menjadi hero. Tapi ini masanya untuk menjadi seseorang yang tetap ada — walau tanpa gelaran apa-apa.

Fakhri menukar gear dengan tenang sambil memandu kereta ke destinasi yang lebih jauh dari kesibukan kota. Dia menoleh seketika ke arah Hana yang duduk di sebelahnya, melihat wajahnya yang masih kelihatan letih dan sayu. “Kak Hana, ikutlah aku ke tempat yang lebih tenang sikit, ok?” ajaknya lembut.

Hana hanya mengangguk, belum bersuara. Beberapa minit kemudian, di tengah perjalanan, dia mula bertanya, “Fakhri, kau datang Penang ni buat apa sebenarnya?”

Fakhri menjawab tanpa ragu, “Urusan bisnes pelancongan, Kak Hana. Ada beberapa perkara yang aku nak uruskan di sini.”

Hana mengerutkan dahi. Dia faham sedikit dari apa yang Fakhri katakan, tapi rasa malas nak bertanya lebih lanjut sebab hatinya masih bercelaru dengan perasaan yang belum reda.

Dalam hati Fakhri, sebenarnya dia datang bukan untuk urusan bisnes semata-mata. Dia datang kerana Hana. Walaupun mulutnya memanggil Hana ‘kakak’, tapi hatinya tidak pernah menganggap Hana sekadar kakak sepupu. Perasaan itu lebih dalam, lebih daripada yang Hana tahu.

Dia memandang Hana dengan senyum yang tersembunyi, berharap suatu hari nanti dia dapat berterus terang. Namun buat masa ini, dia hanya mampu menyimpan segala rasa itu di dalam hati, menyayangi Hana dengan cara yang diam-diam dan penuh harapan.

Dalam kereta, Hana diam membisu, hatinya masih kusut dan penuh tanda tanya. Dia hanya memandang kosong ke luar tingkap, cuba melupakan segala kekalutan yang sedang mengganggu fikirannya.

Beberapa ketika kemudian, Fakhri berhenti di hadapan sebuah hotel yang tenang dan sederhana. Hana mengikutinya masuk ke dalam bangunan itu dengan langkah yang berat.

Setibanya di dalam, Hana akhirnya bertanya, “Nak buat apa kat sini?”

Fakhri menoleh, wajahnya tenang. “Kak Hana, kau kena mandi dan basuh segala penat lelah. Kalau rasa letih sangat, boleh rehat dan tidur kat sini dulu. Tempat ni sesuai untuk kau tenangkan diri.”

Fakhri menolak pintu bilik hotel perlahan. Suasana di dalamnya sederhana dan nyaman—dindingnya warna pastel lembut, langsir separa terbuka membiarkan cahaya matahari masuk samar-samar. Bau pewangi bilik menenangkan, tidak menusuk hidung.

Tanpa banyak bicara, Hana masuk perlahan. Dia tidak menoleh ke arah Fakhri pun. Fakhri tahu, hati itu masih luka. Jadi dia pun tidak mahu memaksa.

“Ni tuala, kak Hana,” Fakhri hulurkan tuala yang dilipat kemas dari dalam almari.

Hana menyambutnya perlahan. “Terima kasih.”

“Pergilah mandi dulu. Segarkan kepala. Aku pesan makanan kejap.”

Hana angguk. Langkahnya perlahan menuju bilik air. Pintu ditutup perlahan, meninggalkan Fakhri yang kini membuka telefon bimbit dan membuat pesanan makanan tengah hari. Dia pilih sesuatu yang ringkas tapi sedap—nasi ayam kukus dan sup, tambah air lemon ais.

Dalam hati, Fakhri cuba untuk tidak terlalu berharap. Tapi… dia tetap berharap. Harap dapat buat Hana rasa lebih tenang hari ini. Walaupun secebis.

Beberapa minit berlalu. Bunyi air dari bilik mandi berhenti. Tak lama kemudian, Hana keluar, rambutnya basah dan wajahnya sedikit segar walaupun masih redup.

Fakhri cepat-cepat berdiri. “Makanan kejap lagi sampai. Kau nak baring dulu ke?”

Hana duduk di hujung katil. Dia geleng. “Tak apalah. Duduk dulu.”

Sunyi. Tapi bukan sunyi yang janggal. Sunyi yang cuba difahami. Sunyi yang ada ruang untuk sembuh.

“Lama aku tak rasa mandi macam tadi,” Hana bersuara perlahan. “Tenang sikit kepala.”

Fakhri senyum kecil. “Kalau kat rumah, kau mandi sambil kejar masa, kan?”

“Sambil kejar masa, sambil kejar tudung,” Hana menjawab, senyum juga walaupun hambar.

Tiba-tiba bunyi ketukan pintu memecah hening. Fakhri bangun, ambil pesanan makanan. Diletaknya di meja kecil di sudut bilik.

“Mari makan,” pelawanya, susun makanan perlahan. “Aku tak tahu selera kau hari ni macam mana, tapi aku pilih menu paling selamat.”

Hana bangun perlahan, mendekat. “Asal bukan Maggi, aku makan.”

“Fuhh nasib aku tak tekan Maggi tadi,” Fakhri gelak perlahan.

Mereka duduk berhadapan. Tak banyak kata, tapi setiap suapan membawa rasa tenang. Rasa damai yang mereka tak pernah jangka akan hadir dalam situasi begini.

Hana makan perlahan. Fakhri tak banyak bertanya. Dia hanya ada di situ. Cukup untuk Hana tahu… dia tidak sendiri.

Langit Penang bukan main cerah lagi tengah hari itu, tapi wajah Tuan Armand masam semacam. Bukan sebab cuaca, tapi sebab seorang manusia bernama Hana yang hilang entah ke mana.

“Tuan Armand rasa… Puan Hana dah balik JB ke?” Pak Rahman bersuara dari tempat duduk pemandu. Lehernya dilap berkali-kali dengan tuala kecil. Panas bukan main, tapi lebih panas bila tengok muka bos dia tu dari cermin pandang belakang.

Armand, yang berdiri tepi jalan sambil tangan bersilang di dada, pandang Pak Rahman macam baru dengar soalan paling tak logik di dunia.

“Balik JB naik apa? Tiket helikopter turun dari langit?”

Pak Rahman sengih kecil. “Manalah tahu, tuan… orang tengah kecewa, boleh jadi nekad.”

Armand geleng kepala, berpeluh juga. “Dia tak biasa tempat ni. Tak kenal jalan. Ni pun rasanya kali pertama dia jejak kaki kat Penang.”

“Betul juga tu…” Pak Rahman dah keluar dari kereta, berdiri sebelah Armand. “Masa Tuan mula-mula kahwin dulu pun tak pernah datang Penang sama-sama, kan?”

Armand senyap. Dagu digosok-gosok, mata liar memerhati sekeliling, seolah-olah Hana boleh tiba-tiba melintas jalan depan dia.

Pak Rahman bersuara lagi, kali ni lebih serius. “Tuan nak saya buat laporan polis ke?”

“Jangan.” Armand cepat-cepat jawab. “Buat apa nak panik? Hana bukan budak sekolah hilang masa rombongan. Dia ada kaki, ada otak. Boleh fikir.”

“Ya… tapi dia juga ada hati yang tengah rabak, Tuan. Orang kalau tengah sakit hati, kadang-kadang dia tak fikir panjang.”

Armand tarik nafas panjang. “Saya tahu. Tapi kalau kita report sekarang, nanti jadi kecoh satu Penang. Sedangkan dia mungkin tengah duduk kat mana-mana, menenangkan diri.”

“Kalau macam tu, kita terus cari?”

“Ya. Kita cari tempat yang tenang-tenang dulu. Taman, pantai, tepi masjid… tempat orang suka pergi bila hati tengah kacau.”

Pak Rahman angguk. Tapi sebelum masuk kereta semula, dia sempat menyampuk perlahan.

“Kadang-kadang… tempat yang paling tenang tu bilik hotel jugak, Tuan.”

Armand pandang dia tajam. “Pak Rahman. Tolong jangan tambah darah saya mendidih.”

Pak Rahman cepat-cepat buka pintu kereta dan masuk. “Saya gurau je, Tuan… gurau je…”

Armand masuk kereta lambat-lambat. Dalam kepala dah macam-macam teori timbul — tapi satu je dia pasti. Selagi belum jumpa Hana, selagi tu dia takkan tenang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience