Armand bersandar santai di sisi kereta hitam berkilat itu, sambil jari telunjuknya melambai-lambai kunci kereta di udara. Senyuman dia waktu tu lebih lebar daripada senyuman hos TV bila umumkan pemenang cabutan bertuah.
“Pak Rahman,” panggil Armand, bagi isyarat tangan macam nak serah trofi kemenangan. “Hari ni awak boleh tidur sampai malam. Saya yang drive.”
Pak Rahman yang baru keluar dari pintu pagar, berhenti langkah serta-merta. Dahi dia berkerut macam cuba kira kos minyak sawit turun naik.
“Saya takde kerja hari ni?” soalnya, nada penuh curiga. Bukan senang dia tengok tuan CEO tu nak pandu kereta sendiri. Kali terakhir dia tengok Armand pegang stereng, jalan pun naik pening.
“Betul,” jawab Armand sambil genggam kunci dengan bangga. “Awak cuti. Hari ni saya nak merasa drive sendiri bawa isteri dan anak balik kampung. CEO pun kena ada hari cuti berjiwa rakyat.”
Pak Rahman senyum, angguk perlahan. “Kalau macam tu, saya doakan selamat jalan… dan selamat pusing stereng.”
Armand angkat kening, sengih sikit. “Bukan stereng je saya nak pusing, Pak Rahman… hati isteri pun saya nak lilit lagi sekali.”
Pak Rahman terus geleng kepala. “Saya tak masuk campur.”
Hana sedang tekun zip beg Danish di ruang tamu rumah, memastikan semua keperluan anaknya lengkap untuk perjalanan jauh ke kampung. Sambil itu, mata Hana tertumpu pada bantal busuk kecil kesayangan Danish yang biasanya sentiasa melekat di sisinya. Namun pagi ini, bantal itu entah ke mana.
Tiba-tiba, Armand muncul dari arah pintu dengan kunci kereta di tangan, wajahnya penuh senyuman puas. “Awak, semua dah siap ke?” suaranya lembut tapi penuh semangat.
Hana angguk dan berkata, “Saya tengah cari bantal busuk Danish ni, rasa-rasanya mana saya letak ya?”
Kak Lina, pengasuh Danish yang setia, masuk membawa selimut bertemakan kartun yang penuh warna-warni. Dia tersenyum lebar dan mengangkat tangan, “Dah ada, puan. Bantal dan selimut kartun tu saya dah sediakan. Jangan risau, Danish mesti suka.”
Hana tersenyum lega dan terus menyusun beg. Dia kemudian melangkah ke luar rumah sambil bertanya, “Minyak kereta cukup ke awak? Kita kena pastikan tak putus jalan tengah jalan nanti.”
Armand berdiri dengan gaya penuh keyakinan, tangannya menunjuk ke arah kereta yang diparkir kemas. “Minyak penuh, tayar semua dah periksa, pemandu pun tengah high dengan cinta, siap nak bawa awak dan Danish balik kampung dengan selamat.”
Hana ketawa kecil sambil menggoyangkan kepala. “Kalau awak kata macam tu, cepatlah kita gerak. Saya tak mahu Danish mula meragam sebab terlalu lama menunggu.”
Armand senyum sambil buka pintu kereta untuk Hana dan Danish, “Jom kita mulakan perjalanan ni. Kampung dah tunggu kita.”
Danish duduk di tengah kerusi belakang, ditemani mamanya dan Kak Lina di sisi. Di tangannya ada buku lukis, tapi matanya lebih tertumpu pada papa yang sedang memandu di depan.
Armand pasang lagu slow yang lembut, cuba ciptakan suasana tenang. “Kita layan suasana kampung sikit, biar santai,” katanya sambil tersenyum.
Hana memandang Armand, lalu tanya, “Awak tak ngantuk ke drive jauh-jauh ni sorang-sorang?”
Armand senyum sambil genggam tangan Hana. “Kalau ada awak kat sebelah, jantung saya memang tak bagi saya tidur.”
Tiba-tiba, Danish bersuara dari belakang dengan nada penuh semangat, “Papa, boleh bawak laju sikit tak? Nak cepat sampai kampung!”
Armand ketawa kecil, “Danish, papa ni pemandu yang bertanggungjawab. Kita ikut undang-undang jalan raya.”
Danish bertekak, “Tapi papa, kalau laju sikit, kita boleh sampai cepat, main lebih lama dengan atuk dan nenek!”
Armand balas dengan senyum manis, “Kalau hati papa laju sebab nak jaga mama dan Danish, tak perlulah kereta pula yang laju.”
Hana ketawa kecil sambil mengusap kepala Danish, suasana dalam kereta jadi ceria dan penuh kasih sayang.
Setelah memandu hampir sejam, Armand memperlahankan kereta apabila terlihat deretan kedai kecil yang riuh di tepi jalan utama bandar Segamat. Hana menoleh ke arah jendela, wajahnya berseri-seri.
“Awak, jom singgah sekejap cari buah tangan. Saya nak beli untuk mak,” kata Hana dengan nada manja, sambil menunjuk ke arah beberapa kedai yang menjual pelbagai makanan tradisional.
Armand tersenyum sambil mengangguk. “Baiklah. Kita shopping barang dapur ke barang rindu ni?” gurau Armand sambil memarkir kereta di tepi jalan dengan kemas.
Mereka turun bersama Danish dan Kak Lina, berjalan ke deretan kedai. Hana mula memilih dengan teliti, ambil sambal hitam yang pekat, kuih bangkit rangup, dodol asli, dan kopi kampung yang harum baunya. “Ini semua mak mesti suka,” bisik Hana sambil tersenyum puas.
Danish yang turut memerhati tiba-tiba berhenti dan angkat satu pek dodol berwarna hijau terang. “Mama, ni dodol warna hijau. Boleh makan ke ni?” tanyanya dengan wajah penuh tanda tanya.
Hana ketawa kecil, mengusap kepala Danish. “Boleh, sayang. Tapi jangan bagi papa banyak, nanti gigi palsu dia tercabut,” usiknya sambil memandang Armand yang buat-buat terkejut sambil pegang dagu.
Armand senyum licik, kemudian bisik perlahan pada Hana, “Awak ada lagi satu buah tangan yang awak belum bagi kat mak mentua awak…”
Hana buat muka pelik, “Apa dia?”
“Menantu hensem…” jawab Armand penuh gaya.
Hana ketawa besar, sambil mata bulat memandang suaminya, “Dapat menantu lawak pun dah cukup dah.”
Mereka berdua ketawa sambil memegang tangan masing-masing, suasana riuh bandar Segamat seolah menghilang dalam gelak tawa kecil mereka. Danish pula melompat-lompat gembira, bawa pek buah tangan yang baru dibeli.
Selepas selesai membeli buah tangan, Armand kembali memandu dengan penuh semangat. Mereka meninggalkan bandar Segamat, menyusuri jalan yang semakin sempit, berliku-liku melalui kawasan berbukit dan sawah padi yang luas terbentang di kiri kanan jalan. Udara kampung yang segar dan wangi menenangkan suasana dalam kereta.
Danish, yang dari awal masih penuh tenaga, akhirnya terlena di pangkuan Kak Lina. Tangan kecilnya masih erat memegang kereta mainan kegemarannya, bibirnya bergerak-gerak seperti sedang berbisik sesuatu dalam mimpi. Kak Lina memandang Danish dengan lembut, memastikan dia selesa dan aman.
Armand yang memandu dengan santai, satu tangan memegang stereng, satu lagi meraih tangan Hana yang duduk di sebelah. Hana memandang wajah suaminya dari sisi, nampak tenang dan bahagia. Suasana sunyi hanya dipenuhi dengusan kereta dan desiran angin yang masuk melalui tingkap yang sedikit dibuka.
“Awak tenang je hari ni,” suara Hana lembut, cuba memecah kesunyian dengan kehangatan.
Armand membalas dengan senyuman kecil yang penuh makna. “Balik kampung dengan awak, siapa tak tenang? Macam dating zaman baru kahwin,” katanya penuh rindu.
Hana tergelak kecil, lalu cubit lengan Armand. “Eh, kita baru kahwin enam tahun tau. Tak layak lagi masuk kategori ‘zaman’.”
Perbualan manis itu disambut gelak tawa kecil mereka berdua, sementara Danish masih tidur nyenyak di belakang.
Tidak lama kemudian, mereka sampai di depan rumah kayu dua tingkat yang sudah lama menjadi tempat berlabuh hati Hana. Halaman rumah luas, dengan pokok rambutan besar yang rimbun berdiri megah. Suasana kampung yang damai dan sederhana mengingatkan Hana pada segala kenangan manis masa kecil.
Di tangga rumah, kelihatan mak Hana berdiri menunggu, wajahnya ceria sambil melambai-lambai ke arah mereka. “Mak sihat? Rindu sangat,” Hana terus memeluk maknya erat, terasa hangat dan penuh kasih sayang.
Danish tak sabar, berlari turun dari kereta sambil jerit, “Nenek!” lalu memeluk kaki mak Hana dengan erat.
Kak Lina pula mengeluarkan beg besar dari kereta, sementara Armand angkat bakul buah tangan yang dibawa. “Menantu bawa barang dan sayang,” gurau Armand, tersenyum pada mak Hana.
Mak Hana membalas dengan senyum lebar, “Lama tak balik, rumah ni sunyi. Nasib baik kau pandai pujuk anak aku ni.”
Armand tersengih, sambil buat gaya lompat gusti kecil di hadapan mentua, “Saya bukan pujuk, mak. Saya tangkap terus.”
Gelak tawa mereka mengisi ruang halaman rumah, menandakan kembalinya keluarga itu ke pelukan kampung halaman dengan penuh kasih dan ceria.
Share this novel