Langit sudah beransur gelap sewaktu Hana tiba di hadapan rumah. Dia membayar tambang Grab melalui aplikasi, ucap terima kasih sepatah, lalu menapak cepat-cepat ke pintu utama.
Jam sudah menghampiri waktu maghrib. Langkahnya makin laju, macam orang dikejar masa. Dalam hati, dia risau tak sempat nak solat. Sepanjang perjalanan tadi pun, dia hanya mendiamkan diri, memikirkan banyak perkara yang menyentap tenang di hati.
Beg tangan disandang ke bahu, kunci rumah dikeluarkan. Bunyi klik pintu dibuka. Suasana rumah seperti biasa — sunyi, bersih, dan terang.
Namun dia tak sempat nak tengok pun sekeliling. Kaki terus menuju ke tangga. Tudungnya masih tersarung, tapi senget sedikit. Tak diendahkan.
Di anak tangga kedua, langkahnya terhenti seketika apabila dia menyedari ada orang turun dari tingkat atas.
Armand.
Lelaki itu yang baru keluar dari bilik, sedang menuruni tangga dengan tuala kecil tergantung di leher. Wajahnya relaks, langkah perlahan, bau deodorant maskulin memenuhi ruang. Tapi wajah itu berubah sedikit bila terpandang isterinya yang sedang melangkah naik.
“Hana?” tegurnya, sedikit terkejut.
Namun teguran itu langsung tak bersambut.
Hana terus naik, seolah tak nampak siapa di hadapan. Matanya lurus ke atas, tidak langsung terpandang suami sendiri yang berdiri hanya beberapa anak tangga di bawah.
Armand berkelip beberapa kali.
‘Eh? Dia tak nampak aku ke tadi?'
Tengok gaya Hana yang terus nonong naik, macam tentera Jepun nak serang bukit, Armand terus diam berdiri di situ.
Wajah isterinya… kosong. Tak ada senyuman, tak ada manja, tak ada sapaan. Biasanya kalau dia baru sampai rumah, ada sajalah ayat-ayat comel keluar dari mulut Hana.
“Sayang dah balik!”
“Atok handsome turun dari syurga ke tu?”
Atau paling tidak pun, cubit manja di pinggang dan lari naik.
Tapi kali ni, tiada.
Armand garu kepala yang tak gatal.
‘Ni mesti kes period… Tapi takkanlah sampai tak nampak aku langsung?’
Dia menyandar di dinding sekejap. Wajahnya serius, tapi dalam hati dah mula berfikir macam-macam. Dia kenal sangat perangai isterinya. Kalau diam macam tu, mesti ada benda.
Sementara itu, Hana masuk ke bilik, tutup pintu perlahan. Dia tidak mengunci. Beg tangan diletak di kerusi, tudung dibuka dan dicampak ke atas katil.
Dia terus capai tuala dan menuju ke bilik air.
Setengah jam kemudian, Hana keluar dari bilik mandi. Wajahnya bersih, tanpa solekan, rambut dibalut tuala. Dia membentang sejadah, memakai telekung, dan bersedia untuk solat maghrib.
Solatnya seperti biasa — tetapi doanya selepas itu lebih panjang dari selalu. Tangan diangkat tinggi, matanya terpejam lama. Ada desah halus yang tak didengari sesiapa.
Armand yang dari tadi menunggu di luar bilik, akhirnya perlahan-lahan menolak daun pintu yang sedikit terbuka.
Dia nampak Hana masih di atas sejadah. Lama benar dia berdoa. Biasanya, kalau Hana berdoa lepas solat, tak sampai dua minit. Tapi kali ini… lebih sepuluh minit pun belum bangun-bangun.
Armand melangkah perlahan masuk ke dalam bilik. Langkahnya cermat, seperti tak mahu mengganggu.
Dia duduk di sebelah Hana, diam-diam, matanya meneliti wajah wanita yang telah menjadi isterinya enam tahun lamanya.
Wajah itu… walau tenang, tapi ada bayang lain. Resah. Redup. Sayu.
‘Dia okay ke ni?’
Tiba-tiba...
Tanpa sepatah kata, dia mencapai tangan Armand dan menggenggam erat. Armand terpinga-pinga. Sebelah keningnya terangkat.
“Eh… kenapa ni?” tanya Armand, sedikit keliru.
Namun pertanyaannya belum sempat keluar, Hana sudah tunduk dan mencium tangan suaminya. Lama. Hangat.
Armand terdiam. Wajahnya berkerut, cuba memproses situasi.
‘Saya tengah bermimpi ke ni? Atau dah Raya awal-awal?’
Selepas ciuman itu, Hana memandang ke wajah suaminya. Matanya bergenang. Dan tiba-tiba, setitis air mata jatuh ke pipi.
“Saya… saya minta maaf, awak,” ucap Hana perlahan. Suaranya serak dan dalam sekali. “Saya sayang awak. Sayang sangat. Awaklah orang yang paling saya rindui…”
Armand terkedu. Nafasnya tertahan.
“Hana…” bisiknya perlahan. “Sayang, kenapa ni? Apa yang dah jadi?”
Tangan Hana masih menggenggam jari jemarinya erat. Armand terasa jantungnya berdegup lebih laju dari biasa. Satu sisi hatinya tersentuh—bahkan nyaris gugur pertahanan ego lelakinya melihat air mata isteri yang tidak selalu jatuh itu.
Namun dia cuba bertenang. Bibirnya mengukir senyuman kecil, dan dia angkat tangan Hana, lalu digenggam kemas.
“Tak perlu minta maaf pun. Saya okey je. Awak tak buat salah apa-apa pun pada saya…”
Hana menggeleng perlahan, sambil menyeka air mata dengan tangan kiri. Tapi dia masih tak melepaskan tangan suaminya.
Armand cuba buat lawak kecil. “Awak tadi tak salam pun, saya okey je. Saya bukan jenis suami level Tok Imam kampung…”
Hana ketawa kecil. Namun ada tangis yang tersisa di hujung suara. Senyumannya masih ada, tapi di balik senyum itu, sebiji mutiara jernih jatuh ke pipi buat kali kedua.
Armand makin risau. Matanya tajam memerhati riak wajah isterinya.
“Sayang…” dia menarik nafas dalam. “Saya tanya ni… apa yang dah jadi sebenarnya? Awak okey ke? Kenapa macam… lain sangat hari ni?”
Riak Hana berubah.
Wajah yang tadi penuh sendu, kini seperti mendapat satu kekuatan aneh. Dia tersenyum—senyuman manis yang biasa Armand lihat. Senyuman penuh helah, penuh cubaan nak alih perhatian.
“Tak ada apa-apa pun sebenarnya. Saya saja je nak minta maaf. Mana tahu raya nanti tak sempat,” ujarnya sambil tersengih kecil.
“Awal lagi nak raya…” balas Armand dengan kening terangkat.
“Sebab tu lah sekarang kita open table awal-awal. Tak nak rebut mikrofon minta maaf masa pagi raya nanti,” kata Hana sambil menekup mulut menahan tawa.
Armand tergelak kecil.
Namun… matanya masih terpaku pada air mata yang jatuh itu.
Walaupun Hana ketawa, dan senyum kembali terukir… Armand tahu.
Dia tahu.
Ada sesuatu yang Hana sembunyikan.
Dan kali ini, bukan perkara kecil. Bukan hal yang boleh ditutup dengan gurauan raya atau ciuman tangan. Di sebalik tawa itu, ada luka. Dan Armand tekad, dia akan korek semuanya—walau terpaksa berperang dengan pujuk rayu isteri sendiri.
Malam kian larut. Langit di luar kamar gelap, sunyi hanya diselangi bunyi kipas siling dan dengkuran perlahan dari Armand yang sudah lena dalam pelukannya.
Hana masih terjaga.
Tubuhnya bersandar lembut pada dada suami yang tenang. Nafas Armand teratur, hangat, menyejukkan sebahagian resah di dada. Sesekali keluar dengkuran halus — bunyi yang dulu mengganggunya, tapi kini menjadi irama tetap malam-malam mereka. Seakan lagu yang dimainkan khas buat pasangan suami isteri yang saling mengerti. Dia sudah terbiasa. Bahkan tenang mendengarnya.
Namun malam ini, fikiran Hana tidak tenang seperti biasa.
Matanya masih segar. Wajahnya redup, namun mindanya jauh mengembara — kembali ke satu detik yang menghantui benaknya sejak petang tadi.
---
Dia teringat makan tengah hari tadi bersama Fakhri.
Awalnya, segalanya seperti biasa.
Fakhri menjemputnya makan atas alasan mahu berbincang soal kempen baharu. Hana menerima ajakan itu seperti kebiasaannya — menganggap Fakhri sebagai adik, dan hubungan mereka kekal profesional. Tempat makan pun sederhana. Fakhri masih memanggilnya seperti biasa…
“Kak Hana nak air suam ke jus buah?”
“Nasi ayam dua, ya Kak Hana?”
Hana mengangguk, membalas seperti biasa. Sembang mereka santai, banyak berkisar tentang kerja.
Namun ketika makanan sudah hampir habis, sesuatu yang aneh berlaku.
Tanpa isyarat, tanpa angin… tiba-tiba Fakhri menyebut namanya. Hanya namanya. Tapi bukan seperti biasa.
“Hana…”
Satu sebutan itu membuatkan Hana angkat wajah. Dahi berkerut.
Dia tahu, Fakhri tidak pernah memanggilnya begitu.
“Kau panggil aku apa tadi?” Hana menyoal perlahan, tak sempat menyembunyikan curiga di wajahnya.
Fakhri kelihatan cemas seketika, lalu senyum paksa.
“Eh, tersasul. Maaf… aku tak sedar.”
Hana diam.
Dia pandang pinggan yang tinggal separuh. Hatinya mula tak sedap.
Dan sebelum sempat suasana kembali tenang, Fakhri ulang kesalahan lebih besar.
Matanya renung Hana lama, dan dengan nada perlahan… dia ucap satu ayat ringkas — namun cukup untuk meretakkan kepercayaan.
“Aku suka kau, Hana.”
Empat patah perkataan.
Namun bagi Hana, ia ibarat satu cubaan mengganggu tembok rumah tangganya yang selama ini dia pertahankan dengan penuh cinta dan hormat.
Wajah Hana berubah serta-merta. Dia tolak kerusi ke belakang perlahan.
“Aku anggap kau macam adik, Fakhri,” katanya tenang tapi tegas.
“Aku isteri Armand. Aku ada anak. Jangan ulang lagi ayat macam tu.”
Fakhri tunduk. Tak membalas. Tapi Hana tahu maksud itu bukan main-main.
Tanpa tunggu lama, dia capai beg tangan.
“Aku balik dulu.”
Dan dia berlalu keluar restoran tanpa menoleh, dengan hati yang sarat dengan kecewa dan rasa bersalah — bukan kerana dia salah, tapi kerana dia membenarkan keakraban itu jadi ruang untuk Fakhri melangkaui batas.
Grab dipanggil. Dia duduk di tempat belakang, diam. Dan sepanjang perjalanan pulang, tiada satu pun kata terucap dari bibirnya. Hanya jari yang menggenggam kuat tali beg… dan mata yang terus menahan airnya agar tidak tumpah.
---
Kini, di sisi Armand, Hana menghela nafas panjang.
Dia tahu Armand terlalu mencintainya. Dan dia sendiri tak pernah curang dalam hati — apatah lagi perbuatan.
Namun ayat ringkas dari seorang yang dia anggap adik itu… mampu mengganggu damainya sebagai seorang isteri.
Dan malam ini, dia hanya mampu peluk Armand lebih erat — seolah sedang menyembunyikan rasa takut yang perlahan-lahan mengusik pintu hatinya.
Share this novel