Keesokan harinya, kafe kecil di tepi pejabat itu seperti biasa dipenuhi pelanggan yang datang dan pergi. Hana duduk bersama Emy dan Tasya, menikmati hidangan tengah hari mereka. Suasana santai itu dipenuhi dengan gelak tawa dan perbualan ringan.
“Hana, kau macam tak seronok hari ni. Ceritalah sikit, mana tahu boleh lega,” Emy memandang Hana dengan penuh perhatian.
Hana menghela nafas panjang.
“Tak ada apa, cuma banyak benda bermain di kepala.”
Tasya menyengih, “Benda kerja ke? Jangan simpan sorang-sorang, share dengan kami.”
Hana cuba tersenyum, tetapi matanya tak lekang memandang pintu kafe.
Tiba-tiba, pintu itu terbuka dan masuk seorang lelaki. Langkahnya perlahan tapi penuh tujuan. Hana mengenalinya — Fakhri.
“Kenapa dia datang sini?” Hana bertanya dalam hati, rasa tidak senang mula membuak.
Fakhri melangkah ke meja mereka, suara sedikit perlahan, “Kak Hana… boleh saya cakap sekejap?”
Emy dan Tasya saling berpandangan, mata mereka terpaku pada wajah Hana yang tiba-tiba berubah serius.
Hana menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal perasaannya.
“Emy, Tasya, korang balik dulu. Aku nak bercakap dengan dia seorang.”
“Kalau kau perlukan apa-apa, call kami cepat!” Emy berbisik, wajahnya penuh kebimbangan.
Setelah mereka berdua pergi, suasana menjadi sunyi. Hana memandang Fakhri, menunggu apa yang ingin dia katakan.
Tiba-tiba, tanpa diduga, Fakhri jatuh berlutut di depan Hana.
“Kak Hana… aku minta maaf. Aku tak sangka apa yang aku buat dulu boleh menyakitkan hati kau sampai macam ni,” suaranya hampir tersekat-sekat.
Orang-orang di kafe mula menoleh ke arah mereka, bisik-bisik kecil terdengar. Hana terasa canggung, hatinya berdebar-debar.
“Bangunlah, Fakhri. Jangan buat macam ni,” kata Hana dengan nada sedikit tegas tapi lembut.
Fakhri perlahan-lahan bangun dan duduk kembali di kerusi.
“Kalau kak Hana boleh maafkan aku, aku akan balik kampung jumpa ibu ayah aku dan terus keluar negeri. Aku tak nak ganggu hidup kak Hana lagi.”
Hana termenung, memandang wajah penuh penyesalan itu. “Aku boleh maafkan kau… tapi jangan harap aku boleh lupa apa yang kau dah buat.”
Fakhri mengangguk, penuh harapan. “Itu pun dah cukup untuk aku.”
Keheningan menyelubungi mereka seketika. Hana tahu, ini permulaan baru yang tidak mudah, tapi dia bersedia membuka lembaran baru walaupun luka belum sembuh sepenuhnya.
Di luar, pintu kaca kafe terbuka lagi. Armand melangkah masuk dengan jaket hitamnya, wajah serius seperti biasa. Dia baru sahaja keluar dari pejabat, niatnya cuma mahu mengejutkan isterinya dengan ajakan makan tengah hari bersama.
Namun dari arah meja kaunter, Tasya yang sedang membayar makanan takeaway untuk dirinya dan Emy terhenti. Matanya membulat melihat susuk itu.
“Cik Emy…” Tasya bersuara perlahan tapi penuh drama, mencondongkan badan ke arah Emy.
“Habislah bos saya. Kalau tuan Armand nampak puan dengan orang lain… pedang besar ni dah keluar.”
Nada Tasya seperti orang menonton filem aksi, membuat Emy tersentak.
“Apa kita nak buat, Tasya?” Emy membalas dengan suara berbisik, matanya melirik ke arah Hana dan Fakhri yang masih duduk berdua. Tasya mengangkat bahu dengan wajah panik kecil.
“Tak tahulah… kalau saya boleh jadi ninja, saya dah tutup muka tuan Armand sekarang.” Dia menutup mulut, cuba menahan senyum yang bercampur cemas.
Namun langkah Armand semakin laju. Wajahnya berubah bila matanya tepat menangkap pemandangan Hana duduk berdepan dengan seorang lelaki asing — Fakhri.
Dari tempat mereka berdiri, Emy dan Tasya hanya mampu menelan liur. Mereka tahu, drama sebenar baru sahaja bermula.
Armand melangkah masuk ke kafe, matanya mencari-cari Hana. Dia sengaja datang tanpa mesej, mahu memberi kejutan makan tengah hari bersama. Namun langkahnya terhenti tiba-tiba.
Di sudut kafe, Hana duduk berdepan dengan seorang lelaki. Lelaki itu condong sedikit ke hadapan, wajahnya kelihatan bersungguh-sungguh berkata sesuatu.
"Siapa lelaki tu…?” getus hati Armand, dadanya mula berdegup kencang. Fikirannya pantas membentuk kesimpulan yang paling buruk. Nafasnya terasa berat, dan darahnya seperti mendidih.
Dia tidak menunggu untuk bertanya. Tidak mahu menilai dahulu. Langkahnya deras menuju meja itu, tapak kasut menghentak lantai kayu kafe.
Tanpa sepatah kata, BAM! — penumbuk Armand hinggap tepat di pipi Fakhri.
Fakhri tersentak, tubuhnya terdorong ke belakang sehingga hampir jatuh dari kerusi. Beberapa pelanggan terhenti mengunyah, ada yang menutup mulut, ada yang cepat-cepat mengeluarkan telefon untuk merakam.
Hana ternganga. “Armand! Kenapa awak tumbuk dia?!” suaranya naik, matanya membulat antara marah dan terkejut.
Armand memandang Hana dengan mata merah menyala.
“Berani tanya lagi soalan tu, Hana?” katanya, suaranya bergetar menahan amarah. Dia menghunuskan jari ke arah Fakhri yang masih memegang pipi.
“Itu sepupu saya! Anak kepada Maksu!” suara Hana semakin tinggi, nada marah bercampur cemas. Dia cuba berdiri untuk menghalang Armand. Namun Armand menggeleng perlahan, nadanya sinis.
“Sepupu? Jangan tipu aku, Hana. Aku nampak sendiri… cara kau tengok dia… cara dia pandang kau. Kau curang.”
Kata-kata itu seperti belati menusuk dada Hana. Nafasnya tersekat.
“Saya tak—”
“Dah cukup! Jangan cuba pusing cerita,” potong Armand, matanya tak lepas dari wajah Hana. Fakhri, yang sejak tadi diam, cuba bangun sambil berkata perlahan,
“Aku… aku cuma—”
Tapi Armand melangkah selangkah ke arahnya, membuatkan Fakhri kembali berundur.
“Diam kau! Aku tak nak dengar satu patah pun daripada kau.”
Hana memandang Armand dengan mata berkaca. “Kenapa awak tak percaya cakap saya? Kenapa awak sanggup fikir yang paling buruk pasal saya?” suaranya bergetar, separuh marah, separuh sedih.
Armand tidak menjawab, hanya mengalihkan pandangan, cuba mengawal rasa marah yang membuak.
Di sekeliling mereka, bisik-bisik mula kedengaran. Seorang pelayan cuba mendekat, tetapi segera berundur apabila merasakan aura tegang itu.
Fakhri akhirnya berdiri tegak walau sedikit terhuyung. Dia memandang Hana sebentar, kemudian berkata dengan nada pasrah,
“Baiklah… aku pergi.” Tanpa menunggu jawapan, dia melangkah keluar dari kafe, meninggalkan pasangan itu dalam hening yang penuh bara.
Hana menunduk, air mata menitis tanpa sedar. Dia tahu — kepercayaan Armand telah retak… dan mungkin mustahil untuk kembali seperti dulu.
Hana berdiri tegak di tepi meja selepas pertengkaran itu. Nafasnya turun naik, matanya berair, tetapi dia menahan supaya air mata itu tidak jatuh di hadapan Armand.
Tanpa berkata apa-apa, dia mengambil beg tangan dari kerusi, bahunya sedikit terangkat tanda dia cuba mengawal marah.
“Hana, kita belum habis bercakap,” suara Armand kedengaran di belakang, nada tegang tetapi juga cemas. Dia cuba mendekat.
“Saya dah tak ada apa nak cakap,” jawab Hana, suaranya bergetar namun nadanya tegas. Dia melangkah laju meninggalkan kafe. Kata-katanya seperti pintu yang ditutup rapat.
Armand bergerak mengekorinya, tapi langkahnya terhenti seketika di pintu kafe, memerhati dari belakang. Dia dapat rasa jarak di antara mereka bukan sekadar fizikal, tapi juga di hati.
Hana membuka pintu keretanya, masuk dan terus menyalakan enjin. Armand berdiri kira-kira dua meter di belakang, hanya memandang.
“Jangan pergi macam ni, Hana…” Armand berkata perlahan, namun suara itu cukup jelas sampai ke telinga Hana. Dia tidak menoleh.
Kereta Hana bergerak perlahan keluar dari petak parkir. Armand segera berjalan pantas ke keretanya, lalu masuk. Dia tidak memecut, sebaliknya hanya memandu dengan jarak beberapa kereta di belakang, mengikut ke mana sahaja Hana pergi.
Hana menyedari di cermin pandang belakang bahawa kereta Armand masih mengekori. Dia menarik nafas panjang. Dia masih ikut… tapi bukan sebab risau. Dia nak pastikan aku tak lari ke mana-mana.
Lampu jalan di kiri kanan hanya menambah rasa sunyi di dalam keretanya. Telefon bimbitnya bergetar berkali-kali, nama Armand muncul di skrin, tapi dia membiarkannya.
Di dalam keretanya sendiri, Armand memandang Hana dari jauh. Tangannya menggenggam stereng erat. Aku cuma nak jawapan, Hana. Kenapa kau sembunyikan semua ni daripada aku?
Mereka terus memandu begitu — satu di hadapan, satu di belakang — tanpa sepatah kata pun, hanya dihubungkan oleh emosi yang makin menegang di antara mereka.
Bunyi pintu villa terbuka perlahan. Hana melangkah masuk, wajahnya masih merah padam, mata sedikit bengkak menahan sebak sejak kejadian di kafe tadi. Tanpa memandang sekeliling, dia terus menuju ke bilik utama.
Beg pakaian besar ditarik keluar dari bawah katil, zip dibuka luas. Tangannya bergerak pantas, mencampakkan baju, tudung, dan beberapa helai pakaian lain ke dalamnya. Nafasnya berat, seperti setiap helaian kain yang dimasukkan itu membawa beban rasa kecewa yang tidak tertanggung.
“Kak Lina,” panggil Hana dengan suara serak.
Pembantu rumah itu muncul di pintu, kelihatan terpinga-pinga.
“Ya, Puan?” tanyanya perlahan, matanya memandang koper yang sudah separuh penuh.
“Tolong kemaskan baju Danish. Semua sekali. Saya nak bawa dia,” kata Hana sambil menutup almari kecil Danish dengan kasar.
Kak Lina teragak-agak. “Puan… Tuan Armand—”
“Tak apa, kak. Saya minta tolong je. Cepat, ya,” pintas Hana, nadanya lembut tapi tegas, seperti tidak mahu ada ruang untuk dibantah.
Bunyi deruman enjin kereta kedengaran di luar. Armand sudah sampai. Langkahnya perlahan masuk ke dalam rumah, pintu utama ditutup tanpa bunyi kuat, tetapi ketegangan yang dibawanya terasa memenuhi ruang.
Dia berdiri di ambang pintu bilik, melihat Hana yang sedang melipat sehelai sweater milik Danish.
“Hana…”
panggilnya perlahan, suaranya cuba mengawal nada. “Awak nak ke mana?”
Hana tidak terus menjawab. Dia hanya meletakkan sweater itu ke dalam koper, kemudian menarik zip dengan bunyi yang tegas. Barulah dia berpaling sedikit, matanya tidak memandang tepat ke arah Armand.
“Tempat yang lebih tenang daripada sini,” jawabnya, suaranya datar, tanpa getaran, seolah sudah habis air mata untuk ditumpahkan.
Armand melangkah masuk, beberapa tapak menghampiri. “Awak nak lari daripada saya?”
“Saya nak lari daripada perasaan yang dah buat saya sesak,” kata Hana sambil mencapai stroller kecil Danish. Dia kemudian mengangkat anaknya itu yang sedang memeluk patung kecil, wajah si kecil kebingungan melihat suasana tegang.
“Hana…” Armand menarik nafas panjang, kedua tangannya masuk ke dalam poket, seolah sedang mencari kekuatan. “Kita boleh bincang. Jangan buat keputusan tergesa-gesa macam ni.”
Hana mendukung Danish rapat ke dadanya, mencium ubun-ubun anak itu.
“Bila rasa percaya tu dah hilang, Armand… tak ada bincang yang boleh ubah apa-apa,” katanya perlahan tetapi penuh makna.
Armand diam. Kata-kata itu menikam terus ke dadanya. Dia ingin bersuara, tetapi lidahnya terasa kelu.
Hana melangkah keluar dari bilik, melewati Armand yang hanya berdiri kaku.
“Tolong lepaskan saya,” ucapnya sekali lagi, kali ini sambil memandang ke arahnya dengan mata yang berair tetapi tidak menangis. Pandangan itu bukan pandangan benci, tetapi pandangan seseorang yang sudah terlalu letih untuk terus berjuang dalam hubungan yang dipenuhi prasangka.
Armand masih tidak berkata apa-apa. Dia hanya memerhati, kedua tangannya menggenggam di sisi tubuh.
Hana turun ke ruang tamu, Kak Lina sudah berdiri di tepi pintu dengan beg Danish di tangan. Hana mengambilnya, lalu melangkah keluar menuju ke kereta.
Pintu villa tertutup perlahan di belakangnya, meninggalkan Armand berdiri sendirian di ruang tamu. Nafasnya terasa berat, matanya memandang pintu yang sudah terkatup itu seolah berharap ia terbuka kembali. Tetapi yang tinggal hanyalah kesunyian, dan bayangan Hana yang semakin menjauh.
Share this novel