Perut mula berlagu lagu keroncong. Jam di dinding sudah melewati tengah hari. Dari tadi, aroma bawang tumis dan wangi nasi panas menari-nari halus dari dapur sampai ke tingkat atas. Hana menyandar sekejap di sofa bilik sebelum menoleh ke arah Emy yang sedang leka membelek telefon.
“Emy, aku turun jap cari Kak Ros,” ujar Hana sambil berdiri, membetulkan rambut yang sedikit serabai.
“Kenapa? Lapar sangat ke?” soal Emy, sengih nakal.
“Bukan sebab lapar sangat, tapi aku nak suruh Kak Ros hantar makanan dalam bilik. Aku memang biasa makan kat mana-mana je dalam rumah ni. Kadang makan kat bilik, kadang dekat ruang tamu, kadang kat tepi kolam. Asalkan aku cakap awal-awal je, dorang akan siapkan semuanya.”
“Oii senangnya hidup kau,” Emy ketawa kecil. “Cakap je nak makan kat mana, orang siapkan. Tak payah fikir apa.”
Hana cuma senyum. “Tapi bukan sebab nak bermewah sangat. Aku cuma… letih. Kadang nak duduk diam-diam pun rasa susah.”
Dia pun melangkah keluar dari bilik, turun perlahan ke tingkat bawah. Langkahnya tidak tergesa-gesa, dan fikirannya melayang seketika.
Sampai saja di dapur, Hana nampak Kak Ros sedang kacau lauk di dalam periuk besar. Bau sambal udang jelas menusuk hidung. Di sebelah, sayur lemak labu dan ayam goreng beratur untuk digoreng terakhir.
“Kak Ros...” panggil Hana perlahan.
Kak Ros menoleh. “Eh, Puan Hana turun sendiri? Biasanya jerit dari atas je.”
Hana tergelak kecil. “Haah… hari ni tak larat nak jerit. Suara tak kuat sikit.”
Kak Ros tersenyum sambil mengesat tangan dengan kain lap. “Faham sangat tu. Nak makan kat bilik ke hari ni?”
“Ya. Kalau dah siap nanti, Kak Ros tolong hantar naik ye. Letak atas meja santai tu pun cukup.”
“Boleh, Puan. Lagi dalam 10 minit siap semuanya.”
“Terima kasih, Kak Ros.”
Sebelum beredar, Hana sempat menjeling ke arah dulang yang sudah separuh penuh. Hati terasa sedikit tenang. Sekurang-kurangnya, hari ini dia masih mampu menikmati ruang sendiri… walaupun dalam diam, ada banyak perkara masih terpenjara di hati.
Dia naik semula ke atas. Emy masih di tempat sama, cuma kini nampak macam sudah gelisah.
“Berapa lama lagi eh?” soal Emy sambil gosok perut.
“Tak lama. Kak Ros kata sepuluh minit.”
Emy angkat tangan gaya syukur. “Alhamdulillah. Kalau lambat lagi aku pergi goreng telur sendiri.”
“Dalam rumah ni, Emy…” Hana duduk semula di kerusi, senyum nipis. “Kau cuma perlu pilih sudut mana nak duduk. Yang lain, insya-Allah sampai depan mata.”
Emy masih terpaku melihat suasana bilik mewah Hana, sementara Hana duduk santai sambil memeluk selimut ringan.
“Aku ada tiga orang gaji,” Hana mula bercerita. “Mereka semua rajin dan tak pernah mengeluh. Aku sayang sangat dengan diorang ni. Rumah kemas, semua teratur sebab diorang jaga dengan baik.”
Emy mengangguk, kagum dengan kecekapan Hana.
“Aku akan belikan pakaian baru untuk mereka setiap bulan. Kalau boleh, aku tak nak mereka usik gaji yang aku bayar. Aku mahu mereka guna gaji tu untuk keperluan lain—anak-anak, keluarga, semua.”
“Kalau kita sayang orang, orang akan sayang balik kita. Kita hormat diorang, diorang hormat balik. Itu prinsip aku.”
Emy tersenyum, menghargai cara hidup Hana yang begitu prihatin.
Kemudian Hana tersenyum kecil dan sambung, “Kalau kau tengok kereta Porsche kat bawah tu, sebenarnya aku jarang bawa sendiri.”
Emy terkejut tapi diam menunggu.
“Armand tak nak bagi aku pandu sendiri, dia kata aku tak cukup ‘steady’. Jadi dia upah Pak Rahman jadi pemandu peribadi aku.”
Hana ketawa kecil, “Tapi kadang-kadang, kalau Pak Rahman cuti, aku suka juga bawa sendiri. Nak rasa bebas sikit.”
Emy ketawa kecil, “Ala boss yang suka rebel, kan?”
Hana buat muka serius, “Rebel berstatus tinggi.”
Mereka berdua ketawa, merasa ringan hati walau segala kisah dan beban hidup yang dilalui.
Tak lama lepas mereka berbual dan ketawa kecil, terdengar ketukan lembut di pintu bilik.
Tok tok…
“Masuklah,” kata Hana, menoleh perlahan.
Pintu terbuka. Kak Ros muncul dengan senyuman, tangan penuh dengan dulang makanan.
“Dah siap ye, Kak Ros?” tanya Hana mesra.
“Ha’ah puan. Letak sini ya?” Kak Ros terus meletakkan satu persatu atas meja kecil yang memang sedia tersedia untuk sesi santai dan makan-makan dalam bilik. Meja tu walaupun kecil, tapi cukup eksklusif—jenis meja yang hanya jumpa dalam bilik hotel lima bintang.
“Terima kasih, Kak Ros. Nanti masuk bilik rehat dulu ya, jangan terus buat kerja.”
“Baik, puan,” balas Kak Ros sambil tersenyum sebelum keluar menutup pintu perlahan.
Emy duduk menghadap dulang makanan. Dia baru nak capai gelas air, matanya terpandang satu mangkuk kecil berisi air yang jernih dan ada hirisan limau nipis mengapung.
“Err… Hana… ni air minum ke?” dahi Emy berkerut ragu-ragu.
Hana ketawa kecil. “Bukanlah. Itu air basuh tangan.”
Emy menjeling nakal. “Eh, bukan ke orang kaya makan guna sudu garfu? Siap piring berlapis, pisau kecik-pisau besar, garfu kiri kanan?”
Hana gelak lagi. “Tu orang kaya betul. Aku ni kategori ‘orang kampung jadi kaya’. Guna tangan tu wajib. Kalau tak, tak rasa nikmat makan.”
Emy terus angguk, bersemangat. “Betul tu! Pakai sudu rasa macam tengah interview dengan makanan. Pakai tangan ni, barulah bonding!”
Hana sambung, “Kadang-kadang, kita ni bila dah senang sikit, cepat lupa asal usul. Tapi aku suka ingatkan diri. Kalau dulu makan bersila atas tikar plastik, sekarang makan bersila atas karpet tebal—tapi tetap tangan kanan yang suap.”
Emy ketawa sambil buka tudung saji.
Tapi tiba-tiba telefon Hana berbunyi. Notifikasi WhatsApp.
Ding!
Hana tengok seimbas nama yang muncul.
Fakhri.
Dahi Hana berkerut. Dia tarik nafas perlahan dan buka mesej tu.
"Kak Hana…
Aku minta maaf sangat-sangat pasal apa yang jadi kat Penang.
Mak… dah tahu semuanya.
Dia marah besar. Sampai hampir tak nak mengaku aku anak dia.
Dia halau aku dari rumah.
Katanya, selagi Kak Hana tak maafkan aku… jangan balik.
Aku benar-benar menyesal, kak.
Tolong maafkan aku..."*
Hana terdiam.
Tangannya pegang telefon erat. Pandangan kosong. Emy yang sedang ceduk nasi pun berhenti separuh jalan.
“Kenapa, Hana?” tanya Emy perlahan.
Hana tak jawab. Dia sekadar menggeleng lemah.
Air mata bergenang tiba-tiba. Gugur satu-satu tanpa izin. Dia cepat-cepat capai tisu, sapu laju-laju di pipi.
“Sorry…” bisik Hana, suara tersekat.
Emy tak paksa. Dia tahu, kalau air mata itu datang tiba-tiba, tentu ada sebab yang berat di sebaliknya.
Hana tunduk, letak telefon di ribanya. Suasana sunyi seketika, hanya bunyi pendingin hawa yang berdengung perlahan.
Hana pandang jam, kemudian toleh ke arah Emy.
“Jom makan, nanti nasi dah sejuk, tak sedap pulak,” katanya perlahan sambil cuba senyum.
Mata Hana tertumpu pada Danish yang sedang terbaring atas katil, mata tertutup rapat macam orang yang tak cukup tidur—yang memang betul-betul dia tak cukup tidur minggu ni.
Dengan langkah perlahan, Hana menghampiri dan menepuk bahu Danish.
“Danish, bangunlah sikit. Nanti mama suapkan makan, jangan risau.”
Danish bangun dengan wajah masih mengantuk, sambil menggosok mata macam baru bangun tidur selepas marathon tidur di hujung minggu. Hana tersenyum kecil, cuba jaga nada suara supaya tak terlalu serius,
“Sekarang cuci muka dulu, baru boleh makan.”
Danish mengangguk perlahan dan melangkah ke bilik air, Hana mengikut dari belakang, mata ikut gerak tangan Danish membasuh muka. Hana dalam hati, “Eh, kalau ikut ni, muka Danish ni dah bersih… tapi cuci juga lah, kan?”
Kembali ke meja makan, mereka mula makan bersama. Hana menyuapkan nasi ke mulut Danish dengan perlahan dan penuh kasih sayang, walaupun bibirnya cuba tahan sebak yang entah dari mana datangnya.
Sambil makan, Hana berbisik pada Emy,
“Malam ni, Emy, kau teman aku tidur sini.”
Emy senyum, tapi terus bertanya, “Armand macam mana?”
Hana senyum sambil angkat bahu, cuba kelihatan kuat,
“Biarlah dia fikir sendiri. Renung balik apa dia dah buat. Kadang-kadang orang kena belajar dari kesilapan sendiri, bukan kita yang nak suruh dia berubah.”
Emy pandang Hana, tahu ada sesuatu yang Hana cuba sembunyi di sebalik senyum dan kata-katanya. Tapi malam itu, di tengah-tengah gelak kecil dan canda, Hana masih pegang erat harapan yang dia akan pulih, perlahan-lahan.
-----
Jam sudah menunjukkan pukul 6.20 petang. Matahari di luar sudah mula condong, bayang-bayang panjang menari di lantai marmar rumah banglo itu. Di dalam bilik tetamu tingkat atas, Hana masih bersama Emy, berbual-bual sambil melayan Danish yang sedang melukis entah apa di atas kertas dengan pensel warna yang entah dari mana munculnya—mungkin dari bawah katil.
Di tingkat bawah pula, bunyi enjin kereta baru sahaja mati. Beberapa saat kemudian, pintu utama dibuka dan tertutup semula.
“Assalamualaikum…” Armand memberi salam perlahan sambil menanggalkan kasut. Senyuman kecil terukir di wajahnya—langkahnya sedikit laju, macam budak sekolah dapat tahu mak dah masak lauk kegemaran.
Kak Ros yang sedang menyiapkan minuman petang di dapur menoleh.
“Tuan Armand… Puan Hana dah balik. Dia ada kat atas. Dengan kawan dia,” ujar Kak Ros sambil senyum.
“Alhamdulillah…” Armand menarik nafas lega, senyumnya melebar. Langkahnya makin laju naik ke atas, tak sabar nak tengok wajah isteri dia sendiri. Dia terus ke bilik utama—kosong.
Dahi Armand berkerut sedikit, kemudian dia bergerak ke arah bilik tetamu. Pintu sedikit terkuak. Dia tolak perlahan dan nampak Hana sedang berdiri, sambil Emy duduk di sofa. Danish pula tengah main dengan penutup botol.
“Sayang…” Armand senyum sambil melangkah masuk.
Namun belum sempat kakinya lepas ambang pintu, Hana berpaling ke arahnya, kemudian tanpa sepatah kata, terus melangkah menuju ke pintu. Dengan tenang tapi jelas, dia tutup pintu bilik tetamu di hadapan wajah Armand—perlahan tapi cukup memberi kesan.
Klik.
Bunyi tombol pintu dikunci dari dalam.
Armand terdiam.
Dia berdiri beberapa saat, menelan air liur, senyum pudar begitu sahaja.
“Hmm… okay,” gumam Armand perlahan sambil berpaling.
Dia perlahan-lahan melangkah semula ke bilik utama, tak mahu ganggu emosi Hana. Dalam hati dia berkata, "Dia dah balik... itu pun dah cukup. Nanti dia sejuklah tu. Hana memang macam tu, keras luar lembut dalam. Kena sabar sikit lagi.”
Dan petang itu, Armand duduk di tepi katil bilik utama seorang diri. Tak pegang telefon, tak buka laptop. Hanya diam.
Menunggu.
Share this novel