BAB 56

Romantic Comedy Series 1024

Sudah tiga hari Hana menghilangkan diri dari dunia korporat, dari segala tekanan dan dari segala manusia yang menjengkelkan hatinya. Tiga hari juga dia duduk ‘menumpang kasih’ di rumah flat kecil Emy yang penuh dengan bantal corak bunga dan drama TV yang tak pernah habis konflik.

Pagi itu, Hana berdiri di depan tingkap kecil ruang tamu, memandang langit cerah yang terbentang luas. Bau kopi dari dapur flat Emy semerbak menusuk hidung. Tapi dalam dada, rasa rindu dah mula menyucuk lebih kuat.

“Danish…” bisik Hana perlahan, “Mama rindu sangat. Maafkan mama. Walaupun kita belum berjumpa, tapi setiap malam mama kirim doa dan sayang…”

Air mata bergenang, tapi dia cepat-cepat sapu. Tak mahu Emy nampak. Nanti makin panjang ceramah nasihat masuk percuma.

---

Di sofa panjang, Emy sedang khusyuk menonton drama senetron pukul 10 pagi. Pelakon utama baru saja dimasukkan ke hospital selepas dilanggar kereta oleh kekasih gelapnya. Muka Emy ikut semua emosi — dahi berkerut, tangan tepuk-tepuk sofa, kemudian gelak... dan lima saat kemudian nangis pula.

Hana berpusing dan duduk di sebelah.

“Emy...”

“Hmm?” Emy masih mata ke TV.

“Esok aku nak balik.”

“Balik mana?” soal Emy, masih tak lepas pandang dari skrin.

“Rumah aku lah. Aku rindu Danish...” suara Hana dah mula perlahan. Kali ini Emy pandang Hana betul-betul.

Hana genggam tangan Emy, dan berkata dengan sungguh-sungguh.

“Aku nak ucap terima kasih banyak-banyak dekat kau. Tiga hari ni… kau buat aku rasa hidup balik. Kau lawak. Kau gila. Tapi kaulah sahabat yang Tuhan kirim waktu aku paling perlukan.”

Emy tersengih. Air mata bergenang tapi dia pura-pura lap peluh.

“Alaaa... kau pun lucu juga. Cuma kelucuan kau lebih ke arah kelam-kabut. Aku ni lawak tersusun. Tak panik macam orang nampak lipas.”

Kedua-duanya ketawa. Ketawa yang bukan sekadar bunyi, tapi ada rasa lega dalamnya.

Hana kemudian bangun, “Jom teman aku balik rumah. Aku nak berdepan dengan semuanya semula.”

Emy pun berdiri, siap pegang dompet pink kesayangannya.

“Demi kawan baik, aku sanggup teman kau naik roller coaster pun.”

“Ni bukan roller coaster, Emy. Ni kereta aku, Porsche. Tolong jangan jerit dalam tu nanti orang ingat kita baru menang cabutan emas,” jawab Hana sambil gelak kecil.

“Eh, aku mana jerit. Aku cuma... jerit slow.”

------

Keesokan harinya, mentari pagi menyinari tingkap rumah flat Emy yang sedikit berhabuk tapi penuh kenangan. Bunyi radio kecil yang dipasang Emy memecah sunyi — lagu lama Jamal Abdillah bergema dengan penuh perasaan.

“Derita merindu... sungguh menyiksaaaa…”

Emy tarik suara sekali. Pitch lari, tapi semangat padu.

Hana yang tengah melipat tudung pun geleng kepala. “Emy, kau tengah bersiap ke tengah audition Gegar Vaganza?”

“Mana tahu ada tawaran, suara aku ni ada aura.” Emy sengih bangga.

Hana ketawa kecil. Pagi ni rasa lain. Macam ada batu besar dalam dada yang makin ringan. Dia pandang Emy lama. Sahabat itu... bukan jenis pandai susun ayat atau bagi kata-kata motivasi fancy macam dalam TikTok, tapi cukup untuk buat dia rasa ada orang yang betul-betul kisah.

Mereka bersiap. Sederhana, tapi kemas. Hana pakai blaus putih dan seluar hitam. Tudung dililit ringkas, wajah tanpa solekan tebal. Natural, tapi tetap anggun. Emy pula pakai jubah moden kelabu. Serius tapi tetap ada aura Emy — comel dan chaos.

---

“Aku bangga dengan kau, Hana...” Emy tiba-tiba bersuara masa mereka tengah turun tangga flat.

Hana pandang. “Bangga pasal?”

“Pasal semua benda yang kau dah lalui. Dari PA CEO, naik pangkat, jadi CMO, survive drama ofis, cinta tiga segi, kena culik, hampir mati, bangkit balik...” Emy kira satu-satu sambil jari tunjuk ke udara.

Hana ketawa. “Drama tu macam lebih dari episod telenovela yang kau tengok malam-malam.”

“Betul la. Hidup kau macam sinetron. Tapi power. Kau bukan je berjaya, kau kuat gila. Aku masih terkapai-kapai cari makna hidup. Tapi kau... kau dah melangkah jauh ke depan. Jauh sangat.”

Hana terdiam. Terharu. Tapi dia cuma pegang tangan Emy.

“Emy... kejayaan tu bukan siapa yang naik paling cepat. Tapi siapa yang tak berhenti bila letih.”

Emy angguk, walaupun matanya dah mula bergenang.

“Kau tetap sahabat aku. Dari dulu, sekarang, sampai bila-bila. Tak kira siapa kau jadi. Aku support.”

“Dan aku pun akan buat benda sama untuk kau.”

---

Mereka turun ke bawah. Porsche Hana dah sedia di depan flat. Seorang jiran makcik berbaju kelawar berdiri sambil usha dari balkoni. Seorang pakcik sedang siram pokok tapi mata tak lepas dari kereta mewah itu.

“Emy, aku rasa jiran-jiran kau ingat aku ni artis tular.”

“Takpe, biar diorang ingat macam tu. Esok-esok boleh viral ‘Hana Auni singgah flat lama, ziarah sahabat’.”

Mereka gelak, masuk kereta, dan bergerak.

---

Dalam kereta, radio dipasang perlahan. Udara pagi segar. Jalan belum terlalu sesak.

“Emy…” Hana bersuara.

“Ya?”

“Terima kasih sebab jaga aku masa aku hilang arah. Kau ubat yang tak dijual di farmasi.”

“Dan kau ubat hati aku yang penat dengan dunia. Jadi, kita kira seri.”

Kereta Porsche itu akhirnya membelok perlahan masuk ke dalam perkarangan villa mewah. Lampu sensor di tiang pintu gerbang menyala automatik, dan pagar utama terbuka perlahan-lahan. Laman luas terbentang dengan rumput karpet rapi, air pancut tengah bulatan driveway memercik halus, seperti menyambut kepulangan tuannya.

“Allahuakbar...” Emy bersuara perlahan sambil kepalanya terkeluar sedikit dari tingkap. Matanya terbeliak melihat suasana persekitaran.

“Ni rumah ke resort lima bintang? Siap ada pancut air bagai.”

Kereta berhenti di hadapan pintu utama. Hana buka tali pinggang dan sempat jeling ke arah Emy yang masih belum pulih dari kejutan.

“Mulut tu tutup sikit, nanti ada burung buat sarang.”

Sambil tersenyum nakal, Hana selamba tutup mulut Emy dengan tapak tangannya sendiri.

---

Belum sempat mereka keluar sepenuhnya, tiga sosok wanita yang sudah dikenali oleh Hana menyambut di muka pintu dengan wajah teruja.

“Puan Hana!”
“Masya-Allah, puan dah balik!”
“Kami rindu sangat puan.”

Kak Lina, pengasuh kesayangan Danish yang setia.
Kak Ros, si tukang masak merangkap ‘doktor masakan kampung’.
Kak Mila, si muda ceria, tukang kemas rumah yang penuh semangat — walaupun kadang asyik buat content TikTok sembunyi-sembunyi.

Mereka bertiga senyum bersinar seperti ternampak cahaya bulan. Hana turun dari kereta dan segera dirangkul Kak Lina.

“Danish ada dalam bilik. Tapi tadi dia intai dari tingkap. Agaknya dia dah lari turun tangga tu sekarang.”

“Hana ni… bukan main macam Queen Elizabeth masuk istana, ya.” bisik Emy dari belakang sambil tersenyum-sinis kagum.

---

Tiba-tiba, bunyi tapak kaki kecil berlari laju dari arah ruang tamu flat Emy.

“Mamaaaa!”

Hana yang baru sahaja melangkah masuk bersama beg kecilnya terhenti serta-merta. Wajahnya berubah — terkejut, terharu, hampir panik tapi penuh rindu.

“Danish!” Hana terus merendahkan diri, membentang tangan.

Anak kecil berbaju singlet putih dan seluar pendek kartun Paw Patrol itu terus meluru ke pelukan mamanya — tanpa brek, tanpa ragu. Seolah-olah seluruh dunia berputar hanya untuk menyatukan mereka semula.

Pelukan itu erat. Terlalu erat hingga menggugurkan air mata Hana yang ditahan sejak tiga hari lalu.

“Mama rindu sangat… sangat sangat… Maafkan mama, sayang.” bisik Hana sambil mencium bertalu-talu pipi anaknya.

Danish yang biasanya lincah hanya memeluk diam, dengan esakan perlahan. Tangannya menggenggam erat baju mamanya, seolah-olah tak mahu berpisah lagi.

“Mama janji jangan tinggal Danish lama-lama dah, ya?” suara Danish kecil… tapi cukup untuk buat jantung Hana remuk.

“Insya-Allah, mama janji. Kali ni mama tak tinggalkan Danish lagi.”

Emy yang berdiri di sisi pintu, jadi saksi bisu. Senyumannya mula bergaris, mata pun berkaca sedikit.

Hana berpaling perlahan ke arah Emy, lalu memperkenalkan.

“Danish, ni Aunty Emy. Kawan mama dari kampung.”

Danish memandang. Sekelip mata senyum lebar terus terbit. Dia melangkah perlahan ke arah Emy dan menghulurkan tangan kecilnya.

“Assalamualaikum Aunty Emy.”

Emy tergamam sekejap, tapi cepat-cepat sambut tangan itu dan tunduk hormat.

“Waalaikumsalam… alahai… anak sape ni comel sangat!” Emy tergelak kecil.

“Bijak anak mama, kan?” sempat Hana menyampuk dengan bangga.

Danish senyum malu. Hana menyeluk poket beg tangan dan hulurkan dua tiga gula-gula pada anaknya.

“Haa, ni untuk Danish. Tapi makan lepas makan nanti, ya?”

“Okay!”

Hana kembali mendukung Danish, pipinya dicium bertubi-tubi.

“Ni anak mama paling wangi, paling manja, paling kuat peluk mama!”

“Mama pun wangi,” balas Danish, spontan.

Emy ketawa besar. Hana senyum senget, sambil mengangkat kening.

“Nampak tak? Keturunan siapa pandai mengayat.”

---

Emy pula berdiri di tepi pintu sambil lap air mata sendiri dengan lengan baju.

“Aku tak sangka... Hana yang aku kenal masa sekolah dulu, yang suka main rebut kerusi dalam dewan tu... sekarang dah ada istana, ada bodyguard kecik, dan ada ‘kakitangan kerajaan’ sendiri.”

Kak Ros dan Kak Mila ketawa kecil.

“Puan Hana ni dari dulu memang tak pernah lupa asal usul. Gaji kami semua, elok je masuk awal. Baju raya kami, dia belanja. Kalau bercuti ke mana-mana, kami pun ikut. Bila boss support, kita pun rasa nak bagi 1000% servis terbaik.”

Kak Lina tambah, “Dia tak pernah tinggi diri. Dari hari pertama saya jaga Danish sampai sekarang, puan tetap puan yang sama.”

Hana hanya senyum kecil. Matanya masih merah, tapi hatinya makin tenang. Dia tahu — dalam dunia yang penuh kejam ini, dia masih dikelilingi oleh kasih dan kesetiaan.

---

“Jom masuk, Emy. Ni rumah kau jugak.” ajak Hana sambil tarik tangan sahabatnya.

“Aku ni… rumah flat pun cermin satu je. Rumah kau ni, cermin je lebih banyak dari jendela rumah aku.”

“Boleh la cermin muka puas-puas. Tengok… kawan kau ni bukan main kan?”

Dan mereka ketawa. Tawa yang sudah lama Hana rindui.

---

Hari ini, rumah bukan hanya tempat pulang. Tapi tempat luka sembuh dan rindu dilunaskan. Hana sudah pulang bukan sekadar ke rumah — tetapi kepada cinta, pada anak, dan pada dirinya sendiri.

“Hana, ini bilik ke rumah penuh? Aku dah tak pasti.”

Emy berdiri kaku di muka pintu bilik utama sambil meliarkan pandangan. Matanya bulat, mulutnya separuh terbuka.

Langsir beludru langsir berkibar perlahan ditolak angin pendingin hawa, katil sebesar panggung, lampu kristal menggantung umpama hiasan gala diraja. Siap ada ruang persalinan, ruang rehat, ruang bersolek… semua lengkap. Kalau dia tak kenal Hana, dia sendiri dah fikir ni mesti rumah heroin dalam sinetron Indonesia.

“Rumah flat aku satu, bilik kau satu… dan bilik kau menang 16-0.” gumam Emy sambil letak tangan atas dada, kononnya nak stabilkan jantung sendiri.

Hana tersenyum senget. Danish masih lena dalam pelukannya — sejak dalam kereta tadi lagi, langsung tak merengek. Agaknya anak itu pun tahu, mama dia sedang cari ruang untuk tenang.

“Cantik, kan?” kata Hana perlahan.

“Cantik sangat! Kalau aku duduk sini, tiap malam aku selfie 38 kali.” balas Emy, masih tak puas pandang sekeliling. “Kau tidur sini ke tiap-tiap malam?”

Hana hanya diam seketika. Matanya masih pandang ke dalam bilik itu. Kemudian dia mengangguk kecil, tapi ada nada berat pada suara yang keluar.

“Biasanya... ya. Aku tidur sini.”

Dia tarik nafas perlahan.

“Tapi sekarang… aku tak rasa nak tidur bilik ni.”

Emy berpaling, pandang wajah sahabatnya.

“Kenapa? Kau mimpi buruk ke? Atau bilik ni keras? Kalau kau cakap kau nampak bayang hitam, aku cabut sekarang.”

“Bukan keras sebab hantu…” Hana senyum nipis. “Cuma keras sebab... rasa.”

“Rasa?” Emy angkat sebelah kening.

Hana tak jawab. Dia hanya tarik tangan Emy perlahan dan mengajak masuk ke bilik lain, tak jauh dari situ.

---

Bilik yang satu ini lebih kecil — bukan kecil sangat, tapi dibanding bilik utama, ia macam semak kecil di sebelah hutan tebal. Tapi masih selesa. Masih mewah. Cuma tak gah.

Emy pandang sekeliling.

“Okay, bilik ni pun menang rumah aku. Tapi at least aku tak rasa kena pakai gaun labuh untuk tidur sini.” katanya sambil mencuit bahu Hana.

Hana senyum sambil baringkan Danish perlahan-lahan atas katil. Diselimutkannya anak kecil itu, penuh kasih.

“Aku tidur sini dulu. Sampai aku rasa dah bersedia…”

“Bersedia?” Emy ulang lagi.

“Bersedia untuk masuk bilik yang... lain rasa dia.” jawab Hana, tenang. Tapi Emy tahu. Sahabatnya ini sedang menyimpan sesuatu. Dan dia tahu bila tiba masanya, Hana akan cerita sendiri.

---

Malam itu, villa besar itu kembali bersinar — tapi dengan cahaya yang berbeza.

Bilik utama masih seperti biasa. Tapi kosong.

Dan di bilik yang sedikit sederhana itu, Hana tidur di sisi anaknya, sambil memeluk harapan bahawa hatinya juga boleh sembuh perlahan-lahan.

Untuk malam ini, biarlah dia yang jauhkan diri. Sampai ada yang sudi datang dekat, bawa jawapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience