Hana berdiri di depan pintu pejabatnya sambil menarik nafas panjang. Hari Isnin. Musuh tradisi manusia sejak zaman sekolah lagi.
"Baru Isnin... tapi rasa macam dah Khamis minggu depan," rungutnya dalam hati sambil menolak daun pintu pejabatnya yang berkilat itu.
Malam tadi dia tidur seorang diri. Armand ada urusan luar daerah. Katil besar jadi medan berguling tanpa siapa-siapa nak tarik selimut. Sekali dua dia dengar bunyi pintu—rupa-rupanya angin. Bukan Armand. Bukan juga hantu. Cuma angin dan kesunyian yang menempel sepanjang malam.
Hana berjalan ke mejanya perlahan seperti zombie cari kopi. Belum sempat dia duduk, pintu diketuk.
Tok tok tok!
Tasya munculkan diri macam biasa. Pantas dan cekap. Entah makan apa pagi-pagi, bertenaga macam minum espresso terus dari botol.
“Puan Hana, selamat pagi!” sapa Tasya sambil tersenyum. “Ada mesyuarat pukul sepuluh nanti dengan Bahagian Kewangan.”
Hana memejam mata sekejap. “Meeting… lagi?”
Dia buka mata perlahan, pandang Tasya dengan gaya kosong—macam iklan ubat migrain.
“Ni dah masuk fasa mesyuarat setiap empat jam ke, Tasya? Saya rasa minggu ni baru hari pertama, tapi kepala saya dah rasa macam minggu ke-empat.”
Tasya senyum simpul. Dia dah biasa dengan gaya Hana bila penat atau belum cukup tidur.
“Mesyuarat bajet, puan. Semakan forecast. Laporan suku ketiga. Saya dah mula susun dokumen. Nak saya sediakan sekali aspirin dan tisu?”
Hana tergelak kecil. “Kalau boleh, sediakan sekali kipas tangan. Supaya saya boleh kipas diri masa nak marah dalam meeting nanti.”
“Noted, puan,” jawab Tasya selamba. “Kalau puan perlukan kipas elektronik pun saya boleh cari kat Shopee. COD.”
Hana ketawa perlahan. “Tasya… cepat sangat belajar budaya ‘survive’ pejabat ya.”
“Belajar dari puan juga.”
Hana mengangguk kecil, sambil duduk di kerusinya yang empuk. Dia membuka komputer riba, sambil membelek telefon yang penuh dengan notifikasi WhatsApp dan e-mel yang tak sempat dibuka sejak malam tadi.
Pandangannya terhala ke luar jendela pejabat. Kuala Lumpur masih sibuk. Orang lain mungkin baru selesai beli sarapan. Tapi dia?
Baru pukul sembilan pagi, tapi mood dah macam baru kena balik dari perang.
“Meeting bajet…” Hana mengeluh sendiri. “Macam mana nak bajet emosi aku ni kalau hari-hari kena masuk mesyuarat?”
Mesyuarat dengan Bahagian Kewangan baru saja selesai. Hana keluar dari bilik mesyuarat dengan langkah longlai, macam baru tamat larian 10 kilometer tanpa air mineral. Dua jam penuh dengan istilah bajet, pecahan kos, dan soalan-soalan teknikal yang buatkan dia terpaksa berfikir tiga lapis.
“Saya ulang ya, puan… yang ni ‘budget carried forward’, yang ni ‘revised allocation’,” suara pegawai kewangan tadi masih terngiang dalam kepala.
“Carried forward kepala hotak aku...” bisik Hana dalam hati sambil menekan butang lif.
Setibanya di bilik, dia campak tubuh ke kerusi. Nak buka kasut pun rasa malas. Dia pandang siling.
“Ini baru hari Isnin, Hana. Belum masuk audit lagi,” katanya sambil menarik nafas panjang.
Tiba-tiba telefon bimbit atas meja bergegar.
Bzzzt.
WhatsApp Notification – Fakhri.
Hana celik mata. “Ha… mula dah. Ni mesti bukan pasal kerja.”
Dia buka mesej itu perlahan. Tak tahu kenapa, setiap kali Fakhri hantar mesej yang bunyinya “nak jumpa”, dia automatik rasa letih.
Fakhri: Kak Hana, free tak petang ni? Saya nak jumpa. Sekejap je, janji. Ada benda penting.
Hana tenung skrin. "Setiap kali kau kata ‘sekejap je’, aku rasa macam nak bawak sleeping bag siap-siap."
Belum sempat dia balas, satu lagi gegaran telefon datang.
Bzzzt.
WhatsApp Notification – Armand
Hati Hana terus lembut macam agar-agar goyang. Terus dia buka mesej. Satu... dua... tiga mesej berturutan.
Armand: Sayang okay tak? Dengar cerita tadi ada mesyuarat bajet. Kepala pening ke kepala pusing?
Armand: Kalau saya ada, dah lama saya belikan kopi dan urut tangan awak tu. Tapi sekarang ni saya dekat Penang, dan urut dari jauh tak jadi. Huhuhu.
Armand: Rindu. Nanti saya balik kita buat ‘post-budget celebration’ ya. Saya belanja… dan saya minta balasan.
Hana ketawa perlahan. Dia tak dapat tahan senyum.
“Nakal. Tapi romantik. Tapi tetap nakal.”
Dia menaip perlahan.
Hana: Saya okay je. Letih sikit. Tapi rindu awak lebih sikit dari letih tu.
Telefon ditutup, tapi senyum masih melekat di wajah. Entah kenapa, walaupun jauh di Penang, Armand tahu je bila waktu paling sesuai untuk ganggu dia dengan ayat jiwang tahap sederhana. Tak terlalu manis sampai muntah. Just nice.
“Siapa tak sayang laki, oii…” bisik Hana sambil menyandar semula.
Tapi kemudian matanya kembali tertumpu pada mesej Fakhri.
“Hai Fakhri… nak jumpa sangat petang ni. Harap-harap bukan cerita yang buat darah aku naik lagi.”
Dia capai telefon semula.
Hana: Petang nanti pukul lima, saya free. Jumpa kat kafe bawah. Jangan lebih 30 minit, saya ada Zoom lepas tu.
Lepas tekan hantar, Hana bangun dan menuju ke pantri. “Kalau aku nak hadap lagi satu sesi macam tadi, baik aku bancuh kopi dulu. Atau sedut O2 dari tingkap.”
Belum sempat Hana meneguk kopi yang dia bancuh sendiri tadi—yang sepatutnya jadi penenang jiwa selepas mesyuarat bajet yang meletihkan—pintu bilik diketuk sekali lagi.
Tok tok tok!
Tasya menjenguk kepala, kali ini dengan fail di tangan dan wajah penuh tanda ada “hal penting”.
“Puan Hana…” sapa Tasya perlahan, “ingat lagi minggu lepas puan ada buat permohonan pengambilan staf baru?”
Hana letak cawan kopi atas meja. “Hmm... yang pembantu pentadbiran tu? Sebab staf lama berhenti, nak balik kampung jaga mak dia, kan?”
Tasya mengangguk. “Ya puan. HR dah aturkan sesi temu duga.”
“Oh bagus. Bila?”
Tasya buka mulut, “Esok, puan. Pukul sembilan pagi.”
Hana terdiam. Mata terbeliak. Kerusi hampir senget ke belakang. Kalau tak berpaut pada meja, mungkin dah betul-betul tergolek.
“ESOK??!”
“Ya, puan.”
“Alamak… esok saya kena pergi Penang lah!” kata Hana, suara dah naik satu oktaf. “Pembentangan proposal tu… kenapa saya boleh lupa benda besar macam ni?”
Tasya senyum simpul, bersedia dengan cadangan penyelesaian. “Puan nak tangguh ke, atau teruskan dan saya wakilkan puan dengan panel HR?”
Hana urut dahi. “Tasya… kepala saya tengah loading. Betul-betul loading. Macam fail Excel buka serentak dengan PowerPoint dan Google Meet.”
Dia capai telefon bimbit dan terus mesej Armand.
Hana:
Sayang, kita present proposal pembelian saham tu bila ya? Saya confuse dengan tarikh sendiri.
Tak sampai dua minit, mesej masuk semula.
Armand:
Hari Rabu, lepas makan tengah hari. Lokasi: Hotel tempat biasa kita meeting.
Jangan risau. Saya urus bilik mesyuarat dan LCD projector. Awak bawa diri dan senyuman manis je
Hana senyum sedikit. Of course Armand balas macam nak pujuk orang kena marah.
Dia balas ringkas.
Hana:
Okay. Kalau macam tu, saya gerak Rabu pagi. Rasa sempat lagi tu.
Telefon diletak perlahan di sisi. Hana hembus nafas panjang, seolah-olah baru selesai menyusun semula jadual hidupnya.
Kemudian dia berpaling ke arah Tasya yang masih sabar berdiri di depan meja.
“Okay Tasya, kita teruskan temu duga esok. Tak payah tangguh. Saya gerak ke Penang Rabu pagi.”
“Baik, puan. Saya akan sediakan semua dokumen. Resume calon, senarai pendek, dan soalan temuduga standard.”
“Good,” kata Hana sambil kembali menyandar. “Kalau saya tertanya-tanya nama sendiri esok, tolong tepuk saya sikit ya.”
Tasya tersenyum. “Kalau puan tertanya-tanya nama calon, saya tepuk dua kali.”
Hana ketawa kecil.
“Hari Isnin ni memang padat ya, Tasya. Penat dia bukan biasa-biasa. Tapi, kita teruskan… esok ada calon nak diuji.”
Hana melihat jam. Sudah hampir pukul 4.30 petang.
Masih ada sedikit masa sebelum waktu kerja tamat — dan sebelum dia bertemu Fakhri seperti dijanjikan.
“Jumpa sekejap je,” katanya. Tapi dalam kamus Fakhri, ‘sekejap’ tu kadang-kadang lebih panjang dari episod drama 1 jam setengah. Hana menggeleng kecil.
Tapi sebelum fikir panjang pasal Fakhri, dia capai semula fail yang tadi Tasya letakkan atas meja. Laporan kempen suku keempat. Proposal pemasaran digital. Dan surat lantikan vendor baru.
Tandatangan. Semak. Lulus. Komen.
Satu demi satu dia teliti dan lengkapkan. Kadang-kadang mulutnya membebel perlahan.
“Siapa pula yang letak slogan macam ni… ‘Anda Pujaan Hati Kami’... eiii, macam borang kahwin pula bunyinya.”
Selesai tiga dokumen, Hana hembus nafas panjang. Dia sandar sekejap.
Tiba-tiba pintu bilik diketuk lagi.
Tok tok.
Kali ini bukan fail. Tapi kepala Tasya yang menjenguk masuk, sambil mengangkat dua cawan kertas.
“Puan Hana, jom rehat lima minit. Saya ambilkan kopi dari pantri. Ada kuih seri muka. Kak Asmah bawak dari rumah.”
Hana senyum. “Seri muka? Dah lama tak nampak ‘seri’ dalam hidup saya ni.”
Tasya tergelak, dan mereka berdua bergerak ke pantri.
Pantri kecil itu dihiasi dengan beberapa pasu bunga plastik dan nota motivasi yang dah pudar warna. Dua orang staf lain sedang berbual perlahan, memberi ruang pada Hana dan Tasya duduk di sudut meja kecil.
“Puan, tadi saya dengar dari HR. Calon temu duga esok tu ada seorang tu resume dia power. Tapi nama dia pelik sikit… ‘Bob Jebat’,” kata Tasya sambil meneguk kopi.
“Bob… Jebat?” dahi Hana berkerut. “Ni nak temuduga kerja ke nak lawan Hang Tuah?”
Mereka berdua tergelak.
“Kalau dia jawab soalan guna pantun, saya terus bagi dia lulus,” sambung Hana berseloroh.
Selesai kopi dan sepotong kuih, Hana kembali ke biliknya.
Dia buka komputer riba dan terus ke e-mel. Ada 18 e-mel belum dibuka. Dan 12 notifikasi WhatsApp kerja.
“Ni bukan e-mel, ni macam azab bertulis,” rungutnya.
Dia baca satu demi satu. Balas vendor. Tandakan yang penting. Abaikan mesej group yang entah siapa hantar gambar kucing pakai blazer.
Lepas setengah jam, semuanya selesai.
Hana akhirnya menyandar kembali.
“Okay… kerja selesai. Otak pun macam dah stabil semula.”
Dia melihat jam. Hampir pukul 5.15 petang.
“Masa untuk jumpa budak tu pulak.”
Dia ambil beg kecil, sapu sedikit bedak di muka — bukan sebab nak cantik, tapi tak nak nampak macam baru selesai perang bajet.
Hana bangun. Langkahnya mantap.
“Janganlah drama sangat, Fakhri. Hari ni saya nak balik awal.”
Share this novel