BAB 2

Romantic Comedy Series 1024

Waktu senja turun perlahan-lahan di Pulau Tioman. Laut mulai berkilau keemasan, dan dari Bukit Suite yang mereka tempah, kelihatan panorama matahari terbenam terbentang luas — seolah-olah hadiah istimewa untuk keluarga kecil itu.

Satu ketukan di pintu mengganggu mereka yang sedang bersantai. Seorang pelayan resort membawa masuk dulang-dulang hidangan — makan malam istimewa khas untuk tetamu VIP.

“Silakan, Tuan Armand, Puan Hana. Ini hidangan khas dari chef kami,” ujar pelayan sambil tersenyum.

Hana menoleh ke arah meja makan yang dihias cantik — ada lilin, kelopak bunga dan kain alas meja yang kemas berlipat. Satu usaha sungguh romantik, walaupun bakal dikucar-kacirkan oleh seorang manusia kecil yang kini sedang memanjat sofa.

“Wah… cantiknya meja. Tapi lepas Danish duduk, entah berapa minit je kekal rupa begini,” bisik Hana pada Armand sambil senyum.

“Tak apa. Kita ada kenangan sebelum meja tu ‘musnah’,” jawab Armand.

Kak Lina datang dari bilik sebelah sambil mendukung Danish.

“Jom makan, Danish. Hari ni makan dalam bilik cantik. Bukan kat dapur rumah,” katanya.

Mereka duduk berempat. Danish duduk di atas baby chair yang disediakan resort, Kak Lina di sebelahnya, manakala Armand dan Hana duduk bersebelahan di hujung meja.

“Puan Hana nak nasi ke pasta dulu?” tanya Kak Lina.

“Saya ambil nasi sikit je, Kak Lina. Awak?” tanya Hana kepada Armand.

“Saya rasa nak pasta malam ni. Suasana macam ni, rasa macam dekat Itali sikit.”

“Dekat Itali ke, dekat dapur rumah je ni awak… dengan Danish nak korek lilin nanti,” Hana tergelak.

Benar seperti dijangka — Danish mula menceceh.

“Mama! Danish nak api tu! Nak tiup! Nak tiup!”

“Ni bukan kek, sayang. Tu lilin hiasan,” jawab Hana sambil cepat-cepat menjauhkan lilin dari jangkauan anak kecil itu.

Kak Lina menyuap Danish sambil geleng kepala. “Macam-macam budak ni. Nasib baik bukan lilin birthday, kalau tak dia nyanyi lagu sendiri.”

Selesai makan, Kak Lina bawa Danish masuk ke bilik sebelah untuk tukar pakaian tidur.

Armand menarik tangan Hana perlahan.

“Awak…” katanya sambil bersandar ke kerusi.

“Hm?”

“Malam ni kita jalan-jalan tepi pantai nak? Udara segar… Danish dah kenyang, Kak Lina boleh jaga.”

Hana menjeling sambil senyum nakal.

“Alasan awak sebenarnya nak berduaan kan?”

“Awak tahu juga ya?” Armand mengangkat kening.

“Dah enam tahun kahwin… gaya awak tu memang tanda ‘awak ada plan’,” Hana ketawa kecil.

Kak Lina kembali dari bilik Danish.

“Danish dah baring, mata pun dah separuh tutup. Saya jaga dia ya, Puan Hana.”

“Terima kasih, Kak Lina.”

“Saya tahu… Tuan Armand ajak jalan-jalan kan? Jalan-jalan tu bagus. Orang kahwin kena maintain api kasih sayang. Kalau tak nanti cepat sejuk macam peti ais,” ujar Kak Lina bersahaja.

Armand ketawa kecil. “Nasib baik saya tak jadi peti ais. Panas je sepanjang enam tahun ni.”

Hana menjeling lagi. “Kalau panas sangat, tak payah lah pegang tangan saya kuat sangat bila tidur. Berpeluh tahu?”

Mereka ketawa bersama sebelum keluar dari bilik menuju ke pantai. Angin malam berhembus lembut, dan cahaya bulan menyinari laluan mereka.

Dan malam itu — di bawah langit pulau yang tenang — mereka akhirnya dapat bernafas seketika, jauh dari jeritan ‘Mama susu!’ dan kejar-mengejar remote TV.

Langit malam di Pulau Tioman kelihatan jernih. Bintang bertaburan seperti bertugas khas untuk menghiasi detik berdua pasangan yang akhirnya bebas dari hiruk-pikuk tugasan pejabat… dan untuk seketika, bebas juga dari jeritan Danish.

Armand dan Hana berjalan perlahan di tepi pantai. Pasir halus menyentuh kaki mereka, ombak pula mengalun perlahan — seperti latar muzik romantik yang tidak dirancang.

Tanpa banyak kata, Armand merangkul bahu Hana, menarik rapat isterinya ke sisi. Hana pula menyandarkan kepala ke dada Armand. Bunyi deru ombak menjadi melodi tenang yang memayungi mereka.

“Rasa macam baru kahwin semalam…” Armand bersuara perlahan.

Hana senyum. “Tapi badan rasa macam dah kahwin 30 tahun.”

“Banyak sangat lari kejar Danish.”

“Saya tak tahu siapa ajar dia panjat langsir,” Hana geleng kepala.

Armand ketawa. “Saya rasa bakat semula jadi tu.”

Mereka berjalan lagi beberapa langkah.

“Saya sayang awak…” bisik Armand tiba-tiba.

Hana tersenyum. “Saya pun. Walaupun awak selalu rebut remote masa Danish tidur.”

Armand ketawa perlahan, “Itu sebab awak tengok drama menangis je. Saya nak tengok dokumentari… tentang suami-suami teraniaya.”

“Pfft… awak ada niat nak buat kelab ke?”

“Boleh juga. Ahli pertama: saya. Ahli kedua: pemandu kita. Kak Lina pun boleh join… Tapi dia kategori ‘orang gaji trauma’.”

Mereka ketawa kecil.

Hana berhenti sebentar, merenung laut luas. “Tapi jujur… saya suka kita begini. Jauh dari tekanan kerja. Jauh dari jadual mesyuarat. Tak perlu fikir pasal tender, pasal board meeting…”

“Cuma belum jauh dari tekanan… anak,” tambah Armand dengan nada pasrah yang lucu.

“Ya Allah, itu pun nak lari dari tanggungjawab?”

“Bukan lari… rehat sekejap. Nanti balik bilik, kena sambung shift Papa,” jawab Armand sambil buat gaya tabik hormat.

Hana ketawa sambil menepuk bahu suaminya.

Mereka kembali berpelukan, berjalan perlahan menyusuri garis pantai yang dibasahi ombak.

“Awak tahu tak… walaupun kita dulu kahwin sebab wasiat, tapi saya tak pernah rasa menyesal,” luah Armand tiba-tiba.

Hana pandang wajah suaminya.

“Awaklah hadiah terbaik saya pernah terima… lepas Danish.”

Hana tersenyum, matanya berkaca sedikit. “Saya pun sama. Mula-mula memang rasa pelik. Tapi bila cinta tu datang, saya dah tak kisah kenapa kita bermula.”

Armand memandang isterinya. “Saya kahwin sebab wasiat. Tapi jatuh cinta sebab awak.”

“Dan kekal sebab anak?”

“Kekal sebab sayang. Anak tu penyedap rasa.”

Mereka ketawa sekali lagi sebelum perlahan-lahan kembali ke villa — sambil tangan masih berpaut erat, seolah-olah dunia luar tiada.

Di bilik, Kak Lina sudah pun lena di sofa kecil. Danish tidur berguling di atas katil — dengan kaki di atas bantal dan tangan peluk botol susu.

Hana dan Armand berpandangan.

“Esok sambung shift. Tapi malam ni… kita honeymoon,” bisik Armand.

Hana menjeling. “Awak pastikan Danish tak terjaga. Kalau dia menangis tengah-tengah ‘honeymoon’ tu, awak yang tukar pampers dia.”

Armand angkat tangan menyerah. “Yes, bos.”

Selepas memastikan Danish tidur lena di peluk botol susunya, Armand dan Hana masuk ke bilik utama mereka — bilik yang dilengkapi kolam kecil di dalamnya, lampu malap, dan bauan aromaterapi yang menenangkan.

Hana tiba-tiba melangkah keluar dari bilik mandi dengan sehelai gaun tidur satin yang hampir lut sinar, warna merah delima. Rambutnya yang panjang dibiarkan lepas menutupi sedikit bahu dan dada.

Armand yang sedang membuka jam tangan menoleh — dan terdiam.

“Awak…” Armand kelip mata perlahan.

“Kenapa? Tak kenal isteri sendiri?” Hana senyum menggoda sambil menapak perlahan ke arah katil.

Armand ketawa kecil, sedikit tercekik air liur. “Macam tak percaya… Awak pakai baju ni… Untuk saya?”

“Siapa lagi saya nak goda?” Hana duduk di tepi katil, menyilang kaki. “Dulu masa mula kahwin, saya pakai seksi macam ni awak buat tak tahu je.”

Armand mengangkat kening, mendekat. “Dulu lain… saya takut awak kahwin sebab terpaksa. Sekarang, saya tahu kita saling memilih.”

Hana senyum. “Sekarang tak tolak dah?”

Armand tersenyum nakal, lalu menarik tangan Hana perlahan-lahan hingga dia terlentang di atas tilam empuk bilik mewah itu.

“Saya tak pernah berniat tolak awak. Cuma waktu tu saya takut jatuh cinta terlalu awal.”

“Dan sekarang?” bisik Hana.

Armand membalas dengan pandangan mata yang dalam, sarat cinta. “Sekarang saya dah jatuh terlalu dalam.”

Pelukan hangat bertaut. Malam itu, hanya bunyi desiran air kolam dan hembusan angin dari celah tingkap menemani mereka. Dunia di luar terasa terlalu jauh.

Namun, di tengah-tengah ‘layar berlayar’ itu…

“Sayang… perlahan sikit… nanti Danish terjaga,” bisik Armand sambil ketawa perlahan.

Hana tergelak kecil lalu menekap mulutnya sendiri. “Maaf… saya tak tahan.”

“Kalau Kak Lina dengar, gaji dia naik bulan ni.”

Hana ketawa lagi — tapi kali ini ditahan dengan bantal.

Dan malam itu, mereka biarkan cinta menari dalam diam. Dalam kelucuan. Dalam kenangan yang hanya mereka berdua akan faham.

Menceritakan suasana romantik hari pertama setelah tiba di pulau tioman

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience