BAB 62

Romantic Comedy Series 1124

Mesyuarat sudah hampir ke penghujung.

Fail-fail telah bertukar tangan, idea sudah dilontar, dan beberapa cadangan dari Hana tadi sudah pun ditanda dalam nota Tasya yang comel bertabur sticker kecil “semangat” dan “fokus!”.

Kini... hanya tinggal seorang sahaja lagi yang belum beri laporan.

Dan semua mata secara automatik memandang ke arah Amran, staf paling baru yang baru cukup seminggu bekerja.

Amran duduk di hujung meja. Bahu mengecil. Badan makin tenggelam dalam kerusi.

‘Janganlah sebut nama aku. Janganlah sebut...’

Tapi seperti biasa... doa dalam hati memang jarang-jarang dimakbulkan semudah itu.

“Amran,” suara Hana tenang — tapi jelas dan tajam seperti laser yang halimunan.

Amran terangkat bahu sedikit.

Jantung dia berdegup. Kaki automatik bangun. Tangan laju lap peluh di dahi dengan tisu yang entah dari mana muncul.

‘Ni mesti sebab aku lambat tadi. Aduh, macam mana nak cakap aku tak banyak buat kerja? Nak terus terang ke nak reka ayat skema?’

“Tugasan awak minggu lepas,” Hana bersuara sambil buka semula fail catatan di hadapannya.

Amran tarik nafas.

Dia pandang semua staf — ada yang tunduk tahan senyum, ada yang buat-buat main pen. Tasya siap pandang siling, konon tak mahu campur. Encik Faizal pula pegang dagu, pandangan serius macam tengah baca analisis SWOT.

“Err... Puan Hana,” Amran mula, suara separuh yakin, separuh redha.

“Sepanjang minggu lepas, saya... saya lebih kepada belajar buat dokumen. Masih banyak yang saya tak faham.”

Amran telan air liur.

“Saya banyak bertanya pada staf lain. Tapi... kadang-kadang mereka pun sibuk. Jadi saya ambil masa cuba faham dulu dokumen dan sistem.”

“Saya belum sempat fokus pada mana-mana projek khusus. Tapi saya... saya cuba faham struktur kerja jabatan dan tugasan yang biasa dibuat.”

Amran tunduk.

‘Kalau kena marah pun, aku terima. Kalau kena buang pun, mungkin rezeki kat tempat lain...’

Suasana bilik mesyuarat senyap.

Hana angkat muka.

Pandangan dia pada Amran seketika.

Lama.

Sangat lama... sampai Amran rasa macam tengah berdiri depan panel temuduga neraka.

Kemudian...

Tepuk!

Hana tepuk tangan sekali.

“Baik. Itu sahaja.”

Semua staf ikut tepuk tangan.

Ada yang sambung tepuk dua kali macam irama lepas periksa sekolah rendah.

Amran masih berdiri. Bingung. Tak pasti... tu maksud selamat ke maksud ‘berilah tepukan terakhir buat sahabat kita’?

Tiba-tiba...

“Amran...” suara Hana sekali lagi.

“Nanti awak jumpa saya dalam bilik.”

Zzzuppp.

Semua tangan yang tepuk tadi automatik berhenti.

Amran rasa jantung jatuh sampai lutut.

‘Ah sudah... ini memang betul-betul hari terakhir aku. Tak ada harapan dah ni...’

Staf lain buat-buat sibuk simpan fail, tapi mata semua melirik ke arah Amran dengan pandangan simpati... dan sedikit terhibur.

Encik Faizal berdiri, mengangguk hormat kepada Hana sebelum keluar.

Tasya lipat buku notanya, tapi sempat jeling ke Amran sambil muncung kecil ke arah bilik Hana, konon bagi ‘semangat’.

Amran masih kaku.

‘Jumpa dalam bilik... kalau tak kena marah, mesti kena kaunseling. Atau kena suruh terus berhenti.’

Dia telan liur sekali lagi.

Mesyuarat bersurai.

Tinggal Amran dan ketakutannya.

Hana baru sahaja melabuhkan duduk di kerusinya. Satu hela nafas dilepaskan.

Biliknya yang berdinding kaca itu memang tampak eksklusif — elegan tapi lutsinar, seolah-olah seluruh dunia boleh nampak gerak-geri di dalam. Tapi hanya yang pernah duduk berhadapan Puan Hana akan tahu, bahang sebenar bukan datang dari lampu pejabat, tapi dari aura bos itu sendiri.

Tak sampai dua minit, pintu diketuk perlahan.

Tuk tuk tuk.

“Masuk,” suara Hana lembut tapi tegas.

Perlahan-lahan, pintu dibuka.

Amran menjelma dengan wajah berlapis seribu perasaan. Antara takut, cemas, lapar (sebab tadi makan roti je), dan redha.

Dia melangkah masuk, menutup pintu perlahan.

Langkahnya perlahan... macam masuk bilik guru sebab tak buat kerja rumah.

“Duduk,” arah Hana ringkas.

Amran duduk. Lutut rasa bergetar. Tangan digenggam atas meja supaya tak ketara dia menggigil. Bila mata bertentang dengan Puan Hana — mak ai, senyum tak, marah pun tak. Serius je muka. Lagi cuak.

“Awak baru seminggu bekerja, kan?”

Amran angguk. Perlahan.

“Saya tahu minggu pertama biasanya memang mencabar. Banyak benda tak faham. Banyak sistem yang masih baru. Dan... saya yakin staf lain pun belum sempat bantu sepenuhnya sebab mereka sibuk.”

Hana bersandar sedikit.

“Itu perkara biasa.”

Amran angkat kepala sikit.

“Tapi... saya nak awak tahu satu perkara, Amran.”

Nada suara Hana berubah jadi lebih perlahan. Ada tenang di dalamnya. Nada yang biasa digunakan seorang guru pada murid yang takut.

“Kalau tak faham, jangan pendam. Bertanya itu bukan tanda lemah. Tapi tanda awak nak maju. Nak belajar. Tak ada siapa dalam dunia ni terus pandai.”

Amran diam. Tapi dalam hati macam baru kena tiup angin sejuk dari syurga.

“Dan kalau awak nak berjaya, awak kena konsisten. Bukan buat kerja bila orang nampak je. Tapi buat sebab awak tahu itu tanggungjawab awak.”

“Tak perlu nak jadi pekerja terpantas. Tapi jadilah orang yang ikhlas bila bekerja.”

“Saya lebih hargai staf yang perlahan tapi jujur dan bersungguh... daripada yang nampak laju tapi tak jujur.”

Amran menelan air liur. Perlahan dia angguk. Kata-kata Hana macam ubat batuk. Lembut, tapi masuk terus ke dada.

“Saya tahu... staf-staf lain tu mesti dah ‘suap’ awak cerita pelik-pelik pasal saya, kan?”

Amran senyum kelat.

“Muka awak pun dah bagi jawapan,” Hana sambung sambil senyum sedikit.

“Mereka tu memang suka menyakat staf baru. Terutama kalau muka nampak mudah percaya macam awak.”

Amran tak tahu nak gelak ke nak menangis.

“Jadi jangan percaya sangat cerita mereka. Kalau betul saya garang, mereka semua tu dah lama berhenti. Tapi mereka masih di sini. Dah bertahun-tahun. Ada sebab kenapa.”

Amran tunduk. Tapi kali ini bukan takut.

Kali ini... lega.

Sangat lega.

“Terima kasih, Puan Hana. Saya janji saya akan belajar sebaik mungkin,” suara Amran keluar jujur — walaupun masih ada sisa gemuruh.

Hana angguk.

“Baik. Awak boleh keluar. Dan kalau ada apa-apa yang tak faham, terus jumpa saya atau Encik Faizal. Jangan malu.”

Amran berdiri, tunduk sikit sebagai tanda hormat.

Dia buka pintu perlahan dan keluar dari bilik.

Bila dia melangkah keluar, staf-staf yang berpura-pura menaip mula menjeling. Tasya sengih dari jauh sambil angkat kening — macam nak tanya: “Kena? Kena?”

Amran hanya senyum kecil... dan buat muka macam tak ada apa-apa.

“Rupanya... boss aku bukan macam cerita dalam mesyuarat. Mereka saja buat aku gemuruh. Tapi hari ni... aku tahu satu benda: bos aku, Puan Hana, bukan je tegas... tapi juga betul-betul manusia.”

Dan untuk pertama kali sejak seminggu bekerja... Amran rasa lega.

Pintu bilik Hana baru sahaja ditutup kembali selepas Amran melangkah keluar dengan wajah cerah sedikit daripada tadi. Hana bersandar sejenak, memejam mata sebentar sambil menghela nafas pendek.

“Fuh… budak tu boleh tahan dramatik muka dia tadi,” bisik hati Hana, tersenyum kecil seorang diri.

Tiba-tiba pintu diketuk lagi. Hana angkat kening.

Pintu dibuka sedikit dan muncullah wajah Tasya, pembantu peribadi merangkap ‘radar manusia’.

“Puan Hana… sorry ganggu,” suara Tasya perlahan sambil menjenguk separuh badan.

“Ada apa?” tanya Hana sambil duduk tegak.

Tasya masuk dan tutup pintu perlahan. Mukanya macam biasa, gabungan serius dan nak bagi kejutan kecil.

“Kawan puan… Cik Emylia. Dia ada kat reception. Nak jumpa puan.”

Mata Hana terangkat sedikit. Terus ada rasa hangat menjalar di dada. Emylia?

“Emy datang?” Hana ulang.

Tasya angguk.

“Nak saya minta dia tunggu ke?” tanya Tasya lagi.

Hana geleng perlahan, tapi mata masih renung meja. Seolah-olah satu dimensi kenangan dah terbuka semula.

“Tak payah. Lain kali, kalau Emy datang… benarkan dia terus masuk jumpa saya, ya?”

Tasya kelip mata laju dua kali. Macam tak percaya.

“Terus masuk?”

“Ya. Terus masuk,” ulang Hana, lebih tegas.

Tasya angguk. “Baik, puan.”

Sebelum keluar, Tasya sempat bertanya, “Cik Emylia ni special ya, puan?”

Hana tersenyum nipis, tapi pandangan masih ke luar cermin bilik pejabat.

“Saya dah pesan dekat dia… kalau dia datang maknanya dia terima pesanan saya. Dia tahu… saya takkan cari dia tanpa sebab.”

Tasya angguk walaupun dia sendiri tak faham sangat maksud dalam ayat tu.

“Baik puan. Saya panggilkan dia masuk sekarang.”

“Terima kasih, Tasya.”

Tasya pun melangkah keluar.

Hana tarik nafas perlahan. Tangannya kembali menari di atas meja, menyusun fail-fail yang tadi berselerak sedikit selepas meeting.

Sekejap lagi… Emylia akan masuk.

Dan Hana tahu, bila Emylia datang... itu bukan sekadar ziarah kosong.

Sudah beberapa minit Hana bersandar di sofa, termenung menghadap dinding kaca. Bosan juga kalau tunggu tanpa bunyi tapak kasut. Tapi akhirnya…

Klik!

Pintu bilik terbuka luas—langsung tanpa ketukan, tanpa salam, tanpa isyarat.

Masuk terus macam pejabat ni dia punya.

Hana terus pusing, muka tak puas hati.

“Wei! Masuk tu ketuk la pintu dulu,” tegur Hana, suara tegas separuh menyindir.

Emylia tayang muka tak bersalah sambil selamba tutup pintu dengan siku.

“Alaaa… ketuk ke tak ketuk, aku tetap masuk jugak,” jawabnya, buat muka tak bersalah tahap dewa.

Di tangan kanan ada dua cup kopi Starbucks. Tangan kiri pula jinjing plastik kecil berisi kuih-muih. Gaya macam baru balik dari ‘lawatan rasmi’ ke gerai tepi jalan.

Hana geleng kepala.

“Kau memang sejak dulu tak reti adab,” omel Hana sambil bangun dari sofa dan ikut Emy ke meja kecil di sudut bilik.

Emy terus susun kopi dan kuih atas meja.

“Kita minum petang,” umum Emylia dengan gaya bossy.

Hana duduk semula, jeling bekalan atas meja.

“Takkan kuih je? Takde nasi beriani ke, nasi ayam penyet ke?” perli Hana, tangan dah mula capai tart nenas.

Emy duduk bersilang kaki depan Hana, capai kopi dan straw.

“Oi! Takkan nak bedal benda tu petang-petang macam ni,” balas Emylia sambil muncungkan mulut. “Kata nak jaga badan. Makan macam gajah nanti, badan macam badak.”

Hana terkekek ketawa.

“Ceh, ayat tu bukan kau pakai dari tahun lepas ke? Tapi tiap kali minum petang, habis satu plastik kuih kau lenjan.”

Emy tayang muka selamba. “Itu aku tahun lepas. Tahun ni aku dah azam baru. Kuih pun aku makan separuh je.”

“Separuh plastik?”

Mereka berdua sama-sama tergelak besar.

Itulah mereka.

Gurau kasar. Mulut laser. Tapi tak pernah makan dalam.

Dari kecil sampai dewasa, masih sama. Kalau orang luar dengar, boleh ingat gaduh betul. Tapi dalam hati masing-masing, cuma ada kasih sayang dan rindu yang tak terucap.

Dalam suasana pejabat yang biasanya serius dan formal, gelak mereka petang itu jadi macam cahaya — menyinar balik semangat yang makin kelam beberapa hari ini.

Dan Hana tahu, bila Emy datang… bukan sekadar kopi dan kuih yang dibawa.

Tapi semangat lama, tawa zaman sekolah, dan tenang yang tak semua orang mampu beri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience