Setelah perjumpaan dengan Maksu yang penuh bicara, walaupun tidak membawa berita gembira, Hana tetap menghormati Maksu Normah. Seorang ibu saudara yang paling penyayang dan baik hati, jauh berbeza dengan ibu bapa saudara lain dalam keluarganya. Namun, Fakhri tetap menjadi racun dalam hidupnya, satu luka yang sukar untuk dia maafkan.
Hana melangkah keluar dari kafe, menuju ke pejabat Metro Nova yang terletak betul-betul di seberang jalan. Langkahnya perlahan, seolah setiap langkah dipenuhi beban fikiran yang berat. Dia tahu dia perlukan tempat yang benar-benar tenang, jauh dari hiruk-pikuk dan riuh rendah manusia yang biasa memenuhi pejabat.
Dengan penuh kesabaran, Hana melangkah masuk ke dalam lif dan tekan nombor 7. Tingkat paling atas bangunan itu, kawasan lapang yang sering digunakan untuk pendaratan helikopter, tetapi hari ini ia menjadi tempat persembunyiannya. Suasana sunyi, hanya angin yang berbisik lembut menyapa. Di sinilah Hana memilih untuk mencari ketenangan, menenangkan hati yang penuh dengan persoalan dan luka.
Dia berdiri sejenak, menatap panorama bandar yang terbentang luas di bawahnya. Rasa berat di dada belum hilang, tapi di situ dia belajar bahawa kadang-kadang, ketenangan itu bermula dengan menerima segala yang belum selesai di dalam hati.
Hana berdiri tegak di atas bumbung, angin petang meniup lembut selendang yang terlepas dari bahunya. Mata memandang jauh, menembus celahan bangunan tinggi, jalan-jalan sempit, dan lautan manusia di bawah sana. Semuanya tampak sibuk, terburu-buru, tenggelam dalam dunia sendiri.
Melayu, Cina, India…
Berjalan seiring di lorong kota yang sama.
Yang kaya bersandar di kenderaan mewah.
Yang miskin menggenggam harapan di tangan yang kosong.
Tapi mereka tetap berjalan.
Kerana hidup perlu diteruskan.
Begitu juga aku… patutnya.
Hana memeluk tubuh sendiri. Sejuk bukan sebab angin, tapi sebab rasa kosong yang semakin besar dalam dada. Rasa yang tak terungkap. Rasa yang sejak beberapa hari ini dia paksa untuk diam… akhirnya menjerit di dalam.
“Orang nampak aku kuat…” bisik Hana.
Bibirnya senyum nipis. Senyum yang kosong.
“Tapi Tuhan je tahu, aku pun sebenarnya tak tahu nak terus macam mana.”
Langkahnya perlahan mendekati tembok paling hujung. Hujung paling jauh dari lif. Satu tempat yang hanya dia tahu. Tempat yang pernah jadi lokasi dia menangis senyap-senyap enam tahun lepas, masa mula-mula jadi isteri kepada lelaki yang dia sendiri tak faham hatinya waktu itu.
Tempat yang menyaksikan bagaimana dia, Hana, dari kerani jadi isteri CEO.
Dari PA jadi CMO.
Dari seorang gadis kampung… jadi wanita yang hari ini, tak tahu lagi siapa yang benar-benar ikhlas dengannya.
Tangannya menyentuh permukaan batu konkrit itu. Dingin. Tegas. Tapi tak sesakit hati sendiri.
Dia pejam mata.
"Hari ini pun aku kuat kan, mak..."
Entah kenapa, nama ibunya datang dalam benak. Walau Mak dah lama pergi, suara lembutnya selalu menyapa dalam mimpi Hana setiap kali dia hampir jatuh.
"Aku kuat... aku boleh kuat. Aku nak kuat... Tapi kenapa kali ni susah sangat?"
Air mata yang ditahan sejak tadi… jatuh perlahan.
Diam. Tak berbunyi. Tapi cukup untuk membuatkan tubuhnya terasa berat.
Satu titik. Dua titik.
Air mata gugur di pipi, lalu disapu angin.
Tangisan tanpa esak.
Sedih tanpa suara.
Rasa yang tak terluah dengan kata-kata.
Dan di saat semua rasa itu berputar dalam kepala, satu suara bergema dalam hati.
"Hana… kau bukan lemah. Kau cuma penat. Rehatlah sekejap. Nanti sambung semula."
Dengan perlahan, Hana duduk di hujung tembok. Membiarkan dirinya dibelai angin petang, seolah-olah langit sedang memeluknya.
Dia pandang langit. Matahari mula turun ke kaki bukit.
Dan dalam hati Hana, satu perkara pasti—esok belum tentu mudah… tapi dia akan cuba lagi. Dan lagi. Walaupun dalam diam.
---
Seorang staf yang baru keluar dari lif Metro Nova ternampak sosok berdiri di tepi bumbung tingkat paling atas. Mata dia terbeliak. Terus dia jerit, “Eh, eh! Ada orang atas bumbung! Macam nak terjun je tu!”
Jeritan itu buat beberapa staf di lobi segera menoleh dan berlari ke pintu utama untuk lihat apa yang berlaku. Mereka angkat kepala, memandang ke arah bumbung dengan perasaan risau.
“Eh, betul ke tu Puan Hana? Isteri CEO kita yang naik atas bumbung?” bisik seorang staf terkejut.
Seorang lagi staf menambah, “Dah macam drama pulak! Hana kan selalu pakai tudung, takkanlah dia nak buat hal macam ni?”
Suasana jadi kecoh sekejap. Ada yang mula risau, ada pula cuba tenangkan rakan sekerja.
---
Hana berdiri di atas bumbung, bertudung rapi seperti biasa, menatap pemandangan kota yang sibuk di bawah. Matanya terpejam rapat, rambutnya diselubungi tudung yang ditiup angin petang sejuk dan lembut.
Dia tarik nafas panjang dan perlahan, berharap angin itu mampu membawa pergi segala kekusutan dan beban di hati.
“Ya Allah… bawalah angin ni… bawalah semua masalah ni pergi jauh-jauh… jauh dari hati ni,” bisik Hana penuh harapan.
Dia belum sedar kekecohan di bawah, tidak terdengar jeritan staf yang memandang ke arahnya.
Sejenak, Hana rasakan damai dalam diam. Angin petang menyentuh lembut pipinya, seolah memberi kekuatan baru untuk teruskan hidup yang penuh liku.
Sambil menikmati saat itu, Hana mengusap perlahan pipinya yang basah dengan air mata yang menitis.
“Tak apa, Hana… ini cuma ujian… nanti semuanya akan berlalu,” bisiknya, meyakinkan diri sendiri walau hati masih berkecamuk.
Di bawah, staf-staf yang melihat dari jauh menarik nafas lega. Hana tetap kuat, walau apa pun dugaan, dan tudungnya yang kemas menandakan keperibadian wanita tabah yang mereka kenal.
Staf itu cepat-cepat cuba hubungi Armand tapi telefon tak berjawab. Panik mulai naik, dia terus berlari ke bilik mesyuarat. Tanpa fikir panjang, dia masuk je tanpa ketuk. Semua orang dalam mesyuarat terkejut pandang dia, seolah-olah dia baru je langgar peraturan paling asas.
Marissa yang duduk sebelah Armand segera memarahi, “Eh, ni mesyuarat penting, kenapa masuk macam nak pecah rumah pula? Tak boleh hormat sikit ke?”
Armand angkat tangan buat isyarat ‘diam sekejap’ dan bagi peluang staf tu cakap. Dengan nafas terengah-engah, staf itu keluarkan berita panas, “Puan Hana… Puan Hana kat atas bumbung tingkat paling atas! Nak bunuh diri!”
Semua orang diam sekejap. Armand terus berdiri, muka serius. “Apa?!” dia jerit kecil sambil terus berlari tinggalkan mesyuarat tanpa tunggu kelar.
Marissa tanpa fikir panjang ikut laju-laju ke belakang. Dalam hati Armand berkecamuk, “Apa dah jadi ni? Kenapa sampai nak bunuh diri?”
Sementara itu Tasya yang baru dapat berita pun tak tunggu lif sebab tahu lif mesti sesak. “Lif ni, lepas ni lah baru nak sampai,” bisiknya. Jadi terus dia ambil keputusan guna tangga. Naik tangga tiga tingkat dengan langkah pantas, berdegup jantung bagai nak keluar.
“Cepat, cepat, cepat!” bisik Tasya, dalam hati macam nak berlumba dengan masa.
Di belakang mereka, mesyuarat jadi huru-hara, tapi semua faham, Hana lagi penting dari apa pun perbincangan.
Angin petang menyapa lembut wajah Hana. Dia berdiri di hujung tembok, sebelah kaki sudah rapat ke dinding penghadang. Tudungnya beralun perlahan mengikut irama angin. Dari atas, kelihatan seluruh panorama kota — sesak, bising, penuh warna-warni kehidupan. Tapi dalam diri Hana, kosong. Gelap.
Pintu besi bumbung ditolak kuat. “HANA!!!” jerit satu suara lelaki yang dikenal sangat oleh jiwanya.
Armand meluru ke arah Hana dengan nafas tak cukup, diikuti rapat Marissa, Tasya dan beberapa orang eksekutif kanan syarikat yang dah keluar dari pejabat bila dengar berita panas tu. Kamera wartawan entah dari mana pun dah muncul, melilau mencari angle terbaik macam nak buat siaran langsung. Mana datang diorang ni? Ada yang berbisik, ada yang rakam. Ada yang sengih, ada yang panik.
Tapi Hana... Hana tetap berdiri. Tak goyah. Pejam matanya erat. Cuba biar angin tu bawa semua sakit hati dan kekusutan pergi. Dalam hatinya, “Angin… kalau kau boleh bawa pergi semua ni… bawa lah. Sekali dengan aku pun tak apa.”
Bila dia buka mata semula, dia nampak ramai. Wartawan. Staf. Eksekutif. Tapi matanya hanya tertumpu pada tiga wajah: Armand, Tasya… dan Marissa.
Degupan jantungnya jadi laju. Nafasnya mula berat.
Marissa.
Nama itu melantun dalam kepala Hana. Ya. Puncanya di situ. Punca yang dia tak pernah cerita dengan jelas pada sesiapa. Satu-satunya manusia yang telah mengubah segala aturan yang Hana cuba kekalkan. Mata mereka bertentangan — Marissa tampak cemas, tapi Hana… Hana rasa meluat.
Langkah Armand makin hampir. “Hana… turun, sayang. Kita boleh bincang. Awak okay, kan? Saya ada kat sini.”
Hana ketap bibir. Nafasnya makin berat. Tangannya menggenggam hujung tudungnya sendiri.
“Armand…” suaranya serak, keras, terpendam, “Susah sangat ke… nak minta maaf?”
Semua terdiam. Termasuk Armand.
“SUSAH SANGAT KE?!”
Suara Hana menjerit, melantun dalam ruang kosong bumbung itu. Burung yang hinggap di antena atas sana pun terbang. Wartawan dah rakam semua. Tapi tak ada siapa berani gerak.
“Kenapa ada orang… susah sangat nak minta maaf? Tapi ada orang lain… terlalu senang minta maaf? Hah?! Mana adil?!”
Tasya hampir menangis. Marissa tunduk.
Hana pegang dada. Nafasnya mula tersekat. Tekanan yang ditahan terlalu lama, mula pecah. Badannya menggigil. Kakinya goyah. Lututnya lemah. Satu langkah ke belakang, tubuhnya hampir hilang imbangan.
“HANA!”
Armand terus sambut, peluk erat sebelum Hana jatuh ke bawah. Seluruh badan Hana disambut kuat oleh tubuh lelaki yang selama ini dia tunggu — tunggu untuk mendengar satu patah perkataan: maaf.
Tangisan Hana pecah dalam pelukan itu.
“Aku penat, Armand... aku penat...” suaranya tenggelam dalam esakan.
Dan Armand hanya mampu peluk… tanpa kata. Kerana akhirnya dia sedar — diamnya selama ini adalah racun paling senyap dalam hidup Hana.
Pelukan Armand erat. Nafasnya masih tercungap, tapi peluh di dahi bukan kerana letih menaiki tangga — itu resah seorang suami yang selama ini terlalu lambat memahami luka dalam diam isterinya. Dan hari ini, luka itu sudah berdarah terlalu dalam.
Di dada Armand, Hana masih teresak lemah. Tubuhnya menggigil. Tapi suaranya… akhirnya keluar dengan penuh makna.
“Aku perlukan kau, Armand…” Hana mengangkat kepala perlahan, mata yang berair menatap wajah lelaki itu. “Tapi demi kebahagiaan aku… tolong jauhi Marissa… dari pandangan aku.”
Ayat itu tak kuat. Tapi jelas. Cukup untuk semua orang yang berada di atas bumbung itu mendengar — dan paling kuat mengena, ke dada Armand sendiri.
Dia diam. Tapi matanya berubah. Dari keliru, kepada yakin.
Armand tahu, dia tak boleh beri alasan lagi.
“Aku… dah terlalu penat nak tahan semua ni…” suara Hana semakin perlahan. Nafasnya semakin pendek. Matanya semakin sayu. Dan sebelum Armand sempat bertanya lagi, tubuh Hana tiba-tiba longlai dalam pelukannya.
“Hana?! Hana!!” jerit Armand panik.
Dia cepat-cepat mengangkat tubuh kecil itu — mengendongnya seperti waktu pertama kali dia selamatkan Hana yang pengsan di hadapan pejabat satu masa dulu. Tapi kali ini, lain. Kali ini, bukan fizikal yang sakit. Tapi jiwanya sudah remuk.
Semua orang beri laluan. Marissa yang tercegat di tepi hampir nak berkata sesuatu, tapi Armand hanya berhenti seketika di hadapannya.
Dengan suara tenang tapi tajam:
“Marissa… hari ini hari terakhir awak kerja di sini.”
Marissa terkejut. Matanya membulat.
Armand sambung, “Awak bukan dipecat kerana syarikat. Tapi kerana saya nak lindungi satu-satunya kebahagiaan saya — Hana.”
Marissa tak mampu jawab apa-apa. Dia hanya menunduk, membiarkan Armand melangkah pergi membawa wanita yang sepatutnya dia hormat — tapi telah dia hancurkan dari belakang.
Tasya ikut dari belakang. Mata hampir bergenang melihat tubuh Hana yang tak sedarkan diri.
Armand mendakap Hana erat sepanjang perjalanan ke hospital. Dalam hati, hanya satu doa yang bergema:
“Bangunlah, sayang… saya janji, ini semua akan saya betulkan. Saya takkan biar awak tanggung semua ni seorang diri lagi.”
Share this novel