Semua calon sudah pun meninggalkan dewan kecil itu. Yang tinggal cuma suasana sepi dan sisa cawan plastik di atas meja. Hana berdiri sebentar sambil meneliti helaian senarai calon yang sudah dipangkah — tanda sesi temuduga selesai.
Daripada dua puluh lima calon, hanya lima yang tersenarai untuk saringan terakhir. Salah seorangnya termasuk Marissa — gadis yang melanggarnya pagi tadi. Dan seorang lagi, perempuan sombong yang sempat mengata pakaian Hana sebelum tahu siapa dirinya.
Semua mereka beri jawapan yang bijak dan meyakinkan. Tapi, yang Hana risaukan bukan setakat prestasi kerja. Yang buat dia garu kepala… Armand tu dah kahwin. Calon PA pun semuanya bergetah. Bukan dia cemburu sangat — tapi dia bukan jenis nak tunggu nasi jadi bubur.
Baki penilaian Hana serahkan kepada pihak HR. Dia capai iPad dan failnya, lalu melangkah keluar dari bilik temuduga menuju ke pejabatnya di tingkat empat.
Sampai saja di meja, dia duduk dan terus capai telefon. Ada satu panggilan tidak dijawab — Fakhri.
Tanpa tunggu lama, dia tekan nombor Fakhri dan mendail semula.
“Hello, Kak Hana?” Suara Fakhri kedengaran ceria di hujung talian.
“Maaf lambat call balik. Tadi tengah temuduga.”
“Temuduga?” Suara Fakhri sedikit pelik. “Kak Hana cari kerja baru ke? Sampai pergi temuduga?”
“Bukan aku yang ditemuduga, kau ni. Temuduga calon PA Armand.”
“Ohh! Aku ingatkan Kak Hana nak cabut dari Metro Nova. Jantung aku berhenti dua saat tadi.”
Hana tergelak kecil. “Boleh pulak kau risau macam tu.”
“Aku mana tak risau. Kalau Kak Hana takde, aku kena jawab banyak benda sorang-sorang nanti.”
“Yelah tu,” balas Hana sambil menyandar. “Tadi kau call aku nak apa sebenarnya?”
“Oh ya. Aku nak ajak Kak Hana tengok tapak office baru hujung minggu ni. Boleh?”
“Sabtu aku free. Pagi, jangan lewat.”
“Baik, Kak Hana. Aku ambil Kak Hana pagi-pagi, bawa kopi sekali.”
“Kopi tu wajib,” jawab Hana sambil senyum.
“Dapat. Jangan risau. Aku belanja yang paling sedap.”
“Kalau tak sedap, aku tolak masuk longkang.”
“Woi, kejam!” Fakhri tergelak.
Hana pun senyum sambil renung keluar tingkap kaca pejabat. Dalam hati, masih ada satu nama bermain di kepala. Marissa.
Dia rasa, gadis tu bukan sekadar calon biasa. Ada sesuatu tentang dia yang tak sedap di hati. Tapi Hana tak pasti apa.
Belum lagi.
Perut Hana mula berbunyi kecil. Bunyi yang cukup memalukan kalau suasana pejabat terlalu sunyi. Dia pegang perut sambil kerut dahi. Sejak pagi tadi sibuk dengan sesi temuduga, langsung tak sempat sentuh makanan.
Dia tekan butang interkom.
“Tasya, masuk sekejap.”
Tak sampai dua minit, pintu diketuk dan Tasya menjenguk masuk dengan beberapa fail di tangan.
“Ya, Puan Hana.”
“Aku lapar. Jom teman aku keluar makan.”
Tasya kelihatan sedikit panik, lalu cepat-cepat buka beg failnya dan keluarkan beberapa helaian jadual, bersama satu buku nota kecil yang memang dia bawa ke mana-mana.
“Sekejap puan, saya ambil jadual meeting. Dengan senarai yang…”
Hana angkat tangan, suruh berhenti.
“Tak payah bawak semua tu. Kita nak pergi makan je, bukan mesyuarat dengan perdana menteri.”
Tasya terkebil-kebil. “Oh, okay. Saya letak balik.”
Dia cepat-cepat susun semula semua fail ke atas meja kecil di sudut bilik, lalu hanya capai handbag sederhana miliknya.
“Dah, jom.”
Tasya ikut langkah Hana dari belakang, sedikit tergesa tapi cuba kekalkan gaya profesional. Dalam hati, dia lega juga dapat keluar pejabat sekejap. Tapi dia juga tahu — kalau keluar dengan Puan Hana Auni, walau nampak santai, apa-apa boleh jadi ‘meeting mengejut’ bila-bila masa.
Mereka berdua melangkah ke lif dengan gaya dua wanita korporat — satu bergaya tenang, satu lagi ligat dan cermat.
Sampai di luar lobi, mata Hana terus tertumpu pada kafe kecil di seberang jalan. Dari kejauhan, bau kopi dan roti bakar seolah-olah melambai-lambai memanggilnya.
“Jom lintas sini je, cepat sikit,” kata Hana sambil melangkah ke tepi jalan.
Tasya cepat-cepat tarik lengan baju bosnya.
“Eh, jangan Puan! Jangan main lintas. Nanti kena saman dengan penguat kuasa. Kat sini kawasan laluan trafik tinggi.”
Hana angkat kening. “Kena saman? Jalan pun kena saman ke?”
Tasya angguk bersungguh-sungguh, sambil tunjuk jari ke arah jejantas beberapa meter dari tempat mereka berdiri.
“Kena ikut undang-undang. Tu ha... guna jejantas. Kat situ ada CCTV tau. Saya tak nak masuk memo sebab ikut bos lintas jalan sembarangan.”
Hana ketawa kecil. “Ooo… lupa ada jejantas.”
Tasya tarik nafas lega. “Nasib baik Puan dengar cakap. Saya tak sanggup nak jadi viral dalam video ‘PA dan bos kena tahan lintas tak ikut undang-undang’.”
Akhirnya mereka berdua menuju ke jejantas dan mula menaiki anak tangga.
“Lain macam juga PA aku ni. Ingatkan ikut je semua arahan,” gurau Hana sambil menjeling.
“Kalau bab makan, saya ikut. Tapi kalau bab langgar undang-undang, saya tolak tepi dulu, Puan,” balas Tasya sambil senyum.
Mereka menuruni tangga sebelah sana dan terus ke arah kafe. Jejantas itu mungkin kecil, tapi ia berjaya menyelamatkan maruah dua wanita profesional yang tak rela jadi konten media sosial hari ini.
Sedang mereka menikmati makanan tengah hari di kafe seberang pejabat, telefon Hana berbunyi. Panggilan video dari Armand.
Hana capai telefon dan terus jawab.
"Awak kat mana?" soal Armand sebaik wajah Hana muncul di skrin.
"Saya tengah makan dengan Tasya. Kat kafe bawah," jawab Hana sambil suap baki nasi ke mulut.
Armand muncung. Betul-betul muncung sampai Tasya yang duduk bertentangan hampir tersedak air mineral.
"Ala… saya dah tempah tempat dekat hotel lima bintang. Ingat nak ajak awak makan sama," rungut Armand.
Tasya tergelak kecil. "Comel betul bos ni."
Armand jeling melalui skrin. "Siapa yang kata tu?"
"Saya lah, bos. Kalau boleh, saya pun nak suami macam bos," kata Tasya sambil tutup mulut, malu sendiri.
Hana angkat kening, sengaja usik.
"Eh, Tasya nak laki saya ke?"
Cepat-cepat Tasya geleng. "Ish, tak berani ooo. Bahaya!"
"Bahaya kenapa pula?" Hana ketawa kecil.
"Takut nanti saya pula yang kena muncung hari-hari. Tak tahan!"
Armand di skrin ketawa perlahan. "Awak makanlah dulu. Nanti malam saya belanja makan sedap pula."
Hana senyum manja. "Baiklah, awak."
Tasya hanya mampu geleng kepala, kagum dengan kemesraan pasangan bos dan isteri yang penuh gaya—dan penuh ragam.
Selesai panggilan video dengan Armand, Hana meletakkan telefon di atas meja. Dia sambung menyuap nasi ayam penyet yang hampir suam, tapi tetap menyelerakan.
Tasya yang duduk di hadapannya mengangkat wajah.
“Puan Hana… temuduga tadi macam mana?” soalnya perlahan.
“Dah selesai,” jawab Hana, ringkas tapi tenang. “Sekarang tunggu saringan akhir je.”
“Calon tinggal berapa orang?”
“Lima.”
Tasya angguk perlahan. Dia nampak tertarik nak tahu lebih.
“Puan Hana rasa ada tak yang sesuai?”
Hana menggeleng perlahan. “Entahlah… semua nampak bijak, bercakap pun meyakinkan. Tapi saya tetap rasa risau.”
“Risau kenapa, Puan Hana?”
Hana meletakkan sudu dan tarik nafas. “Saya takut tersalah pilih. Kalau calon tu tak boleh jaga batas, saya juga yang susah nanti.”
Tasya ketawa kecil. “Risiko jadi isteri CEO ya, Puan Hana.”
“Bukan isteri je, Tasya. Tapi CMO yang kena jaga reputasi syarikat… dan reputasi suami sekali.”
Kedua-duanya ketawa perlahan. Tapi dalam hati Hana, resah itu belum reda.
Share this novel