Kafe itu tenang, muzik latar perlahan bermain di celah-celah hiruk-pikuk pinggan dan cawan. Hana melangkah masuk sambil memeluk fail di tangan. Matanya segera menangkap Fakhri yang duduk membelakangi pintu, tekun menatap skrin komputer riba sambil sesekali menyedut air lemon dari gelas tinggi.
Hana mendekat tanpa suara. Dengan langkah senyap, dia berdiri di belakang Fakhri, lalu — tap! — mengetuk kepala sepupunya itu dengan hujung fail.
“Aduh!” Fakhri terlonjak kecil. Air lemon dalam mulutnya hampir tersembur keluar. “Apa ni, Kak Hana!”
Hana berdiri dengan muka selamba. “Slide apa kau buat ni? Macam budak sekolah menengah punya kerja. Mana otak kau yang belajar luar negara tu? Tertinggal kat imigresen ke?”
Fakhri pandang skrin, kemudian pandang Hana. “Sebab tu lah aku panggil Kak Hana datang. Aku tahu aku memang fail bab ni...”
“Fail pun jangan sampai buat aku sakit mata. Ini kalau CEO tengok, dia bukannya marah... dia menangis.” Hana tarik kerusi dan duduk di hadapan Fakhri.
Fakhri buat muka kesian. “Aku memang tak reti design la, Kak Hana. Otak aku ni kira pakar kira bajet je, bukan hias slide.”
“Kau nak bentang depan lembaga pengarah dengan font caca-marba macam ni?” Hana menyelak satu demi satu helaian slide di skrin. “Gambar pecah, isi ulang dua kali, warna tajuk macam pelangi. Ini nak present, ke nak buat kad kahwin?”
Fakhri tahan ketawa. “Sakit weh… tapi betul la tu.”
Hana capai komputer riba, dah mula menaip dan susun semula isi. “Kau duduk diam. Jangan kacau aku kerja. Kalau kau sentuh apa-apa, aku hempuk kau dengan laptop ni.”
Fakhri tersengih. “Baik, baik. Aku duduk sini, tengok je. Janji lepas ni aku belanja Kak Hana makan.”
“Cakap awal. Aku order kek paling mahal nanti,” kata Hana, masih mata fokus di skrin.
“Kau order kek sebiji pun aku bayar. Asalkan esok aku tak kena tembak dengan CEO.”
Hana gelak kecil. “Kau bukan kena tembak... kau akan kena buang kerja dengan penuh bergaya kalau bentang slide asal kau tadi.”
Fakhri geleng kepala perlahan. “Nasib baik aku ada Kak Hana. Kalau tak… tamat riwayat aku.”
Suasana kafe terus berputar tenang, tapi meja mereka seolah-olah jadi pusat operasi penting. Laptop terbuka, fail bertaburan, dan dua cawan minuman yang sudah tinggal separuh. Suara Hana dan Fakhri saling bersilang — sesekali serius, sesekali gurau, macam sedang bincang projek berjuta.
Setelah hampir sejam duduk, akhirnya slide itu siap juga. Hana menekan butang save lalu menutup komputer riba.
“Settle,” ujar Hana sambil menyandar.
Fakhri mengangkat dua tangan ke udara, “Yes! Terima kasih, Kak Hana. Kalau ada projek lain, aku mintak tolong lagi, ya?”
Hana menjeling. “Sikit-sikit dah la. Aku pun banyak kerja. Kalau aku tolong kau hari-hari, siapa nak tolong aku buat kerja aku?”
Fakhri ketawa kecil. “Kerja kau susah. Orang macam aku ni tak layak tolong pun.”
Tap! — Sekali lagi fail mendarat atas lengannya.
“Aduh! Oi, sakitlah!” Fakhri menjerit kecil sambil gosok lengan.
Hana selamba. “Lain kali jangan merendah diri sangat. Bukan tak layak, malas tu lebih tepat.”
Fakhri masih ketawa sambil mengangkat gelas dan menghabiskan sisa minumannya.
“Oh, Kak Hana… aku lupa nak bagitau. Aku dah beli satu ruang pejabat minggu lepas. Nanti aku bawa Kak Hana tengok tempat tu, ya?”
Hana angkat kening. “Power. Proposal pun belum siap, kau dah ada pejabat? Kau ni macam beli kereta dulu, lesen belum ambik.”
Fakhri gelak besar. “Biar gaya dulu datang, baru kerja ikut belakang.”
Hana turut tergelak. “Banyaklah gaya kau.”
Mereka berdua tergelak bersama. Suasana jadi ringan, macam semua beban hilang buat seketika. Di tengah kesibukan dan tekanan kerja, detik kecil seperti ini — antara sepupu, antara sahabat — terasa mahal.
----
Kali ini, Hana benar-benar pulang lewat.
Rumah sudah gelap. Ruang tamu sunyi, hanya cahaya samar dari dapur memberi sedikit pencahayaan. Hana membuka pintu perlahan-lahan, cuba tidak mengganggu sesiapa. Langkahnya cermat, seolah-olah mencuri masuk.
Di atas sofa, Armand sedang terbaring — tertidur dengan kepala sedikit senget, nafasnya tenang. Masih berpakaian pejabat. Hana menahan nafas seketika. Dia tahu Armand pasti tertidur menunggu.
Dia hampir sampai ke tangga bila tiba-tiba—
“Puan dah balik?”
Hana tersentak kecil.
Kak Lina muncul dari arah bilik bawah. Berkain batik dan bertelekung, mungkin baru bangun untuk ke tandas.
“Ya… saya baru sampai,” jawab Hana perlahan, cuba senyum walau terasa bersalah.
Serentak itu, Armand tersedar. Matanya terbuka perlahan, sebelum tubuhnya bangun dan duduk di sofa sambil menggosok wajah.
“Banyak kerja hari ni?” soalnya dengan suara serak.
Hana hanya senyum nipis. “Hmmm… boleh tahan,” jawabnya perlahan, cuba bersahaja.
Armand menghela nafas.
“Danish tunggu mama dia lama sangat... sampai tertidur dekat sofa. Kak Lina yang bawa dia naik atas.”
Wajah Hana berubah serta-merta. Senyuman hilang, diganti rasa bersalah yang jelas terpancar di wajahnya.
“Saya minta maaf...” ucap Hana perlahan. “Saya tak sangka masa berlalu macam tu...”
Armand memandang wajah isterinya sejenak. Tenang.
“Awak tak perlu minta maaf dekat saya…”
Hana angkat wajah, pandang Armand dengan dahi berkerut sedikit.
“…awak kena minta maaf dekat Danish.”
Kata-katanya tak tinggi, tak marah — tapi cukup untuk buat dada Hana terasa sesak.
Dia hanya angguk perlahan, menunduk dalam diam. Malam itu terasa sunyi. Tapi dalam hati Hana, terasa riuh dengan satu rasa — rindu dan bersalah sebagai seorang ibu.
Hana membuka pintu bilik Danish perlahan. Suasana di dalam gelap, hanya cahaya lampu malam kecil yang menyinari sudut katil. Danish terlentang, matanya tertutup rapat, wajah kecilnya tenang dalam tidur.
Dia tarik selimut hingga ke dada Danish dengan penuh kasih sayang, memastikan anaknya selesa. Hana duduk di tepi katil, tangannya mengusap perlahan rambut Danish yang sedikit kusut.
“Mama minta maaf, Danish,” bisiknya dengan suara sayu. “Mama banyak kerja, sampai terlambat balik.”
Hana menunggu seketika, seolah-olah mahu mendengar jawapan dari anaknya yang sedang lena. Dia tersenyum kecil dan meletakkan tangan di sisi katil.
Kemudian, perlahan dia bangun, memadam lampu kecil, dan melangkah keluar dari bilik dengan hati yang berat namun penuh kasih.
Hana menuju ke biliknya, meninggalkan keheningan malam dan harapan baru dalam hatinya.
Hana masuk bilik, tarik tuala dari gantungan dan balut perlahan-lahan di tubuhnya. Langkahnya agak perlahan, jelas kelihatan dia sangat penat. Tak banyak cakap, cuma mengangguk bila Armand tengok dia dari katil.
Dia buka pintu bilik air, masuk, dan tutup perlahan. Armand duduk di atas katil, mata terarah ke pintu yang tertutup itu. Terfikir, mahu ajak Hana mandi sekali, tapi dia dah mandi awal tadi.
“Penat dia tu, jangan ganggu,” fikir Armand sambil geleng kepala.
Lama juga Hana di dalam bilik air. Bila keluar, rambut masih basah, badan dibalut tuala. Dia berjalan ke almari, capai pakaian tidur kesukaan — yang memang Armand tahu boleh buat dia terjaga dari lena.
Armand tengok dengan pandangan setengah mengusik, setengah tersenyum. Hana cuma balas pandangan itu dengan anggukan kecil dan senyuman letih.
Dia pakai pakaian tidur yang seksi, tapi malam ni Hana tak banyak bergaya. Selalu kalau datang bulan, dia hanya pakai baju biasa dan seluar longgar — langsung tak ada drama. Tapi sekarang, Armand dah tahu maksud sebenar ‘bebas bendera Jepun’ itu.
Armand cuba tahan gelak dalam hati. “Kalau Hana start buat perangai seksi macam ni, mana boleh tidur lena,” katanya perlahan, seolah-olah bercakap dengan diri sendiri.
Hana cuma balas dengan senyuman tipis. Dia melangkah ke katil, duduk, dan menunduk sekejap, seperti cuba hilangkan penat.
Armand capai tangan Hana, perlahan. “Awak penat kan? Jangan cakap banyak. Rehatlah.”
Hana angguk, “Mm...”
Malam itu, sunyi dalam bilik cuma diisi dengan nafas panjang Hana yang perlahan menenangkan diri, dan Armand yang tersenyum tengok dia. Kadang-kadang, dalam diam begini, cinta paling nyata.
Hana baring, memeluk Armand dari sisi dengan perlahan. Armand selalu cuba buat lawak atau gurau romantik untuk tarik perhatian Hana, tapi malam itu, bila Hana sudah hanyut dalam mimpi, dia tahu itu bukan masa yang sesuai.
Armand pegang tangan Hana, pandang wajahnya yang tenang. Dia tahu Hana penat sangat. Tapi sejak kebelakangan ini, Hana sering balik lewat. Dalam hatinya, Armand terfikir macam-macam, tapi dia sengaja tahan diri untuk tidak bertanya pak Rahman — sebab dia tak mahu sampai hilang kepercayaan Hana pada dirinya.
Dia cuma diam, peluk Hana erat sedikit, harap malam itu jadi waktu Hana dapat rehat secukupnya. Kadang-kadang, cinta bukan hanya kata-kata manis, tapi juga memahami tanpa perlu tanya.
Armand pejamkan mata perlahan, berdoa agar segala beban Hana segera hilang, dan mereka boleh lalui hari esok bersama-sama dengan hati yang lebih ringan.
Share this novel