Pagi itu, rumah banglo dua tingkat itu riuh seperti biasa — cuma lebih panjang sedikit jeritannya kerana hari ini hari Ahad. Hari yang kononnya dikhaskan untuk ‘rehat’ oleh seluruh isi rumah, tapi sebenarnya penuh dengan misi yang lebih mencabar daripada mesyuarat lembaga: bawa Danish keluar bermain.
“Danish, awak dah mandi belum?” Suara Hana bergema dari arah dapur sambil tangannya ligat mengacau oat dalam periuk kecil. Bau manis madu dan susu menyerbu naik ke hidung — oat yang sepatutnya si kecil itu makan walaupun dia lebih rela kunyah biskut keras tiga bulan.
“Belum!” jerit Danish dari ruang tamu. Dia masih bergolek di atas karpet bulu sambil menonton rancangan kartun, lengkap berbaju tidur kartun dinosaur dan rambut serabai macam habis berlawan dengan kipas siling.
“Awak cakap semalam nak bangun awal!” Hana sudah keluar dari dapur, tangan bercekak pinggang. Wajahnya jelas tak puas hati, tapi dalam geram ada senyum kecil yang tak mampu disorokkan.
“Dia ikut siapa agaknya tu?” Armand menyelit dari sofa, masih bersandar dengan secawan kopi di tangan. Bibirnya mengulum senyum nakal.
“Dia ikut awaklah. Saya bangun Subuh tadi, siap sidai kain dekat belakang. Awak pukul lapan setengah baru celik mata,” balas Hana, menjeling tajam.
Armand buat-buat tenang. “Saya CEO. Dalam tidur pun saya sidai tanggungjawab.”
“Multi-tasking sangat sampai tuala awak pun saya yang lipat,” Hana mencelah pantas.
Danish tiba-tiba bangun dan memeluk patung gajahnya. “Saya lapar…”
“Tapi belum mandi!” Hana segera membalas. “Mana boleh makan kalau belum basuh gigi, sayang.”
“Gigi saya tak kotor… semalam saya gosok tiga kali,” hujah Danish sambil garu kepala.
“Ya… sebab awak makan coklat dekat belakang dapur pukul sebelas malam.”
Danish senyap. Gajah pun diam.
Tepat pada waktunya, Kak Lina muncul dari bilik tetamu dengan tuala kecil di tangan dan wajah ceria seorang pengasuh berjiwa ibu.
“Jom, Danish. Kita mandi. Hari ni nak main pasir, kan?” suara Kak Lina lembut.
Danish meloncat bangun seolah-olah baru dicucuk bateri baharu. Gajah terbang entah ke mana. Dia terus memeluk kaki Kak Lina sambil melompat kegirangan.
“Saya nak korek lubang besar sampai Afrika!” jeritnya gembira.
“Jangan sampai Singapura pun dah cukup,” Armand mencelah sambil menyambung hirupan kopi dan menggeleng perlahan.
Hana ketawa kecil sambil kembali ke dapur. Pagi Ahad memang tak pernah tenang… tapi itulah yang buat hidup mereka berwarna.
Cuaca pagi itu benar-benar memihak kepada mereka—langit cerah, angin sepoi-sepoi bahasa, dan matahari bersinar malu-malu, tidak terlalu terik. Suasana sesuai benar untuk keluarga kecil itu berkelah santai. Armand duduk di sebelah Pak Rahman di dalam kereta, memberi arahan ringkas.
“Pak Rahman, kita pergi taman rekreasi yang ada playground dan kolam cetek tu ya. Yang dekat tepi tasik tu.”
“Baik, Tuan Armand,” balas Pak Rahman sambil memulas stereng dengan tenang.
Di tempat duduk belakang, Hana sedang menyuap Danish potongan epal, sementara Kak Lina sibuk memastikan topi Danish tak terbalik lagi ke belakang kepala.
Sampai saja di taman, Danish melompat turun dari kereta sebelum sempat siapa-siapa buka tali pinggangnya.
“Woi! Danish!” jerit Hana, spontan. “Awak belum pakai sunblock!”
“Main dulu!” Danish menjerit tanpa toleh, berlari macam pelarian dari tapak perkhemahan. Lima saat lepas itu, dia hilang dari pandangan.
“Awak tengok tu!” Hana berpusing ke arah Armand dengan wajah panik. “Dia dah hilang! Macam kena culik!”
Armand yang sedang keluarkan tikar piknik dari bonet, menoleh tenang. “Awak relaks sikit. Dia tak kena culik—dia menculik perhatian saya setiap hari.”
Hana menjeling. “Tak kelakar.”
Armand menuding jari ke satu sudut. “Tu dia kat pasir. Tengah buat gunung. Atau... kubur? Saya tak pasti.”
Danish duduk mencangkung di tengah-tengah pasir, fokus. Tangannya sibuk mencedok pasir dengan plastik kecil warna merah, sambil menabur pasir atas kepala sendiri dengan penuh semangat.
“Saya buat rumah dinosaur!” jerit Danish sambil senyum bangga. Pasir melekat di dahi, baju, dan celah kening.
Kak Lina segera datang dari arah bangku, bawa bersama kipas tangan lipat warna merah jambu. Dia berdiri di sebelah Danish dan mula kipas perlahan-lahan seperti pengawal diraja.
“Sultan kecil dah mula projek mega,” gumam Kak Lina dengan gaya hormat sambil terus mengipas.
Armand dan Hana berdiri di sisi taman sambil tengok telatah anak mereka. Hana menyandar pada lengan Armand.
“Dia ni memang perangai bos kecil,” bisik Hana, senyum tak putus.
Armand mengangkat kening. “Bukan kecil. Genetik CEO. Cakap pun kuat, main pun arah-arah orang. Saya bangga.”
Mereka ketawa perlahan. Cuaca, suasana dan gelak tawa anak mereka menjadi latar belakang sempurna untuk satu pagi Ahad yang hampir sempurna.
Setelah puas main pasir dan ‘bina rumah dinosaur’, Danish mengesat tangannya yang kotor pada seluarnya sendiri—dan pada baju Kak Lina juga, sebelum menarik tangan wanita itu penuh semangat.
“Kak Lina! Mari main jongkang-jongket!” jeritnya, mata bersinar macam nampak kapal angkasa turun dari langit.
Kak Lina yang baru duduk hendak tarik nafas, terus ditarik bangun oleh ‘tuan muda’ itu.
“Saya nak duduk sini,” kata Danish, menunjuk bangku sebelah kiri. “Kak Lina duduk sana!”
“Baik tuan,” Kak Lina membalas dengan gaya separa formal, lalu mereka pun duduk masing-masing di hujung jongkang-jongket itu.
Belum sempat kira sampai tiga, baru Danish letak punggung—fwip! dia terus melambung naik ke udara macam bunga raya diangkat angin.
“Aaaahhhh!” Danish jerit sambil ketawa. “Kak Lina berat sangat!”
Kak Lina tergamam, ketawa tak sempat kawal. “Eh, kurang asam! Awak yang makan banyak nugget malam tadi! Bukan salah saya!”
Danish terkekek di atas, tak reti nak turun. Kakinya hayun-hayun di udara.
Armand dan Hana yang baru letak tikar di bawah pokok terus berpaling. Hana gelak terbahak-bahak sampai tertunduk.
“Lain kali kita bawa penimbang berat siap-siap sebelum main,” katanya sambil lap air mata gelak. “Atau kita timbang nugget Danish makan sehari sebelum.”
“Bukan salah saya, Mama! Kak Lina macam badak!” Danish bersuara dari atas, masih terawang-awangan.
“Oi!” Kak Lina berpura-pura merajuk. “Saya cabut lencana babysitter sekarang juga!”
Armand dari sisi diam-diam keluarkan telefon. Dia sempat zoom wajah Danish yang berpeluh sambil teriak, dan wajah Kak Lina yang terpaksa tahan jongkang-jongket itu dengan tapak kaki.
“Saya akan buat slideshow ni masa Danish kahwin nanti,” gumam Armand.
“Eh, tak boleh! Nanti saya malu!” Danish jerit. Tapi dalam masa yang sama, dia ketawa juga.
“Kalau macam tu, jangan kahwin,” balas Armand sambil rakam lagi. “Duduk rumah dengan Mama sampai tua.”
Hana senyum. “Setuju.”
Dan di bawah matahari pagi yang makin meninggi, tawa mereka terus beralun, mengisi ruang taman dengan kenangan manis yang tak ternilai.
Selepas puas bermain jongkang-jongket, Danish tiba-tiba teringat sesuatu yang penting — aiskrim!
Dia terus berlari laju ke arah gerai aiskrim yang terletak di tepi taman, dengan langkah kecil tapi penuh semangat.
“Saya nak aiskrim warna biru! Warna unicorn!” jerit Danish penuh keyakinan, seolah-olah dia sedang buat tempahan paling penting dalam hidupnya.
Hana yang berjalan di belakang tersenyum sambil menegur, “Unicorn tak warna biru, sayang. Unicorn warna pelangi, ingat tak?”
Danish berhenti sekejap, menoleh dengan muka serius. “Ni unicorn versi Frozen,” jawabnya ringkas, sebelum melompat balik ke barisan untuk beli aiskrimnya.
Akhirnya, aiskrim warna biru itu sampai ke tangan Danish, dan dengan penuh gembira dia mula menjilatnya.
Tiba-tiba, tanpa disangka, aiskrim itu terlepas dari tangan kecilnya dan jatuh terus ke tanah.
“Aiskrimmmm sayaaa!” Danish menangis kuat, penuh dramatik macam dalam filem Tamil — tangan dia mengibas-ngibas, muka merah padam, air mata mula mengalir deras.
Armand yang melihat itu, terus bergegas ke gerai aiskrim dan beli tiga lagi sekaligus.
“Buat stok jatuh,” katanya sambil tersenyum lega, seraya menyerahkan satu kepada Danish yang masih meratap.
Kak Lina pula menggeleng kepala sambil melangkah ke tepi, menyandarkan badan ke pokok.
“Tapi lepas ni saya nak duduk dekat pokok je,” keluhnya. “Berpeluh otak saya layan bos kecik ni.”
Hana tersenyum, memandang anak dan pengasuhnya yang sudah mula tenang sambil makan aiskrim masing-masing.
“Kalau macam ni setiap hari, memang pokok pun penat,” gumam Hana, dan mereka bertiga ketawa bersama.
Danish masih dengan aiskrim di tangan. Kali ketiga dah ni. Muka penuh comot, tapi senyuman tak lekang.
Hana duduk di bangku taman, bersandar rapat ke lengan Armand yang masih sibuk memerhati Danish dari jauh.
“Awak tahu tak,” Hana mulakan perlahan, “tahun depan Danish dah masuk tadika.”
Armand angkat kening. “Eh? Serius cepat. Rasa macam semalam dia main cucuk stop kontak dengan sudu besi.”
“Jangan ingat kenangan gila tu, awak yang jerit dulu,” Hana geleng kepala sambil tergelak kecil.
Armand tarik nafas. “Saya ingat sangat. Trauma.”
Hana senyum nipis. “Saya dah mula tengok-tengok tadika. Tapi saya tak nak yang kerajaan.”
Armand toleh. “Kenapa pula? Saya dulu tadika kerajaan je, boleh je hidup... jadi CEO, kot.”
“Ya lah, tapi sistem sekarang dah lain. Saya nak tempat yang lebih fokus pada pembelajaran. Kurikulum yang jelas. Bukan main dan mewarna sepanjang hari.”
“Ohhh…” Armand angguk perlahan. “Awak nak Danish belajar phonics, Mandarin, coding, semua tu awal-awal?”
“Taklah sampai dia keluar tadika terus jadi programmer. Tapi saya nak dia seronok belajar, bukan sekadar pergi makan biskut dan tidur.”
Armand tersenyum. “Okay. Jadi kita cari tadika swasta yang ada pendekatan pembelajaran lebih ‘eduksion’. Siap kelas robotik, mungkin?”
“Robotik tu nanti dulu. Saya nak cikgu yang pandai ajar sebut huruf pun dah cukup bagus.”
Armand angguk sambil pandang Danish. “Yup. Dia jenis cepat tangkap. Tapi cepat hilang fokus juga.”
“Sebab tu cikgu kena terlatih. Saya tak kisah bayar lebih, asalkan berbaloi,” Hana tegas.
Armand tenung Hana beberapa saat sebelum bersuara, “Saya tak kisah juga. Asalkan bukan cikgu yang eja 'sains' jadi 'sayins' dekat papan putih.”
Hana tergelak. “Kalau dapat yang tu, saya sendiri tulis surat berhenti!”
Mereka tergelak bersama. Di hadapan, Danish angkat tangan kecilnya sambil jerit, “Tengok! Aiskrim saya ada bentuk gigi!”
“Ya Allah… dia gigit sendiri,” Armand geleng kepala sambil ketawa.
Petang makin redup. Danish masih sibuk melukis sesuatu di pasir—kemungkinan besar itu gajah berkaki empat yang kelihatan seperti sudu bengkok.
Hana menyelak skrin telefon, scroll galeri gambar tadika swasta yang dah dia ‘bookmark’ sejak minggu lepas. Dia menoleh ke Armand yang sedang duduk bersilang kaki, bersandar selesa di bangku taman.
“Awak tahu tak, pendaftaran tadika tu dah dibuka. Saya dah save link dalam grup WhatsApp kita,” ujar Hana tenang, tapi pandangannya tajam — tanda ini bukan sekadar perbualan manja.
Armand perlahan-lahan toleh. “Saya? Kenapa saya?”
“Sebab saya CMO. Awak CEO. Jadi kerja-kerja hantar anak ke tadika elit ni, tanggungjawab awak. Awak kan suka delegation of task.”
Armand pegang dada. “Astaghfirullah. Saya cuma tak sangka, saya akan dapat misi sebesar ni.”
“Saya serius, Armand. Saya nak tadika yang ada sistem modular, guru berpengalaman, dan syllabus yang berstruktur. Ini bukan main-main.”
Armand mengangguk, dramatik. “Baiklah. Saya akan mula dari sekarang. Susun fail peribadi, mohon cuti dua hari, cetak borang, dan… mungkin buat resume Danish sekali.”
Hana terhenti. “Resume?”
“Ya. Untuk masuk tadika sekarang, kita kena jual profil. Danish boleh sebut huruf A sampai G, tahu tekan remote, dan kenal beza sabun dengan aiskrim.”
Hana tergelak besar. “Tapi dia tetap makan aiskrim lepas jatuh atas pasir.”
“Betul. Tapi dia ada daya tahan imun yang kuat. Itu pun boleh masuk dalam CV.”
Hana sengih sambil geleng kepala. “Saya takut cikgu dia pengsan nanti.”
Armand julingkan mata. “Kalau cikgu dia pengsan, kita tukar tadika. Next!”
Share this novel