Tengahari itu, suasana di kampung agak tenang meskipun matahari mencurah bahangnya tanpa belas kasihan. Udara kering, rumput pun kelihatan layu sedikit. Di halaman rumah banglo tradisional dua tingkat milik Puan Maznah, hanya kedengaran suara ayam yang sedang bertenggek di pagar dan bunyi Danish berlari-lari bermain kejar-kejar dengan anak kucing.
Hana sedang duduk di tangga batu, berbaju kurung cotton dan mengupas buah mangga muda. Sesekali dia menjeling ke arah anaknya yang riuh rendah bermain sendiri.
Tiba-tiba, deruman enjin Proton Persona hitam memecah suasana sunyi. Kereta itu perlahan-lahan membelok masuk ke halaman rumah, bergegar sedikit ketika melalui bonggol yang baru diturap semalam.
Belum sempat enjin dimatikan, kedengaran suara kuat dari dalam kereta.
“Kak Maznah oi! Kak Maznah! Kita sampai dah ni, ha!”
Puan Maznah yang berada di dapur, terus menyuap terakhir rendang ke dalam periuk dan meluru keluar ke serambi rumah. Wajahnya terus berseri-seri tatkala melihat kereta adiknya sudah terpacak di halaman.
“Ya Allah… Normah, tak menyempat-nyempat nak menjerit!” kata Puan Maznah sambil ketawa kecil dan turun ke laman.
Pintu kereta dibuka. Keluar seorang wanita sederhana berisi, berusia lewat 40-an, berselendang pink terang, berkaca mata hitam besar dan memakai sandal tumit kayu — itulah Maksu Normah. Di tangan kirinya tergenggam erat bakul rotan penuh berisi buah tangan. Tangannya yang satu lagi memegang plastik hitam yang kelihatan sarat.
“Surprise! Aku bawak dodol, kuih gunting, telur masin, sambal hitam dan... kain batik empat pasang! Semua sales!” katanya bersungguh.
Puan Maznah membuka tangan luas menyambut adiknya.
“Hah! Nampak sangat baru gaji. Semua kau borong!”
“Rugi la kalau tak beli. Kat hentian R&R pun banyak sales sekarang,” jawab Maksu Normah sambil mencium pipi kakaknya.
Pintu sebelah pemandu pula terbuka. Seorang lelaki berkemeja lengan pendek dan berkaca mata hitam keluar dengan gaya bersahaja. Pakai topi kain dan selipar kulit. Itulah Paksu Razak, suami Maksu Normah.
“Assalamualaikum, Kak Maznah,” ucapnya sopan sambil menghulurkan tangan.
“Waalaikumussalam, Razak. Alhamdulillah sampai juga kamu berdua,” balas Puan Maznah sambil bersalaman dengannya.
Armand yang baru keluar dari bilik menjenguk ke laman dan cepat-cepat turun menyambut.
“Paksu, apa khabar?”
“Sihat, Armand. Makin handsome nampak, ya. Jaga makan atau jaga bini?”
Armand hanya tersenyum sambil menjeling Hana yang sedang berdiri di tangga sambil gelak kecil.
Tiba-tiba, Danish yang sedang bermain di bawah pokok jambu meluru ke arah Maksu Normah.
“Maksu! Maksu! Bawak hadiah untuk Danish tak?”
Maksu Normah membuka beg tangan besar gedabak dan mengeluarkan satu kotak kecil berbalut kertas warna-warni.
“Haaa! Ni ha untuk budak bijak yang selalu rajin gosok gigi,” katanya sambil hulur kotak itu kepada Danish.
“Yayyy! Danish sayang Maksu sampai bulan!”
“Eh eh, jangan sampai bulan je. Sampai bintang-bintang pun boleh!” balas Maksu Normah sambil gelak besar.
Puan Maznah hanya mampu geleng kepala.
“Kau ni memang pandai ambil hati budak. Tapi jangan bagi dia benda manis sangat, nanti tak tidur malam.”
“Laa… dia dah manis, tambah gula sikit lagi baru sempurna!” balas Maksu Normah bersahaja.
Sementara itu, ayam-ayam di halaman dah mula bersurai, terkejut agaknya dengan suara Maksu Normah yang tak pernah kalah dengan hon lori.
Dengan kedatangan mereka, rumah Puan Maznah terasa lebih meriah — dan lebih bising.
Puan Maznah tersenyum lebar sambil menolak daun pintu lebih luas.
“Masuklah, Normah, Razak. Panas betul cuaca kat luar ni,” pelawanya mesra, tangan sudah menjemput ke dalam rumah.
Maksu Normah menapak masuk perlahan, sambil memandang sekeliling dengan dahi sedikit berkerut. “Eh, bukan ke dapur rumah ni kat atas?”
Puan Maznah tergelak kecil. “Tu lah, dah lama sangat tak datang sampai tak ingat dah susun atur rumah kakak sendiri.”
“Sibuklah, Kak Maznah,” balas Maksu Normah sambil menanggalkan selendang nipis dari kepalanya. “Kerja sekolah tu bukan habis-habis.”
Paksu Razak yang ikut di belakang terus bersuara dengan gaya berseloroh, “La, dah canggih dah kampung ni. Ada wifi, ada internet... rumah pun dua tingkat, dapur pun naik taraf!”
“Dulu datang, rumah ni setingkat je. Sekarang dah macam homestay viral,” tambahnya lagi sambil gelak kecil.
Mereka bertiga melangkah ke ruang tamu. Hana sudah duduk di sofa sambil memangku Danish yang baru selesai berlari-lari kecil dari bilik ke bilik. Danish melambai ceria.
“Neksu! Toksu! Duduk sini. Ada air sejuk!” jerit Danish, teruja melihat kehadiran mereka.
“Neksu nak air sejuk jugak!” usik Maksu Normah sambil mencubit manja pipi Danish.
“Danish jangan bising sangat, nanti jatuh pulak gelas,” tegur Hana lembut, senyum mengiringi nada suara.
Paksu Razak sudah duduk bersandar, selesa. “Nak rehat dulu sepuluh minit, baru boleh naik dapur. Penat weh panjat tangga kampung moden ni.”
Puan Maznah tergelak sambil menatang dulang minuman. “Elok sangat tu, duduk dulu. Nanti Kak Maznah buatkan air sirap selasih special.”
Ruang tamu mula diisi dengan suasana hangat—gelak tawa, cerita spontan dan bunyi Danish yang tak henti-henti bercakap. Kehadiran Maksu dan Paksu seolah-olah menceriakan seluruh rumah, menambah kemanisan sebuah pertemuan keluarga yang jarang-jarang berlaku.
Sedang mereka rancak berbual di ruang tamu sambil minum air sirap selasih buatan tangan Puan Maznah, Hana tiba-tiba teringat sesuatu. Dahinya berkerut sejenak sebelum dia bersuara.
“Maksu, Fakhri tu mana? Dia tak ikut ke balik kampung sama?”
Maksu Normah yang tengah menyudu agar-agar kelapa dalam cawan plastik berhenti seketika, kemudian angkat bahu perlahan. “Fakhri? Dia kata penat. Baru balik dari luar negara belajar entah kursus apa, tak habis-habis!”
Paksu Razak menyambung sambil mengelap peluh di dahi. “Dia tu lebih suka rehat kat rumah. Cakapnya, ‘ayah, mak… rombongan balik kampung bukan pakej percutian saya.’ Amboi! Dah macam menteri luar negeri gaya dia.”
Semua di ruang tamu tergelak. Hana hampir tersedak air sirap.
Puan Maznah menggeleng perlahan sambil meletakkan dulang kuih di atas meja. “Sepupu kamu tu memang dari kecik perangai macam tu. Tak suka bising, tak suka gaduh, tak suka ayam berkokok. Lebih suka duduk sorang dalam bilik sambil dengar muzik klasik.”
“Eh, bukan muzik klasik,” celah Maksu Normah cepat. “Sekarang dia dengar bunyi ombak dalam radio. Katanya untuk ‘healing’!”
“Amboi healing… macam banyak sangat luka batin dia,” ujar Armand sambil geleng kepala, matanya sudah merah menahan ketawa. “Kalau ikut saya, seronok tau. Kat kampung ni ada kolam, ada itik, ada ayam jalan dua baris macam askar kawad!”
“Ada lembu senyum bila tengok orang,” tambah Paksu Razak sambil buat gaya lembu angkat kening.
Danish terus bangun dari sofa dan menjerit, “Neksu, Danish nampak lembu senyum tadi! Betul!”
Semua meletus ketawa.
Hana ketawa kecil, sambil menggeleng perlahan. “Harap-harap lain kali dia datanglah. Saya rindu nak bergurau dengan dia… Dulu masa kecil, dia suka sorok selipar saya!”
“Sekarang dia sorok diri dalam bilik je,” ujar Maksu Normah bersahaja.
Suasana kembali meriah dengan gelak ketawa. Nama Fakhri disebut berkali-kali — bukan kerana kehadirannya, tapi kerana kehilangannya terasa… dan bahan lawak pun cukup banyak kalau sebut pasal dia.
Suasana ruang tamu masih penuh dengan bau kuih dan teh yang baru diseduh. Maksu Normah bersuara sambil mengipas wajahnya yang sedikit kemerahan.
“Fakhri sebenarnya minat berniaga,” katanya perlahan, penuh makna.
Paksu Razak menyambung, “Dia kat luar negara dulu, sambil belajar ada buat part time.”
“Hah, kerja apa tu?” Hana mula tertarik.
“Tolong ayah kawan dia — Mat Salleh punya kedai buku,” Maksu menjelaskan.
“Kat kedai buku? Kira urus jual beli buku dan stok ke?” tanya Armand sambil mengangkat kening.
“Betul tu. Dari susun buku, kira duit jualan, sampai buat stok masuk barang,” jawab Paksu.
“Kat rumah pun penuh dengan kertas. Kertas apa tu, Maksu?” tanya Puan Maznah.
“Kertas cadangan bisnes dia. Proposal katanya. Maksu tengok, pening kepala,” gelak Maksu kecil.
“Janji kerja halal, tak apa lah,” kata Puan Maznah sambil tersenyum.
“Maksu tengok dia tekun sangat. Kadang lupa nak rehat, fokus buat plan.”
“Hana, maksudnya dia perlukan bantuan kau untuk ajar dia sikit-sikit, kan?” tanya Armand.
“Betul. Maksu minta Hana tolong pandu dia dalam hal bisnes ni.”
Hana angguk perlahan, “Insya-Allah, boleh tolong.”
“Dia cakap juga nak ke bandar bulan depan. Nak cari peluang baru,” tambah Paksu.
“Baguslah. Mesti banyak benda baru nak belajar,” Hana berkata dengan senyuman.
“Maksu harap sangat Fakhri ni berjaya. Dia dah berusaha keras,” ujar Puan Maznah penuh harapan.
Suasana jadi hangat dengan senyuman dan tawa kecil. Walaupun jauh, kisah Fakhri tetap dekat di hati semua.
Jam menunjukkan pukul 5.45 petang. Matahari senja mula berlabuh, menyimbah cahaya kekuningan ke ruang tamu rumah pusaka itu. Puan Maznah baru tersedar dari lamunan sambil lipat kain.
“Eh, Maksu... kita tak masak lagi lauk malam ni!” katanya dengan dahi berkerut.
Maksu Normah yang tengah sibuk menyusun pinggan di rak dapur hanya menjeling. “Awak pun satu. Sibuk sangat tadi borak pasal drama tu. Saya ingat awak dah rendam beras paling kurang.”
Puan Maznah ketawa kecil. “Saya fikir awak dah mula. Saya tengah fikir nak masak apa sebenarnya ni...”
Maksu buka peti ais. “Kita buat sambal udang, goreng ayam, sayur sikit. Ha, ajak Hana tolong sekali.”
Puan Maznah menoleh. “Hana! Mari dapur, tolong mak sikit.”
Langkah Hana kedengaran dari ruang tamu. Dia muncul dengan senyuman. “Ya mak...”
Belum sempat dia masuk dapur, Maksu cepat-cepat halang. “Eh, eh... awak jangan masuk dapur!”
Hana terkejut. “Kenapa pula, Maksu?”
Maksu bersilang tangan. “Dulu masa awak masak kari ayam... satu rumah trauma. Tak letak garam langsung. Semua tercekik makan dalam diam.”
Hana tergelak malu. “Ala, sekali je tu.”
Armand tiba-tiba menyampuk dari sofa sambil pegang telefon. “Sekali pun cukup jadi sejarah. Patutlah saya tak pernah rasa lauk air tangan awak kat rumah.”
Hana menjeling tajam. “Awak nak kena ni...”
Armand angkat tangan mengalah. “Okay, okay. Peace.”
Sementara itu, Hana menoleh ke arah bilik Danish.
“Kak Lina, boleh mandikan Danish sekarang? Dah nak Maghrib ni, nanti gelap susah pula.”
Kak Lina menjawab dari dalam, “Boleh puan. Danish, jom mandi sayang...”
Suara Danish kedengaran sayup, “Tak nak mandi!”
Kak Lina mula mengejar Danish yang berlari sambil ketawa. Hana menggeleng kepala sambil tersenyum penat.
Rumah mula berbau sedap. Bau sambal tumis udang bercampur dengan aroma ayam goreng rangup yang baru siap. Waktu berlalu, langit makin kelam.
Jam menunjukkan pukul 7.10 malam. Suara azan Maghrib mula berkumandang dari surau berdekatan.
Tiba-tiba, dari ruang depan terdengar suara Paksu Razak menjerit.
“Makan tak siap lagi ke?!”
Armand yang tengah duduk lipat kain tiba-tiba mendongak.
“Paksu lapar sangat ke?”
Paksu menyahut kuat, “Armand dah lapar ni!”
Armand balas sambil gelak, “Eh, Paksu yang lapar, kenapa guna nama saya?”
Paksu menjawab selamba, “Saja. Nama awak sedap disebut waktu lapar.”
Semua di dapur tergelak.
Maksu keluar sambil bawa dulang berisi lauk. “Makan nanti lepas solat Isyak ya. Malam ni kita semua solat berjemaah.”
Puan Maznah setuju. “Baguslah. Dah lama tak buat.”
Belum sempat Armand angkat sejadah, Paksu pandang dia sambil angkat kening.
“Armand, malam ni awak jadi imam ya.”
Langkah Armand terhenti. “Saya?”
“Ha’ah. Awak menantu sulung. Eloklah mula biasakan diri,” ujar Paksu dengan senyum nakal.
Armand tercengang. “Ah... sudah.”
Hana tepuk perlahan belakang suami sambil bisik, “Tenang... Surah pendek pun cukup. Saya sokong dari belakang.”
Armand telan liur. “Kalau saya lupa surah, awak tolong sambung ya.”
Hana ketawa kecil. “Insya-Allah... tapi awak jangan baca Bismillah tiga kali pula. Nanti imam pun kena gelak.”
Gelak tawa kecil bergema di ruang tamu, mengiringi azan yang masih berkumandang. Di sebalik kecoh dan gurauan, terasa hangatnya nilai kekeluargaan yang mula terjalin erat malam itu.
Share this novel