Hari ini hari pemilihan pembantu peribadi Armand.
Tapi malangnya, pagi ini Danish meragam tak tentu hala. Nangis tak mahu mandi. Nangis tak mahu sarapan. Siap peluk kaki Hana tak nak lepas bila dia cuba keluar dari bilik. Sudahnya, Hana hampir menangis sekali. Mujur Kak Lina datang pujuk Danish dengan tablet dan kartun kegemaran, barulah Hana dapat lari keluar rumah.
Sampai di lobi syarikat, Hana tercungap-cungap. Tudung senget. Baju tak sempat gosok. Bibir pun tak sempat calit gincu. Satu tangan heret handbag besar — satu lagi penuh dengan fail resume calon PA, plus helaian kertas bertajuk ‘Peraturan & Syarat Menjadi PA Kepada CEO’.
“Harap-harap belum mula...” Hana bebel sendiri, matanya melilau ke arah kaunter penyambut tetamu.
Kalau bukan sebab sesi pemilihan PA Armand pagi ni, jangan harap Hana benarkan suaminya datang awal. Armand bukan jenis bangun pagi sangat kalau tak penting. Tapi untuk hal ni — ya, Hana sendiri suruh.
Belum sempat dia tekan butang lif, telefon bimbit dalam beg berbunyi. Kali ni betul-betul mencabar kesabaran.
“Astaghfirullah... siapa pulak kol time macam ni...”
Dia seluk beg dengan mulut separuh muncung, fail dikepit di ketiak, tangan sebelah lagi cari telefon yang entah kat mana ceruk tersepit.
Fakhri.
Sepupu Hana yang satu itu memang pandai pilih waktu. Bukan pagi semalam, bukan petang kelmarin — tapi pagi hari temuduga, saat Hana dah macam orang terlepas keretapi.
Dia tekan jawab.
“Ya, kenapa Fakhri?”
“Akak free hujung minggu ni? Saya nak ajak datang office, bincang sikit pasal—”
“Fakhri... sekarang bukan masa. Danish baru meragam, saya baru sampai ofis, tangan pegang fail, tudung senget. Nanti saya call, ya?”
Belum sempat Fakhri sambung ayat, Hana dah tekan end call.
Dia tarik nafas panjang. Baru nak betulkan fail dalam ketiak—
Dumm!
Dia terlanggar seseorang.
Fail jatuh. Kertas bertaburan di lantai marmar lobi. Hana terkejut. Langkahnya terbantut.
“Aduh!” Suara seorang perempuan.
Minuman dalam cup kertas melimpah — tumpah terus atas baju Hana. Air coklat susu mengalir perlahan dari bahu ke dada. Tudung Hana terkena sekali. Suasana di lobi tiba-tiba senyap beberapa saat.
“Ya Allah! Maaf! Saya… saya tak nampak!” suara perempuan yang melanggar terus panik.
Tangannya masih pegang cup kosong yang diambil dari mesin layan diri percuma tadi. Cup itu langsung dia campak ke tong sampah berdekatan. Dia cuba hulur tisu dari beg tangan kecilnya.
Hana terkaku. Fail yang dia peluk terlepas ke lantai. Kertas berselerak.
“Maaf kak! Saya betul-betul tak sengaja. Saya nak cepat tadi, nak semak resume sebelum temuduga... saya cuai.”
Belum sempat Hana balas, satu suara sinis mencelah dari sisi.
“Eh, dia ni datang temuduga juga ke?” Soal seorang calon lain — berwajah penuh mekap, bergincu terang, rambut digulung rapi. Bajunya blazer mahal, mungkin sewa khas untuk sesi hari ni.
Dia tunduk ambil sekeping kertas dari lantai, baca nama.
“Siti Zaharah?” dia jeling pada perempuan yang langgar tadi.
“Bukan saya, tu bukan nama saya,” balas perempuan itu cepat-cepat.
Dia kemudian jeling tajam pada Hana — dari atas ke bawah. Matanya sinis.
“Pakaian macam ni... baju comot, tudung senget. Nak temuduga jadi PA CEO? Mimpi siang ke apa?”
Perempuan lain yang berdiri dekat-dekat pun mula bisik sesama sendiri. Ada yang tunduk, pura-pura tak pandang. Tapi senyum mereka tak dapat sorok.
Dia menyambung, “Kat sini semua ada degree. Ada yang dari luar negara. Bukan macam… awak.” Nada suara tinggi. Sombong.
Hana diam. Tak balas sepatah.
Dalam hati — “Kau tunggulah... nanti siapa yang gelabah dulu.”
Perempuan yang langgar tadi cepat-cepat kutip semua fail dan kertas Hana yang jatuh. “Saya minta maaf ya kak… Saya betul-betul rasa bersalah ni.”
Hana masih diam. Dia tenung baju sendiri yang dah basah lencun. Baru perasan ada dua orang staf sedang perhatikan dari kaunter depan.
Tanpa suara, Hana angkat tangan, beri isyarat tunjuk ke bajunya. Salah seorang staf faham, terus angguk dan bergegas ke arah lif. Pakaian ganti memang biasa disediakan untuk staf eksekutif, lebih-lebih lagi kalau namanya Puan Hana, isteri CEO.
Perempuan yang langgar tadi masih risau. “Saya kutip semua ni dulu ya kak, jangan marah… saya cuai sangat.”
Hana akhirnya bersuara perlahan, “Tak apa.”
Tapi dalam hati, “Kalau aku bukan mak budak, dah lama aku balas balik dengan ais blended satu muka.”
Hana malas nak layan pandangan sinis atau mulut celupar para calon tadi. Dengan wajah yang masih tenang, dia terus berjalan ke arah bilik persalinan khas yang terletak berdekatan dewan syarikat. Seorang staf wanita menyambutnya dan menyerahkan pakaian ganti yang sudah siap digosok — blazer hitam bergaya, blouse krim lembut dan tudung polos yang sesuai dengan wajahnya.
Beberapa minit kemudian, Hana keluar dari bilik itu dengan gaya berbeza — langkahnya yakin, wajahnya segar, auranya berubah. Isteri CEO yang sebenar dah muncul.
Fail yang tadi bersepah sudah kembali tersusun rapi dalam pelukannya. Dia terus menuju ke bilik temuduga. Di situ, beberapa staf HR sudah bersedia, termasuk seorang pegawai kanan HR yang menyambutnya dengan senyum profesional.
“Selamat pagi, Puan Hana.”
Hana menghulurkan fail hitam pekat itu. “Ini senarai tambahan.”
Pegawai itu menyambut dan terus membukanya. Baru dua helai dibuka, dahinya mula berkerut.
Tertulis jelas dalam format rasmi:
Peraturan Tambahan Untuk Pembantu Peribadi CEO Metro Nova
Tidak dibenarkan makan bersama CEO jika tiada klien.
Dilarang keluar malam dengan CEO walaupun atas urusan rasmi syarikat.
Dilarang menggunakan panggilan manja terhadap CEO.
Tidak boleh bergurau mesra atau menunjukkan minat peribadi terhadap CEO.
Telefon bimbit PA boleh diperiksa secara rawak untuk elak penyalahgunaan gambar CEO.
Pelanggaran mana-mana syarat boleh menyebabkan pemecatan serta-merta.
JIKA PA BERANI GODA CEO, KONTRAK AKAN DITAMATKAN TANPA RAYUAN.
Pegawai HR angkat muka. “Err... Puan Hana… saya rasa peraturan ni tak ikut garis panduan HR. Ini semua tak ada dalam polisi rasmi syarikat...”
Hana memeluk tubuh. Senyuman dia masih manis, tapi tajam.
“Saya tak peduli polisi syarikat. Ini polisi rumah tangga CEO.”
Pegawai HR terkebil-kebil.
“Dan satu lagi,” sambung Hana dengan suara yang makin tegas, “kalau Armand sendiri berani langgar satu je peraturan ni… saya bakar syarikat ni hidup-hidup.”
Tertelan air liur pegawai HR. Terus dia angguk. “Faham, Puan…”
“Bagus,” Hana senyum semula. “Sekarang, kita boleh mulakan sesi temuduga.”
Dia duduk di kerusi panel, menyilangkan kaki dengan penuh bergaya — bersedia menjadi penapis utama untuk jawatan paling sensitif di syarikat: PA CEO yang juga suaminya sendiri.
Pintu bilik temuduga terbuka.
Langkah Armand tenang, wajahnya seperti biasa — CEO yang tegas dan berkarisma. Tapi sebaik dia melihat fail yang terhidang di meja, tangannya laju mencapainya.
Matanya mencerun ke helaian yang tertera “Polisi Tambahan Pembantu Peribadi CEO”.
Dia baca satu per satu.
| Tidak dibenarkan makan bersama CEO jika tiada klien.
| Tidak boleh panggil CEO dengan nama manja.
| Telefon boleh diperiksa tanpa notis.
| Jika goda CEO, akan dipecat serta-merta…
Anak mata Armand makin membesar. “Ya Allah…” bisiknya perlahan.
Pegawai HR yang masih terkejut tadi segera bersuara, cuba memecahkan suasana.
“Err… Tuan Armand… semua peraturan ni… macam mana CEO boleh setuju dengan syarat-syarat yang… ketat begini?”
Armand angkat wajah, terus pandang Hana yang duduk bersilang kaki sambil senyum sinis.
Hana balas dengan satu pandangan tajam — satu jenis pandangan yang Armand sangat kenal. Pandangan yang bermaksud: kau cuba bantah, kau tidur luar sebulan.
Armand telan liur.
Kemudian dia kembali pandang pegawai HR dan bersuara selamba, “Peraturan ni… diterima.”
“Diterima?” HR ulang dengan nada tak percaya.
Armand senyum nipis. “Ya. Kalau saya tak terima… saya kena tidur luar bilik seminggu. Paling kurang.”
HR tergelak kecil — cuba tahan, tapi tak berjaya. “Aduh, faham, faham...”
Tapi tawa HR mati serta-merta bila mata Hana mencerlung tajam ke arahnya. HR tunduk semula, terus diam seribu bahasa.
Dewan kecil di tingkat dua bangunan Metro Nova Holding hari itu lebih meriah daripada biasa. Seramai 25 calon yang telah dipilih dari ratusan permohonan kini menanti giliran dengan harapan tinggi untuk jawatan penting — PA kepada CEO Metro Nova, syarikat milik penuh keluarga Armand Adam bin Dato’ Harith Adam.
Para calon kelihatan bergaya. Blazer berjenama, sepatu berkilat, dan wajah yang dihiasi keyakinan. Mereka tahu ini bukan sesi temuduga biasa. Jawatan ini penting, bukan saja kerana kedudukannya dekat dengan CEO, tetapi juga kerana ia hanya akan dipegang oleh seseorang yang benar-benar layak — dari sudut kerja... dan juga kesetiaan.
Sebelum sesi bermula, staf bahagian sumber manusia tampil memberi pengumuman.
“Terima kasih kepada semua calon yang hadir. Sebelum kita mulakan sesi temuduga, seperti biasa akan ada sedikit taklimat mengenai peranan dan tanggungjawab jawatan ini. Kami juga akan memperkenalkan kepada anda individu penting yang berkait rapat dengan posisi ini.”
Beberapa calon tegakkan badan, memperbetulkan posisi duduk.
HR berdiri dengan senyum tenang. “Dengan segala hormat, kami menjemput CEO Metro Nova, Tuan Armand Adam bin Dato’ Harith Adam.”
Tepukan perlahan bergema saat Armand melangkah naik ke pentas kecil itu. Segak dalam sut korporat, langkahnya tenang, wajahnya bersahaja — namun auranya, tegas dan berwibawa.
Sesaat selepas itu, HR menyambung,
“Dan seterusnya, dijemput Puan Hana Auni binti Aiman, Chief Marketing Officer Metro Nova Holding.”
Dan serentak dengan itu, Hana muncul dari sisi dewan — tampil berbeza sepenuhnya daripada kejadian di luar tadi.
Berpakaian kemas dalam blaus lembut warna krim dan skirt korporat, rambut disisir rapi, wajah berseri walau tanpa solekan tebal. Dia melangkah penuh keyakinan, seolah tiada apa-apa berlaku pagi tadi.
Tapi bisikan mula kedengaran.
“Eh… tu kakak yang saya langgar tadi, kan?”
“Dia nampak cantik gila sekarang.”
“Tapi kenapa dia naik pentas pulak?”
“Dia dah jadi PA ke?”
Yang lebih kuat terdengar, “Minah ni... sempat tukar baju. Tapi tetap tak layak. Tengok lah calon-calon lain, semua kelulusan luar negara.”
Hana mendengar semua itu. Tapi dia tetap tenang. Senyumannya masih terukir, langkahnya tidak terganggu walau sedikit pun.
Kemudian HR berdiri semula, dengan suara lebih tegas.
“Untuk makluman semua calon, Puan Hana Auni bukan sahaja merupakan CMO Metro Nova, tetapi juga merupakan isteri kepada CEO, Tuan Armand Adam.”
Dewan jadi sunyi sejenak.
Dumm!
Kerusi di barisan kedua bergerak kasar — salah seorang calon hampir jatuh dari duduk. Calon yang sebelum ini sombong dan menyuruh Hana balik, kini wajahnya pucat, berpeluh tiba-tiba walaupun aircond di dalam dewan itu sejuk mencecah 18 darjah.
Hana memandang ke arahnya. Tanpa senyum, hanya dengan mata yang tenang, dia berkata, “Err… kakak yang hampir jatuh tadi tu okay ke? Kalau perlukan bantuan boleh angkat tangan, ya.”
Perli yang halus tapi tajam.
Calon itu menunduk. Tidak berani bersuara. Calon lain pun mula diam. Ada yang terkebil-kebil pandang satu sama lain. Yang sebelum ini menyangka Hana hanyalah ‘salah seorang pesaing’ kini sudah mula sedar… mereka baru saja buat silap paling besar.
Armand hanya berdiri di sisi, memerhati isteri tercinta. Dalam hati, dia tahu — Hana bukan calang-calang wanita.
Dan mungkin, selepas hari ini, sesiapa yang ingat mereka boleh goda CEO dengan wajah cantik atau sijil luar negara… bakal menerima padahnya.
Hana Auni telah mula meninggalkan kesan. Dan dia belum pun mulakan sesi temuduga.
Suasana dalam dewan makin senyap. Calon-calon kini duduk tegak, masing-masing memasang telinga dan menyimpan reaksi. Riak wajah mereka berubah setelah mengetahui siapa sebenarnya wanita yang mereka perli sebentar tadi.
Hana dan Armand sudah pun turun dari pentas kecil. Mereka kembali ke meja panel yang terletak di bahagian hadapan dewan.
HR berdiri semula ke hadapan. Suaranya lantang, penuh penegasan.
"Sebelum kita mula sesi temuduga, saya ingin beri peringatan penting kepada semua calon."
"Ini bukan jawatan biasa. Jawatan pembantu peribadi kepada CEO bukan hanya tentang jadual harian, telefon dan emel. Ia berkait rapat dengan kesetiaan anda terhadap syarikat."
"Setiap langkah dan keputusan anda boleh memberi kesan secara langsung kepada imej syarikat, kepada pengurusan tertinggi, dan paling utama, kepada reputasi Tuan Armand Adam sendiri."
"Anda akan ditanya, dan anda akan diuji. Maka sediakan jawapan anda dengan penuh keyakinan dan kejelasan."
"Kami tidak mencari orang yang hanya tahu senyum dan tunduk."
"Kami cari yang berani berdiri di bawah tekanan, yang boleh menjaga amanah, yang setia dalam senyap."
"Jawapan yang anda beri selepas ini akan mencerminkan siapa diri anda sebenarnya."
HR mengakhiri ucapannya dengan anggukan ringan, sebelum kembali ke meja penilai.
Beberapa calon dilihat gelisah. Ada yang mula menilai semula diri sendiri. Seorang calon perempuan di bahagian belakang menarik nafas panjang, manakala yang lain menggenggam kuat resume mereka.
Share this novel