BAB 45

Romantic Comedy Series 1024

Malam itu, Hana duduk termenung depan laptop. Penerbangan ke Penang yang sepatutnya pagi esok tiba-tiba ditangguhkan tanpa tarikh baru. Dalam hati, dia mula fikir macam mana nak ke sana sekarang.

“Kalau tunggu esok, kerja boleh tergendala. Tapi kalau aku drive sorang malam-malam ni, bahaya betul.” Hana termenung sambil tarik nafas panjang.

Tiba-tiba teringat pemandu setianya, Pak Rahman. Cepat-cepat dia capai telefon dan dail nombor Pak Rahman.

“Halo, Pak Rahman,” suara Hana lembut. “Maaf ganggu, saya ada masalah sikit... Penerbangan saya ke Penang pagi esok ditangguhkan. Saya kena pergi malam ni juga, tapi tak berani memandu sorang. Boleh tak Pak Rahman tolong hantar saya? Saya janji bayar lebih, makan minum, tidur semua saya tanggung.”

Pak Rahman senyap sekejap, kemudian jawab dengan nada serius tapi ada gurauan, “Wah, Puan Hana ni, kalau bayar lebih saya siap bawa bantal dan selimut sekali. Macam pergi bercuti pulak ni!”

Hana ketawa kecil. “Memang la, Pak Rahman. Saya nak sampai Penang dengan selamat dan senang.”

Pak Rahman balas, “Oklah, saya akan siap sedia ambil Puan Hana dalam setengah jam. Jangan risau, saya sudah biasa bawa kereta malam-malam.”

Hana lega sangat. “Terima kasih banyak, Pak Rahman. Saya hargai sangat.”

Dia letak telefon dan tersenyum sendiri. Dalam hati, dia rasa bertuah ada Pak Rahman yang bukan sahaja setia, tapi boleh diharap bila susah macam ni.

“Kalau ada Pak Rahman, perjalanan jauh pun rasa tenang,” fikir Hana sambil mula bersiap.

Setengah jam kemudian, Pak Rahman tiba. Kali ini dia sampai dengan motosikal Kriss, bukan dengan MPV mewah seperti biasa. Rumah Pak Rahman memang tidak jauh dari rumah Hana, jadi dia sering datang naik motor untuk kemudahan dan cepat. Tapi untuk perjalanan jauh ke Penang malam itu, Pak Rahman sudah bersiap sedia dengan MPV hitam yang terletak di garaj. Hana sudah berdiri di pintu rumah, siap dengan koper pakaian yang besar, menunggu.

Pak Rahman membuka pintu MPV dan masuk dengan senyum. Dia sempat mengusik, “Dengan pakaian sebanyak ini, macam nak pergi seminggu sebulan kat Penang pula, Puan Hana.”

Hana ketawa kecil sambil menjawab, “Jangan buat lawak, Pak Rahman. Saya dah lewat ni. Jom cepat, saya risau kalau lambat.”

Pak Rahman tersenyum yakin, menghidupkan enjin MPV dan berkata, “Ok, jom gerak sekarang.”

Dengan itu, mereka mula bergerak, MPV hitam meluncur keluar meninggalkan rumah Hana, memulakan perjalanan malam yang panjang menuju ke Penang.

Dalam perjalanan yang semakin sunyi dibalut cahaya jalan yang samar-samar, Hana bersandar tenang di tempat duduk penumpang. Angin malam menyusup masuk sedikit dari celahan penghawa dingin, nyaman dan menenangkan.

“Agak-agak sempat tak sampai sebelum tengah hari, Pak Rahman?” tanya Hana sambil memandang keluar ke jalan raya yang lengang.

Pak Rahman menjeling sekejap ke arah cermin pandang belakang, “Kalau Puan Hana tak singgah mana-mana, insya-Allah sempat sampai.”

Kemudian dia menyambung dengan nada selamba tapi penuh makna, “Puan nak singgah mana-mana ke?”

Hana terus menjeling tajam — bukan marah, tapi penuh dengan isyarat faham sangat perangai Pak Rahman yang suka menyakat.

“Pak Rahman ni… saya dah lewat pun boleh tanya lagi nak singgah mana. Tak payah buat lawak.”

Pak Rahman tergelak kecil, “Ok… tak tanya dah lepas ni.”

MPV terus meluncur dengan selesa di lebuh raya. Lampu jalan sesekali memantul di cermin sisi, mencipta bayang-bayang samar di wajah Hana.

“Saya nak tidur jap, ya. Pak Rahman pandu je elok-elok,” kata Hana sambil menarik jaket ke paras bahu.

“Baiklah, Puan Hana. Tidur elok-elok,” balas Pak Rahman.

Tak lama kemudian, lena Hana dibuai alunan enjin yang konsisten dan persekitaran kabin yang senyap. Pak Rahman memandu dengan tenang, berwaspada, seperti biasa — tekun menjaga keselamatan orang yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Beberapa jam berlalu, langit mula kelihatan cerah di hujung timur. Tapi Pak Rahman masih fokus pada jalan, sementara Hana masih lena, bernafas perlahan dalam tidurnya — dengan harapan, segala yang menantinya di Penang akan baik-baik saja.

Setelah cahaya matahari pagi mula menyelinap perlahan masuk ke dalam kabin MPV yang sudah berjam-jam meluncur di lebuh raya, Hana tersedar perlahan. Dia mengeliat sedikit, menolak rambut dari wajahnya lalu mengangkat kepala memandang ke luar. Langit sudah cerah. Hari sudah penuh bermula.

“Pak Rahman… dah sampai mana dah ni?” soalnya dengan suara serak-serak manja orang baru bangun tidur.

Pak Rahman yang masih fokus memandu menjawab, “Dalam tiga jam lagi sampai Penang, Puan Hana.”

Hana mengangguk perlahan. Tangan pantas mencapai beg tangan dan menarik keluar telefon pintar. Sebaik skrin menyala, satu notifikasi muncul — mesej WhatsApp daripada Armand, dihantar tepat jam 7 pagi.

Hana membuka mesej itu dan membaca perlahan:

"Sayang, pihak hotel maklumkan pembentangan strategi pemasaran tak perlu untuk sesi awal nanti. Cuma bentang selepas proposal kalau perjanjian ditandatangani. Don’t worry too much."

Hana telan liur perlahan. Mata masih fokus pada skrin, tapi dahi sudah berkerut. Dalam hati dia mengomel — Kenapa tak bagitahu awal-awal? Sekarang ni aku dah nak sampai Penang baru nak mesej?

Dia hela nafas, satu tangan menyentuh dahinya.

“Buat penat aku je semalam kelam kabut...”

Pak Rahman menjeling melalui cermin tengah. Perasan ada suara-suara kecil keluar dari mulut Hana yang tak ditujukan kepadanya.

“Kenapa, Puan Hana?” tanya Pak Rahman.

Hana mengangkat kepala, pandang ke depan dan senyum hambar.

“Pembentangan saya tak jadi. Dia orang cuma nak tengok proposal dulu. Kalau setuju baru bentang strategi.”

Kemudian Hana sambung dengan nada bergurau, separa menyindir diri, “Biasalah… saya ni bukan orang penting. Sapa la nak dengar pembentangan saya.”

Pak Rahman angguk kecil sambil senyum nipis. “Ooo...”

Beberapa saat senyap sebelum dia bersuara semula, “Kalau macam tu, Puan nak pusing balik ke atau terus je?”

Hana terus kerut dahi, senyum separa tawa sambil menggeleng.

“Pak Rahman… saya ni bukan spesis suka patah balik bila dah separuh jalan. Dah dekat sampai pun… kita jalan teruslah. Boleh juga pantau site, jumpa orang.”

“Baik, Puan Hana,” balas Pak Rahman sambil senyum puas. Satu lagi misi berjalan lancar — walaupun jadual berubah, Hana tetap tenang macam biasa… dan dalam diam, Pak Rahman kagum dengan sikap itu.

MPV mewah itu pun terus meluncur menuju ke destinasi, membelah pagi yang semakin terang.

Dalam perjalanan yang masih panjang itu, Hana tiba-tiba teringatkan sesuatu yang penting. Dia tunduk sedikit, mengetap bibir, kemudian memandang ke arah Pak Rahman yang sedang fokus di balik stereng.

“Pak Rahman, nanti bila dah sampai, terus pergi ke Grand Hotel ya. Armand ada dekat sana, bilik dia,” pesan Hana, ringkas tapi jelas.

Pak Rahman mengangguk. “Baik, Puan Hana.”

---

Setibanya di perkarangan Grand Hotel, MPV hitam itu perlahan-lahan memasuki ruang parkir lobi utama. Hana yang masih dalam keadaan tak mandi sejak malam tadi, segera menyambar beg tangan dan cermin mata hitam, cuba menyembunyikan wajah lesu dan tudung yang entah ke mana arah lipatannya.

Sebaik kaki melangkah keluar, Hana terasa semua mata di lobi tertumpu padanya. Receptionist, bellboy, bahkan dua tiga orang tetamu hotel. Semuanya macam tengok alien baru turun dari langit.

Dalam hati, Hana berperang sendiri.

“Aku buat salah apa ni? Semua orang pandang semacam. Pak Rahman langgar lampu merah ke tadi?”

Tapi sebaik dia melintasi dinding cermin besar di lobi hotel itu — segala persoalan terjawab sendiri. Wajahnya terpampang jelas: rambut serabai terkeluar dari tudung, muka berminyak tak bersapu apa-apa, dan tudung… entah macam mana boleh senget sebelah.

Hana pegang dahi. Dalam hati dia bersuara lagi.

“Patutlah orang tengok semacam… aku ni rupa dah macam pelarian. Ingat tadi nak terus mintak tandatangan je… nasib baik belum naik bilik.”

Dia tergelak kecil sendirian. Geleng kepala perlahan. Penat, malu, dan lucu bergaul sekali. Tapi begitulah hidup seorang Hana — kadang kelam-kabut, tapi tetap cuba hadap dengan senyum.

Pak Rahman di sisi hanya perhati dari jauh, tahu bosnya itu sedang mengatur nafas dan emosi sebelum naik ke atas. Dia tak kacau. Biarlah Hana tarik semangat dulu — sekurang-kurangnya kali ini, tak perlu kejar pembentangan.

Hana menarik nafas perlahan sebelum berjalan menuju kaunter penerimaan tetamu. Langkahnya kemas walaupun dalam hati masih ada sisa-sisa malu dari penampilan tidak terurus tadi. Dia keluarkan kad pengenalan dari dompet dan serahkan kepada staf kaunter.

"Maaf, saya nak tanya. Bilik Encik Armand Adam bin Harith Adam. Boleh semak?" tanya Hana dengan suara paling tenang yang dia mampu kumpulkan.

Penyambut tetamu itu mengambil kad pengenalan Hana, menaip sesuatu di komputer dan kemudian tersenyum sopan.

“Encik Armand menginap di bilik 505, Puan. Tingkat lima,” jawabnya ramah.

Hana mengangguk. “Terima kasih. Dan satu lagi, ada bilik kosong tak untuk pemandu saya? Bilik sederhana pun cukup. Saya akan bayar, atau kalau boleh letak sekali dalam akaun atas nama Encik Armand Adam.”

Penyambut tetamu itu menyemak seketika, kemudian angguk perlahan. “Ada, Puan. Kami ada bilik standard di tingkat empat. Kami akan daftarkan bawah nama yang sama. Pemandu Puan boleh terus naik bila-bila masa.”

“Terima kasih banyak,” kata Hana, lega.

Dia berpaling semula ke arah Pak Rahman yang setia menunggu dekat pintu masuk, lalu angkat tangan sedikit memberi isyarat. Pak Rahman mengangguk faham, tahu sudah tiba masanya untuk naik dan berehat. Tapi dalam hati, dia sempat berseloroh sendiri.

“Mujur aku tak pakai kain pelikat je tadi.”

Sementara itu, Hana tekan butang lif untuk ke tingkat lima — dengan wajah yang masih belum ‘ready’, tapi hati dah sedikit ringan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience