Hujung minggu menjengah tenang. Udara pagi nyaman, dan sinar mentari menyusup masuk melalui langsir putih di kamar utama. Hana berdiri di hadapan cermin, menyapu sedikit bedak dan memulas gincu nude kegemarannya. Blaus satin biru lembut dipadankan dengan seluar putih, rambutnya diluruskan kemas. Dia tampak segar, yakin, dan bersiap seperti mahu menghadiri majlis penting.
Armand yang baru keluar dari bilik air, menyarung jam tangan sambil menguap kecil. Matanya menangkap sosok Hana yang berdandan rapi. Tapi dia tak tanya banyak. Sudah biasa.
“Nak keluar ke?” soalnya sambil memerhati dari tepi katil.
“Hmm…” jawab Hana pendek, sambil mencapai beg tangan. “Sekejap je.”
Armand hanya mengangguk. Dia bukannya jenis menghalang. Selama ni pun, Hana kerap keluar hujung minggu. Ada masanya balik bawa berbakul-bakul beg dari butik, kadang-kadang satu bonet penuh. Dulu waktu awal kahwin, Hana rajin shopping online — Shopee, Lazada sampai abang J&T pun hafal nama.
Sekarang lain. Semua barang berjenama. Beg, kasut, tudung, sampai ke perfume. Bila keluar, mesti ada yang dibawa balik. Tapi Armand tak kisah. Dia tahu Hana mampu, dan dia pun tahu dia tak selalu ada masa untuk bawa Hana berjalan. Jadi, kalau itu cara Hana gembirakan diri… dia relakan saja.
“Okay. Balik nanti saya masakkan carbonara,” kata Armand santai sambil capai telefon.
“Awak masak? Wah… bertuahnya saya,” ujar Hana sambil menyarung kasut tumit rendah.
Dia melangkah ke arah suaminya, mencium tangan Armand seperti biasa. Sempat juga bibirnya singgah di pipi kanan lelaki itu. Armand senyum nipis, tak tanya lebih.
“Drive safe.”
“Always,” balas Hana sambil mengangkat sebelah kening.
Dia keluar dari rumah dengan langkah yakin. Dari tingkat atas, Armand sempat menjenguk melalui tingkap. Hana muncul di depan villa, melangkah turun anak tangga marmar.
Ketika itu, sebuah kereta sedan hitam dengan cermin gelap berhenti di depan pagar. Enjin dimatikan. Pintu dibuka dari dalam. Hana masuk tanpa banyak bicara.
Armand yang memerhati dari jauh sedikit mengerut dahi. Cermin terlalu gelap. Dia tak nampak siapa pemandunya.
“Hmm… lelaki ke perempuan tu?” gumamnya perlahan, mata masih terpaku ke arah kereta yang mula bergerak meninggalkan kawasan rumah.
Tapi hanya seketika. Dia kemudian berpaling, menyandar ke dinding kaca.
“Ala, shopping la tu. Balik karang penuh satu bonet lagi,” katanya bersahaja sambil menggeleng kecil. Namun jauh di sudut hati, satu rasa tak selesa mula menjalar perlahan.
Dalam perut kereta yang berhawa dingin sejuk nyaman itu, Hana menyandar santai sambil memerhati suasana luar. Fakhri di sebelah hanya tersengih-sengih, sambil memandu perlahan ikut lorong utama.
“Tadi aku sesat cari rumah kak Hana,” buka Fakhri tiba-tiba.
Hana berpaling. Kening dah naik sebelah. “Kau sesat? Rumah aku tu besar gedabak. Siap ada tiang tinggi dua belas kaki. Kau nampak tak?”
Fakhri ketawa kecil. “Rumah tu memang aku nampak dari jauh. Tapi aku salah lorong. Tersilap masuk simpang, terus menghala ke arah loji kumbahan.”
Hana ketawa sambil tampar manja kepala Fakhri. “Loji kumbahan, Fakhri? Ya Allah…”
“Serius kak Hana. Aku dah pelik bila makin masuk dalam makin sunyi, tiba-tiba bau semacam je. Aku ingat ada lori tangki terbalik.”
Hana gelak sambil goyang kepala. “Kau ni… aku suruh datang rumah, bukan buat lawatan sambil belajar.”
“Lain kali bagi aku pin lokasi. Jangan main sebut jalan je,” ujar Fakhri, masih tersenyum.
Suasana kereta jadi tenang seketika. Hanya bunyi pendingin hawa dan deru tayar bergesel dengan jalan yang mengisi ruang.
“Kau punya pejabat kat mana sekarang?” soal Hana, masih pandang ke luar tingkap.
“Dekat Stulang. Bangunan belakang The Zone. Tingkat enam. Depan sikit dari hotel View City tu,” jawab Fakhri.
Hana angguk perlahan. “Strategik tu. Senang jumpa klien dari luar.”
“Tu la. Kalau kak Hana lalu area situ, singgah la. Kita minum kopi ke. Aku belanja,” sempat Fakhri jeling sedikit.
“Ha, belanja betul-betul. Jangan nanti aku datang, kau buat-buat meeting,” usik Hana.
“Aku belanja dengan ikhlas. Janji kak Hana jangan bawa suami sekali, nanti aku kena pandang maut dari tingkat enam.”
Hana tergelak besar. “Armand tu rileks je. Dia kalau tahu kau belanja aku makan pun, paling kuat dia muncung sepuluh saat.”
Fakhri senyum, tenang-tenang saja. Kereta mereka terus bergerak menuju destinasi, membawa dua sahabat lama yang kini berbeza jalan… tapi masih saling memahami.
Mereka akhirnya sampai di hadapan sebuah bangunan pejabat sederhana tinggi. Masih awal pagi, kawasan sekeliling belum begitu sibuk. Fakhri mematikan enjin dan segera membuka pintu untuk Hana.
“Kita naik ikut tangga belakang. Lif lambat sikit,” ujar Fakhri sambil menunjuk arah.
“Takde masalah. Anggap je cardio pagi-pagi,” jawab Hana, senyum nipis.
Setelah beberapa anak tangga dan lorong sempit, mereka tiba di satu ruang pejabat yang masih kosong di beberapa bahagian. Nampak baru dan segar cat dindingnya. Beberapa meja sudah tersusun, tapi belum lengkap.
Hana berdiri di tengah ruang, memerhati keliling. “Besar jugak office kau ni. Tapi…” Hana sengetkan kepala sedikit, teliti susun atur.
“Tapi?” soal Fakhri, bersandar pada meja.
“Susunan macam salah sikit. Tapi tak banyak salah sangat la. Ok lah. Yang penting klien datang nanti, masuk-masuk dah rasa aura nak tempah pakej melancong,” kata Hana sambil berjalan ke bahagian tingkap.
Fakhri ketawa kecil. “Aura tu yang aku tengah cari sekarang.”
Hana berpaling. “Kau kena buat perancangan dulu betul-betul. Jangan main susun je. Siapkan proposal lengkap. Senang nak apply pinjaman bank nanti.”
Fakhri angguk serius. “Aku tengah siapkan. Cuma aku tak berapa yakin dengan projection kewangan. Tu yang aku nak minta kak Hana tolong tengok-tengok sikit nanti.”
“Aku tengok boleh. Tapi jangan harap aku buat semua. Nanti aku pulak yang jadi PA kau,” usik Hana sambil senyum.
“Kalau kak Hana jadi PA aku, confirm bisnes meletup,” balas Fakhri selamba.
“Meletup sebab apa? Sebab kau tak kerja, asyik nak ajak aku minum kopi je?” Hana jeling sambil lipat tangan.
Fakhri ketawa sambil angkat tangan tanda mengaku kalah. Suasana antara mereka jadi mesra dan santai, dua sahabat lama yang kini berusaha membina sesuatu — satu dari sisi korporat, satu dari sisi semangat.
Hana masih memerhati sekeliling pejabat. Tangannya sesekali mengangkat tas tangan, meneliti ruang demi ruang. Fakhri berdiri di belakang, sedikit membongkok sambil buat-buat menyemak sesuatu dalam telefon. Tapi matanya sebenarnya lebih banyak tertumpu pada sosok Hana.
Tubuh Hana masih langsing walaupun sudah berusia 32 tahun. Malah, lebih menarik daripada ramai gadis muda yang pernah dia jumpa. Penampilannya hari itu sederhana saja — blouse longgar warna pastel, seluar slack gelap, dan tudung yang dililit kemas. Tapi bagi Fakhri, semua tentang Hana tetap memikat.
Dulu waktu Hana belum kahwin, dia cuma seorang pelajar diploma yang masih mencari arah hidup. Masa tu, dia hanya mampu pandang dari jauh. Sekadar mengusik sesekali, berpura-pura anggap Hana sebagai kakak. Mulut saja yang panggil “kak Hana”, tapi hati tak pernah ikhlas meletakkan wanita itu dalam kategori 'kakak'.
Dan sekarang, wanita yang dia minat diam-diam sejak dulu... berdiri di hadapannya semula. Tanpa sedar, matanya sempat meliar menjeling bentuk tubuh Hana dari sisi. Wajahnya cepat-cepat tunduk kembali ke skrin telefon bila Hana berpaling.
"Eh, kau ni tengok apa?" tanya Hana tiba-tiba. Keningnya terangkat.
Fakhri tersentak. “Err… tengok layout meja ni. Macam tak kena je dengan arah kiblat.”
Hana ketawa kecil. “Kiblat pun kau fikir? Kau nak buka travel agensi ke surau?”
“Manalah tahu… rezeki murah. Buka dua-dua sekali,” jawab Fakhri, cuba sembunyikan rasa gugup.
Hana geleng kepala, lalu kembali berjalan ke bahagian belakang pejabat. “Kau plan betul-betul. Nanti aku bantu tengok mana patut.”
Fakhri hanya memerhati langkah Hana dari belakang. Dia tahu Hana hanya anggap dia sebagai adik, tempat bergurau dan melepas penat. Tapi hati dia… tak pernah betul-betul reda dengan gelaran 'adik'.
“Aku dah besar, kak Hana… Tapi kau masih tak nampak,” bisik Fakhri dalam hati. Senyum pahit terukir di hujung bibir.
Share this novel